Wednesday, January 26, 2011

Minta Penjelasan Daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO


Tanah En. Mansor Bin Mohamad HS(M) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Daerah Segamat telah di lelong pada 1/12/2003. Beliau mempunyai tunggakan bayaran hutang dengan pihak bank sekitar RM20,000. Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat En. Mohd Azahar Bin Ibrahim yang juga calon Barisan Nasional (BN) pilihanraya kecil Tenang telah gagal menyerahkan notis pendengaran kes lelong ini kepada beliau. Secara rasminya En. Mansor tidak dimaklumkan tanahnya akan dilelong. Pada 19/9/2003 perintah jualan hartanah telah di keluarkan.

Menurut En. Mansor, sehari sebelum lelongan beliau telah membuat bayaran kepada pihak bank sebanyak RM10,000 bagi bayaran tunggakan bayaran hutang. Beliau merayu kepada En Mohd Azahar agar tanahnya tidak di lelong. Pada hari tanahnya di lelong beliau membawa tunai sebanyak RM12,000 untuk menyelesaikan tunggakan hutangnya. Semua rayuan En Mansor tidak di layan.

Tanah seluas 8 ekar telah dilelong dengan harga RM70,000 sedangkan nilai tanah tersebut pada tahun 1996 bernilai RM116,000. Nilai semasa tanah tersebut dijangka RM120,000. Ini bermakna tanah En Mansor telah dijual dengan harga dibawah harga pasaran. Hanya seorang sahaja pembina yang hadir pada masa lelongan tersebut. Akhirnya tanah tersebut telah di beli oleh pembida tersebut.

En Mansor telah membuat saman pemula No 24(L) -674-2004 berkaitan tanah tersebut ke Mahkamah Tinggi Muar. Beliau telah dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa tiada sebarang notis pendengaran kes lelongan hartanah diberikan kepada beliau. Pada 29/1/2008 Yang Arif Hakim Dato’ Asmadi Bin Haji Asnawi, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar telah memutuskan membenarkan tuntutan En Mansor ke atas Pentadbir Tanah Daerah Segamat dengan kos akibat dari kecuaian pegawainya En. Mohd Azahar mengendalikan kes tersebut. Tanah tersebut telah dikembalikan kepadanya. Akhirnya En Mohd Azahar telah dipindahkan ke Pejabat Daerah Kecil Renggit.

Saya mohon penjelasan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO mengenai perkara-perkara di bawah :

  • 1.. Mengapa calon BN bagi pilihanraya kecil Tenang En. Mohd Azahar Bin Ibrahim sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah gagal memberi notis pendengaran kes lelongan tanah En. Mansor?
  • 2.. Mengapa nilai tanah En. Mansor di lelong dengan harga RM70,000 dibawah harga pasaran?
  • 3.. Mengapa rayuan En Mansor untuk mengelakkan lelongan tanah dengan membuat bayaran RM10,000 kepada bank tidak di layan oleh En Mohd Azahar?
  • 4. Mengapa hanya seorang pembina tanah sahaja yang hadir pada masa lelongan tersebut berlaku?
  • 5. Apakah benar En Mohd Azahar diturunkan pangkat daripada Pejabat Daerah Segamat kepada Pejabat Daerah Kecil Renggit?
  • 6. Apakah terdapat perundingan jahat antara En. Mohd Azahar, jurulelong, jurunilai dan pembina semasa mahu melelong tanah En Mansor?
  • 7. Berapa kerugian yang ditanggung oleh Pejabat Tanah Daerah Segamat akibat kecuaian pegawainya menguruskan urusan tanah En Mansor?
  • 8. Mengapa UMNO sanggup menghampakan ahli-ahlinya dengan meletakkan calon yang telah terbukti bersalah di mahkamah dalam pilihanraya kecil Tenang?

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat


Monday, January 24, 2011

Isu bersalam Lelaki Dan Wanita : Terima Kasih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek

Isu bersalam antara lelaki dan wanita dalam ajaran agama Islam menjadi isu dalam pilihanraya kecil Dun Tenang. Isu ini telah dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Isu ini adalah terlalu kecil dibandingkan dengan isu rasuah, salahguna kuasa dan pembaziran duit rakyat. Justru isu ini tidak menarik perhatian ramai sebelum ini. Kesannya adalah sangat sukar untuk menjelaskan isu ini kepada masyarakat bukan Islam kerana keterbatasan ruang dan masa. Dalam ajaran Islam lelaki tidak boleh bersentuhan dengan wanita yang bukan muhrim walaupun bersalam kecuali menggunakan alas seperti kain.

Bukan muhrim adalah mereka yang bukan saudara mara terdekat. Mereka yang boleh berkahwin di anggap bukan muhrim. Contoh muhrim adalah anak perempuan dengan bapa, abang dengan kakak, atuk dengan cucu perempuan dan lain-lain lagi. Mereka boleh bersentuhan secara yang munasabah. Sementara bukan mukrim adalah mereka yang tidak ada hubungan keluarga terdekat. Contohnya Cikgu Mala dengan Tok Ai di Tenang, Cikgu Mala dengan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Dato’ Sri Mohd Najib dengan Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil atau Tan Sri Mahyuddin Yassin dengan Datin Sri Romah Mansur.

Islam membatasi perhubungan ini adalah bertujuan untuk menghormati mereka dan untuk mengelakkan fitnah. Tidak benar pandangan yang mengatakan bahawa Islam melarang bersalam kerana tangan orang bukan Islam kotor. Walaupun tidak dibenarkan bersentuhan antara lelaki dan wanita bukan muhrim tetapi mereka tidak dilarang mengadakan perbincangan dan dialog secara berkumpulan. Bagi perhubungan antara sesama wanita tiada larangan bersentuhan langsung. Bagi masyarakat bukan Islam yang memahami ajaran Islam sebenar, perkara ini tiada masalah. Tetapi bagi mereka yang belum lagi berkesempatan memahaminya menyebabkan kami rasa bersalah. Takut mereka berkecil hati. Bayangkan bagaimana perasaan seseorang rakan bukan Islam jika mereka menghulurkan tangan ditengah khayak ramai tiba-tiba kami menolak pelawaan mereka. Itulah delima yang kami hadapi selama ini.

Dalam pilihanraya kecil Tenang Presiden MCA telah membangkitkan isu kecil ini menjadi besar. Jawapan balas daripada PAS dan PR telah menyebabkan masyarakat bukan islam dapat memahaminya dengan baik. Kesannya adalah masyarakat bukan Islam semakin memahami ajaran agama Islam sebenar. Ini terbukti apabila Cikgu Mala dalam kempennya tidak menghadapi masalah dengan masyarakat lelaki bukan Islam semasa beliau berkempen di pasar Labis. Jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak membangkitkan isu ini saya yakin ramai masyarakat bukan islam tidak berpeluang memahami isu ini terutamanya di Labis. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana membangkitkan isu ini.

Walaubagaimana pun terdapat satu persoalan yang perlu dijawab oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Mengapakah beliau membangkitkan isu ini? Apakah kerana keuntungan politik atau kerana ketidak fahamannya terhadap ajaran Islam. Jika kerana keuntungan politik maka Datuk Seri Dr Chua Soi Lek adalah seorang pemimpin yang sanggup merendahkan agama Islam untuk kepentingan politik. Pemimpin seumpama ini boleh membawa malapetaka kepada kepada negara. Pemimpin seumpama ini wajib di tolak oleh semua masyarakat dalam negara. Sebaliknya jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melakukannya kerana ketidakfahamannya maka perlu di persalahkan kepada Dato Abdul Ghani Othman dan Tan Sri Mahyuddin Yassin. Mereka sudah lama berkawan di Johor tetapi tidak menyampaikan larangan-larangan dalam ajaran agama Islam ini. Mungkin mereka sukar memberi kefahaman kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana mereka berdua juga bersalam dengan bukan muhrim. Saya perhatikan YB Lim Kit Siang dan YB Boo Cheng How sudah memahami isu ini dengan baik, mungkin sejak DAP bersama dalam PR.

Jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih kurang memahami isu ini, Pemuda PAS Pusat sanggup memberi khidmat nasihat kepada beliau berkenaan ajaran agama Islam sebenar. Ini bagi membantu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjadi pemimpin yang hebat, boleh diterima oleh semua kelompok masyarakat dalam negara ini.

Suhaizan Kaiat

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat.

Friday, January 21, 2011

Kenyataan Media : Peraturan Kempen Pilihan Raya SPR Pelik

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Omar telah memberi taklimat kepada kakitangan dan wakil parti-parti bertanding di Pejabat Majlis Daerah Labis bagi persiapan menghadapi pilihanraya kecil Tenang. Dalam taklimat ini, SPR tidak membenarkan sebarang lambang parti dan gambar pemimpin parti yang tidak bertanding di pasang semasa tempoh berkempen. Ini memberi maksud bahawa jika PAS sah menjadi wakil Pakatan Rakyat(PR) dalam pilihan raya kecil Tenang selepas penaman calon pada 22hb Januari 2011 ini, maka lambang parti DAP dan PKR serta gambar YB Dato Seri Anwar Ibrahim dan YB Lim Kit Sing tidak dibenarkan dipasang semasa tempoh berkempen tersebut. Yang dibenarkan hanya lambang parti PAS dan gambar pemimpin PAS seperti gambar Tuan Guru Nik Abdul Azizi Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sahaja yang dibenarkan dipasang semasa tempoh berkempen tersebut.

Alasan yang diberikan oleh SPR adalah parti-parti pembangkang PAS, DAP dan PKAR masih tidak lagi mendaftar sebagai parti gabungan seperti Barisan Nasional(BN). Hanya parti yang bertanding sahaja dibenarkan memasang lambang parti dan gambar pemimpin mereka kerana parti tersebut sahaja yang membayar deposit pilihan raya dan deposit kempen pilihan raya. Persoalannya bagaimana pemimpin parti pembangkang seperti YB Dato Seri Anwar Ibrahim da YB Lim Kit Siang boleh berkempen tetapi gambarnya tidak boleh dipasang dan lambang partinya tidak boleh dipasang? Jika SPR mempunyai tafsiran bahawa hanya parti yang membayar deposit pilihan raya dan deposit kempen sahaja yang boleh meletakkan lambangnya maka sepatutnya YB Dato Seri Anwar Ibrahim dan YB Lim Kit Siang tidak dibenarkan berkempen di sana. Kedua-dua pemimpin ini perlu diharamkan berkempen di Tenang.

SPR berpendapat memasang lambang dan gambar pemimpin parti yang tidak bertanding adalah menyalahi Akta Kesalahan Pilihanraya (Akta 5). Perkara 24B(4) Akta Kesalahan Pilihanraya menyatakan bahawa “ Seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh berkempen, mempamerkan, memberikan atau mengedarkan bahan kempen pilihan raya kepada orang ramai di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu bertanding tetapi hanya jika dia –

a). memegang suatu permit untuk berbuat demikian yang dikeluarkan kepadanya oleh Pegawai Pilihanraya Negeri, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Pegawai Pilihanraya Negeri itu; dan

b). telah membayar kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri itu deposit sebanyak lima ribu ringgit dalam hal suatu pemilihan ke Dewan Rakyat dan tiga ribu ringgit dalam hal suatu pemilihan ke Dewan Undangan Negeri.

Perkara 24B(4) tidak meletakkan syarat hanya parti bertanding sahaja boleh meletakkan lambang dan gambar pemimpin mereka. Sepatutnya calon atau wakil calon diberi hak menentukan bahan kempen pilihan mereka. Jika calon atau wakil calon beranggapan bahawa lambang dan gambar pemimpin PAS,DAP, PAR sebagai bahan kempen mereka. SPR sepatutnya menghormatii hak kebebasan ini. Mengapa SPR terlalu sempit cara berfikirnya? SPR seharusnya terbuka dan berjiwa besar melayani pelanggan mereka. Kita bukan mahu melantik pengawas sekolah. Kita mahu melantik ahli dewan undangan Negeri(ADUN). Janganlah mentafsirkan undang-undang yang boleh ditertawakan oleh kanak-kanak sekolah.

SPR membuat tafsiran bahawa lambang dan gambar pemimpin UMNO, MCA dan MIC boleh dipasang dalam pilihanraya kerana mereka sudah bergabung dalam BN sedangkan PAS, DAP dan PKR belum lagi di sahkan oleh ROS sebagai satu parti gabungan PR. Semua telah memaklumi bahawa PAS, DAP dan PKR sedang dalam proses mendaftarkan sebagai parti gabungan PR. Ini memberi maksud bahawa PAS, DAP dan PKR merupakan ahli-ahli gabungan PR yang sedang menanti pihak kerajaan meluluskan sebagai badan gabungan.Oleh itu sudah sewajarnya SPR melayan sama rata antara BN dan PR.

Masalah yang saya bangkitkan ini adalah terlalu kecil dan telah bermula sejak pilihan raya kecil Bagan Pinang lagi. Bantahan-bantahan telah dibuat kepada SPR semasa pilihanraya kecil tersebut. Maka SPR seharusnya lebih pro aktif mengatasi masalah ini. SPR seharusnya memikirkan isu-isu yang lebih besar lagi seperti penghapusan undi pos, penggunaan dakwat hitam, pendaftaran secara automatik, pembersihan daftar pemilih dan pengawalan keadah berkempen media arus perdana. SPR tidak perlulah membuat tafsiran-tafsiran undang-undang yang pelik sehingga rakyat bosan dan beranggapan SPR memihak kepada parti-parti tertentu dalam negara ini.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Thursday, January 20, 2011

Kumpulan Budayawan dan NGO Masyarakat India Berpakat



Pertemuan Muhibah Interlok kali kedua anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat telah diadakan pada 19hb Januari 2011 di PKNS Bangi, Selangor. Siri-siri pertemuan ini telah mempertemukan kumpulan budayawan dan NGO masyarakat India. Kumpulan Budayawan adalah terdiri daripada Senimana Paksi Rakyat Malaysia(PAKSI), Budayawan Bertindak (BB), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa & Pustaka, Ikatan Persuratan Melayu, pensyarah universiti dan individu. Sementara kumpulan NGO masyarakat India adalah terdiri daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS(DHPP), Makkal Sakti, Malaysian Indian Voice(MIC) , Indian Movement, peguam dan individu.

Dalam pertemuan kedua ini setiap kumpulan diminta membentangkan kertas kerja masing-masing. Perbincangan yang hangat adalah berkaitan dengan desakan mengugurkan Novel Interlok daripada menjadi buku Teks untuk tingkatan lima sekolah menengah. Setiap kumpulan mempunyai hujah masing-masing. Setiap kumpulan sangat mengormati antara satu sama lain. Perbincangan ini meletakan kepentingan keharmonian hubungan antara kaum sebagai keutamaan. Akhirnya kami semua bersetuju bahawa:

A. Suatu panel yang terdiri daripada pakar-pakar budayawan dan pakar-pakar dalam kumpulan masyarakat India diperlukan untuk :

1. Menyediakan lampiran ulasan terhadap Novel Interlok. Lampiran ini hendaklah di masukkan kedalam Novel Interlok yang akan digunakan sebagai teks sekolah menengah.

2. Memperlengkapkan glosari yang perlu dalam novel tersebut

3. Membuat rundingan dengan pengarang bagi membuat beberapa pindaan yang munasabah terhadap novel tersebut.

B. Mencadangkan kepada semua pihak agar memperbanyakan dialog silang budaya bagi memberi kefahaman kepada semua rakyat Malaysia. Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.

Pertemuan ini juga sekali lagi mempertegaskan bahawa tindakan membakar Novel Interlok adalah suatu tindakan yang sangat tidak wajar dan boleh membawa ketidak harmonian antara kaum. Suatu pertemuan dengan Menteri Pelajaran akan di adakan dalam waktu terdekat bagi menyerahkan hasil pertemuan ini kepada pihak kerajaan.

Suhaizan Bin Kaiat

Moderator Pertemuan Muhibah Kali Ke-2 Kumpulan Budayawan & NGO Masyarakat India.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.


Monday, January 17, 2011

Sunday, January 16, 2011

Forum Janji 100 Hari Pakatan Rakyat (PR)

Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan suatu forum Janji 100 Hari PR pada hari selasa 18hb Januari 2011 bermula jam 9 malam di Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur. Forum ini bertujuan untuk membahaskan pro dan kontranya cadangan PR selepas 100 hari memerintah. Bagi mendapat pandangan yang seimbang daripada semua pihak Dewan Pemuda PAS, telah dan sedang berusaha untuk menjemput parti-parti komponan Barisan Nasional(BN), NGO dan ahli akademik. Walaubagaimana pun setakat ini belum ada sebarang jawapan daripada mereka. Antara pimpinan parti politik dan NGO yang telah dihubungi samaada melalui surat, email, talipon, sms atau orang perantaraan adalah :

YB Saifuddin Bin Abdullah – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

YB Khairy Jamaluddin – Ketua Pemuda UMNO

YB Nurjazlan Bin Mohammad – Ahli Parlimen Pulai

Dr Zubir Bin Harun – Naib Presiden Perkasa

Senator Datuk Akbar Ali - Bekas timbalan ketua pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia.

En Mohd Yusof Bin Abd Rahman – Bendahari Agong FOMCA

Senator Datuk Akhbar Ali - Bekas Tim Ketua Pengarah Jab Perangkaan Malaysia

Wakil Parti Gerakan

Setakat ini YB Saifuddin Bin Abdullah dan Wakil Parti Gerakkan sahaja yang telah memaklumkan keuzurannya. Dewan Pemuda PAS Pusat cukup optimis bahawa mereka akan membuat pengesahan kehadiran dalam waktu terdekat ini khususnya YB Khairy Jamaluddin. Insya Allah. Kehadiran mereka atau wakilnya sangat penting bagi membangunkan minda rakyat setara dengan negara-negara maju yang menjadikan pidato, debat dan forum sebagai medan menguji kekuatan, kesungguhan dan kemampuan memerintah negara pada masa hadapan.

Setakat ini ahli panel forum adalah terdiri daripada YB Dr Dzulkifli Bin Ahmad Wakil PAS, YB Tony Pua Wakil DAP dan Sdr Rafizi Ramli Wakil PKR. Modeator forum adalah Sdr. Mazli Bin Noor seorang ahli perniagaan. Semua pihak dijemput hadir .

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat

0197285174


Friday, January 14, 2011

Petemuan Muhibah Interlok Berjaya


Pemuda PAS Pusat telah berjaya mempertemukan kumpulan budayawan dengan NGO masyarakat India di PKNS Bangi pada khamis 13hb Januari 2011 mulai jam 2.30 petang sehingga 5.00 petang. Pertemuan bersejarah ini merupakan kali pertamakan di adakan bagi membincangkan isu Novel Interlok yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Kumpulan Budayawan adalah terdiri daripada Senimana Paksi Rakyat Malaysia(PAKSI), Budayawan Bertindak (BB), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa & Pustaka, pensyarah universiti dan individu. Sementara kumpulan NGO masyarakat India adalah terdiri daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS(DHPP), Makkal Sakti, Malaysian Indian Voice(MIC) , Indian Movement, peguam dan individu. Perbincangan dalam pertemuan ini berjalan dengan lancar . Setiap wakil mengemukakan pandangan dengan penuh kematangan. Mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun membincangkan isu yang sensitif.

Keputusan bersama yang telah di perolehi adalah :

  • · 1. Menghormati karya seni Interlok tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussin yang mengandungi unsur-unsur sejarah dan imiginasi.
  • · 2. Kuatir dengan perangkap politik disebalik polemik Interlok. Semua pihak harus berhati-hati.
  • · 3. Membantah pembakaran Novel Interlok dan bersetuju menggunakan keadah dialog untuk menyelesaikan polemik.
  • · 4. Mengadakan Pertemuan Muhibah Kali Ke-2 pada hari Rabu 19hb Januari 2011 jam 2.30 petang bagi membincangkan wajar atau tidak wajar Novel Interlok menjadi buku teks tingkatan lima sekolah menengah.

Dalam Pertemuan Muhibah Kali Ke-2 setiap kumpulan perlu menyediakan asas yang kukuh kewajaran dan ketidakwajaran Novel Interlok menjadi buku teks sekolah. Perkara ini perlu diteliti dengan penuh hikmah kerana ia melibatkan maruah kedua-dua pihak. Bagi sebahagian masyarakat India perkataan “paria” pada muka surat 211 dan isu kasta muka surat 219 boleh menyebabkan suasana tidak harmoni dikalangan para pelajar sekolah, memberi pandangan negatif terhadap masyarakat india dan menjatuhkan maruah mereka. Sedangkan di pihak kumpulan budayawan pula berpendapat bahawa menarik balik Novel Interlok daripada menjadi buku teks sekolah merupakan penghinaan terhadap sasterawan negara Abdullah Hussain, menghina karya seni dan menjatuhkan maruah budayawan. Bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik kepada masalah ini maka kedua-dua kumpulan dikehendakki membentangkan kertas kerja masing-masing.

Antara perkara-perkara yang telah dibincangkan semalam dan akan dibawa dalam Pertemuan Muhibah kali ke-2 adalah seperti di bawah.

Cadangan kumpulan budayawan adalah mengekalkan Novel Interlok sebagai buku teks sekolah dengan membuat penyesuaian berikut :

  • · 1. Membuat penerangan perkataan-perkataan yang sensitif Novel Interlok dalam ruang glosari
  • · 2. Menyediakan buku ulasan terhadap novel bagi mengelakkan sebarang kekeliruan
  • · 3. Melatih guru-guru untuk memberi penerangan yang sebenar terhadap novel Interlok.

Cadangan kumpulan NGO masyarakat India pula adalah :

  • · 1. Gugurkan perkataan dan kandungan sensitif dalam novel tersebut atau
  • · 2. Gugurkan Novel Interlok daripada menjadi buku teks sekolah

Kesemua cadangan di atas akan dibincangkan secara terperinci dalam Pertemuan Muhibah kali ke-2 minggu depan. Di harap semua kumpulan dapat membuat keputusan yang tepat bagi menjamin keharmonian antara kaum dalam negara tercinta ini.

Suhaizan Bin Kaiat

Moderator Pertemuan Muhibah Budayawan & NGO Masyarakat India

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Monday, January 10, 2011

Tindakan Dr Mohd Puad Zarkashi Memalukan



Tindakan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi mempertahankan Pengarah Pelajaran Johor Tn. Hj. Markom Giran berkempen untuk Barisan Nasional di Sekolah Menengah Tenang Station pada 31hb Disember 2010 sangat memalukan khususnya warga pendidik dan masyarakat di Dun Tenang, Johor. Dalam kenyataannya semalam Dr Mohd Puad menyatakan bahawa tindakan Tn Hj Markom tersebut tidak salah kerana sebagai penjawat awam beliau berhak menyokong polisi-polisi kerajaan. Dr Mohd Puad memberi alasan bahawa calon belum dikemukakan maka tiada kempen dilakukan oleh Pengarah Pelajaran Johor tersebut.

Sebenarnya Timbalan Menteri Pelajaran ini tidak mengkaji ucapan sebenar Tn Hj Markom yang rakamannya boleh diperolehi dengan mudah di YouTube. Beliau juga boleh mendapatkan penjelasan daripada Pembantu Khas beliau En. Zahari Bin Sharif yang turut hadir dalam taklimat tersebut. Secara jelas Tn Hj Markom mengesa guru-guru kaunseling menyokong dan berkempen bagi calon Barisan Nasional(BN) dalam pilihanraya Kecil Dun Tenang. Antara ucapan-ucapan beliau adalah :

“Kalau tidak ada pilihanraya Tenang, maka saya tidak akan berjumpa tuan-tuan semua”

“ Memohon bantuan gerakan jentera bantu kerajaan untuk menang pilihanraya kali ini”

Tn Hj Markom juga meminta guru kaunseling berbangsa Cina dan India membuat program motivasi di sekolah Jenis Kebangsaan. Selepas program tersebut, guru kaunseling tersebut dikehendaki berjumpa ibu bapa pelajar bagi mengenalpasti kecenderungan politik mereka. Beliau menyatakan terdapat empat kategori ibu bapa iaitu hijau adalah penyokong pembangkang, kelabu mereka yang membantah dasar-dasar kerajaan, putih dan biru dipercayai penyokong BN. Tn Hj Markom juga mendesak kepada guru-guru kaunseling menukarkan kecenderungan poitik ibu bapa daripada kelabu kepada biru. Jika pegawai pendidikan tidak boleh berfungsi maka mereka akan ditukarkan ke tempat lain.

Taklimat Tn Hj Markom ternyata dengan jelas cuba mengerakkan guru-guru kaunseling memenangkan calon BN. Bagaimana Dr Mohd Puad boleh menyatakan bahawa taklimat tersebut adalah menyokong polisi-polisi kerajaan. Apakah mengkategorikan pengundi Dun Tenang sebagai hijau, kelabu, putih dan biru itu boleh dianggap usaha menyokong dasar kerajaan? Apakah memaksa guru kaunseling menukar pandangan politik pengundi DUN Tenang daripada kelabu kepada biru itu boleh dianggap sebagai usaha menyokong polisi-polisi kerajaan? Intipati taklimat Tn Hj Markom bukan menyokong polisi kerajaan sebaliknya menyokong parti UMNO- BN. Malah tindakannya telah menyalahi Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mohd Puad hendaklah berkecuali dalam menilai laporan-laporan yang telah dikemukakan walaupun daripada Pakatan Rakyat. Beliau tidak boleh berpihak atau dilihat berpihak. Tindakan Dr Mohd Puad yang secara jelas berpihak kepada Tn Hj Markom tanpa kajian yang mendalam dilihat sebagai tindakan yang tidak profesional. Jika Dr Mohd Puad boleh bertindak sedemikian rupa bagaimana beliau boleh berperanan secara berkesan sebagai ahli Parlimen Batu Pahat dan Timbalan Menteri Pelajaran. Bayangkan bagaimana Dr Mohd Puad boleh bertindak secara adil jika terdapat laporan-laporan guru terlibat dengan pembangkang. Saya sangat khuatir ramai lagi warga pendidik yang akan menjadi mangsa dasar pilih kasih seorang Timbalan Menteri Pendidikan.

Saya mendesak kepada Dr Mohd Puad agar menyesali dan memohon maaf khususnya kepada semua warga pendidik serta masyarakat Dun Tenang berhubung dengan kecuaian beliau memberi respon yang salah terhadap isu ini. Keduanya saya mencadangkan kepada Tn Hj Markom agar memberi notis 24 jam berhenti sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil Dun Tenang. Beliau dilihat berpotensi memandangkan beliau sudah dikenali ramai melalui media baru dan kebetulan beliau sudah hampir bersara awal tahun ini. Saya penuh yakin Dato Abdul Ghani Othman, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor akan bersetuju dengan cadangan ini.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat