Thursday, July 31, 2008

Tolong Tafsirkan Mimpiku Ini.

Orang melayu kata mimpi itu mainan tidur. Tetapi Nabi Yusof adalah seorang pentafsir mimpi yang telah mentafsirkan mimpi pemimpin Mesir sebelum kemelesetan ekonomi di zamannya. Oleh itu mimpi bukanlah semuanya mainan tidur sahaja tetapi kadang-kadang boleh memberi indikator kepada kita. Walaupun begitu janganlah pulak kita beriman dengan mimpi ini. Saya telah beberapa kali bermimpi seperti berikut :

Pertama : Mimpi dikejar awan yang sangat hitam dengan penuh ketakutan. Tidak lama daripada itu berlaku banjir besar di Johor.

Kedua : Mimpi PAS menang kerusi di Johor. Akhirnya PAS dapat satu kerusi di Senggarang secara teknikal.

Ketiga : Mimpi Mawi jumpa Tok Guru Nik Abdul Aziz. Walaupun ketika itu saya tidak pernah kenal muka Mawi. Tetapi tidak lama selepas itu Mawi berjumpa Tok Guru.

Keempat : Mimpi bapak saudara meninggal. Tidak lama lepas itu bapak saudara yang dimaksudkan pun meninggal.

Kelima :
Saya baru sahaja bermimpi jam 3.15 malam :

a. Anwar Ibrahim masuk PAS
b. Tuan Guru Haji Hadi menjadi makmum solat bersama Anwar Ibrahim
c. Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengumumkan kemasukkan Anwar ke dalam PAS selepas waktu asar.

Apakah tafsiran mimpi ini ?
Marilah sama-sama kita perhatikan..........

Kesemua mimpi di atas bukannya mimpi disiang hari.

Warga Kempas Mendapatkan Bekalan Beras Subsidi




Warga Kempas Johor mendapatkan bekalan beras subsidi kerajaan. Mereka beratur panjang untuk mendapatkan sesuap nasi anak-anak dan isteri mereka. Lokasinya adalah di hadapan kilang beras, Kampung Gudang Beras, Kempas, Johor.

Tuesday, July 29, 2008

Pusat Aduan Rakyat Kempas Membantu Pekedai Cina Tampoi Serah Memorandum





Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas Sdr. Suhaizan Bin Kaiat bersama-sama pekedai-pekedai cina Tampoi telah menyerahkan memorandum mereka kepada En. Lokman Bin Abu Bakar, Setiausaha Sulit Menteri Besar Johor, Dato' Hj Abd Ghani Othman di Johor Baharu. Berikut adalah isikandungan memorandum tersebut.

MEMORANDUM
PENIAGA TANAH LOT PTD 90667 HS(D) 420178
MUKIM TEBRAU
JALAN DATO’ TOH AH BOON, TAMPOI




Kami peniaga-peniaga kedai di atas tanah Lot PTD 90667 HS(D) 420178 Mukim Tebrau iaitu di Jalan Dato’ Toh Ah Boon, Tampoi telah tinggal dan berniaga secara turun temurun di kawasan ini sejak tahun 1954. Atas faktor-faktor keselamatan daripada ancaman komunis, kerajaan telah memindahkan kami daripada kawasan sekitar ke perkampungan ini yang dikenali sebagai Kampung Baru Tampoi. Pada tahun 1972 kami telah dianugerahkan Lesen Menduduki Sementara(TOL) oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan telah memberi kemudahan yang bersesuaian kepada pekedai di sini. Pada 14hb September 1985 melalui MCA Cawangan dan Gerakan Pemuda Dan Kaum Wanita, Tampoi, Johor telah menghantar surat kepada pejabat Menteri Besar Johor bagi mengadu masalah yang berkaitan dengan pembangunan di kawasan ini. Pada 16hb Mei 1989 pihak kami telah memohon perubahan daripada tanah TOL kepada tanah bergeran kepada pihak Kerajaan Johor. Kami menunggu dengan penuh harapan tetapi malangnya pada 3hb Mei 2006, pihak Kerajaan Negeri Johor telah menganugerahkan tanah tersebut kepada pihak Johor Corporation, sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Johor.

Akhirnya pada 24hb September 2007 kami telah mendapat notis mengosongkan bangunan daripada pihak Johor Corporation sebelum atau pada 25hb Oktober 2007. Rayuan telah dibuat kepada pihak Johor Corporation melalui YB Low Teh Hian, Adun Kawasan Pengkalan Rinting merangkap Ketua Biro Aduan MCA Johor pada 5hb Oktober 2007. Permohonan pajakan telah dibuat sepertimana yang diucapkan oleh Y.B Dato’ Haji Osman bin Sapian, Adun Kempas dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 25 Jun 2008. Dialog dengan pihak Johor Corporation juga telah dipohon melalui Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas pada 10hb Julai 2008. Malangnya pihak Johor Corporation tidak mahu melayan sebarang cadangan daripada pihak kami. Malah mereka mahu peniaga di sini mengosongkan kedai kami seberapa segera seperti yang terkandung dalam surat jawapan kepada Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas bertarikh 17hb Julai 2008. Pihak kami juga telah mendapati bahawa sebahagian tanah ini telah disewa kepada pihak tertentu untuk diusahakan dalam tempoh masa 3 tahun.

Kami merayu kepada pihak Y.A.B Menteri Besar Johor Dato’ Haji Abdul Ghani Othman agar dapat mengarahkan anak syarikat Kerajaan Negeri Johor, Johor Corporation mengizinkan kami menyewa, membangunkan dan berniaga di kawasan ini pada kadar yang bersesuaian. Jika pihak tertentu berhak mendapat sewaan tanah di sini mengapa pula kami yang membangunakan kawasan ini sejak tahun 1954 tidak dilayan oleh pihak Johor Corporation. Perbincangan lanjut mengenai perkara ini perlulah diadakan di antara pihak pekedai dengan pihak Johor Corporation. Kami berharap pihak Y.A.B dapat mempertimbangkan seterusnya menyokong permohonan yang tersebut di atas.


Bersama ini disertakan bersama tandatangan pekedai yang terbabit dan dokumen-dokumen yang berkaitan.

Friday, July 25, 2008

Tiba-tiba UMNO menjadi baik & kurang bercakap seperti biasa.

Isu kononnya perbalahan dua tokoh dalam PAS diantara Mursidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat dengan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, berakhir setelah dua tokoh ini bertemu bersama beberapa orang pimpinan tertinggi Majlis Syura Ulama’ pada 23hb Julai 2008 di Kota Baharu, Kelantan. Sebelum ini peringkat akar umbi PAS dan Pakatan Rakyat(PR) merasa gelisah atas permainan media yang seolah-olah kedua-dua tokoh ini berbalah mengenai pertemuan pimpinan PAS dan UMNO. Media telah cuba mengelirukan dimana satu pihak dianggap mahukan pertemuan diadakan sehingga mewujudkan rundingan kuasa UMNO dan PAS. Pandangan ini seolah-olah ditentang oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Polimik ini berakhir dengan kenyataan kedua-dua pimpinan bahawa tutup fail muzakarah(berdebat) dan teruskan dengan muqabalah (bersemuka) antara UMNO dan PAS. Maksudnya bertemu dengan UMNO bukan bertujuan untuk bermuzakarah (berdebat) yang menjurus kepada ketegangan bagi menentukan kalah dan menang. Juga tidak bermaksud untuk tujuan runding kuasa antara UMNO dan PAS. Sebaliknya muqabalah pertemuan bersemuka atau pertemuan biasa untuk berbincang mengenai agama dalam suasana yang muhibah bagi mencari penyelesaian mengenai masalah semasa. Muqabalah ini adalah sama seperti pertemuan DAP denga PM berkanaan pembangunan Pulau Pinang, seperti juga Wan Azizah berjumpa PM berkenaan isu Liwat Anwar Ibrahim. Ahli akar umbi juga jangan keliru kerana istilah muzakarah kerana ia merupakan istilah Pak Lah semasa mengumumkan pertemuan antara pimpinan PAS dan UMNO selepas pilihanraya lepas. Maka eloklah nama pertemuan itu diperbetulkan bagi mencapai maksudnya yang sebenar.

Mengikut amalan biasa apabila keadaan di atas berlaku maka hulubalang-hulubalang UMNO dan Barisan Nasional akan bermati-matian menghantam PAS. Mereka akan menyatakan :

a. PAS putarbelit perkataan muzakarah
b. PAS tak ikhlas nak bermuzakarah.
c. PAS takut berdebat melalui Muzakarah. PAS parti pengecut.
d. Akhirnya Nik Aziz kecundang dengan Hj Hadi setuju bertemu UMNO.
e. Semua parti pembangkang suka berjumpa dengan Pak Lah.
f. Tahun 1985 Pas mahu Muzakarah tapi tahun 2008 PAS tolak Muzakarah.
g. Hj Hadi lupa Isu Muzakarah 1985.
h. PAS ikut kata UMNO

Semua ungkapan di atas biasanya akan dilemparkan kepada PAS. Tetapi berlaku kepelikkan yang amat sangat kali ini apabila hulubalang-hulubalang UMNO dan Barisan Nasonal tidak langsung menghentam PAS selepas pertemuan ahli Majlis Syura Ulama’ PAS dengan Tuan Guru Nik Abd Aziz Bin Nik Mat. Malah UMNO mendiamkan diri sehingga tiada kenyataan akhbar Pak Lah selepas mesyuarat MT pada 24hb Julai 2008. Hanya kenyataan Ketua Penerangan UMNO Mohammad Bin Mohammad Taib sahaja yang kedengaran. Kenyataan ini lagi pelik apabila menyatakan MT UMNO bersetuju mengadakan pertemuan dengan PAS. Seolah-olah UMNO bergitu beria-ria mahu berdamai dengan PAS khususnya dalam perkara-perkara berkaitan agama. Peroalannya mengapalkah UMNO nampak begitu baik dan UMNO nampak begitu pelik ?

Saya berpendapat ada dua kemungkinan yang secara bijak PAS harus melihat. Pertamanya UMNO jadi begitu kerana kesedaran UMNO terhadap keadaan politik semasa iaitu :

a. PAS sebuah parti politik yang kuat, berperinsipf, boleh diterima sultan, mempunyai 3 menteri besar, tiada masalah dalaman dan berpegang teguh pada agama. PAS telah memerintah hampir 20 tahun di Kelantan. UMNO menyedari bahawa mereka terpaksa berdepan dengan masalah dalaman yang kronik dan ketidakpercayaan rakyat kepada mereka khususnya berkait dengan isu-isu pengurusan negara. Oleh itu UMNO merasakan perlu berdamai dengan musuh politik nombor wahid ini iaitu PAS.

b. UMNO berdepan dengan tekanan-tekanan orang bukan Islam terutamanya isu-isu agama yang melibatkan perlembagaan perkara 121(1A), yang melibatkan biasiswa, yang melibatkan kouta, yang melibatkan peruntukan-peruntukan kewangan tertentu khususnya selepas pilihanraya 2008 apabila golongan ini menolak BN secara jelas. Oleh itu UMNO merasa selamat berdamai dengan PAS.

c. Pertemuan-pertemuan yang di adakan diantara PAS dan UMNO telah menginsafkan UMNO betapa pentingnya UMNO untuk terus bekerjasama dengan PAS. Ayat-ayat Al-Quran dan hadis nabi telah menelusup masuk kedalam hati nurani UMNO untuk menyedari kebesaran Allah yang lebih berkuasa dari segala yang berkuasa di atas mukabumi ini.

Kemungkinan yang kedua adalah UMNO berpura-pura sahaja baik bagi memerangkap PAS. Ini berasakan kepada perkara-perkara berikut :

a. Sebahagian pimpinan PAS sudah boleh menerima UMNO sebagai pihak yang perlu dirunding. Oleh itu peluang ini digunakan untuk memecahbelahkan PAS, melemahkan PAS dan mewujudkan syakwasangka dikalangan komponen Pakatan Rakyat(PR). Inilah peluang keemasan UMNO untuk melemahkan musuh politik nombor wahidnya. Kemudian dengan lemahnya PAS maka UMNO akan dilihat kuat oleh masyarakat. Maka mereka boleh memerintah dengan selesa selepas pilihanraya 2013. Jika UMNO megamalkan budaya menghentam PAS seperti sedia kala maka perangkap ini akan disedari oleh pimpinan PAS. Budaya ini umpama memasang perankap dihutan, yang memerlukan semua orang senyap, memijak daun-daun kering dengan perlahan, melangkah dengan berhati-hati agar jangan ayam hutan bakal jadi satapan malamnya tidak lari berterbangan. Setelah ayam hutan masuk perangkap barulah mereka akan besorak gembira. Barulah kita tahu wajah sebenar mereka.

b. Dalam pilihanraya 2008 UMNO dan BN telah ditolak oleh orang bukan melayu. Mereka telah menggunakan kelemahan ini sebagai senjata untuk berbaik-baik dengan PAS. Isu Islam telah dicabar sememangnya mudah untuk membawa PAS berunding. Sebab perjuangan PAS adalah Islam, UMNO juga orang Islam. Maka dengan bercakap tentang Islam sahajalah yang boleh memberi peluang UMNO memerangkap PAS. Budaya ini sama sahaja dengan peluang memerangkap Tengku Razali Hamzah untuk masuk UMNO atas nama perpaduan melayu. Mahathir melayu, Tengku pun melayu. UMNO melayu, Semangat 46 pun melayu. Maka isu perpaduan melayulah yang boleh memerangkap Tengku. Setelah Tengku terperangkap maka mudahlah Mahathir menyembelihnya untuk santapan malam hari. Setelah PAS terperangkap maka mudahlah UMNO men”gulai”kan PAS.

Dengan dua kemungkinan diatas maka PAS sangat sangat sangat perlu berhati-hati dengan UMNO. PAS perlu meletakkan beribu indikator untuk menguji UMNO. UMNO sejak zaman berzaman nemang tidak pernah setia dan tidak pernah ikhlas. Yang penting UMNO perlu memperlihatkan komitmen untuk memperjuangkan agama dengan ikhlas. Walaubagaimana pun adanya UMNO isu runding kuasa untuk mewujudkan kerajaan campuran antara UMNO dan PAS adalah sesuatu yang tidak boleh diterima berdasarkan kepada sejarah-sejarah silam yang berlaku.

http://kentong-suhaizan.blogspot.com

Tuesday, July 22, 2008

Perjumpaan Dengan Exco Negeri Selangor






Dewan Harian Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan pertemuan muhibah dengan exco-exco Kerajaan Negeri Selangor iaitu YB. Iskandar, YB Dr Halimah dan YB. Dato' Dr Hassan Ali. Tujuan pertemuan adalah untuk mengetahui perkembangan Kerajaan Negeri Selangor secara lebih dekat lagi.

Pakatan Rakyat Tetap Kukuh


Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga bekas calon PAS DUN Kempas, Johor Sdr. Suhaizan Bin Kaiat bersama rombongan DAP yang diketuai oleh Medam Ng Siam Luang selaku wakil Dr. Boo Cheng How Adun DAP - Skudai di majlis Kuang Ing Kg Semangat, Kempas, Johor. Walaupun heboh diperkatakan media berlaku keretakkan dalam Pakatan Rakyat tetapi hakikatnya wakil PAS boleh bersama DAP dalam majlis masyarakat cina dan sempat menyampaikan ucapan dihadapan lebih 300 orang peserta.

Monday, July 21, 2008

Isu Muzakarah UMNO – PAS, Ahli Di Akar Umbi Gelisah

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia dengan banganya mendedahkan sudah ada 3 kali pertemuan yang melibatkan pimpinan tertinggi PAS dengan UMNO. Pendedahan ini boleh ditafsirkan oleh akar umbi dengan pelbagai maksud. Ada yang baik, banyak juga yang buruknya. Tafsiran positif adalah pertemuan ini adalah untuk menyampaikan mesej Islam, mengajak UMNO kembali kepangkal jalan iaitu Islam. Jihad yang paling besar adalah menyatakan zalim kepada pemerintah yang zalim.

Tafsiran yang negatif pun ada iaitu Pak Lah telah cuba jadi hero dikala keheroannya telah berada dimusim senja. Tiga kali pertemuan itu sudah cukup untuk membuktikan kehebatan Pak Lah menjinakkan PAS yang kelihatan begitu garang bila berdepan dengan UMNO. Pendedahan ini umpama pendedahan kemenangan tentera India terhadap pemberontakkan di Kashmir. Biasanya tentera India akan menunjukkan mayat-mayat pemberontak dihadapan wartawan seperti polis Malaysia menunjukkan banyaknya dadah yang telah dirampas. Apapun alasannya, akar umbi telah melihat PAS kalah 1-0 dengan UMNO.

Peringkat akar umbi begitu gelisah dengan perkembangan terbaharu ini. Antara kegelisahannya adalah :


  1. Apakah munasabahnya tiga kali pertemuan itu?
  2. Kemana arah Muzakarah ini hendak diadakan?
  3. Apakah isu Muzakarah ini bukan suatu perangkap kepada PAS?
  4. Mengapa PAS melayan sangat UMNO yang telah terbukti khianat kepada PAS ?
  5. Apakah kesan kepada hubungan dalam Pakatan Rakyat?
  6. Adakah Muzakarah ini sesuai pada masa ini?
  7. Apakah Pakatan Rakyat tidak menganggap PAS telah menikamnya daripada belakang?
  8. Apakah masalah-masalah dalam Pakatan Rakyat sehingga Presiden begitu vocal kenyataannya dalam Harakah ?
  9. Mengapa seolah-olah ada perbezaan pendapat antara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang?
  10. Apakah masa depan negeri-negeri Pakatan Rakyat ?


Bagi menyelesaikan masalah-masalah yang terbuku dihati peringkat akar umbi ini maka pertemuan tertutup diantara pimpinan tertinggi PAS dengan Dewan Harian PAS negeri-negeri dan Dewan Harian Pemuda, Muslimat dan Ulama’ perlulah segera diadakan untuk menjelaskan apa yang sedang berlaku. Pimpinan tertinggi PAS sudah tentu akan dapat menjawap persoalan-persoalan yang telah dinyatakan diatas?

Atas agenda Melayu-Islam, jika muzakarah yang melibatkan dua parti utama boleh mendatangkan masalah kepada UMNO dan PAS mengapa tidak dicadangkan suatu Majlis Perundingan atau apa sahaja nama yang sesuai yang bertujuan menghimpunkan semua pertubuhan-pertubuhan Melayu-Islam dinegara ini. Majlis Perundingan ini di anggotai oleh semua wakil Melayu-Islam merentasi semua parti politik, NGOs dan lain-lain pertubuhan. Ia boleh dianggotai oleh UMNO, PAS, Keadilan(Melayu-Islam), Teras, JIM, ABIM, GAPENA dan lain-lain lagi pertubuhan yang memiliki atau matlamatnya kearah penyatuan Melayu-Islam di Malaysia. Keanggotaannya adalah tetap dan tidak terlalu ramai. Perbincangannya dibuat dengan penuh keikhlasan dan profesional. Majlis Perundingan ini perlu diperkasa dan tidak menuju kearah sesuatu aliran pemikiran sahaja. Resolusi akan dikeluarkan setelah kataputus telah diperolehi dalam perbincangan tersebut. Samaada BN atau PR yang memerintah dinegara ini tidak menjadi masalah kerana agenda Melayu-Islam tetap dipertahankan oleh kerajaan yang memerintah. Jika BN atau PR mengenepikan pandangan Majlis Perundingan maka tunggulah pilihanraya seterusnya pasti mereka akan kecundang. Pemerkasaan pihak ketiga yang dikenali sebagai Majlis Perundingan ini sekurang-kurangnya boleh meredakan kegelisahan akar umbi pada masa kini.

http://kentong-suhaizan.blogspot.com

Sunday, July 20, 2008

Antara Muzakarah dan Majlis Perundingan Mana Lebih Berkesan ?

Polimik isu Muzakarah semakin diperkatakan sekarang. Ia bermula apabila kenyataan Presiden PAS yang menyatakan PAS boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja untuk menyampaikan mesej Islam termasuk UMNO. Kenyataan ini disambut oleh Presiden UMNO untuk bermuzakarah dengan PAS. Isu muzakarah ini telah berlarutan sejak tahun 1985 lagi apabila Tun Dr Mahathir ketika itu menjadi Perdana Menteri mencabar berdebat dengan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang ketika itu menjadi Naib Presiden PAS. Walaubagaimana pun situasi masa kini sedikit berbeza kerana waktu ini UMNO dalam keadaan tertekan dengan isu dalaman dan kekalahan teruk Barisan Nasional dalam pilihanraya 2008. Sementara PAS pula dalam keadaan yang lebih baik dibandingkan dengan tahun 1985. Muzakarah kali ini lebih terarah kepada persoalan Islam, Melayu dan pendidikan.

Isu muzakarah sering dikaitkan dengan keikhlasan. UMNO kuatir PAS tidak ikhlas sebaliknya PAS juga beranggapan sama seperti UMNO. Kekuatiran ini sememangnya ada asas disebabkan sejarah-sejarah lampau. UMNO kuatir muzakarah ini akan dijadikan kesempatan oleh PAS untuk menjadikan isu politk yang akan dimainkan keseluruh negara bagi melambangkan nazaknya UMNO berhadapan dengan masalah yang sedang dihadapi. UMNO yang merupakan parti melayu terbesar diseluruh dunia terpaksa tunduk kepada sebuah parti yang dianggap parti kampung suatu masa dahulu. Tentulah imej UMNO akan tercalar dan masa depan UMNO untuk memerintah negara semakin malap sebaliknya PAS akan dilihat sebagai juara.

Begitu juga dengan PAS yang kuatir dengan muzakarah ini. UMNO boleh menjadikan muzakarah ini sebagai senjata untuk membunuh Pakatan Rakyat(PR) yang sedang menunggu masa untuk mengambil alih pemerintahan negara. Tentulah PR merasa kurang senang dengan muzakarah ini kerana melibatkan musuh politik utamanya iaitu UMNO. Ahli-ahli PAS juga gelisah kerana bermuzakarah dengan UMNO seumpama melepaskan anjing tersepit. UMNO dalam keadaan tersepit mengajak PAS bermuzakarah. Bila UMNO telah menjadi kuat akibat bermuzakarah, maka PAS pula akan digigit.Perumpaan anjing tersepit ini bukan rekaan tetapi realiti yang dihadapi oleh PAS semasa dalam Perikatan pertengahan tahun 1970-an dahulu.

Hakikatnya kedua-dua pihak UMNO dan PAS tidak pasti apakah indikator untuk mengukur keikhlasan lawan masing-masing. Masalahnya, apa yang akan terjadi dengan nasib orang Melayu, Islam dan pendidikan mereka. Semakin hari semakin terhakis kepentingan orang Melayu dan Islam. Dalam mencari penyelesaian ini mengapa tidak dicadangkan suatu Majlis Perundingan atau apa sahaja nama yang sesuai yang bertujuan menghimpunkan semua pertubuhan-pertubuhan Melayu-Islam dinegara ini. Majlis Perundingan ini di anggotai oleh semua wakil Melayu-Islam merentasi semua parti politik, NGOs dan segala pertubuhan yang boleh menuju matlamat yang sama. Ia boleh dianggotai oleh UMNO, PAS, Keadilan(Melayu-Islam), DAP(Melayu-Islam), JIM, ABIM, GAPENA dan lain-lain lagi. Keanggotaannya adalah tetap dan tidak terlalu ramai. Perbincangannya dibuat dengan penuh keikhlasan dan profesional. Majlis Perundingan ini perlu diperkasa dan tidak menuju kearah sesuatu aliran pemikiran sahaja.Resolusi akan dikeluarkan setelah kataputus telah diperolehi dalam perbincangan tersebut. Samaada BN atau PR yang memerintah dinegara ini tidak menjadi masalah kerana agenda Melayu-Islam tetap dipertahankan oleh kerajaan yang memerintah. Jika BN atau PR mengenepikan pandangan Majlis Perundingan maka tunggulah pilihanraya seterusnya pasti mereka akan kecundang. Walaubagaimanapun idea Majlis Perundingan ini tidak akan berjaya jika semua pihak tidak ikhlas memperjuangkan kepentingan Islam, Melayu dan pendidikannya.

Saturday, July 19, 2008

Inul Nak Pitam, Rakyat Johor Nak Muntah

Menurut sumber berita harian hari ini pertunjukkan goyang gerudi syaitan Inul yang dijangka akan diadakan pada malam ini dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak Bandaraya Johor Baharu. Terima kasih kepada Dato Bandar, Johor Baharu yang begitu perihatin dengan memorendum yang telah diserahkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Johor yang dipimpin oleh Sdr. Khairul Faizi Ahmad Kamil beberapa hari yang lalu. Inul berasa kecewa dan hampir pitam kerana pertunjukkan itu dibatalkan di saat akhir. Peminat-peminat Inul adalah pekerja-pekerja Indonesia yang bekerja di negara ini. Penganjur dijangka akan memindahkan pertunjukkan itu ke Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27hb Julai 2008 iaitu minggu hadapan.

Kalau Inul hampir pitam, kita rakyat Johor rasa nak muntah mendengar cerita pertunjukkan Inul. Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam, NGOs, parti-parti politik bertungkuslumus mengajak rakyat Johor melaksanakan amal ma’aruf, tiba-tiba orang asing dengan pekerja asing yang datang ke negara ini nak meruntuhkan segala amalan baik kita selama ini. Sudahlah Inul, kita orang Johor dah tak larat menghadapi pelbagai masalah jenayah, sosial, politik, ekonomi, kenaikkan harga barang dan seribu satu macam lagi. Pihak polis berperang setiap jam untuk membenteras jenayah, di negeri Johor. Jangalah datang kemari nak menambah kusut lagi kita disini.

Baliklah terus ke Indonesia. Tak perlulah mengadakan pertunjukkan di Kuala Lumpur. Nanti Dewan Pemuda PAS Pusat pulak yang bantah. Takut Inul pengsan pulak di Kuala Lumpur apabila pihak di Kuala Lumpur membatalkannya. Insaflah. Hidup kita ini sementara. Mati nanti bukan boleh jumpa peminat nak minta syafa’at. Mati nanti jumpa Allah. Apa Inul nak jawap depan Allah sedangkan kerja Inul buat orang masuk neraka?

Muzakarah UMNO-PAS. Sangupkah UMNO berkorban?

Pada tahun 1969 kekalahan parti perikatan dalam pilihanraya telah menjadi salah satu punca tercetusnya peristiwa 13 Mei. Parti pembangkang telah banyak mendapat sokongan dalam pilihanraya tersebut. Kebetulan sebahagian yang menang adalah mereka adalah bukan melayu. Ditambah dengan tempoh yang agak lama Tungku Abd Rahman menjadi Perdana Menteri. Maka kegawatan politik tercetus sehingga membawa kepada ketegangan antara kaum khususnya di Kuala Lumpur. PAS melihat jika kedudukannya berada didalam Perikatan sekurang-kurangnya dapat memperkuatkan Perikatan dalam usaha membawa agenda Islam dalam kerajaan. Maka pelawaan Tun Razak, tokoh yang disegani oleh kawan dan lawan telah membuka pintu hati pimpinan PAS untuk bersama dalam Perikatan. Niat PAS suci iaitu untuk mempastikan agenda Islam dipertegukan dalam kerajaan.

Malangnya sekali air bah, sekali pasir berubah. Kedudukan PAS dalam Perikatan telah mengugat UMNO khususnya dalam kementerian-kementerian yang dipegang oleh PAS. Dasar Islam dalam PAS telah merimaskan UMNO. Maka kegiatan PAS sering dicurigai. Kedudukan Perikatan pula sudah semakin baik. Mereka telah menjadi kuat atas sokongan PAS dalam Perikatan. Bila Tun Razak Hussin meninggal diganti dengan Tun Hussin Onn maka sentuhan-sentuhan Tun Razak terhadap PAS yang dilakukannya dahulu hilang bersama hilangnya jasadnya. Akhirnya Tun Hussin yang tidak begitu merasa perit jerih PAS bersama Perikatan telah menendang PAS daripada Perikatan atau Barisan Nasional pada tahun 1978. Maka bekelanalah PAS seorang diri membawa bahtera Islam diluar Barisan Nasional.

Pemilihan UMNO tahun 1987 telah membawa UMNO kepada perpecahan Team A yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir dan Team B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Perpecahan ini sehingga membawa UMNO diharamkan dan Team B termasuk Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi , tidak diterima oleh UMNO Baru yang ditubuhkan semula oleh Tun Dr. Mahathir. Maka Tengku Razaleigh terkapai-kapai diluar UMNO Baru. PAS mengambil tali, menarik Tengku dalam Bahtera Angkatan Perpaduan Ummah. Atas nama Islam bersatulah antara PAS dan Semangat 46.

Apabila Semangat 46 bertarung dua kali kalah dalam piliharaya umum maka nafas mereka semakin pendek. Maka pelawaan Tun Dr Mahathir atas nama perpaduan Melayu telah menyumbat Tengku bersama Dato Rais Yatim dan Dato Sabri Cik dalam lubang UMNO yang telah dihinanya sekian lama. Maka berkelanalah PAS seorang diri membawa Bahtera Islam bersendirian.

Kegawatan ekonomi tahun 1996 dan pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim tahun 1997 daripada UMNO atas tuduhan yang telah diketahui umum telah menyebabkan PAS menubuhkan GERAK. Dalam pertubuhan inilah keadilan khususnya yang menyangkut individu bekas orang kuat UMNO Anwar Ibrahim diperjuangkan. Akhirnya Parti Keadilan Nasioal (PKN) atau PKR ditubuhkan di bawah Datin Seri Dr. Wan Azizah. Atas nama menegakkan keadilan yang dianjurkan oleh Islam maka PAS bersama Barisan Altenatif(BA). Nafas PKR semakin panjang selepas pilihanraya 2008 apabila bersama PAS dan DAP dapat menawan 6 negeri termasuk Wilayah Persekutuan. Sebaliknya nafas UMNO semakain pendek disebabkan kekalahannya dalam pilihanraya 2008 dan kemelut dalamannya dah nak sampai perang dunia kedua. Keterbukaan Presiden PAS dalam harakah disambut dengan agresifnya oleh UMNO. Macam haruan yang dah 100 hari tak makan. Dalam suasana ini UMNO dan PAS semacam mahu mengadakan Muzakarah yang telah 2 kali tertangguh pada tahun1986 dan 2000.

Apabila bermuzakarah dan mungkin berakhir dengan sesuatu keputusan. Persoalannya,siapakah yang harus berkorban UMNO atau PAS? UMNO harus berkorban untuk meminta maaf terhadap ketelanjurannya terhadap Islam dan PAS. Segala tohmahanya terhadap Islam dan PAS harus ditebus. Mana mungkin muzakarah ini mahu dilaksanakan jika UMNO dengan perangai lamanya yang pragmatif terhadap Islam, menekan ahli PAS disetiap peringkat, menghina ahli PAS melalui saluran media yang dikuasainya, menjarakan ahli PAS daripada keluarganya melalui pelbagai akta serta peraturan, memecat ahli PAS yang bekerja disektor kerajaan, membunuh ahli PAS di Memali dan menghina perintah Allah. PAS telah banyak kali berkorban untuk agenda Islam dilaksanakan dalam negara ini. Bolehkah UMNO berkorban untuk Islam untuk kali ini ? Jika UMNO tidak ikhlas untuk berkorban sebagai syarat muzakarah maka sebenarnya melepaskan UMNO daripada kemelut politik dan ekonomi ini umpama melepaskan anjing yang tersepit. Bila anjing telah lepas daripada sekatan maka orang yang membantu melepaskannyalah yang akan digigit. Setelah UMNO lepas daripada kemelut, Presidennya pula bertukar, habis PAS dan pengikutnya digigit. Dalam hal ini ada eloknya anjing itu dibiarkan tersepit sampai bila-bila. Sanggupkah UMNO berkorban ?

Friday, July 18, 2008

Layakkah UMNO Bertemu PAS ?

Akhbar Star 16 Julai 2008 telah menyiarkan berita bertajuk “ UMNO Youth welcomes talk. Movement accepts PAS willingness to discuss Islam, Malays and education”. Berita ini telah menjelaskan kesediaan pemuda UMNO untuk mengadakan pertemuan dengan PAS untuk membincangkan isu-isu berkaitan Islam, Melayu dan pendidikan. Sebelum ini Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan kesediaan bertemu dengan PAS. Naib Presiden UMNO Dato’ Seri Ali Rustam pula telah memuji keterbukaan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17hb Julai 2008.

Sejak berpuluh-puluh tahun lamanya media pro-UMNO, sering melabel PAS sebagai :

  1. PAS adalah Parti Ajaran Sesat.
  2. PAS adalah Parti Angan-angan Selalu.
  3. PAS lebih bahaya daripada komunis.
  4. PAS punca perpecahan melayu
  5. PAS parti pecah belah masyarakat
  6. PAS suka buat fitnah
  7. PAS tak de masa depan
  8. PAS tahu ceramah aja.
  9. PAS suka cari kesalahan orang.
  10. PAS parti pak lebai.
  11. PAS jumud.
  12. Pemimpin PAS lemah tak tahu memerintah negara.

Sehingga kesaat artikel ini ditulis, propaganda ini masih berlaku dan pemikiran negatif ini telah bersarang dalam pemikiran sebahagian besar orang melayu khususnya dinegeri-negeri yang kuasai UMNO seperti Johor, Malaka dan Negeri Sembilan. Hasilnya adalah :

  1. Pemimpin PAS dihina masyarakat
  2. Pemimpin PAS tidak diyakini masyarakat
  3. Pemimpin PAS dipandang serong oleh masyarakat
  4. Orang PAS dipencilkan masyarakat
  5. Orang PAS dipulaukan masyarakat
  6. Masyarakat takut dengan PAS
  7. Masyarakat menjauhi PAS
  8. Ahli PAS yang berkerja dengan kerajaan dihantar jauh kependalaman dan ada yang yang dipecat.
  9. Ahli dan pemimpin PAS ada yang diugut dan dibunuh.

Media ini memperlihatkan UMNO sebagai hebat, kaya, berketerampilan, bijak dan bergaya . Bagi membincangkan isu Islam, Melayu dan pendidikkan layakah UMNO bertemu dengan PAS yang dilabelkan sebagai lemah, suka membuat fitnah, suka kepada perpecahan, tidak cerdik, tahu ceramah sahaja, suka cari kesalahan orang dan jumud. Mungkin UMNO hanya layak bertemu dengan MCA, MIC dan Gerakkan yang setaraf dengan mereka.

Wednesday, July 16, 2008

Debat Anwar-Sabri : Mampukah ia menjadi budaya pemimpin politik?

Debat pada jam 9.00 – 10.00 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka dan disiarkan secara langsung oleh TV1 & TV9 di antara Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dan Menteri Penerangan Dato’ Sabri Cik merupakan suatu perdebatan bersejarah, matang dan bermanfaat kepada rakyat..Tajuk perdebatan adalah “Hari Ini Perintah Negara. Esok turun minyak”. Kedua-dua pendebat dapat mengutara dan menjawab hujah dalam keadaan yang seimbang. Sewajarnya perdebatan ini diperkembangkan keseluruh negara dalam menangani pelbagai isu-isu rakyat. Rakyat yang bakal memilih pemimpin wajar diberi peluang untuk menilai pemimpin yang diberi peluang yang sama melalui debat seumpama ini.

Antara hujah-hujah menarik daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak adalah :
1. Minyak dapat diturunkan jika lebihan tenaga yang dijana oleh Independent Power Producer (IPP) dapat dikurangkan.
2. Minyak dapat diturunkan jika masalah kebocoran/ketirisan dapat dibendung.
3. Minyak dapat diturunkan jika ekonomi diuruskan dengan cekap.
4. Minyak dapat diturunkan jika salahguna kuasa dan penyelewengan dana rakyat dapat dibendung.
5. Negara seharusnya lebih mementingkan rakyat miskin sebelum menaikkan harga minyak mendadak.
6. Minyak dunia naik maka keuntungan Petronas akan naik. Lebihan keuntungan perlu digunakan untuk menyerap kenaikkan harga minyak dunia.

Antara hujah Dato Sabri Cik mempertahankan kenaikkan haga minyak adalah :
1. Jika keuntungan pertonas hanya untuk menampung kenaikkan harga minyak dunia maka banyak subsidi akan diterima oleh orang yang tidak memerlukan. Pendekatan memberi terus kepada golongan sasaran adalah lebih berkesan dibandingkan dengan keadah menurunkan harga minyak.
2. Pengeluaran minyak negara tidak boleh disamakan dengan negara-negara luar seperti Saudi dan Iran kerana rizeb minyak negara terlalu kecil dibandingkan dengan negara luar. Oleh itu negara perlu lebih berhati-hati untuk menurunkan harga minyak.
3. Venezula dan Iran mempunyai harga minyak yang rendah tetapi implasi pula tinggi. Jika negara meniru cara Venezula dan Iran maka negara akan mengalami nasib yang sama dengan negara tersebut.

Antara hujah-hujah dijawab dengan menarik bagi kedua-dua pihak adalah
1. Sabri menuduh IPP ditubuhkan semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan. Anwarlah yang menjadi punca kemelut IPP. Anwar menjawab Dato’ Ani Arof, Pengerusi TNB dibawah Anwar sebagai Menteri Kewangan tersingkir dpd TNB kerana tidak bersetuju dengan harga yang dikehendakki oleh Tun Dr Mahathir.
2. Anwar membetulkan fakta yang ditentang bukan Petronas tetapi Kerajaan BN.
3. Sabri menyatakan minyak akan habis 2015. Anwar menjawab minyak habis 2015 adalah jangkaan masakini Petronas sahaja. Itupun jika tiada penemuan baru. Jika ada penemuan baru maka rizeb minyak akan bertambah. 30 tahun lalu kerajaan telah menyatakan minyak akan habis tahun 2005. Tapi Alhamdulillah perolehan minyak berkembang sehingga 2015. Maknanya fakta rizeb minyak akan habis 2015 tidak tetap.
4. Sabri menyatakan jika minyak turun negara akan mengalami implasi. Anwar menjawab minyak naik mendadaklah yang menyebabkan implasi sehingga 8%.
5. Dr Nordin Kardi menyatakan Anwar telah tersalah permis apabila melibatkan IPP dalam kenaikkan harga minyak. Anwar menjawab IPP ada kaitan dengan minyak kerana IPP menggunakan gas. Bagaimana IPP boleh untung tetapi Petronas dan TNB boleh rugi.
6. Sabri menyatakan budaya subsidi tidak baik. Anwar menjawab subsidi kepada kroni, kepada orang kaya ditukar nama sebagai bailout dan insentif. Kepada rakyat miskin dianggap subsidi. Pada hal kedua-duanya sama. Jika orang kaya berhak untuk mendapat subsidi mengapa rakyat terbanyak tidak boleh menerima subsidi.
7. Sabri menyatakan Swedan negara kayapun mengalami kenaikkan harga minyak. Inikan pula Malaysia. Anwar berhujah pendapatan rakyat di Swedan lebih 10 kali lebih banyak daripada rakyat Malaysia. Oleh itu perbandingan ini tidak setara.

Antara hujah-hujah yang tidak dijawab secara berkesan adalah :

1. Tuduhan Sabri Cik kepada persetujuan Anwar terhadap pendekatan Bank Dunia bagi menyelesaikan kemelut ekonomi negara tahun 1997. Bank Dunia mencadangkan kenaikkan cukai, pengurangan subsidi dan pinjaman daripada Bank Dunia. Ini boleh menjerut negara dalam ekonomi yang lebih parah sepertimana Indonesia. Anwar hanya menjawab tuduhan itu hanyalah fitnah tanpa mengemukakan hujah menolak persetujuan Anwar terhadap bank dunia pada masa tersebut.
2. Soalan daripada Zulkifli Sulong kepada Sabri Cik mengenai kegagalan kerajaan untuk memanfaat lebihan RM4 Bilion semasa kenaikkan minyak 30 sen pada 28 Fenruari 2006. Perdana Menteri dan Timbalannya telah berjanji untuk menggunakan wang tersebut bagi membangunkan kemudahan pengangkutan negara. Hujah ini tidak dijawab secara berkesan oleh Sabri. Kebimbangan Zulkifli Sulong terhadap lebihan setelah kenaikkan terbaharu juga tidak dijawab oleh Sabri Cik.
3. Pendekatan menghapuskan kebocoran dan ketirisan dalam pemberian kontrak kerajaan telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan. Dengan itu kerajaan tidak mampu menampung kenaikkan harga minyak dunia. Hujah ini tidak djawab oleh Sabri malah Sabri memberi contoh negara Swedan yang mempunyai indek rasuah yang rendah juga mengalami kenaikkan harga minyak yang tinggi.
4. Dr. Nordin Kardi bertanya mengapa Anwar tidak berjanji menurunkan implasi hanya menurunkan minyak sahaja. Sabri pula bertanya oleh kerana Anwar berjanji sebelum kenaikkan harga minyak terbaharu atau berjanji sebelum pilihanraya maka sepatutnya Anwar berjanji menurunkan ke nilai lebih rendah daripada 0.50 iaitu RM1.28 sen bagi petrol. Anwar hanya menjawab penurunan 0.50 adalah angka yang cukup bertanggungjawab sahaja.


Walaupun masa terlalu singkat tetapi Sabri masih menggunakan masa tersebut untuk menyerang peribadi Anwar. Seharusnya masa yang terhad itu perlu digunakan secara maksimum menerangkan dasar-dasar kerajaan. Walaubagaimanapun perdebatan ini sangat baik untuk membina minda kelas pertama rakyat Malaysia. Saya impikan perdebatan seterusnya daripada pemimpin-pemimpin berikut :

a. Debat Pak Lah – Anwar
b. Debat Pak Lah – Hj. Hadi
c. Debat Pak Lah – Lim Kit Siang

Dato Sabri Cik cukup berbangga dengan perdebatan beliau dengan Anwar. Sebagai menteri penerangan mampukah Dato’Sabri Cik merelisasikan perdebatan di atas ?

Tuesday, July 15, 2008

Dewan Pemuda PAS Pusat Menyangkal Kenyataan Laporan Malaysiakini Bertajuk ”Kritikkan Hadi pada Anwar, DAP”

Dewan Pemuda PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap temubual Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang kononnya mengkritik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan DAP. Laporan ini telah disiarkan dalam Malaysiakini pada 14hb Julai 2008 dibawah tajuk ”Kritikk an Hadi pada Anwar, DAP. Dalam kenyataan ini telah dinyatakan seolah-olah sumber-sumber Pemuda PAS telah membuat kenyataan seperti berikut :

” Pemuda PAS menyifatkan pandangan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara minggu lepas sebagai isyarat kritikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua lagi parti dalam Pakatan Rakyat "agar tidak menimbulkan masalah" kepada PAS ”

Dewan Pemuda PAS Pusat mempertegaskan bahawa kami tidak pernah membuat kenyataan berhubung dengan kenyataan di atas. Walaubagaimanapun Dewan Pemuda PAS Pusat berdiri teguh dibelakang Presiden dan menyokong kenyataan beliau dalam temubual dengan media pada minggu lepas.

Seterusnya laporan ini juga telah memetik daripada sumber pemuda seperti berikut :

"Kita tidak mahu kelompok konservatif (sebahagiannya dalam Dewan Ulama) mendapat balik sokongan ahli-ahli PAS," tambah sumber itu lagi.”


Laporan ini seolah-olah wujudnya kelompok-kelompok tertentu dalam PAS yang saling bersengketa antara satu sama lain. Dewan Pemuda PAS Pusat telah menafikan sekeras-kerasnya wujudnya pertentangan diantara Dewan Pemuda PAS dengan mana-mana individu atau kelompok dalam PAS.

Sebenarkan label kelompok yang kononnya wujud dalam PAS adalah tanggapan media sahaja. PAS sebagai sebuah parti yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunah tidak langsung terjebak dalam pertentangan kelompok. Apa yang wujud dalam PAS adalah perbezaan pendapat dalam mematangkan sesuatu keputusan sahaja. Ini perkara biasa dalam mana-mana organisasi dalam dunia.




Yang Benar,



Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat

Warga Setinggan Kempas Berdemo Mohon Tanah Kerajaan




Pada jumaat 20hb. Jun 2008 tepat jam 12 tengahari Jawatankuasa Bertindak Penduduk Setinggan Kempas yang diketuai Pengerusinya Sdr. Ramli Hj Ibrahim telah berjaya menyerahkan memorandum setinggan Kempas bersama 1,200 tandatangan penduduk. Dalam memorandum ini mereka menuntut dikurniakan tanah oleh pihak kerajaan dalam kawasan Kempas seperti pengurniaan kepada penduduk setinggan Kg. Sri Serdang Baru(Perling), Kg Sri Jaya Baru(Perling) dan Kg. Pasir(Tampoi). Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman telah menerima memorandum tersebut selepas sidang Dewan Undangan Negeri dan berjanji akan memperhalusi isi kandungan memorandum tersebut. Beliau menolak cadangan untuk mengadakan pertemuan ringkas pada hari tersebut atas alasan kesuntukkan masa. Beliau juga menolak apabila diajak bergambar bersama delegasi. ”Dah terima dah, tak perlu ambil gambar lagi” kata Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor.

Turut mengiringi penyerahan memorandum adalah lebih 300 orang warga setinggan Kempas bersama dengan anak dan isteri masing-masing. Dua buah bas dan berpuluh kenderaan telah digunakan untuk membawa warga setinggan daripada Kempas ke Kota Raya, Johor Baharu. Mereka telah berkumpul secara aman bermula di Kota Raya sejak jam 10 pagi lagi. Mereka bergerak menuju ke Bukit Timbalan mulai jam 10.30 pagi. Sambil berhimpun mereka melaungkan slogan ” Kami Setinggan Kempas Mahu Tanah”, ”Dengarlah rintihan kami”, ”Kami Mahu Tanah” dan ”hidup setinggan”. Lebih kurang 50 anggota polis berkawal menjaga keselamatan mereka. 30 orang anggota Unit Amal Negeri Johor yang siap dengan pakaian merah kebanggaannya juga turut sama menjaga keselamatan mereka.

Sdr. Ramli Bin Hj. Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Setinggan Kempas telah mengumumkan kejayaan penghantaran memorandum kepada Y.A.B Menteri Besar Johor. Penasihat Jawatankuasa Sdr. Suhaizan Bin Kaiat telah menyatakan bahawa Jawatankuasa Bertindak telah memohon mengadakan dialog dengan Menteri Besar Johor. ”Jika MB tidak respon terhadap pemohonan setinggan maka kita akan berkumpul di sini dengan kehadiran lebih ramai lagi” ucapan Sdr. Suhaizan Kaiat dengan sorakkan sokongan daripada warga Setinggan Kempas. Kira-kira jam 12.30 tengahari semua warga setinggan bersurai dengan aman.

Pada hari Rabu 25hb Jun 2008 dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri Johor Y.B Datuk Osman Sapian, Adun Kempas telah mengutuk tindakkan warga setinggan Kempas yang berhimpun di depan Bukit Timbalan. Beliau telah melabelkan warga setinggan sebagai ”buta mata” dan ”buta hati”. Suatu kenyataan yang cukup menguris hati semua warga setinggan.
Akhbar Berita Harian pada 27 Jun 2008 telah melaporkan seperti berikut :

”Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian menyifatkan penduduk Kempas yang mengadakan piket pada Jumaat lalu, menuntut kerajaan negeri memberikan tanah serta enggan berpindah ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, sebagai ’buta hati’ dan ’buta mata’”

Pada mulanya sebahagian warga Setinggan Kempas merasa berbelah bahagi terhadap Datuk Osman Sapian yang mendiamkan diri sejak penubuhan Jawatankuasa Bertindak Setinggan Kempas. Mereka beranggapan beliau akan membantu warga setinggan memohon tanah dalam diam kerana sebelum ini beliau telah berjanji untuk membantu permohonan warga setinggan di Kg. Sri Kempas 1 dan Kg. Sri Kempas 2. Malangnya kenyataan yang menjadi kemarahan warga setinggan ini telah membuktikan wajah sebenar ADUN Kempas ini yang telah tiga penggal memimpin Kempas.

Masalah Rumah Pangsa Tmn Cempaka, Tampoi, Johor


Jawatankuasa Bertindak Rumah Pangsa Taman Cempaka telah ditubuhkan pada ahad 8hb Jun 2008 oleh Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas. Tujuan penubuhannya adalah untuk membela kepentingan penduduk yang tinggal di rumah pangsa khususnya di Taman Cempaka. Rumah pangsa ini telah dibina lebih kurang 23 tahun yang lalu. Ia mempunyai 27 Blok dengan kapasiti lebihkurang 1800 unit rumah. Setiap blok diketuai oleh seorang Ketua Blok dan ahli jawatankuasanya yang bertanggungjawab terhadap segala permasalahan penduduk. Jawatankuasa ini dikenali sebagai Management Committee (MC) atau Perbadanan Pengurusan. Penduduk telah diberi hak milik serata oleh pihak kerajaan. Mengikut Akta Hakmilik Strata 1985 Seksyen 39 segala hal pengurusan diberi tanggungjawab kepada MC. Kebanyakkan penduduk di rumah pangsa Taman Cempaka adalah mereka yang berpendapatan rendah dan kenaikkan harga minyak telah menyebabkan mereka lebih tertekan untuk menyara keluarga. Akhirnya mereka tidak mampu memperuntukkan wang yang lebih untuk operasi penguruan rumah pangsa mereka.

Masalah-masalah khusus yang berkaitan dengan rumah pangsa Taman Cempaka adalah seperti berikut :

1. Penduduk rumah pangsa Taman Cempaka hanya mampu membayar lebihkurang RM15 sebulan untuk yuran perkhidmatan sedangkan kadar yang sesuai untuk pengurusan sesebuah blok seperti rumah pangsa ini adalah RM65 sebulan. Ini bermakna kami kekurangan RM50 sebulan bagi sebuah unit rumah. Kesannya adalah MC tidak mampu menguruskan blok dengan sempurna dan terpaksa berdepan dengan masalah-masalah berikut :
a. Ketidakmampuan untuk mengecat blok yang menyebabkan persekitaran kami kurang ceria dan tidak menarik.
b. Ketidakmampuan untuk menampal kebocoran dinding blok menyebabkan blok kami sentiasa bocor ketika hujan.
c. Ketidakmampuan untuk menyelengara sistem paip dan tangki air menyebabkan blok kami sering menghadapi masalah kebocoran paip.
d. Ketidakmampuan untuk menyelengara atap blok menyebabkan kami berhadapan dengan kebocoran setiapkali hujan. Kebocoran serius adalah ditingkat paling atas.

2. Pihak MC sering berhadapan dengan masalah penduduk yang bersatus penyewa dan pekerja asing yang tinggal diblok kami. Biasanya mereka enggan bekerjasama membayar yuran perkhidmatan dan melibatkan diri dalam aktiviti blok. Mereka tidak menunjukkan rasa tanggungjawab terhadap bangunan yang menjadi tempat tinggal mereka. Setiap tahun kami menghadapi masalah untuk membayar cukai tanah sebab mereka tidak mahu membayar kepada pihak MC. Kami tidak berkemampuan mengambil tindakkan undang-undang terhadap mereka kerana faktor kewangan.

3. Kawasan blok kami kekurangan tempat meletakkan kenderaan. Kami terpaksa berebut-rebut setiap kali kami ingin meletakkan kenderaan. Kami gagal menghalang kereta luar diletakkan dalam kawasan kami. Kami tidak boleh menggunakan sistem ’sticker’ pada kenderaan kerana kawasan kami tidak berpagar.

4. Kawasan rumah pangsa Taman Cempaka kekurangan tempat beridah seperti padang permainan, taman bunga, pusat rekerasi dan pusat sukan. Oleh sebab itu anak-anak muda mudah terdedah kepada anasir negatif. Anak kecil terpaksa bemain di ruang yang sempit dan kurang selesa. Bangunan pentadbiran dalam kawasan blok sangat daif kerana kami kekurangan sumber untuk menyelengaranya.

5. Kemudahan infrastruktur di sekeliling rumah pangsa juga sangat mendukacitakan Sebahagian longkang-longkang yang telah dibina pecah. Pokok-pokok sekitar taman kurang diurus. Jalan-jalan dalam kawasan rumah pangsa banyak yang berlubang.

Berdasarkan kepada masalah-masalah yang diutarakan diatas maka Pihak Jawatankuasa Bertindak Rumah Pangsa Taman Cempaka mencadangkan beberapa perkara untuk tindakkan pihak kerajaan seperti berikut :

1. Memohon pihak Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sumber kewangan tahunan kepada rumah pangsa.
2. Diwujudkan Jawatankuasa Rumah Pangsa diperingkat Kerajaan Tempatan untuk menyelaras hal ehwal berkaitan rumah pangsa seluruh negeri Johor.
3. Memohon pihak Kerajaan Tempatan menyediakan khidmat guaman percuma kepada MC untuk mengambil tindakkan undang-undang kepada penduduk yang engkar.
4. Mempertingkatkan mutu kemudahan infrastruktur di persekitaran rumah-rumah pangsa.
5. Memperuntukkan pagar setiap blok untuk kemudahan keselamatan dan penguatkuasaan.

Monday, July 14, 2008

Selamat Datang Ke Blog Suhaizan Kayat

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera

Kepada semua rakyat Malaysia diucapkan Selamat Melayari Blog saya. Semoga kita dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dalam alam cyber ini.

Terima Kasih