Wednesday, June 30, 2010

KENAPA RAKYAT PERLU TURUN KEMPEN TAK NAK JUDI 3HB JULAI 2010 ?

Kenyataan Media

Rabu 30- Jun - 2010

KENAPA RAKYAT PERLU TURUN KEMPEN TAK NAK JUDI 3HB JULAI 2010?

Setelah rakyat mendapat kejayaan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi sukan pada 25hb Jun 2010 maka rakyat perlu pergi ketahap kedua Kempen Tak Nak Judi yang akan dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara. Nama Kempen Tak Nak Judi adalah dicadangkan sendiri oleh seorang yang berbangsa cina bernama Sdr. Ng Yap Hwa daripada Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG). Dato’ Dr. Toh Kin Woon Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Parti Gerakan sekarang ini menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) berpendapat judi bukanlah budaya masyarakat cina. Sdr Thiagarajah Sokalingam daripada Tamil Foundation juga berpendapat judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara. Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain. Antara kejayaan kempen pertama Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) selain daripada pemansuhan judi sukan adalah semua bangsa dalam negara ini boleh bersetuju bahawa judi adalah suatu nilai yang tidak baik dalam negara.

Dalam menuju sebuah negara yang maju, aman dan damai Malaysia perlu bebas untuk menolak nilai-nilai yang tidak baik seperti rasuah, salahgunakuasa, pembaziran, jenayah, perjudian dan lain-lain lagi. Tahap kedua Kempen GMJ ini adalah untuk mendidik masyarakat membenci judi melalui Kempen Tak Nak Judi. Oleh kerana telah lebih 50 tahun negara ini menghalalkan judi maka pendekatan berhikmah diperlukan untuk memisahkan judi daripada kehidupan masyarakat yang tegar terhadapnya. GMJ memahami usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia perlu suatu keazaman yang tinggi daripada semua anggota masyarakat, NGOs, parti politik dan pihak kerajaan. Kita jangan pandang kebelakang lagi dalam mempastikan rakyat dan negara bebas daripada amalan berjudi.

Pemansuhan lesen judi sukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri membuktikan adanya persaingan antara kuasa rakyat untuk menghindar diri daripada judi dengan syarikat judi yang mahu mempertahankan perniagaanya. Kedua-dua pihak mendesak kerajaan menjayakan cita-cita masing-masing. Kerajaan Barisan Nasional(BN) dilihat berpihak kepada siapa yang lebih kuat . Ini bermakna jika rakyat lemah memperjuangkan pembebasan judi dalam negara maka kesempatan ini akan diambil oleh syarikat judi untuk mengembangkan sayap perniagaanya. Inilah realiti yang harus difahami oleh rakyat Malaysia. Oleh itu rakyat Malaysia sudah tiada punya pilihan lagi kecuali bersungguh-sungguh menyelamatkan negara ini daripada aktiviti judi. Maka kehadiran rakyat Malaysia dalam Kempen Tak Nak Judi di Masjid Negara pada hari sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang adalah sangat penting bagi membuktikan keazaman kita semua. Janganlah keazaman syarikat judi mempertahankan perniagaannya lebih kuat daripada keazaman rakyat membenci judi. Kalau kita tiada keazaman ini dikuatiri kita macam menyokong judi dalam negara.


Suhaizan Bin Kaiat
Setiausaha
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).

Tuesday, June 29, 2010

TERUSKAN PERJUANGAN MEMBANTAH JUDI

Kemelut lesen judi sukan bermula apabila Timbalan Menteri Kewangan Dato Awang Adek Hussin membuat kenyataan bahawa ianya akan diluluskan oleh pihak kerajaan bagi membendung judi sukan tidak berlesen berleluasa dalam negara kita. Kenyataan ini disokong pula oleh Ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan. Ketika isu ini bermula tumpuan rakyat Malaysia adalah kepada pilihanraya Parlimen Sibu. Isu ini tidak menjadi isu besar di Sibu kerana rakyat tidak faham berkenaan isu sebenar dan telah terlalu banyak isu-isu tempatan negeri Serawak yang lebih panas lagi.

Kerajaan Barisan Nasional behujah bahawa judi sukan adalah untuk orang bukan Islam. Masyarakat Cina katanya memang sangat suka bermain judi. Oleh itu orang Islam mesti menghormati orang bukan Islam dengan cara menghalalkan judi sukan. Hujah kedua Kerajaan Barisan Nasional adalah jika judi sukan tidak dihalalkan pun judi tersebut berlaku secara haram dalam negara. Pada pandangan mereka judi sukan perlu dihalalkan bagi membolehkan kerajaan mendapat pendapatan daripadanya. Bermaksud judi itu menjadi haram jika tiada lesen, judi akan menjadi halal jika mempunyai lesen.

Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengambil inisiatif membangkitkan isu ini ditengah-tengah longokkan isu-isu besar dalam negara. Suatu himpunan selepas jumaat di Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur di pimpin oleh Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah diadakan. Arahan seterusnya adalah daripada Ust Nasaruddin Hassan Ketua Pemuda PAS Pusat kepada pemuda PAS Negeri-negeri untuk mengadakan himpunan yang sama. Maka berlakulah demontrasi disetiap negeri selepas solat jumaat. Menariknya di Kelantan demontrasi yang diadakan dihadapan rumah Timbalan Menteri Kewangan Dato Awang Adek Hussin Bachok, Kelantan. Orang Kelantan kata nasib baik Dato Dr Awang Adek Hussin tidak menjadi Menteri Besar Kelantan. Jika tidak mungkin bertepek-tepek judi sukan di Kota Baharu, Kelantan. Akhirnya dengan pantas isu ini menjadi panas mengatasi isu-isu lain termasuk isu keganasan Israil terhadap misi keamanan negara. Kemenangan DAP daripada Pakatan Rakyat telah sedikit sebanyak menyemarakan lagi semangat rakyat untuk menentang keputusan kerajaan ini.

Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak juga Menteri Kewangan yang telah menafikan berkali-kali pemberian lesen judi sukan kepada Syarikat Ascot Sport Sdn Bhd pada 7 Jun 2010. Malah sikap Perdana Menteri yang tidak mahu membangkitkan semula isu lesen judi sukan ini dilihat sebagai usaha menyapu sampah ke bawah kapet. Kerajaan dilihat tidak jelas malah sentiasa berdolak-dalik berhubung dengan lesen judi sukan dinegara ini.

Pada 11 Jun 2010 terdapat dokumen “Information Memorandum” telah dikeluarkan oleh Berjaya Sports Toto Malaysia Sdn Bhd dimana pada halaman 20 dokumen ini dinyatakan bahawa Ascot Sports telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk menjalankan perniagaan judi sukan. Berjaya Sport Toto memohon pinjaman RM800 juta untuk melakukan operasi judi sukan sempena EPL (English Premier League) pada bulan Ogos atau September 2010. Terdapat 220 outlet Sport Toto seluruh negara akan mejayakan judi tersebut. Penasihat utama bagi pembiayaan ini ialah Maybank Investment Bank Berhad dan AmInvestment Bank Group. Menurut analisis kredit daripada Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC) sebuah agensi penarafan telah menilai pinjaman yang telah diminta oleh Berjaya Sports Toto memiliki nilai rating setinggi AA-. Penilaian ini juga mengambilkira bahawa Ascot Sports telahpun mendapat kelulusan untuk menjalankan judi sukan. Pendedahan ini telah dibuat oleh YB Tony Pua Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara pada 21-Jun-2010 diParlimen.

Pada 12 Jun 2010 Berjaya Corp telah membuat kenyataan kepada Bursa Saham Malaysia bahawa Ascot Sport Sdn Bhd telah mendapat kebenaran kerajaan untuk memperbaharui lesen judi sukan. Atas asas ini maka Berjaya Corp telah membeli 70% saham Ascot Sport bernilai RM525 Juta. Sedangkan Ascot Sport adalah sebuah syarikat yang rugi sebanyak RM15.8 juta pada 31hb Disember 2008. Jika Ascot Sport tiada jaminan memperolehi semula lesen judi sukan maka sudah tentu Berjaya Corp tidak membeli sahamnya. Pendedahan ini telah dikeluarkan oleh Malaysia Insider pada 15 Jun 2010.

Pada 16 Jun 2010 Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim telah menyatakan bahawa lesen judi sukan ditangguhkan sedangkan Perdana Menteri telah menafikan mengeluarkan lesen tersebut. Maklumat ini telah dikeluarkan oleh Malaysiakini pada 16-Jun-2010. Terdapat sokongan secara terbuka terhadap lesen judi sukan daripada pimpinan UMNO dan Barisan Nasional antaranya adalah Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad, Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Dato’ Sri Rais Yatim, pimpinan MCA dan pimpinan PPP. Lebih pedas lagi Tun Dr Mahathir bagaikan bersumpah jika beliau sebagai Perdana Menteri maka lesen judi akan diluluskannya. Itulah tegarnya pandangan judi sukan dalam diri Tun Dr Mahathir sehingga pemuda PAS mengelarnya “Kepala Judi”

Kerajaan terus berdalih menyatakan bahawa pihak kerajaan tidak pernah mengeluarkan lesen judi. Persoalannya pertama adalah bagaimana MARC boleh memberi gred AA- kepada permohonan pinjaman RM800 juta Berjaya Sport Toto untuk melakukan operasi judi sukan pada Ogos atau awal September 2010 sedangkan kerajaan tidak mengeluarkan lesen judi. Keduanya bagaimana Tan Seri Vincent Tan boleh meyakinkan Bursa Saham Malaysia untuk Berjaya Corp membeli 70% kepentingan Ascort Sport sedangkan pihak kerajaan tidak pun mengeluarkan lesen judi sukan. Ketiganya bagaimana Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim boleh mengumumkan penangguhan lesen judi sukan sedangkan kementeri Kewangan tidak pernah mengeluarkannya. Kempatnya bagaimana pimpinan UMNO dan Barisan Nasional bersungguh-sungguh menyokong judi sukan sedangkan kerajaan tidak pun mengelurkan lesen judi sukan. Atas persoalan-persoalan di atas maka rakyat penuh yakin bahawa adanya dokumen bertulis daripada Kementerian Kewangan yang telah memberi kebenaran kepada Ascot Sport memperbaharui lesen judi sukan. Akhirnya benar tanggapan rakyat selama ini apabila Tan Sri Vincent Tan sendiri mengaku bahawa Kemeterian Kewangan yang dipimpin oleh Perdana Menteri telah mengeluarkan kelulusan bersyarat pada 13 Januari 2010 kepada Sayarikat Ascort Sport menjalankan aktiviti judi sukan. Perdana Menteri semacam menipu rakyat dalam hal ini. Malah tidak ada penyataan pun dalam kelulusan ini yang menyatakan kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat sebelum memberi kelulusan lesen seperti yang diheboh-hebohkan. Maksudnya UMNO berdolak-dalik selama ini kerana mereka sudah terperangkap dengan kelulusan judi sukan ini.

Tan Sri Vincent Tan merupakan hartawan disebalik Berjaya Corp telah merayu kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang agar dapat membenarkan operasi judi bola dinegeri masing-masing. Kelantan tidak disentuhnya barangkali sebab beliau sudah tahu jawapannya. Sebelum ini 4 negeri Pakatan Rakyat menyatakan pendirian tegas tidak membenarkan judi sukan beroperasi dinegeri tersebut. Tan Sri Vincent Tan melalui laporan media akan mendermakan wang sebanyak RM525 juta untuk tujuan kebajikan. Derma ini akan disalurkan melalui Yayasan Better Malaysia Foundation. Wang ini diperolehi daripada penjualan kepentingan dalam Ascots Sport. Beliau juga menafikan telah menaja ahli atau parti politik sebagai balasan terhadap kerajaan yang meluluskan lesen judi sukan.

Tan Sri Vincent Tan seolah-olah cuba membayar segala tentangan rakyat Malaysia terhadap judi sukan dengan bayaran RM525 juta. Apalah maknanya dengan angka RM525 juta dibandingkan dengan kerosakan terhadap keluarga, masyarakat dan negara ekoran daripada kelulusan lesen judi sukan ini. Negara terpaksa membayar kerosakkan ini dengan nilai yang jauh lebih besar daripada derma yang akan disalurkan. Beliau juga seolah-olah cuba mempositifkan minda rakyat terhadap judi sukan melalui bayaran ini.Jika rakyat Malaysia hanya memikirkan keuntungan semata-mata sudah tentu akan terpukau dengan wang derma seumpama ini. Tan Sri Vincent Tan mungkin berfikir bahawa rakyat Malaysia termakan dengan guka-gula RM525 juta yang ditabur atas nama kebajikan. Tidak ada rakyat yang hidup bahagia kaya raya hasil daripada judi kecuali syarikat judi sahaja yang kaya raya seperti beliau. Duit yang dikaitkan dengan judi eloknya diserahkan kepada UMNO, barangkali UMNO memerlukannya. Selepas kerajaan tidak meluluskan lesen judi sukan dan Berjaya Corp menjual balik kepentingan Ascort Sport tidak diketahui perihal duit Yayasan Better sebanyak RM525 juta itu.

Berdasarkan perjuangan isu pemansuhan Pembelajaran Sains & Matematik (PPSMI) pada tahun 2008, Dewan Pemuda PAS Pusat menyedari perlunya mendapat kerjasama daripada pelbagai NGO untuk membantah lesen judi sukan ini. Maka pada pada 1 Jun 2010 telah di adakan pertemuan antara NGOs dan parti-parti politik di Bilik Gerakan, Bangunan SUK, Kerajaan Negeri Selangor. Cikgu Mohd Azmi Bin Abd Hamid selaku Presiden Teras Pengupayaan Melayu(Teras) telah dilantik sebagai pengerusi gabungan yang dinamakan sebagai Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ). Timbalannya Sdr. Mohamad Raimi Bin Ab. Rahim (ABIM), Setiausaha: Sdr. Suhaizan Kaiat(PAS), Penolong S/U: Sdr. Faisal Aziz(PKPIM), Bendahari Sdr. Nahar Bin Md Nur(JIM) dan AJKnya terdiri daripada wakil-wakil NGOs dan pertubuhan politik yang hadir pada masa tersebut.

GMJ mengadakan perlancaran kempen pertamanya untuk memansuhkan judi sukan bersama pimpinan NGOs, ulama dan politik di hadapan Pusat Perniagaan Sogo, Jalan Tungku Abd Rahman, Kuala Lumpur pada hari Sabtu 5hb Jun 2010 jam 2 petang. Kempen ini bertujuan untuk mendesak pihak Kerajaan Malaysia menarik balik lesen judi sukan yang telah diluluskannya. Kemuncak kepada kempen ini adalah Himpunan 100 Ribu Rakyat Malaysia Membantah Judi Sukan pada sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Alasan kepada bantahan GMJ adalah judi sukan akan menyebabkan :
1. Keruntuhkan mutu sukan negara.
2. Mendorong rakyat bergantung kepada nasib.
3. Menurunkan produktiviti negara.
4. Meruntuhkan institusi keluarga.
5. Meningkatkan gejala sosial.
6. Meningkatkan kadar jenayah.
7. Meningkatkan beban hutang rakyat.
8. Meruntuhkan ekonomi negara.
9. Menyalahi dasar-dasar semua agama.

GMJ mendesak kerajaan :
1. Meningkatkan penguatkuasaan undang-undang judi.
2. Mendidik masyarakat membenci judi
3. Menarik balik lesen judi sukan

Dalam GMJ terdapat 3 orang wakil bukan Islam iaitu Ketua Pemuda DAPSY YB Loke Siew Fook, Ketua Penerangan AMK Sdr. Lee Khai Loon dan David Cheong daripada Persatuan Dharma Sakyamuni. YB Loke Siew Fook menyatakan bahawa judi adalah suatu kebiasaan sesetengah orang Cina. Judi bukan budaya masyarakat Cina. Beliau pun faham bahawa judi adalah tabiat tidak baik yang ada pada masyarakat Cina. Orang-orang Cina merasa malu kalau mereka dituduh tahi judi. YB Loke merupakan pemimpin muda DAP yang secara konsisten menentang judi sukan di Parlimen.

Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon menyatakan bahawa judi boleh mendatangkan kesusahan hidup kepada sesiapa yang terlibat termasuk masalah moral dan sosial. GERAKAN mengambil pendirian menentang promosi pertaruhan dan perjudian kerana mereka menyatakan bahawa rakyat Malaysia adalah penganut agama-agama terhebat di dunia. Tan Sri Koh Tsu Koon menggunakan hujah agama bagi menentang judi sukan tetapi UMNO menggunakan hujah ekonomi untuk menyokong judi. YB Loke Siew Fook menyuarakan perasaan tidak senangnya terhadap kerajaan persekutuan yang tidak mengasingkan pendapatan hasil judi ini. Beliau bimbang hasil duit judi ini akan digunakan untuk membina Masjid. Persoalannya siapa yang lebih beragama antara UMNO, GERAKAN dan DAP?

GMJ terus mendapat sambutan daripada bekas exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah bersara daripada politik dan menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) iaitu Dato’ Dr. Toh Kin Woon. Beliau telah memberi kenyataan bahawa judi bukanlah budaya masyarakat cina. Malah beliau berpendapat anggapan yang salah terhadap masyarakat cina yang kononya suka kepada judi boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia. Seterusnya GMP telah mengutus surat kepada MCCBCHST (Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism). MCCBCHST memberi respon yang sangat baik dimana mereka juga membantah keputusan pihak kerajaan ini. Dato Tamrin Ghafar anak bekas Perdana Menteri Tun Ghafar Baba adalah antara tokoh ahli UMNO yang membatah judi sukan. Beliau melalui insiatifnya sendiri telah menghantar surat rayuan kepada kerajaan membantah judi sukan ini. Beliau sempat hadir dalam dua kali mesyuarat GMJ.

Bekas Ketua Pasukan bola Kedah tahun 1990-an Sdr. Radhi Mat Din juga tidak ketinggalan turun ke Kelantan untuk sama-sama membantah judi sukan. Rupa-rupanya beliau merupakan mangsa rasuah judi sukan yang pernah melanda negara semasa zamannya. Radhi Mat Din dengan tegasnya menyatakan judi sukan ini boleh membawa kemerosotan mutu bola sepak negara. Beliau menyatakan bahawa jika pembangunan masjid pun boleh berlakunya rasuah maka dalam pengurusan judi yang jelas haram itu mungkin rasuahnya lebih berganda.

GMJ telah menyerahkan memorandum kepada ahli-ahli Parlimen seterusnya ke pejabat Perdana Menteri pada 23-Jun-2010. Malangnya berlakunya diskriminasi terhadap berita GMJ dalam media arus perdana. Media elektronik langung tidak mendapat liputan. Nasib baik adanya media baru yang banyak membantu melaporkan berita GMJ. Bayangkan berita penyerahan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri Putrajaya hanya dikeluarkan sebesar saiz tapak kaki kucing sahaja dalam sebuah surat khabar harian arus perdana. Biasanya berita aktiviti membersihkan tandas pun dapat liputan meluas dalam akhbar yang sama. Walaubagaimanapun berita sebesar tapak kaki kucing pun adalah lebih baik daripada akhbar arus perdana yang lain yang langsung tidak menyiarkan berita GMJ.


UMNO Johor yang dipimpin oleh Dato Abdul Ghani Othman mengambil jalan yang sama seperti PPSMI iaitu membantah keputusan kerajaan dan pandangannya hampir sama dengan GMJ. Cuma mereka tidak bernaung di bawah GMJ. Selepas GMJ menghantar memorandum ke pejabat Perdana Menteri banyak pula perhubungan negeri UMNO dan sayapnya bertindak sama membantah judi sukan antaranya UMNO Perak, Kedah, Pemuda UMNO dan Wanita UMNO. Tidak pernah berlaku sebelum ini Gerakan rakyat seumpama GMJ telah disokong secara tidak langsung daripada UMNO dan sayap-sayapnya. Mungkin mereka telah belajar daripada Isu PPSMI dimana akhirnya mereka yang menerima malu apabila mereka tidak bersama rakyat pada peringkat awal. Bagi mengelakkan tertinggal keretapi maka UMNO terpaksa membantah judi sukan.

Sehingga 25-Jun-2010 terdapat lebih daripada 100 pertubuhan dan individu yang membatah judi sukan. Maklumat ini diperolehi daripada media yang telah memberi laporan terhadap pandangan mereka. Berikut adalah senarainya :

A. KERAJAAN NEGERI
1. Kerajaan Negeri Kelantan
2. Kerajaan Negeri Selangor
3. Kerajaan Negeri Kedah
4. Kerajaan Negeri Pulau Pinang

B. PERTUBUHAN POLITIK
1. Parti Islam Semalaysia(PAS)
2. Parti Keadilan Rakyat (PKR)
3. Parti Tindakan Demokratik(DAP)
4. Parti Sosialis Malaysia(PSM)
5. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu(UMNO) Johor, Perak & Kedah
6. Pemuda & Wanita UMNO Malaysia.
7. Parti GERAKAN

C. NGOS
1. Majlis Perundiangan Pertubuhan Islam Malaysia(MAPIM)
2. Persatuan Teras Perpaduan Melayu (Teras)
3. Dewan Pemuda Masjid
4. Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM)
5. Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia(GAMIS)
6. SATNA
7. Jemaah Islah Malaysia(JIM)
8. Jamaiy
9. Pengerak Belia Tempatan MPK
10. Budayawan Bertindak(BB)
11. Seniman Paksi Rakyat
12. Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (ANAK)
13. Nisa Malaysia
14. Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia(PKPIM)
15. Persatuan Dharma Sakyamuni
16. Relawan (PBR)
17. Pusat Aduan Rakyat Kempas(PAR Kempas)
18. SHURA
19. Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG)
20. Ikatan Perpaduan Rakyat Malaysia
21. Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia
22. Pertubuhan Anak Melayu Selangor Darul Ehsan Wilayah Persekutuan
23. Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia(Perkid Malaysia)
24. Persatuan Peguam Syarie Malaysia
25. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
26. The Kuala Lumpur & Selangor Chiness Assembly Hall.
27. Tamil Foundation
28. GMJ Negeri Kedah (30 Keangotaan)
29. GMJ Negeri Perak (10 Keangotaan)

D. INDIVIDU
1. Tun Abdullah Bin Ahmad Badawi – Bekas Perdana Menteri
2. Tan Sri Koh Tsu Koon – Presiden Gerakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
3. Dato Abdul Ghani Bin Othman – Menteri Besar Johor
4. Dato Seri Zamri Abd Kadir – Menteri Besar Perak
5. Dato Tamrin Ghafar – Bekas Pengerusi Mara(Anak Tun Ghafar Baba –Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia)
6. Dato’ Dr. Toh Kin Woon – Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang
7. Sohibu As Samahah Datuk Mohd Tahrir Bin Datuk Kiyai Samsuddin, Mufti Kerajaan Negeri Johor
8. Sdr. Mohd Radhi Mat Din – Bekas Ketua Pasukan Bola Sepak Kedah

Akhirnya atas tekanan semua pihak khususnya NGO, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia maka Presiden UMNO tiada pilihan kecuali mengikut desakan rakyat Malaysia membuat keputusan dalam Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur membatalkan lesen judi sukan. Perdana Menteri mengaku bahawa lesen judi sukan pernah dikeluarkan pada tahun 1989 di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir tetapi akibat kerugian teruk maka lesen ini telah dikembalikan semula. Peliknya keputusan membatalkan lesen judi sukan ini tidak dibuat dalam mesyuarat kabinet kerajaan Persekutuan tetapi hanyalah Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sahaja. Ini seolah-olahnya membuktikan bahawa UMNOlah yang menjadi dalang kepada kelulusan judi sukan selama ini. UMNOlah yang sebenarnya mahu mengekalkan lesen judi sukan bukanlah kerajaan Barisan Nasional. Tercemar sungguh UMNO kerana judi sukan ini. Barangkali itulah puncanya UMNO perlukan 40 orang Ulama’ muda yang telah tercemar untuk membersihkannya.Wahai Ulama’ muda UMNO, macamana nak bersihkan UMNO, diri sendiri pun macam tidak berapa bersih. Nasib baiklah Dr. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis tidak terlajak dalam UMNO. Jika tidak mukanya yang bersih itu akan tercemar dengan kebusukkan UMNO.


Malangnya media arus perdana sekali lagi telah menutup dan memesongkan berita bahawa keputusan Perdana Menteri ini adalah berdasarkan tekanan yang telah dibuat oleh Perhubungan UMNO negeri-negeri. Itulah hakikat kebebasan dan keadilan media di negara kita. Walaubagaimanapun sebahagian anak muda yang terdedah kepada media baru membuat kesimpulan UMNO yang lulus judi sukan, UMNO yang mempertahankan judi sukan dan akhirnya akibat tidak tahan desakkan rakyat maka UMNO jugalah yang membatalkan lesen judi. Ini terbukti dengan kenyataan Tan Sri Vincent Tan yang telah menyatakan bahawa Pakatan Rakyat(PR) dan bookie haram yang menjadi punca kerajaan membatalkan lesen judi sukan ini. Tan Sri Vincent Tan tak nampak UMNO sebagai pendesak lesen judi ini ditarik balik walaupun media arus perdana melaporakan demikian.


Sebenarnya membunuh judi sukan adalah macam menembak menggunakan peluru penabur. Tembak menggunakan satu peluru sahaja tetapi yang kena bukan seekor tetapi lebih daripada seekor tupai yang mati. Rakyat Malaysia menggunakan satu peluru sahaja iaitu peluru judi sukan. Rupanya bukan judi sukan yang mansuh, UMNO pun menggelupur kerana judi sukan termansuh. UMNO terpaksa mencari sumber lain untuk pilihanraya akan datang. Kalaulah ada Pilihanraya Kecil selepas ini rakyat boleh melihat betapa mengelupurnya UMNO mengatasi masalah kewangannya. Barulah rakyat Malaysia faham rupanya ada kaitan antara Tan Sri Vincent Tan, judi sukan, UMNO dan Menteri Kewangan.

Walaupun pemansuhan judi sukan oleh Perdana Menteri dilihat sebagai kejayaan GMJ dan rakyat Malaysia tetapi perjuangan GMJ untuk mempastikan negara bebas daripada judi belum lagi berakhir malah baru mula bertapak sebenrnya. Tanpa desakkan rakyat sudah barang tentu 220 outlet judi sukan akan beroperasi seluruh negara melalui kelulusan Kementerian Kawangan, Kerajaan Barisan Nasional. Maka benarlah kata Dato Chua Jui Meng. Kerajaan Barisan Nasional perlu di beri kad Merah dalam pilihanraya akan datang. Tahniah Rakyat Malaysia atas kejayaan 1 – 0. Rakyat dapat “1”, Kerajaan Barisan Nasional dapat “0” dalam hal judi sukan ini.

Memandangkan bahawa tugas kita mendidik rakyat membenci judi baru bermula, masih terlalu banyak aktiviti perjudian dalam negara dan masih serius lagi kesan sosial & jenayah berpunca daripada judi maka mesyuarat Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) pada 27-Jun-2010 di Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Perhimpunan Rakyat pada 3-Julai-2010 jam 2 petang tetap akan diadakan di Masjid Negara. Perhimpunan ini di namakan Himpunan Rakyat Tak Nak Judi. Kempen Tak Nak Judi akan dilancarkan dalam himpunan ini. Kempen tahap kedua ini bertujuan bagi mendesak kerajaan :
1. Mendidik masyarakat membenci judi
2. Meperketatkan Penguatkuasaan Undang-undang judi
3. Mengurangkan lesen judi.

Tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dalam mempastikan negara bebas daripada judi adalah tugas yang sangat besar. Oleh itu kita wajib turun ke Kempen Tak Nak Judi yang akan dilancarkan. Jika kita tidak turun ke kempen ini kerana kita telah beranggapan bahawa isu judi sukan telah selesai maka kita kuatir tergolong dalam kumpulan orang yang menyetujui aktiviti judi lain yang berleluasa dalam negara kita. Kehadiran kita menjadi hujah bahawa kepada kerajaan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada judi. Jangan sampai kesungguhan syarikat judi mempertahankan lesen judi lebih daripada kita yang menentangnya. Tahniah Rakyat Malaysia! Teruskan Perjuangan Membantah Judi !


Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat

BERJAYA PERLU MENCARI PELABURAN ALTENATIF


Kenyataan Media

Selasa 29- Jun - 2010

BERJAYA PERLU MENCARI PELABURAN ALTENATIF

Saya ingin merujuk kepada kenyatan Tan Sri Vincent Tan yang melihat Pakatan Rakyat(PR) dan bookie haram menjadi punca kenapa Kerajaan Malaysia menarik balik kebenaran syarikatnya Ascot Sport menjalankan perniagaan judi sukan. Kewujudan bookie haram dalam negara adalah berpunca daripada penguatkuasaan yang lemah dan permintaan judi yang memberangsangkan. Permintaan yang tinggi terhadap judi adalah datangnya daripada rangsangan syarikat-syarikat judi itu sendiri. Syarikat judi yang diberi lesen oleh kerajaanlah yang telah memberi peluang kepada rakyat berjudi dan menyebabkan mereka ketagih judi. Jika negara ini bersih daripada judi, penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan rakyat terdidik membenci judi maka tiadalah permintaan terhadap judi seterusnya bookie haram tidak akan wujud dalam negara. Ini bermaksud salah satu punca kehadiran bookie haram itu sendiri berpunca daripada aktiviti judi yang dihalalkan oleh kerajaan. Oleh kerana Syarikat Berjaya mempunyai pelaburan judi yang besar maka tuduhan Tan Sri Vincent Tan itu bagaikan meludah ke langit.

Tan Sri Vincent Tan harus melihat kehendak rakyat khususnya anak muda Malaysia sudah berubah sekarang. Mereka mahu melihat negara ini bebas daripada nilai-nilai yang tidak sihat. Anak Muda Malaysia menolak rasuah, salahgunakuasa, pembaziran, perjudian dan lain-lain lagi. Oleh itu pelaburan Syarikat Berjaya dalam perjudian sudah tidak sesuai di Malaysia pada masa kini dan akan datang. Tan Sri Vincent Tan perlu mencari pelaburan lain di negara ini yang boleh memacu negara ini menjadi sebuah negara yang maju, aman dan damai.

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan meneruskan kempen tahap kedua iaitu Kempen Tak Nak Judi ke seluruh negara bagi mendesak kerajaan:

1. Mendidik masyarakat membenci judi

2. Meperketatkan Penguatkuasaan Undang-undang judi

3. Mengurangkan lesen judi.

Kempen Tak Nak Judi akan dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara. Semua rakyat Malaysia yang mahu melihat negara ini bebas daripada judi dijemput hadir.

Suhaizan Bin Kaiat

Setiausaha

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).



Monday, June 28, 2010

UMNO TIPU,JATUH REPUTASI ULAMA' MUDA :




SHAH ALAM, 28 Jun: Empat ulama muda nafi menyertai Umno Jumaat lepas seperti dihebohkan media arus perdana sebaliknya mereka dijemput hadir kerana dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ingin bertemu dengan lepasan Jordan.
Salah seorang daripada mereka, Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, (gambar) dari Sungai Buloh berkata demikian ketika berucap menafikan perkara itu di majlis Pentas Pemuda Pakatan Rakyat anjuran Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini malam tadi.
“Kami dibawa masuk melalui bangunan sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu.

“Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja,” jelasnya ketika ditemui selepas berucap pada majlis itu.
Hosni merupakan seorang pelajar hafiz menamatkan pengajiannya di Markaz Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Selangor di Jugra pada 2003 dengan mendapat diploma dalam bidang itu.

Bermula 2004, beliau belajar di Universiti Al-Albayt, Mafraq, Jordan dan 2009 mendapat Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul di Kuliah Syariah dan kini bersedia menyambung pengajian Master di sebuah universiti tempatan.
Anak ketiga daripada empat beradik ini sangat kesal dengan kejadian menipu oleh Umno kerana masyarakat telah memandang serong dengan paparan media yang secara langsung menjatuhkan reputasinya sebagai pewaris ilmu.

“Saya dan tiga lagi sahabat lepasan Jordan, Mohd Fakhruzzaman, 37, dari Shah Alam, Mohd Akram An-Nazilin, 27, (Putrajaya) dan Mohd Jalaluddin Tahir, 26 (Sungai Petani) menafikan kami berbuat demikian sebaliknya Umno yang menipu,” tegasnya.
Majlis tersebut turut disertai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, Ketua DAPSY, Anthony Look dan Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari.
Mengulas kejadian itu, Idris berkata, jika ulama pun Umno tipu, apatah lagi rakyat biasa sambil menegaskan PAS tidak gentar dengan penyertaan seberapa ramai ulama kerana rakyat lebih tahu sama ada PAS baik atau Umno sudah gelisah.

Sunday, June 27, 2010

Kenyataan Media GMJ : Himpunan Tak Nak Judi

Kenyataan Media
Ahad 27- Jun - 2010

HIMPUNAN TAK NAK JUDI
Memandangkan bahawa tugas kita mendidik rakyat membenci judi baru bermula, masih terlalu banyak aktiviti perjudian dalam negara dan masih serius lagi kesan sosial & jenayah berpunca daripada judi maka mesyuarat Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) pada 27-Jun-2010 di Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Perhimpunan Rakyat pada 3-Julai-2010 jam 2 petang tetap akan diadakan di Masjid Negara. Perhimpunan ini di namakan Himpunan Rakyat Tak Nak Judi. Kempen Tak Nak Judi akan dilancarkan dalam himpunan ini.

GMJ berpendapat jika pihak kerajaan menjadikan asas agama dan politik untuk membatalkan lesen judi sukan maka pihak kerajaan sememangnya wajar membatalkan lesen-lesen judi yang lain secara berperingkat. Rakyat perlu di didik membenci judi. Undang-undang perlu diperketatkan penguatkuasaanya. GMJ mengajak semua pihak daripada pelbagai agama dan bangsa tanpa mengira fahaman politik agar dapat bersama dalam himpunan ini. Perhimpunan ini sangat penting bagi mempastikan rakyat Malaysia bebas daripada judi. Sesungguhnya judi adalah bertentangan dengan semua agama dalam dunia ini. Judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara.


Suhaizan Bin Kaiat
Setiausaha
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).

Saturday, June 26, 2010

Kenyataan Media GMJ : Kerajaan Batal Lesen Judi Sukan

Kenyataan Media

Sabtu 26- Jun - 2010

KEPUTUSAN KERAJAAN TIDAK MEMBENARKAN LESEN JUDI SUKAN

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) telah mendapat maklumat daripada media bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada hari jumaat 25hb Jun 2010 telah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan meluluskan lesen judi sukan. Keputusan ini dibuat berdasarkan pertimbangan agama dan kesan kepada politik. Sehubungan itu pihak GMJ akan mendapatkan penjelasan secepat mungkin daripada pihak Kerajaan Malaysia berkenaan kesahihan maklumat yang diterima memandangkan bahawa keputusan ini hanyalah dibuat oleh mesyuarat UMNO bukannya mesyuarat Kerajaan Persekutuan. Pihak GMJ akan membuat mesyuarat tergempar pada hari Ahad 27hb Jun 2010 jam 11 tengahari di Kuala Lumpur untuk membincangkan tidakan selanjutnya. Mesyuarat ini akan dihadiri oleh semua NGOs dan pertubuhan politik yang telah bernaung di bawah GMJ.

Suhaizan Bin Kaiat

Setiausaha

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).