Surat Terbuka Kepada
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia
28hb Mei 2010
Assalamualaikum Wrh Wbt
Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof
Tan Sri,
Saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri, ahli Suruhanjaya dan semua pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) atas kepekaan pihak Tan Sri terhadap teguran-teguran yang telah dibuat khususnya daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR)berhubung dengan ketelusan undi pos. Kenyataan media Tan Sri telah disiarkan oleh media arus perdana pada 26hb & 27hb Mei 2010, iaitu selepas sepuluh hari pilihanaraya kecil (PRK) Sibu , Sarawak.
Berdasarkan kepada laporan media arus perdana bolehlah saya simpulkan seperti berikut :
a. Pihak SPR mengakui bahawa sistem undi pos yang sedang berjalan sekarang kurang telus, terlalu teknikal dan menyusahkan pengundi pos sendiri.
b. Sistem pengundian awal akan menggantikan sistem undi pos di mana pengundi akan dikumpul di suatu dewan untuk mengundi. Masanya adalah 2-3 hari sebelum pengundian awam bermula. Bentuk pengundian adalah seperti pengundi awam iaitu hanya perlu memasukan kertas undi dalam tong undi tanpa perlu mengisi Borang 2 dan memulangkannya semula secara pos.
c. SPR berkemungkinan besar akan mula menggunakan sistem pengundian awal bermula Julai 2011.
d. Sistem pengundian awal ini tidak terpakai untuk pelajar di luar negara dan mereka yang bertugas di luar negara.
Tan Sri,
Suka untuk saya merujuk kepada PRK Sibu Sarawak. Berdasarkan kepada maklumat ejen pengundian pos Pakatan Rakyat (PR), pihak kami telah mendapati terdapat 179 petugas SPR, 8 anggota tentera dan 3 anggota polis tidak mengembalikan kertas undi mereka. Saya telah sahkan perkara ini dengan pihak berwajib di Sibu. Saya cukup musykil apabila SPR telah mengemukan versi berbeza dalam Berita Harian pada 27hb Mei 2010. Berita ini boleh dilayari di url http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PengundianposJulai2011lebihkemas_SPR/Article/. Terdapat perbezaan dalam laporan ini yang menyatakan bahawa 31 kertas undi polis, 31 kertas undi tentera dan 128 kertas undi petugas SPR tidak dikembalikan. Saya fikir Tan Sri telah menerima laporan yang salah berhubung angka sebenar undi pos yang tidak dikembalikan oleh petugas SPR, tentera dan polis. Suka saya ingatkan kepada pegawai SPR yang bertanggungjawab melaporkan kepada Tan Sri Pengerusi SPR bahawa angka undi pos ini bukan nasi lemak yang boleh di tokok tambah bila tak sedap dimakan. Kalau nasi lemak tak sedap maka kita boleh tambah sambal atau telur atau daging. Tapi angka undi pos ini adalah tetap dan tidak boleh dipinda sesedap selera seperti nasi lemak.
Seramai 179 daripada 290 atau 62% petugas Petugas SPR di Sibu tidak mengembalikan kertas undi mereka. Daripada jumlah ini terdapat lebih 200 orang petugas SPR telah membawa pulang kertas undi mereka. Walaupun dari segi peraturan undi pos tidak salah tetapi insiden ini mendedahkan kepada penjualan kertas undi kepada sindiket. Persoalannya mengapa petugas SPR yang sepatutnya mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap pilihanraya tidak mengembalikan kertas undi mereka?
Saya pernah menyebut kepada Tan Sri dalam suatu pertemuan antara pimpinan PAS Pusat dengan SPR di Putrajaya pada Oktober 2009 bahawa peraturan undi pos yang sedia ada boleh menyebabkan kertas undi dijual kepada sindiket di luar. Pada masa itu Tan Sri meragui pandangan saya. Tan Sri ada menyebut “Saya tak fikir ada orang sanggup menjual kertas undinya”. Akhirnya telah terbukti dalam PRK Sibu terdapat ramai petugas SPR tidak memulangkan sampul B yang terkandung di dalamnya kertas undi. Dengan lain perkataan kertas undi petugas SPR majoritinya tidak dipulangkan. Mengikut pandangan ejen undi pos PR, kertas undi ini berkemungkinan telah dijual kepada sindiket . Malang kepada sindiket ini kerana mereka gagal memulangkan semula kertas undi tersebut secara berkelompok sebelum jam 5.00 petang pada 16hb Mei 2010 di Wisma Sanyan, Sibu kerana ejen undi pos PR mengawalnya 24 jam. Ejen undi pos PR telah dapat mengesan beberapa kejadian sindiket ini cuba untuk membuang undi di Wisma Sanyan . Al-hamdulillah ejen undi pos PR dapat mengawal pengundian proksi sindiket daripada berlaku secara berleluasa. Inilah punca utama mengapa proksi petugas SPR tidak memulangkan semula kertas undi pos sebelum masa yang ditetapkan. Saya rasa inilah juga punca mengapa 62% petugas SPR gagal mengembalikan kertas undi mereka.
Cadangan pihak Tan Sri untuk membuat perubahan besar terhadap undi pos dengan mengganti sistem lama kepada Sistem Pengundian Awal menjelang Julai 2011 sangat-sangat saya alukan. Pastinya sebagaimana kebiasaan, dalam hal ini pihak Tan Sri perlu mendapat persetujuan daripada pihak kerajaan Barisan Nasional(BN) terlebih dahulu. BN mendapat kemenangan undi pos sebanyak 33 kali ganda di Sibu dan selama ini undi pos merupakan fixed-deposit kepada undi BN. Ruang manipulasi terlalu besar dalam sistem undi pos. Saya tidak fikir BN dengan mudah akan bersetuju dengan cadangan Tan Sri. Pernah berlaku sebelum ini dalam pilihanraya umum 2004, SPR telah mengeluarkan peraturan yang tidak membenarkan parti yang bertanding membuat pondok panas di sekitar tempat mengundi . Parti pembangkang mematuhi peraturan ini tetapi malangnya semua ejen BN tidak mematuhi. Akhirnya SPR mengikut keputusan BN dan pondok panas terpacak juga di sekitar tempat mengundi semasa Pilihanraya Umum 2004. Keduanya pada pilihanraya umum 2008, SPR telah membelanjakan wang rakyat dengan jumlah yang besar untuk membeli dakwat hitam bagi menanda jari untuk tujuan pengesahan pengundi. Namun apabila ada pihak yang berkepentingan tidak bersetuju, akhirnya SPR telah akur kepada pihak tersebut seterusnya membatalkan penggunaan dakwat hitam seperti yang dirancang. Ketiga, dalam pilihanraya umum 2008, SPR menetapkan setiap calon yang bertanding perlu mendapat pengesahan Pesuruhjaya Sumpah terlebih dahulu sebelum penamaan calon. Tetapi ramai calon UMNO/ BN tidak sempat untuk membuat pengesahan Pesuruhjaya sumpah tersebut , lantas peraturan ini dibatalkan pada saat akhir. Saya sendiri telah membuat bantahan terhadap calon BN bagi DUN Kempas, Johor yang tidak membuat pengesahan tersebut, malangnya saya pula dimarahi pegawai SPR di Putrajaya dan meminta saya membawa kes ini ke mahkamah. Saya yakin cadangan Tan Sri terhadap Sistem Pengundian Awal akan menerima nasib yang sama. Masakan Dato Seri Najib Tun Razak boleh setuju dengan cadangan Tan Sri sedangkan beliau telah menyiapkan dirinya dengan undi pos yang banyak di Pekan. Kalau Tan Sri berkeras juga , saya bimbang bukannya sistem undi pos yang dimansuh tetapi nama Tan Sri yang akan dimansuhkan daripada SPR. Inilah demokrasi ala Malaysia, Tan Sri.
Tan Sri,
Sistem Pengundian Awal ini sebenarnya masih tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah ketidaktelusan dalam undi pos. Ruang-ruang ketidakadilan dan manipulasi masih terdapat dalam beberapa perkara. Antaranya, kita melihat bagaimana hanya pihak Kerajaan BN sahaja dibenarkan masuk ke kem untuk berkempen. Contohnya semasa Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang yang lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri dibenarkan masuk berkempen dalam kem. Saya masih lagi menyimpan ucapan menteri-menteri tersebut yang membuktikan bahawa mereka telah berkempen dalam kem tentera. Bagaimanapun jentera pilihanraya PAS tidak pula dibenarkan berkempen. Begitu juga di Sibu, sebanyak dua kali pertemuan telah diadakan di antara Perdana Menteri dengan anggota tentera tetapi pihak DAP tidak pula mendapat sebarang peluang untuk berkempen terhadap mereka. Bentuk demokrasi apakah ini, Tan Sri? Bila kita ajukan kepada SPR, seperti biasa SPR akan menjawab bahawa mereka tiada kuasa menghalang atau membenarkan calon berkempen dalam kem. Itu namanya padang permainan yang tidak sama rata, Tan Sri.
Sistem Pengundian Awal ini akan menyebabkan semua anggota tentera, polis dan SPR berkumpul di satu tempat untuk mengundi. Bagaimana SPR mahu mengarahkan pihak tentera untuk tidak membuat sebarang aktiviti di luar kem pada masa mereka mengundi ?. Kes di Bagan Pinang dan Sibu, pada hari mengundi terdapat beratus-ratus anggota tentera membuat latihan menembak di luar kem. Sama ada dirancang atau kebetulan saya tidak pasti. Tetapi yang pasti anggota tentera ini tidak berada dalam kem. Kalau media arus perdana pun SPR tidak ada kuasa menyekatnya berkempen selepas jam 12 malam sebelum mengundi, apakah SPR mampu memberi arahan untuk tidak membenarkan pihak tentera membuat aktiviti luar kem pada hari mengundi. Saya minta SPR ukur kail (joran) sendiri. Jika kail panjang sejengkal bagaimana SPR mahu menduga laut yang dalam, Tan Sri.
Setelah 12 kali pilihanraya umum dan 11 kali pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008 baru sekarang SPR menyedari bahawa sistem undi pos tidak telus. Himpunan Bersih 2007 telah mendesak dihapuskan undi pos namun SPR mendiamkan diri sahaja. Sebenarnya Pemuda PAS telah mewujudkan kumpulan pemantau undi pos ini sejak PRK Bagan Pinang seterusnya dilebarkan kepada rakan-rakan PR di Hulu Selangor dan Sibu. Pemuda PAS berjaya memberi gambaran kepada rakyat Malaysia bahawa terdapat ruang manipulasi yang terlalu besar dalam sistem undi pos. Kemuncaknya adalah di Sibu, Sarawak. Menang atau kalah,ruang manipulasi undi pos tetap terdedah kepada sesiapa yang mahu menggunakannya. Di Sibu ejen PR telah berjaya menggunakan senjata BN untuk menghunus balik ke perut BN. Itulah saya katakan “Senjata sudah makan tuan di Sibu”. Apakah apabila senjata undi pos sudah tidak dapat digunakan oleh BN, baru SPR menyedari undi pos sudah tidak telus? Ke mana perginya ketelusan undi pos selama 12 kali pilihnaraya sebelum ini? Tan Sri, itulah hakikat demokrasi negara kita yang kononnya menjadi kebanggaan dunia. Jika tidak, masakan pula SPR boleh menolak pemerhati bebas dari luar negara .
Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat
Jom Ke Blog Baru Saya!
13 years ago
1 comments:
Kekejaman terbaru Israel
http://news.bbc.co.uk/2/hi/world/middle_east/10195838.stm
Post a Comment