Debat pada jam 9.00 – 10.00 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka dan disiarkan secara langsung oleh TV1 & TV9 di antara Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dan Menteri Penerangan Dato’ Sabri Cik merupakan suatu perdebatan bersejarah, matang dan bermanfaat kepada rakyat..Tajuk perdebatan adalah “Hari Ini Perintah Negara. Esok turun minyak”. Kedua-dua pendebat dapat mengutara dan menjawab hujah dalam keadaan yang seimbang. Sewajarnya perdebatan ini diperkembangkan keseluruh negara dalam menangani pelbagai isu-isu rakyat. Rakyat yang bakal memilih pemimpin wajar diberi peluang untuk menilai pemimpin yang diberi peluang yang sama melalui debat seumpama ini.
Antara hujah-hujah menarik daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak adalah :
1. Minyak dapat diturunkan jika lebihan tenaga yang dijana oleh Independent Power Producer (IPP) dapat dikurangkan.
2. Minyak dapat diturunkan jika masalah kebocoran/ketirisan dapat dibendung.
3. Minyak dapat diturunkan jika ekonomi diuruskan dengan cekap.
4. Minyak dapat diturunkan jika salahguna kuasa dan penyelewengan dana rakyat dapat dibendung.
5. Negara seharusnya lebih mementingkan rakyat miskin sebelum menaikkan harga minyak mendadak.
6. Minyak dunia naik maka keuntungan Petronas akan naik. Lebihan keuntungan perlu digunakan untuk menyerap kenaikkan harga minyak dunia.
Antara hujah Dato Sabri Cik mempertahankan kenaikkan haga minyak adalah :
1. Jika keuntungan pertonas hanya untuk menampung kenaikkan harga minyak dunia maka banyak subsidi akan diterima oleh orang yang tidak memerlukan. Pendekatan memberi terus kepada golongan sasaran adalah lebih berkesan dibandingkan dengan keadah menurunkan harga minyak.
2. Pengeluaran minyak negara tidak boleh disamakan dengan negara-negara luar seperti Saudi dan Iran kerana rizeb minyak negara terlalu kecil dibandingkan dengan negara luar. Oleh itu negara perlu lebih berhati-hati untuk menurunkan harga minyak.
3. Venezula dan Iran mempunyai harga minyak yang rendah tetapi implasi pula tinggi. Jika negara meniru cara Venezula dan Iran maka negara akan mengalami nasib yang sama dengan negara tersebut.
Antara hujah-hujah dijawab dengan menarik bagi kedua-dua pihak adalah
1. Sabri menuduh IPP ditubuhkan semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan. Anwarlah yang menjadi punca kemelut IPP. Anwar menjawab Dato’ Ani Arof, Pengerusi TNB dibawah Anwar sebagai Menteri Kewangan tersingkir dpd TNB kerana tidak bersetuju dengan harga yang dikehendakki oleh Tun Dr Mahathir.
2. Anwar membetulkan fakta yang ditentang bukan Petronas tetapi Kerajaan BN.
3. Sabri menyatakan minyak akan habis 2015. Anwar menjawab minyak habis 2015 adalah jangkaan masakini Petronas sahaja. Itupun jika tiada penemuan baru. Jika ada penemuan baru maka rizeb minyak akan bertambah. 30 tahun lalu kerajaan telah menyatakan minyak akan habis tahun 2005. Tapi Alhamdulillah perolehan minyak berkembang sehingga 2015. Maknanya fakta rizeb minyak akan habis 2015 tidak tetap.
4. Sabri menyatakan jika minyak turun negara akan mengalami implasi. Anwar menjawab minyak naik mendadaklah yang menyebabkan implasi sehingga 8%.
5. Dr Nordin Kardi menyatakan Anwar telah tersalah permis apabila melibatkan IPP dalam kenaikkan harga minyak. Anwar menjawab IPP ada kaitan dengan minyak kerana IPP menggunakan gas. Bagaimana IPP boleh untung tetapi Petronas dan TNB boleh rugi.
6. Sabri menyatakan budaya subsidi tidak baik. Anwar menjawab subsidi kepada kroni, kepada orang kaya ditukar nama sebagai bailout dan insentif. Kepada rakyat miskin dianggap subsidi. Pada hal kedua-duanya sama. Jika orang kaya berhak untuk mendapat subsidi mengapa rakyat terbanyak tidak boleh menerima subsidi.
7. Sabri menyatakan Swedan negara kayapun mengalami kenaikkan harga minyak. Inikan pula Malaysia. Anwar berhujah pendapatan rakyat di Swedan lebih 10 kali lebih banyak daripada rakyat Malaysia. Oleh itu perbandingan ini tidak setara.
Antara hujah-hujah yang tidak dijawab secara berkesan adalah :
1. Tuduhan Sabri Cik kepada persetujuan Anwar terhadap pendekatan Bank Dunia bagi menyelesaikan kemelut ekonomi negara tahun 1997. Bank Dunia mencadangkan kenaikkan cukai, pengurangan subsidi dan pinjaman daripada Bank Dunia. Ini boleh menjerut negara dalam ekonomi yang lebih parah sepertimana Indonesia. Anwar hanya menjawab tuduhan itu hanyalah fitnah tanpa mengemukakan hujah menolak persetujuan Anwar terhadap bank dunia pada masa tersebut.
2. Soalan daripada Zulkifli Sulong kepada Sabri Cik mengenai kegagalan kerajaan untuk memanfaat lebihan RM4 Bilion semasa kenaikkan minyak 30 sen pada 28 Fenruari 2006. Perdana Menteri dan Timbalannya telah berjanji untuk menggunakan wang tersebut bagi membangunkan kemudahan pengangkutan negara. Hujah ini tidak dijawab secara berkesan oleh Sabri. Kebimbangan Zulkifli Sulong terhadap lebihan setelah kenaikkan terbaharu juga tidak dijawab oleh Sabri Cik.
3. Pendekatan menghapuskan kebocoran dan ketirisan dalam pemberian kontrak kerajaan telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan. Dengan itu kerajaan tidak mampu menampung kenaikkan harga minyak dunia. Hujah ini tidak djawab oleh Sabri malah Sabri memberi contoh negara Swedan yang mempunyai indek rasuah yang rendah juga mengalami kenaikkan harga minyak yang tinggi.
4. Dr. Nordin Kardi bertanya mengapa Anwar tidak berjanji menurunkan implasi hanya menurunkan minyak sahaja. Sabri pula bertanya oleh kerana Anwar berjanji sebelum kenaikkan harga minyak terbaharu atau berjanji sebelum pilihanraya maka sepatutnya Anwar berjanji menurunkan ke nilai lebih rendah daripada 0.50 iaitu RM1.28 sen bagi petrol. Anwar hanya menjawab penurunan 0.50 adalah angka yang cukup bertanggungjawab sahaja.
Walaupun masa terlalu singkat tetapi Sabri masih menggunakan masa tersebut untuk menyerang peribadi Anwar. Seharusnya masa yang terhad itu perlu digunakan secara maksimum menerangkan dasar-dasar kerajaan. Walaubagaimanapun perdebatan ini sangat baik untuk membina minda kelas pertama rakyat Malaysia. Saya impikan perdebatan seterusnya daripada pemimpin-pemimpin berikut :
a. Debat Pak Lah – Anwar
b. Debat Pak Lah – Hj. Hadi
c. Debat Pak Lah – Lim Kit Siang
Dato Sabri Cik cukup berbangga dengan perdebatan beliau dengan Anwar. Sebagai menteri penerangan mampukah Dato’Sabri Cik merelisasikan perdebatan di atas ?
Jom Ke Blog Baru Saya!
13 years ago
0 comments:
Post a Comment