Tuesday, February 3, 2009

Tindakbalas Terhadap PPSMI - Pandangan kedua


Berita Harian 3-2-09

‘Perhimpunan jalanan bukan penyelesaian isu PPSMI’

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sudah memberikan ruang yang secukupnya kepada semua pihak untuk menyuarakan pandangan masing-masing mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerusi persidangan meja bulat yang diadakan bulan lalu, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Beliau berkata, semua pandangan dikemuka pelbagai pihak berhubung masa depan PPSMI dalam pertimbangan kementerian dan keputusan mengenainya akan dibuat tahun depan. Katanya, semua pihak berhak menyuarakan pandangan mengenai PPSMI, tetapi sekiranya isu berkenaan dibawa ke jalanan, ia tidak menguntungkan mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sabtu lalu, kira-kira 100 orang, termasuk Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said berkumpul di depan kompleks beli-belah Sogo di sini, bagi membantah PPSMI. Bagaimanapun, perhimpunan itu dibatalkan selepas polis mengarahkan mereka bersurai. Pengerusi jawatankuasa induk gerakan itu, Datuk Dr Hassan Ahmad yang juga bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berkata keputusan mengubah PPSMI daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah satu dasar dan keputusan yang salah. Persidangan Meja Bulat PPSMI yang berlangsung bulan lalu merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan dasar berkenaan.
Pilihan itu ialah meneruskan PPSMI seperti sedia ada, menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah, tetapi meneruskan dasar berkenaan di sekolah menengah; memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah; menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah; dan penggunaan bahasa pengantar Sains serta Matematik ditentukan sekolah. Hishammuddin berkata, tindakan berhimpun membuat bantahan seperti itu tidak membantu kementerian membuat satu keputusan waras berhubung dasar PPSMI.

Utusan Malaysia 2-2-09

PPSMI: Gunakan saluran sah


KUALA LUMPUR 1 Feb. - Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) dinasihatkan menggunakan saluran yang sah untuk menyuarakan pandangan mereka dan bukannya dengan mengadakan perhimpunan bantahan.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, melalui saluran yang diwujudkan kerajaan, keputusan terbaik mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dapat dicapai secara bersama.
"Ini berhubung kait dengan masa depan anak-anak kita, tak kan nak diputuskan dengan protes dan demonstrasi di tepi jalan.
"Malulah kita kepada orang ramai dan negara luar yang juga sedang merintis perkara (penggunaan bahasa Inggeris) yang sama," katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas rancangan GMP yang dianggotai pejuang bahasa untuk mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara pada 7 Mac ini dan menyerahkan memorandum memansuhkan PPSMI.
Pengerusi GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, seramai 100,000 orang dijangka menyertai perhimpunan tersebut.
Katanya, dengan cara itu, GMP percaya suara rakyat yang membantah PPSMI dapat disampaikan ke peringkat atasan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin turut membidas GMP yang dilihat tidak sabar mendesak kerajaan membuat keputusan segera mengenai dasar berkenaan.
Beliau memberitahu, kerajaan telah sedia maklum dengan pendirian mereka dan sedang menelitinya secara serius.
"Mereka (GMP) juga telah diberi peluang untuk terlibat dalam siri rundingan meja bulat anjuran kementerian.
"Saya tidak tahu mengapa mereka tidak sabar, kalau kita buat keputusan sekarang sekalipun, ia tidak boleh dilaksanakan sehingga awal tahun depan," tegasnya.

1 comments:

Anonymous said...

PPSMI jelas memalukan negara kerana bersikap tidak yakin akan keupayaan bahasa sendiri untuk memajukan bangsa dan negara sendiri.

Negara lain pun memang menganggap bahasa Inggeris itu penting tetapi tidaklah sampai dilakukan seperti dalam PPSMI.

Kerajaan seperti mengutamakan kemajuan tetapi dalam masa yang sama menidakkan kemajuan bahasa bangsa. Negara maju lain tidak sebegitu bodoh dalam kes sebegini.

Hingga ada rakyat yang bersetuju dan dapat menerima dengan megah apabila semua temu duga yang dialaminya dalam bahasa Inggeris dan tidak dalam bahasa tempatan.

Sepatutnya kita malu apabila bahasa Melayu diperlakukan sedemikian dalam negara sendiri. Kebolehan dalam bahasa asing sepatutnya dianggap hanya sebagai kelebihan dan bukan syarat.

Kita masih terjajah sebenarnya kalau syarat bahasa asing untuk bekerja di negara sendiri. Ini tidak bererti menafikan kepentingan bahasa asing itu.