Sunday, July 20, 2008

Antara Muzakarah dan Majlis Perundingan Mana Lebih Berkesan ?

Polimik isu Muzakarah semakin diperkatakan sekarang. Ia bermula apabila kenyataan Presiden PAS yang menyatakan PAS boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja untuk menyampaikan mesej Islam termasuk UMNO. Kenyataan ini disambut oleh Presiden UMNO untuk bermuzakarah dengan PAS. Isu muzakarah ini telah berlarutan sejak tahun 1985 lagi apabila Tun Dr Mahathir ketika itu menjadi Perdana Menteri mencabar berdebat dengan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang ketika itu menjadi Naib Presiden PAS. Walaubagaimana pun situasi masa kini sedikit berbeza kerana waktu ini UMNO dalam keadaan tertekan dengan isu dalaman dan kekalahan teruk Barisan Nasional dalam pilihanraya 2008. Sementara PAS pula dalam keadaan yang lebih baik dibandingkan dengan tahun 1985. Muzakarah kali ini lebih terarah kepada persoalan Islam, Melayu dan pendidikan.

Isu muzakarah sering dikaitkan dengan keikhlasan. UMNO kuatir PAS tidak ikhlas sebaliknya PAS juga beranggapan sama seperti UMNO. Kekuatiran ini sememangnya ada asas disebabkan sejarah-sejarah lampau. UMNO kuatir muzakarah ini akan dijadikan kesempatan oleh PAS untuk menjadikan isu politk yang akan dimainkan keseluruh negara bagi melambangkan nazaknya UMNO berhadapan dengan masalah yang sedang dihadapi. UMNO yang merupakan parti melayu terbesar diseluruh dunia terpaksa tunduk kepada sebuah parti yang dianggap parti kampung suatu masa dahulu. Tentulah imej UMNO akan tercalar dan masa depan UMNO untuk memerintah negara semakin malap sebaliknya PAS akan dilihat sebagai juara.

Begitu juga dengan PAS yang kuatir dengan muzakarah ini. UMNO boleh menjadikan muzakarah ini sebagai senjata untuk membunuh Pakatan Rakyat(PR) yang sedang menunggu masa untuk mengambil alih pemerintahan negara. Tentulah PR merasa kurang senang dengan muzakarah ini kerana melibatkan musuh politik utamanya iaitu UMNO. Ahli-ahli PAS juga gelisah kerana bermuzakarah dengan UMNO seumpama melepaskan anjing tersepit. UMNO dalam keadaan tersepit mengajak PAS bermuzakarah. Bila UMNO telah menjadi kuat akibat bermuzakarah, maka PAS pula akan digigit.Perumpaan anjing tersepit ini bukan rekaan tetapi realiti yang dihadapi oleh PAS semasa dalam Perikatan pertengahan tahun 1970-an dahulu.

Hakikatnya kedua-dua pihak UMNO dan PAS tidak pasti apakah indikator untuk mengukur keikhlasan lawan masing-masing. Masalahnya, apa yang akan terjadi dengan nasib orang Melayu, Islam dan pendidikan mereka. Semakin hari semakin terhakis kepentingan orang Melayu dan Islam. Dalam mencari penyelesaian ini mengapa tidak dicadangkan suatu Majlis Perundingan atau apa sahaja nama yang sesuai yang bertujuan menghimpunkan semua pertubuhan-pertubuhan Melayu-Islam dinegara ini. Majlis Perundingan ini di anggotai oleh semua wakil Melayu-Islam merentasi semua parti politik, NGOs dan segala pertubuhan yang boleh menuju matlamat yang sama. Ia boleh dianggotai oleh UMNO, PAS, Keadilan(Melayu-Islam), DAP(Melayu-Islam), JIM, ABIM, GAPENA dan lain-lain lagi. Keanggotaannya adalah tetap dan tidak terlalu ramai. Perbincangannya dibuat dengan penuh keikhlasan dan profesional. Majlis Perundingan ini perlu diperkasa dan tidak menuju kearah sesuatu aliran pemikiran sahaja.Resolusi akan dikeluarkan setelah kataputus telah diperolehi dalam perbincangan tersebut. Samaada BN atau PR yang memerintah dinegara ini tidak menjadi masalah kerana agenda Melayu-Islam tetap dipertahankan oleh kerajaan yang memerintah. Jika BN atau PR mengenepikan pandangan Majlis Perundingan maka tunggulah pilihanraya seterusnya pasti mereka akan kecundang. Walaubagaimanapun idea Majlis Perundingan ini tidak akan berjaya jika semua pihak tidak ikhlas memperjuangkan kepentingan Islam, Melayu dan pendidikannya.

0 comments: