Monday, May 31, 2010

Isu Undi Pos : Surat Terbuka Kpd Pengerusi SPR

Surat Terbuka Kepada
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia
28hb Mei 2010


Assalamualaikum Wrh Wbt
Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof

Tan Sri,

Saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri, ahli Suruhanjaya dan semua pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) atas kepekaan pihak Tan Sri terhadap teguran-teguran yang telah dibuat khususnya daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR)berhubung dengan ketelusan undi pos. Kenyataan media Tan Sri telah disiarkan oleh media arus perdana pada 26hb & 27hb Mei 2010, iaitu selepas sepuluh hari pilihanaraya kecil (PRK) Sibu , Sarawak.
Berdasarkan kepada laporan media arus perdana bolehlah saya simpulkan seperti berikut :

a. Pihak SPR mengakui bahawa sistem undi pos yang sedang berjalan sekarang kurang telus, terlalu teknikal dan menyusahkan pengundi pos sendiri.

b. Sistem pengundian awal akan menggantikan sistem undi pos di mana pengundi akan dikumpul di suatu dewan untuk mengundi. Masanya adalah 2-3 hari sebelum pengundian awam bermula. Bentuk pengundian adalah seperti pengundi awam iaitu hanya perlu memasukan kertas undi dalam tong undi tanpa perlu mengisi Borang 2 dan memulangkannya semula secara pos.

c. SPR berkemungkinan besar akan mula menggunakan sistem pengundian awal bermula Julai 2011.

d. Sistem pengundian awal ini tidak terpakai untuk pelajar di luar negara dan mereka yang bertugas di luar negara.


Tan Sri,

Suka untuk saya merujuk kepada PRK Sibu Sarawak. Berdasarkan kepada maklumat ejen pengundian pos Pakatan Rakyat (PR), pihak kami telah mendapati terdapat 179 petugas SPR, 8 anggota tentera dan 3 anggota polis tidak mengembalikan kertas undi mereka. Saya telah sahkan perkara ini dengan pihak berwajib di Sibu. Saya cukup musykil apabila SPR telah mengemukan versi berbeza dalam Berita Harian pada 27hb Mei 2010. Berita ini boleh dilayari di url http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PengundianposJulai2011lebihkemas_SPR/Article/. Terdapat perbezaan dalam laporan ini yang menyatakan bahawa 31 kertas undi polis, 31 kertas undi tentera dan 128 kertas undi petugas SPR tidak dikembalikan. Saya fikir Tan Sri telah menerima laporan yang salah berhubung angka sebenar undi pos yang tidak dikembalikan oleh petugas SPR, tentera dan polis. Suka saya ingatkan kepada pegawai SPR yang bertanggungjawab melaporkan kepada Tan Sri Pengerusi SPR bahawa angka undi pos ini bukan nasi lemak yang boleh di tokok tambah bila tak sedap dimakan. Kalau nasi lemak tak sedap maka kita boleh tambah sambal atau telur atau daging. Tapi angka undi pos ini adalah tetap dan tidak boleh dipinda sesedap selera seperti nasi lemak.
Seramai 179 daripada 290 atau 62% petugas Petugas SPR di Sibu tidak mengembalikan kertas undi mereka. Daripada jumlah ini terdapat lebih 200 orang petugas SPR telah membawa pulang kertas undi mereka. Walaupun dari segi peraturan undi pos tidak salah tetapi insiden ini mendedahkan kepada penjualan kertas undi kepada sindiket. Persoalannya mengapa petugas SPR yang sepatutnya mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap pilihanraya tidak mengembalikan kertas undi mereka?

Saya pernah menyebut kepada Tan Sri dalam suatu pertemuan antara pimpinan PAS Pusat dengan SPR di Putrajaya pada Oktober 2009 bahawa peraturan undi pos yang sedia ada boleh menyebabkan kertas undi dijual kepada sindiket di luar. Pada masa itu Tan Sri meragui pandangan saya. Tan Sri ada menyebut “Saya tak fikir ada orang sanggup menjual kertas undinya”. Akhirnya telah terbukti dalam PRK Sibu terdapat ramai petugas SPR tidak memulangkan sampul B yang terkandung di dalamnya kertas undi. Dengan lain perkataan kertas undi petugas SPR majoritinya tidak dipulangkan. Mengikut pandangan ejen undi pos PR, kertas undi ini berkemungkinan telah dijual kepada sindiket . Malang kepada sindiket ini kerana mereka gagal memulangkan semula kertas undi tersebut secara berkelompok sebelum jam 5.00 petang pada 16hb Mei 2010 di Wisma Sanyan, Sibu kerana ejen undi pos PR mengawalnya 24 jam. Ejen undi pos PR telah dapat mengesan beberapa kejadian sindiket ini cuba untuk membuang undi di Wisma Sanyan . Al-hamdulillah ejen undi pos PR dapat mengawal pengundian proksi sindiket daripada berlaku secara berleluasa. Inilah punca utama mengapa proksi petugas SPR tidak memulangkan semula kertas undi pos sebelum masa yang ditetapkan. Saya rasa inilah juga punca mengapa 62% petugas SPR gagal mengembalikan kertas undi mereka.

Cadangan pihak Tan Sri untuk membuat perubahan besar terhadap undi pos dengan mengganti sistem lama kepada Sistem Pengundian Awal menjelang Julai 2011 sangat-sangat saya alukan. Pastinya sebagaimana kebiasaan, dalam hal ini pihak Tan Sri perlu mendapat persetujuan daripada pihak kerajaan Barisan Nasional(BN) terlebih dahulu. BN mendapat kemenangan undi pos sebanyak 33 kali ganda di Sibu dan selama ini undi pos merupakan fixed-deposit kepada undi BN. Ruang manipulasi terlalu besar dalam sistem undi pos. Saya tidak fikir BN dengan mudah akan bersetuju dengan cadangan Tan Sri. Pernah berlaku sebelum ini dalam pilihanraya umum 2004, SPR telah mengeluarkan peraturan yang tidak membenarkan parti yang bertanding membuat pondok panas di sekitar tempat mengundi . Parti pembangkang mematuhi peraturan ini tetapi malangnya semua ejen BN tidak mematuhi. Akhirnya SPR mengikut keputusan BN dan pondok panas terpacak juga di sekitar tempat mengundi semasa Pilihanraya Umum 2004. Keduanya pada pilihanraya umum 2008, SPR telah membelanjakan wang rakyat dengan jumlah yang besar untuk membeli dakwat hitam bagi menanda jari untuk tujuan pengesahan pengundi. Namun apabila ada pihak yang berkepentingan tidak bersetuju, akhirnya SPR telah akur kepada pihak tersebut seterusnya membatalkan penggunaan dakwat hitam seperti yang dirancang. Ketiga, dalam pilihanraya umum 2008, SPR menetapkan setiap calon yang bertanding perlu mendapat pengesahan Pesuruhjaya Sumpah terlebih dahulu sebelum penamaan calon. Tetapi ramai calon UMNO/ BN tidak sempat untuk membuat pengesahan Pesuruhjaya sumpah tersebut , lantas peraturan ini dibatalkan pada saat akhir. Saya sendiri telah membuat bantahan terhadap calon BN bagi DUN Kempas, Johor yang tidak membuat pengesahan tersebut, malangnya saya pula dimarahi pegawai SPR di Putrajaya dan meminta saya membawa kes ini ke mahkamah. Saya yakin cadangan Tan Sri terhadap Sistem Pengundian Awal akan menerima nasib yang sama. Masakan Dato Seri Najib Tun Razak boleh setuju dengan cadangan Tan Sri sedangkan beliau telah menyiapkan dirinya dengan undi pos yang banyak di Pekan. Kalau Tan Sri berkeras juga , saya bimbang bukannya sistem undi pos yang dimansuh tetapi nama Tan Sri yang akan dimansuhkan daripada SPR. Inilah demokrasi ala Malaysia, Tan Sri.

Tan Sri,

Sistem Pengundian Awal ini sebenarnya masih tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah ketidaktelusan dalam undi pos. Ruang-ruang ketidakadilan dan manipulasi masih terdapat dalam beberapa perkara. Antaranya, kita melihat bagaimana hanya pihak Kerajaan BN sahaja dibenarkan masuk ke kem untuk berkempen. Contohnya semasa Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang yang lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri dibenarkan masuk berkempen dalam kem. Saya masih lagi menyimpan ucapan menteri-menteri tersebut yang membuktikan bahawa mereka telah berkempen dalam kem tentera. Bagaimanapun jentera pilihanraya PAS tidak pula dibenarkan berkempen. Begitu juga di Sibu, sebanyak dua kali pertemuan telah diadakan di antara Perdana Menteri dengan anggota tentera tetapi pihak DAP tidak pula mendapat sebarang peluang untuk berkempen terhadap mereka. Bentuk demokrasi apakah ini, Tan Sri? Bila kita ajukan kepada SPR, seperti biasa SPR akan menjawab bahawa mereka tiada kuasa menghalang atau membenarkan calon berkempen dalam kem. Itu namanya padang permainan yang tidak sama rata, Tan Sri.

Sistem Pengundian Awal ini akan menyebabkan semua anggota tentera, polis dan SPR berkumpul di satu tempat untuk mengundi. Bagaimana SPR mahu mengarahkan pihak tentera untuk tidak membuat sebarang aktiviti di luar kem pada masa mereka mengundi ?. Kes di Bagan Pinang dan Sibu, pada hari mengundi terdapat beratus-ratus anggota tentera membuat latihan menembak di luar kem. Sama ada dirancang atau kebetulan saya tidak pasti. Tetapi yang pasti anggota tentera ini tidak berada dalam kem. Kalau media arus perdana pun SPR tidak ada kuasa menyekatnya berkempen selepas jam 12 malam sebelum mengundi, apakah SPR mampu memberi arahan untuk tidak membenarkan pihak tentera membuat aktiviti luar kem pada hari mengundi. Saya minta SPR ukur kail (joran) sendiri. Jika kail panjang sejengkal bagaimana SPR mahu menduga laut yang dalam, Tan Sri.

Setelah 12 kali pilihanraya umum dan 11 kali pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008 baru sekarang SPR menyedari bahawa sistem undi pos tidak telus. Himpunan Bersih 2007 telah mendesak dihapuskan undi pos namun SPR mendiamkan diri sahaja. Sebenarnya Pemuda PAS telah mewujudkan kumpulan pemantau undi pos ini sejak PRK Bagan Pinang seterusnya dilebarkan kepada rakan-rakan PR di Hulu Selangor dan Sibu. Pemuda PAS berjaya memberi gambaran kepada rakyat Malaysia bahawa terdapat ruang manipulasi yang terlalu besar dalam sistem undi pos. Kemuncaknya adalah di Sibu, Sarawak. Menang atau kalah,ruang manipulasi undi pos tetap terdedah kepada sesiapa yang mahu menggunakannya. Di Sibu ejen PR telah berjaya menggunakan senjata BN untuk menghunus balik ke perut BN. Itulah saya katakan “Senjata sudah makan tuan di Sibu”. Apakah apabila senjata undi pos sudah tidak dapat digunakan oleh BN, baru SPR menyedari undi pos sudah tidak telus? Ke mana perginya ketelusan undi pos selama 12 kali pilihnaraya sebelum ini? Tan Sri, itulah hakikat demokrasi negara kita yang kononnya menjadi kebanggaan dunia. Jika tidak, masakan pula SPR boleh menolak pemerhati bebas dari luar negara .

Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat

Saturday, May 29, 2010

Isu Tanah KTMB Tanjung Pagar. Tergadaikah Maruah Kita ?

Keretapi Tanah Melayu Bhd(KTMB) mempunyai tanah pajakan dengan Kerajaan Singpura selama 999 tahun bermula tahun 1932 seluas 217 hektar. Tanah sepanjang 30 km ini adalah daripada Woodland, Kranji, Tanjung Pagar dan 3 lot di Bukit Timah(lot 76-2Mk 16, lot 249 Mk 4 & lot 32-10 Mk 16). Tanah ini cukup strategik kerana terletak di tengah-tengah Singapura , terlengkar dari utara di Woodland hingga ke Selatan di Tanjung Pagar. Menteri Pangankutan Datuk Ong Tee Keat yang merupakan salah seorang ahli rombongan pertemuan kerajaan Malayasia dan Singapura telah menyatakan bahawa sekatan terhadap tanah KTMB telah menghalang tanah KTMB tersebut dibangunkan sebelum ini. Ini bermaksud KTMB tidak boleh membangunkan kawasan tersebut tanpa perubahan syarat pajakan. Maka kekalah tanah tersebut tampa boleh dikomersialkan. Perjajian pajakan yang telah dimeterai dengan pihak British telah menyatakan bahawa tanah tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan kereta api sahaja. Ini bermaksud bahawa jika KTMB membuat aktiviti lain daripada keret api maka perjanjian pajakan akan terbatal dan Singapura berhak untuk merampas tanah tersebut.

Persoalannya kenapa semasa Singapura keluar daripada Malaysia tahun 1965 duhulu syarat-syarat yang menjerut diri kita ini tidak diubah? Ada banyak perjanjian dan dokumen yang menjerut kita antaranya perjanjian pajakan tanah KTMB , perjanjian air dan surat Setiauasaha Kerajaan Negeri Johor yang melepaskan kepentingan tanah Pulau Batu Putih daripada negeri Johor. Itulah kelemahan sebenar Kerajaan Malaysia. Membuat keputusan terburu-buru melepaskan Singpura tanpa kajian mendalam. Samalah seperti melepaskan Blok M & L kepada Brunei dan dasar Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dahulu. Semuanya melambangkan sikap terburu-buru kerajaan Malaysia. Pepatah melayu baru mungkin boleh dicipta. “Dasar terburu-buru amalan Kerajaan BN” . Pepatah ini boleh dimasukkan dalam Dewan Bahasa Dan Pustaka apabila kerajaan BN tumbang tidak lama lagi.

Menteri Besar Johor Dato Abd Ghani Othman menyatakan bahawa KTMB perlu keluar daripada Tangjung Pagar seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pimpinan Malaysia dan Singapura . Ia telah dipersetujui dalam Point Of Agreement (POA) tahun 1990. Walaubagaimanapun Dato Abd Ghani Othman menyatakan bahawa KTMB akan mendapat tanah baru sebagai ganti tanah 217 hektar tersebut iaitu tanah bertaraf antarabangsa diempat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor. Pelaburan dan pembangunan di dua bidang tanah itu akan dilakukan oleh syarikat usahasama MS Pte Ltd iaitu usahasama antara Khazanah Nasional (60%) dan Temasek Holding(40%).

Stesen KTMB Tanjung Pagar akan dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlang (WTCP) menjelang 1 Julai 2011. Ini bermaksud bahawa KTMB tidak lagi menggunakan tanah 217 hektar tersebut untuk tujuan kereta Api. Maka perjanjian pajakan tanah telah dilanggar oleh KTMB dan Singapura berhak memiliki tanah tersebut. Maka berjayalah Singapura mengambil maruah kita di atas tanah tersebut.

Sebagai ganti Singapura akan menukarkan tanah di Marina South dan Ophir Rochor. Tanah asal KTMB bernilai rendah sebab tanah tersebut tidak boleh dimajukan, terdapat sekatan, bentuknya panjang sukar dimajukan, bersepah dan macam-macam lagi faktor yang membolehkan ianya dinilai dengan harga yang rendah. Kemudian tanah di Marina South dan Ophir Rochor adalah tanah di kawasan srategik, lokasi perniagaan antarabangsa, telah banyak pembangunan dan macam-macam lagi faktor yang membolehkan ianya di nilai dengan harga yang tinggi. Akhirnya tanah asal KTMB yang seluas 217 hektar akan di tukar dengan luas tanah sekangkang kera sahaja di Marina South dan Ophir Rochor.

Lebih memedihkan lagi tanah 217 hektar yang sudah menjadi milik Singapura akan diubah sayaratnya untuk membolehkan Singapura membangunkannya. Tanah yang asalnya murah dan kononnya tidak strategik akan menjadi tanah yang cukup strategik apabila syaratnya telah di ubah. Maka kawasan ini akan dibangunkan lebih hebat daripada kawasan Marina South dan Ophir Rochor. Akhirnya putih matalah rakyat Malaysia yang melalui kawasan tersebut . Rakyat Malaysia yang datang melawat bahan sejarah Tanjung Pagar akan berkata “ Singapura tipu kita lagi”. Itulah lakonan sebuah babak berjudul “Menang-menang”.

Perkongsian 60-40 antara Khazanah Nasional(60%) mewakili Malaysia dan Temasik Holding (40%) mewakili Singapura masih tidak jelas maksudnya yang sebenar. PAS Johor mendesak agar 60% milik Khazanah Nasional adalah mewakili nilai tanah seluas 217 hektar bukannya keseluruhan tanah tersebut diwakili oleh perkongsian 100%. Dengan maksud bahawa Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan modal dalam syarikat MS Pte Ltd, modalnya adalah tanah 217 hektar tersebut tetapi Temasik Holding perlu mamasukkan modal luar mewakili 40% kepentingannya. Jika Temasik Holding tidak mengeluarkan sebarang modal untuk perkongsian ini maka boleh dianggap bahawa Kerajaan Malaysia telah menyerahkan 40% tanah KTMB kepada Singapura. Marilah kita sama-sama memerhatikan dengan penuh teliti apakah kertas cadangan balas Perdana Menteri Singapura Lee Hsian Loong akan berkunjung ke negara kita tidak lama lagi. Apakah Malaysia akan menerima nasib seperti Pulau Batu Putih? Adakah maruah kita telah digadai? Sama-samalah kita perhatikan.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat

http://www.kentong-suhaizan.blogspot.com



Thursday, May 27, 2010

Pertemuan NGO & Parti Politik Bantah Judi Bola

Yang Berbahagia

Tan Sri / Dato’ Seri / Dato’/ Tuan / Puan

Presiden / Pengerusi / Yang Dipertua

Ngo’s & Parti-parti Politik

PERTEMUAN KHAS MENANGANI ISU JUDI

Kami mendoakan kesejahteraan ke atas tuan serta ahli keluarga.

Merujuk kepada perkara diatas kami menjemput tuan hadir dalam pertemuan diatas pada hari Selasa 1 Jun 2010 , jam 3.00 petang bertempat di Bilik Gerakan, Tingkat 22 Pejabat SUK Shah Alam , Selangor Darul Ehsan. Setiap pertubuhan dijemput dua orang mewakili pertubuhan masing-masing. Pihak tuan boleh mengesahkan kehadiran kepada Pengarah Program En Suhaizan Kayat 019-7285174 email : suhaizankayat@yahoo.com.

Sesungguhnya kehadiran tuan atau wakil dari semua pertubuhan adalah penting sebagai penyataan komitmen kita terhadap isu survival umat di negara ini. Mudahan usaha murni ini akan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t.

Sekian, Wassalam

Yang benar,


HAJI MOHD AZMI ABD. HAMID

Setiausaha Agung

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia – MAPIM

Isu Tanah KTM Tanjung Pagar, Singapura


SIDANG AKHBAR

BADAN PERHUBUNGAN PAS JOHOR

27hb. Mei, 2010



ISU PEMBANGUNAN TANAH KERETAPI TANAH MELAYU BERHAD (KTMB) DI SINGAPURA MELALUI PERJANJIAN “POINTS OF AGREEMENT (POA)” ANTARA MALAYSIA-SINGAPURA



Baru-baru ini disiarkan berita bahawa Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Sri Najib telah bersetuju dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong untuk menyelesaikan isu tanah KTMB yang telah tertangguh hampir 20 tahun. Kedua-dua Perdana Menteri juga telah bersetuju untuk menyelesaikan beberapa isu yang lain seperti pembinaan Sistem Transit Laju (RTS), pembangunan Bandar Kesihatan, penurunan kadar tol di Link Kedua dan penamatan Perjanjian Air, 1961. Antara beberapa faktor yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut;


1) KETELUSAN POINTS OF AGREEMENT (POA)

Kandungan POA yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dan Singapura tidak diperincikan kepada rakyat. Kenyataan akhbar bersama yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Singapura hanya menyatakan secara umum perkara yang telah dipersetujui sedangkan persoalan ini membabitkan isu kedaulatan dan kepentingan negara. Ketidaktelusan ini telah mengundang pelbagai spekulasi dan ketidaktentuan dikalangan rakyat Malaysia. PAS Johor mendesak supaya Perdana Menteri mendedahkan secara terpeinci isi kandungan POA yang telah dipersetujui. Antara beberapa persoalan yang timbul adalah seperti berikut;

a) Adakah POA yang digunapakai adalah yang ditantandatangani pada tahun 1990 oleh Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Ini adalah kerana PAS Johor difahamkan POA 1990 tersebut tidak mendapat persetujuan kabinet pada masa tersebut.

b) Pembangunan tanah KTMB seluas 217 hektar (536.2 ekar) di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands serta 3 lot di Bukit Timah yang diamanahkan kepada sebuah syarikat usahasama M-S Pte. Ltd dimana Khazanah Nasional Berhad memiliki 60% ekuiti dan 40% ekuiti di pegang oleh Temasek Holdings Ltd. PAS Johor mendesak supaya syarikat usahasama yang dimaksudkan adalah dalam kontek 60% ekuiti Khazanah mewakili Nilai Pasaran keseluruhan 217 hektar tanah KTMB di Singapura manakala Temasek Holdings pula hendaklah mengeluarkan modal bersamaan 40% dari Nilai Pasaran tanah KTMB tersebut.

Jika sebaliknya, ekuti 100% (60% + 40%) syarikat usahasama adalah mewakili Nilai Pasaran keseluruhan 217 hektar tanah KTMB, maka PAS Johor menentang usahasama tersebut kerana ia adalah merupakan satu pengkhianatan kepada Negara Malaysia kerana telah menjual kedaulatan dan maruah negara dengan cara memberikan 40% daripada tanah KTMB kepada Singapura melalui Temasek Holdings.

c) Dalam POA juga dinayatakan bahawa tanah keseluruhan KTMB seluas 217 hektar boleh di tukar berdasarkan kepada nilai masing-masing dengan tanah di Marina South dan/atau di Ophor Rochor. Kita curiga tentang proses penilaian dan prosedur yang akan dijalankan nanti bila dilakukan pertukaran tanah KTMB.


2) SISTEM TRANSIT LAJU (RTS)

PAS merasakan bahawa pembinaan RTS yang akan menghubungi Tanjong Puteri dengan Woodlands yang dijangka beroperasi pada 2018 akan memberi kemudahan kepada lebih 40,000 pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura. Dengan adanya RTS ini akan mempercepatkan perjalanan dari kedua-dua Negara. PAS Johor mencadangkan supaya satu syarikat usahasama antara Malaysia-Singapura dengan ekuiti 50:50 ditubuhkan untuk melaksanakan projek ini.


3) PEMBANGUNAN BANDAR KESIHATAN

Persetujuan untuk menubuhkan syarikat usahasama antara Malaysia-Singapura dengan ekuiti 50:50 bagi memajukan kawasan seluas 200 hektar sebagai Bandar Kesihatan. PAS Johor melihat persetujuan ini adalah didorong oleh keputusan perniagaan.


4) PENURUNAN KADAR TOL LINK KEDUA

PAS Johor berpandangan bukan sahaja tol Link Kedua yang diturunkan tetapi bayaran S$20 yang dikenakan bagi setiap kenderaan dimansuhkan. Ini selari dengan tindakan Malaysia yang tidak mengenakan sebarang bayaran kepada kenderaan Singapura yang masuk ke Malaysia. Tindakan pengurangan kadar tol akan dapat meningkatkan penggunaan Link Kedua.

5) PENAMATAN PERJANJIAN AIR, 1961

PAS Johor mendesak supaya bukan sahaja Loji Skudai dan Empangan Gunung Pulai yang diserahkan kembali kepada Malaysia secara percuma tetapi juga Loji Air Sg. Tebrau yang berkeluasa 32 ekar yang hakmiliknya adalah Public Utilities Board (PUB) juga diserahkan kepada Malaysia secara percuma. Desakan ini adalah wajar kerana ketiga-tiga lokasi tersebut Loji Skudai, Empangan Gunung Pulai dan Loji Air Sg. Tebrau adalah merupakan termaktub di dalam Perjanjian Air 1961.



KESIMPULAN

Kerajaan Malaysia hendaklah sentiasa menjadikan kedaulatan Negara Malaysia dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam memuktamadkan perundingan dengan pihak Singapura.



“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”





DATO’ DR. MAHFODZ BIN MOHAMED

Pesuruhjaya PAS Negeri Johor