Friday, June 24, 2011

BANTAH PENCEROBOHAN RUANG UDARA NEGERI JOHOR





Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Khamis 23 Jun 2011

BANTAH PENCEROBOHAN RUANG UDARA NEGERI JOHOR

Kerajaan Malaysia telah mengesahkan bahawa terdapat 2,508 pencerobohan pesawat Tentera Udara Singapura sejak tahun 2008. Pihak Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia telah membuat cerapan terhadap pesawat negara jiran yang mencurigakan. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mendedahkan isu ini secara bertulis di Parlimen. Pada tahun 2008 terdapat 985 pencerobohan dikesan, 1,286 pencerobohan tahun 2009, 218 pencerobohan tahun 2010 dan sehingga Mei 2011 sudah 19 pencerobohan telah dikesan.

Pada bulan Mac 2006 pesawat tanpa pemandu (UAV) dipercayai milik tentera udara Singapura telah menceroboh ruang udara Johor di Gelang Patah. UAV Singapura telah menggunakan teknologi pengintipan Israil dan teknologi ini juga telah digunakan untuk memantau pergerakan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Rakyat Malaysia khususnya Johor sangat curiga terhadap pengunaan UAV ini.

Sebelum ini Malaysia dan Singapura pernah mempunyai perjanjian penggunaan ruang udara bagi membenarkan jet pejuang tentera udara Singapura yang berpengkalan di Paya Lebar menggunakan ruang udara Johor Selatan. Malangnya terdapat jet pejuang Singapura telah melepasi ruang yang dibenarkan. Akhirnya perjanjian ini dibatalkan pada 18 September 1998. Perjanjian semula hampir dimetrai pada tahun 2004 tetapi mendapat bantahan rakyat Malaysia. Sehingga kini tiada sebarang perjanjian yang membenarkan ruang udara Johor digunakan oleh pihak Singapura.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sangat kesal terhadap pencerobohan ruang udara Negeri Johor dan beranggapan bahawa Singapura seolah-olah tidak menghormati Malaysia sebagai negara berdaulat. Sebagai negara berjiran dan rakyat kedua-dua negara sering berulang-alik maka pihak Kerajaan Singapura wajib menjelaskan kepada rakyat Malaysia apakah justifikasi pencerobohan ini berlaku. Kerajaan Malaysia juga harus bertegas dan memberi tempoh waktu tertentu untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Kerajaan Negeri Johor pula hendaklah lebih proaktif mendesak kerajaan Singapura meghentikan pencerobohan dengan segera. Sidang Dewan Undangan Negeri Johor yang sedang bersidang sekarang seharusnya diambil kesempatan untuk mengemukakan usul tergempar mengutuk pencerobohan ruang udara Johor dan mendesak dihentikan pencerobohan serta merta. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mewakili rakyat Negeri Johor mahukan rantau ini bebas daripada sebarang persengketaan. Kita mahu hidup aman, makmur dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

Wednesday, June 22, 2011

ISU JOHOR KOTOR : TUBUH JAWATANKUASA KIRA-KIRA RAYA NEGERI JOHOR




Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Rabu 22 Jun 2011

ISU JOHOR KOTOR : TUBUH JAWATANKUASA KIRA-KIRA RAYA NEGERI JOHOR

Pemuda PAS Negeri Johor sangat berterima kasih atas keperihatinan Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang telah memberi respon terhadap kebersihan Negeri Johor. Baginda telah menegur ahli majlis PBT yang lemah dan kontraktor yang tidak menjalankan amanah seperti yang diharapkan. Sebenarnya isu kebersihan ini sudah lama menjadi masalah rakyat khususnya di bandar-bandar utama Negeri Johor. Malangnya kurang diberi perhatian oleh pihak berwajib sebelum ini. Teguran Baginda Sultan itu seharusnya memberi kesedaran kepada semua pihak bahawa kebersihan merupakan perkara yang penting untuk diberi perhatian.

Johor adalah laluan pelancong daripada Singapura menuju ke utara tanah air. Adalah sangat memalukan apabila pelancong membandingkan kebersihan Singapura dengan Negeri Johor. Rakyat Johor yang berulang alik Singapura dan Johor Baharu pun boleh membandingkan kebersihan keduanya. Bandar-bandar di Singapura jauh lebih bersih daripada bandar-bandar di Negeri Johor. Sudah sampai masanya Kerajaan Negeri Johor membuat semak dan imbang (check and balance) kepada masalah kebersihan di negeri ini.

Suatu kajian yang menyeluruh perlu dibuat bagi mengesan punca masalah yang berlaku. Adakah berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan atau kelemahan kepimpinan dan pengurusan atau sikap rakyat itu sendiri. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mencadangkan kepada pihak Kerajaan Negeri Johor agar menubuhkan Jawatankuasa Kira-kira Raya Negeri Johor yang dianggotai oleh ahli dewan undangan negeri daripada kerajaan dan pembangkang bagi menyiasat punca masalah yang berlaku. Saya yakin dan percaya jika pihak kerajaan negeri sudah mengenal pasti masalah yang berlaku maka tidakkan yang sewajarnya boleh diambil bagi mempastikan rakyat Negeri Johor dapat menikmati suasana kebersihan kelas pertama di Negeri Johor.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor.

Exco Pemuda PAS Pusat.

019-7285174

Tuesday, June 21, 2011

LEBIH BAIK SPR BERDIAM DIRI

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Selasa 21 Jun 2011

LEBIH BAIK SPR BERDIAM DIRI

Sesuatu yang jangal walaupun bukannya luar biasa telah berlaku kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) apabila kenyataan pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof telah cuba membuka pintu rundingan dengan Jawatankuasa Bersih 2 berkenaan isu Himpunan Bersih 2 pada 9 Julai 2011. Kenyataan ini telah disiarkan oleh media Malaysiakini pada 20-Jun-2011. Sedangkan pada 18-Jun-2011 Tan Sri Abdul Aziz telah menutup pintu rundingan seperti yang telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian. Perubahan mendadak pendirian SPR ini dipercayai akibat tekanan pihak kerajaan.

Tan Sri Abdul Aziz menekankan bahawa demonstrasi tidak menyelesaikan sebarang masalah. Mungkin Tan Sri Abdul Azizi terlupa bahawa Himpunan 100 Ribu Gerakan Rakyat Membantah PPSMI (GMP) tahun 2009 telah menyebabkan polisi PPSMI berubah. Sedangkan sebelum demontrasi pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran pada masa tersebut Dato Hishmuddin Tun Hussin bertegas akan mengekalkan PPSMI. Itulah bukti yang paling jelas bagaimana demontrasi boleh mengubah sesuatu polisi kerajaan.

Hujah yang mengatakan kemenangan pembangkang dalam pilihanraya 2008 telah membuktikan bahawa SPR telah berlaku adil dalam pilihanraya adalah hujah yang meleset. Sistem undi pos yang ternyata mempunyai ruang manipulasi yang sangat jelas sehingga SPR berjanji mahu membuat perubahan. Terdapat bekas-bekas pegawai tentera yang telah mengaku memangkah kertas undi bagi pihak anggota di bawahnya, insiden berkaitan undi Pos yang berlaku di pilihanraya kecil Bagan Pinang dan Sibu, kuasa SPR yang sangat terhad terhadap media massa dan lain-lain isu telah membuktikan bahawa sistem pilihanraya tidak berlaku dengan adil selama ini. Janji SPR untuk membuat reformasi terhadap undi pos masih lagi pada tahap janji sahaja. Belum sampai peringkat perlaksanaan lagi.

Sebagai badan perlaksana kepada pilihanraya, SPR tidak mempunyai cukup kuasa untuk membuat perubahan kepada lapan tuntutan yang dibuat oleh Bersih 2 iaitu membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas & adil, tempoh minima 21 hari berkempen, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Sebarang rundingan dengan pihak SPR tidak boleh menyelesaikan semua tuntutan. Ini kerana SPR hanya mempunyai kuasa yang sangat terhad terhadap media, kuasa terhad untuk mengukuhkan institusi awam, kuasa terhad untuk menghentikan rasuah dan politik kotor.

Sebenarnya SPR juga menjadi mangsa kepada sistem yang tidak adil dalam negara ini. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor berpendapat adalah lebih baik SPR berdiam diri terhadap Himpunan Bersih 2. Itu lebih baik bagi mempastikan SPR sebuah badan bebas yang bertugas untuk melaksanakan pilihanraya yang adil dan bersih.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.

019-7285174

Thursday, June 16, 2011

ISU WARGA SINGAPURA DIBOGEL DAN KETUK KETAMPI



Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Rabu 16 Jun 2011

ISU WARGA SINGAPURA DIBOGEL DAN KETUK KETAMPI

Pemuda PAS Negeri Johor telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pengarah Jabatan Imigresin Negeri Johor En. Amran Bin Ahmad pada hari semalam Selasa 15hb Jun 2011 di Pejabat Jabatan Imigresin Negeri Johor, Taman Setia Tropika, Kempas, Johor berhubung isu 2 orang warga Singapura yang ditahan oleh pihak berkuasa dan telah diarahkan berbogel dan ketuk ketampi. En Amran Bin Ahmad tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung isu tersebut kerana beliau tidak diberi mandat oleh pihak atasan untuk membuat sebarang kenyataan kepada Pemuda PAS Negeri Johor.

Bagi menjaga nama baik agensi kerajaan khususnya Jabatan Imigresin Malaysia, Pemuda PAS Negeri Johor lebih memberi fokus terhadap ruang kesilapan manusia yang terdapat proses masuk ke negara kita. Dua orang warga Singapura ini menyatakan bahawa mereka telah melalui kaunter Jabatan Imigresin tetapi tiada pegawai dikaunter tersebut. Kemudian mereka meneruskan ke kaunter tol. Mereka membuat bayaran tol dan penghadang pun dibuka. Seterusnya mereka masuk ke negara kita dengan anggapan bahawa negara kita mungkin telah melaksanakan sistem biometrik yang tidak memerlukan pegawai untuk pengesahan masuk.

Dewan Pemuda PAS Johor berpendapat terdapat ruang yang membolehkan manusia membuat kesilapan semasa proses masuk ke negara kita. Penghadang di kaunter tol sepatutnya berada di kaunter Jabatan Imigresin bukannya berada di kaunter tol. Kebenaran masuk perlu dibuat oleh pegawai. Setelah mendapat kebenaran maka penghadang akan dinaikkan dan pelancong boleh masuk ke negara kita. Adalah lebih baik jika kaunter Jabatan Imigresin dan kaunter tol di satukan seperti proses masuk ke Singapura. Ini bagi mengelakkan kekeliruan berlaku kepada pelancong terutamanya bagi mereka yang kurang memahami peraturan-peraturan dalam negara kita.

Sistem biometrik yang telah diperkenalkan oleh pihak Jabatan imigresin telah menyebabkan kesesakan yang teruk di sempadan negara. Ini berpunca daripada proses kemasukkan data cap jari untuk setiap pelancong yang datang. Proses ini telah menggunakan masa yang panjang. Pada waktu ini kesesakan sudah semakin pulih. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor berpandangan Jabatan Imigresin boleh membuat fasa-fasa yang munasabah bagai memasukkan data cap jari pelancong yang masuk. Contohnya satu bulan. Keadah berfasa ini dapat mengelakkan kesesakan di sempadan negara kita. Cadangan ini boleh dijadikan panduan untuk tindakan pada masa yang akan datang.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

019-7285174

Wednesday, June 15, 2011

PENIAGA KUALA LUMPUR UNTUNG BESAR SEMASA HIMPUNAN BERSIH 2



Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Selasa 15 Jun 2011

PENIAGA KUALA LUMPUR UNTUNG BESAR SEMASA HIMPUNAN BERSIH 2

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Ahmad Maslan telah menyatakan bahawa Himpunan Bersih 2 akan menyusahkan rakyat, penjaja, peniaga dan pemandu teksi. Beliau menyifatkan himpunan ini adalah ancaman kepada ekonomi negara khususnya industri pelancongan dan pelaburan asing.

Perkara pertama yang wajib difahami oleh Datuk Ahmad Maslan adalah himpunan aman tanpa senjata adalah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Malaysia. Ini bermakna bahawa himpunan tanpa senjata adalah halal di sisi undang-undang negara. Semua warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama untuk hadir dalam himpunan aman.

Peserta himpunan yang bakal hadir adalah seramai 300 ribu orang. Mereka datang daripada seluruh negara dengan membawa duit perbelanjaan masing-masing, sekurang-kurangnya RM100 seorang. Dalam masa 3 jam sahaja aliran tunai paling minima di kalangan peserta himpunan Bersih 2 adalah RM30 juta. Mereka akan berbelanja seperti membeli makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Bukan semua mereka berkenderaan ke Kuala Lumpur. Sebahagian besar mereka menaiki kenderaan awam. Oleh itu perkhidmatan bas, teksi, LRT dan lain-lain akan mendapat pulangan yang berganda. Kenyataan yang menyatakan bahawa penjaja, peniaga dan pemandu teksi akan mengalami kerugian adalah hujah yang paling dangkal di abad ini.

Walaubagaimana pun semua pihak hendaklah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Pihak kerajaan, Polis, Jawatankuasa Bersih 2, PERKASA, PERKIDA, parti-parti politik dan lain-lain pihak harus menghormati kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan. Sebagai contoh mengapa tidak pihak polis membuat reformasi dalam menguruskan peserta himpunan dengan meletakkan anggota polis di sepanjang jalan dari Jalan Chow Kit ke Istana Negara di mana Ketua Polis Negara memandu Pengerusi Bersih Datuk Ambiga ke Istana Negara. Di laluan yang lain pula Timbalan Ketua Polis Negara pula mengiringi Datuk Ibrahim Ali menuju ke Istana Negara.

Saya penuh yakin masyarakat negara ini khususnya anak muda sudah jauh terbuka minda mereka terhadap himpunan aman. Masyarakat sudah boleh menerima bahawa himpunan aman adalah suatu keperluan kepada negara demokrasi seperti Malaysia. Pelancong-pelancong yang hadir akan berpuas hati dengan keharmonian yang berlaku. Seperti mereka melihat sambutan Maulidur Rasul S.A.W dan Thaipusam di Batu Caves. Pihak polis bekerjasama dengan penganjur bagi menjayakan aktiviti tersebut. Jika pihak polis bersedia membuat reformasi dalam menguruskan himpunan aman ini maka insya Allah tiada kekacauan akan berlaku dan pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

019-7285174

Tuesday, June 14, 2011

KENYATAAN PERKASA BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA


Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Selasa 14 Jun 2011

KENYATAAN PERKASA BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang juga ahli Parlimen Pasir Mas bahawa beliau akan mengerahkan ahlinya dari seluruh negara untuk berarak pada hari yang sama bagi menyekat kemaraan Himpunan Bersih 9 Julai 2011 adalah membuktikan dengan jelas bahawa PERKASA adalah pertubuhan yang mahu kekacauan berlaku dalam negara kita. Malah kenyataannya yang mahu bertembung semasa perhimpunan tersebut adalah merupakan satu ancaman yang serius kepada keselamatan negara. Polis perlu menyiasat Datuk Ibrahim Ali berhubung ancaman yang telah dikeluarkan secara terbuka.

Sebenarnya Jawatankuasa Bersih 2 yang dipengerusikan oleh Dato Ambiga mahu membuat 8 tuntutan kepada pihak kerajaan bagi mengembalikan demokrasi yang telah tercemar selama ini. Tuntutan tersebut adalah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas & adil, tempoh minima 21 hari berkempen, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Dalam Himpunan Bersih 2 suatu memorandum akan diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Himpunan aman tanpa senjata adalah kebebasan yang dibenarkan oleh perlembagaan Malaysia seperti yang tercatat dalam perkara 10. Adapun perkara 27 Akta polis(akta 344) mengenai kuasa untuk mengawalselia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang diberi kuasa kepada pihak polis adalah bertujuan untuk menjayakan objektif kebebasan bersuara dalam perlembagaan bukannya menghalang kebebasan tersebut.

Pihak polis yang mempunyai kelengkapan mengawal rusuhan sebenarnya mampu mengawal keadaan dengan penuh hikmah. Pihak polis boleh menjaga keamaman Himpunan Bersih 2 dengan menyusun anggota polis di tepi jalan sepanjang himpunan menuju Istana Negara. Mereka yang didapati mewujudkan kekecohan perlu ditangkap. Jika pihak PERKASA dengan niat yang ikhlas mahu menghantar memorandum kepada pihak Istana maka mereka dibenarkan berhimpun dan berarak daripada laluan yang berbeza. Pihak polis perlu membuat perbincangan yang rapi dengan penganjur kedua-dua pihak. Saya yakin pihak polis yang mempunyai banyak pengalaman mampu mengawal keselamatan negara. Jika dua himpunan dapat berjalan serentak dengan aman maka saya penuh yakin pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Tetapi jika pihak polis hanya mengikut telunjuk pemimpin politik tertentu maka polis akan dihina oleh semua pihak.

Himpunan aman tanpa senjata adalah keperluan kepada demokrasi yang adil. Ratusan ribu rakyat tidak akan menghadiri Himpunan Bersih 2 jika mereka tidak ada tujuan yang khusus untuk mendapat satu pilihanraya yang bersih dan adil. Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan juga sering menganjurkan perarakan semasa Sambutan Maulidurasul atau upacara agama tertentu. Ribuan orang akan berarak di jalan raya. Mereka mendapat hak untuk berhimpun. Persoalannya mengapa Bersih 2 seolah-olah dinafikan hak untuk berhimpun secara aman?

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

KENYATAAN PERKASA BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA


Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Selasa 14 Jun 2011

KENYATAAN PERKASA BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang juga ahli Parlimen Pasir Mas bahawa beliau akan mengerahkan ahlinya dari seluruh negara untuk berarak pada hari yang sama bagi menyekat kemaraan Himpunan Bersih 9 Julai 2011 adalah membuktikan dengan jelas bahawa PERKASA adalah pertubuhan yang mahu kekacauan berlaku dalam negara kita. Malah kenyataannya yang mahu bertembung semasa perhimpunan tersebut adalah merupakan satu ancaman yang serius kepada keselamatan negara. Polis perlu menyiasat Datuk Ibrahim Ali berhubung ancaman yang telah dikeluarkan secara terbuka.

Sebenarnya Jawatankuasa Bersih 2 yang dipengerusikan oleh Dato Ambiga mahu membuat 8 tuntutan kepada pihak kerajaan bagi mengembalikan demokrasi yang telah tercemar selama ini. Tuntutan tersebut adalah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas & adil, tempoh minima 21 hari berkempen, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Dalam Himpunan Bersih 2 suatu memorandum akan diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Himpunan aman tanpa senjata adalah kebebasan yang dibenarkan oleh perlembagaan Malaysia seperti yang tercatat dalam perkara 10. Adapun perkara 27 Akta polis(akta 344) mengenai kuasa untuk mengawalselia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang diberi kuasa kepada pihak polis adalah bertujuan untuk menjayakan objektif kebebasan bersuara dalam perlembagaan bukannya menghalang kebebasan tersebut.

Pihak polis yang mempunyai kelengkapan mengawal rusuhan sebenarnya mampu mengawal keadaan dengan penuh hikmah. Pihak polis boleh menjaga keamaman Himpunan Bersih 2 dengan menyusun anggota polis di tepi jalan sepanjang himpunan menuju Istana Negara. Mereka yang didapati mewujudkan kekecohan perlu ditangkap. Jika pihak PERKASA dengan niat yang ikhlas mahu menghantar memorandum kepada pihak Istana maka mereka dibenarkan berhimpun dan berarak daripada laluan yang berbeza. Pihak polis perlu membuat perbincangan yang rapi dengan penganjur kedua-dua pihak. Saya yakin pihak polis yang mempunyai banyak pengalaman mampu mengawal keselamatan negara. Jika dua himpunan dapat berjalan serentak dengan aman maka saya penuh yakin pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Tetapi jika pihak polis hanya mengikut telunjuk pemimpin politik tertentu maka polis akan dihina oleh semua pihak.

Himpunan aman tanpa senjata adalah keperluan kepada demokrasi yang adil. Ratusan ribu rakyat tidak akan menghadiri Himpunan Bersih 2 jika mereka tidak ada tujuan yang khusus untuk mendapat satu pilihanraya yang bersih dan adil. Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan juga sering menganjurkan perarakan semasa Sambutan Maulidurasul atau upacara agama tertentu. Ribuan orang akan berarak di jalan raya. Mereka mendapat hak untuk berhimpun. Persoalannya mengapa Bersih 2 seolah-olah dinafikan hak untuk berhimpun secara aman?

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

019-7285174

Monday, June 13, 2011

Lebuhraya Pasir Gudang – Desaru Memalukan Rakyat Johor

Lebuhraya satu lorong tapi ber"tol"


Lebuhraya ajib di Johor. Lebuhraya satu lorong

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Isnin 13 Jun 2011

Lebuhraya Pasir Gudang – Desaru Memalukan Rakyat Johor

Rakyat Negeri Johor sememangnya tertunggu-tunggu siapnya lebuhraya daripada Senai ke Desaru di Kota Tinggi. Lebuhraya ini adalah sebahagian daripada projek pembagunan Iskandar Malaysia. Panjangnya 77 km melingkari daripada Senai, Ulu Tiram, Pasir Gudang dan Desaru. Nama singkatan lebuhraya ini adalah Senai-Desaru Expressway(SDE). Ia boleh menjimatkan masa perjalanan daripada jalan biasa dua jam setengah kepada hanya satu jam sahaja. Projek ini telah dibina oleh syarikat Ranhill Engineers & Constructors Sdn Bhd dan merentasi Sungai Johor berhampiran Pasir Gudang sepanjang 1.7 km. Fasa terakhir lebuhraya adalah daripada Pasir Gudang Ke Desaru telah dibuka pada hari jumaat 10 jun 2011 dan percuma tampa bayaran tol selama sebulan.

Pemuda PAS Johor begitu kecewa apabila fasa terakhir lebuhraya Pasir Gudang ke Desaru hanya mempunyai satu lorong sahaja. Tidak pernah rakyat Johor mendengar atau melihat lebuhraya dalam dunia ini hanya satu lorong dan bakal dikenakan tol selepas 10 Julai 2011. Laluannya terlalu sempit dan tidak mempunyai ‘side table’ atau bahu jalan yang cukup untuk tujuan kecemasan. Laluan ini sangat merbahaya kepada kenderaan khususnya waktu malam kerana kawasannya yang gelap tampa lampu jalan yang cukup. Pengguna hanya selesa membawa kenderaan dengan kelajuan 60 km sejam sahaja.

Apabila kemalangan atau kerosakkan kenderaan berlaku maka lebuhraya ini akan berlaku kesesakan yang teruk di kedua-dua belah lorong. Kesesakan yang paling ketara dijangka akan berlaku dihujung minggu atau musim cuti adalah laluan menurun dari atas Jambatan Sungai Johor dan di tol Desaru. Ini kerana Laluan di atas jambatan terdapat dua lorong tetapi malangnya laluan selepas jambatan hanya mempunyai satu lorong sahaja. Kaunter tol pula hanya ada dua sahaja untuk bayaran tunai.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan mengapa projek Lebuhraya Pasir Gudang–Desaru hanya mempunyai satu lorong sahaja? Jika pihak kerajaan membenarkan syarikat konsesi ini mengutip bayaran tol selepas 10 Julai 2011 maka Dewan Pemuda PAS Negeri Johor akan membuat bantahan besar-besaran kepada pihak kerajaan.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

019-7285174



Thursday, June 9, 2011

Cukai 6 % Telefon Prabayar : Mohon Penjelasan Syarikat Telekomunikasi



Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Khamis 09 Jun 2011

Cukai 6 % Telefon Prabayar : Mohon Penjelasan Syarikat Telekomunikasi

Terdapat 3 syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia iaitu Digi, Celcom dan Maxis. Pada tahun 2006 terdapat 17.8 juta mendaftar sebagai pengguna talian prabayar. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) mendapati rakyat Malaysia membelanjakan RM17 juta sehari untuk penggunaan SMS(Sistem Pesanan Ringkas). Pada tahun 2004 terdapat 9.5 bilion SMS telah dihantar oleh rakyat Malaysia. Secara puratanya pengguna telefon menghantar 4 SMS setiap hari.

Bermula Januari 2011 pihak kerajaan telah menaikkan cukai perkhidmatan daripada 5% kepada 6%. Cukai perkhidmatan pengguna telefon prabayar juga tidak terkecuali. Selama ini cukai 5% telah diserap oleh syarikat telekomunikasi. Memandangkan beban yang terlalu besar ditanggung oleh pihak syarikat telekomunikasi maka terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa syarikat terbabit tidak lagi menyerap cukai tersebut mulai Julai 2011. Ini bermaksud bahawa cukai ini akan ditanggung oleh pengguna sepenuhnya. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mewakili anak-anak muda Malaysia yang majoritinya pengguna telefon prabayar memohon penjelasan daripada pihak syarikat telekomunikasi mengenai kebenaran dakwaan tersebut. Penjelasan ini adalah penting untuk maklumat pengguna kerana merekalah yang menerima kesan terhadap polisi ini.

Jika benar dakwaan tersebut maka anak-anak muda Malaysia merasa terbeban. Jika mereka membeli kad prabayar sebanyak RM10 maka mereka hanya memperolehi RM9.40. Baki RM0.60 diserahkan kepada kerajaan. Sebahagian besar anak muda Malaysia adalah pelajar sekolah, pelajar universiti dan tiada pekerjaan yang tetap. Mereka adalah pengguna aktif telefon prabayar. Berikutan kenaikan harga barang keperluan harian maka anak-anak muda Malaysia cukup terbeban dengan bayaran cukai ini.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

019-7285174

Wednesday, June 8, 2011

Kaji Semula Cadangan Mekanisma Perlepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra Selangor



Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Rabu 08 Jun 2011

Kaji Semula Cadangan Mekanisma Perlepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra Selangor

Pemuda PAS Negeri Johor memandang serius bantahan yang telah di buat oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berhubung dengan cadangan pindaan yang akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap Mekanisma Pelepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra di negeri ini. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 2hb Mac 2011 berhubung cadangan mekanisma pelepasan unit-unit hartanah kouta Bumiputra. Walaubagaimana pun Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengarahkan agar kajian semula cadangan tersebut supaya ia bersifat ‘self regulatory’.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan meluluskan pindaan baru dalam masa yang terdekat. Kami berpendapat terdapat beberapa ruang yang merugikan bumiputra jika cadangan ini diluluskan. Ruang ini akan mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan. Berikut dinyatakan beberapa perkara yang seharusnya di ambil perhatian oleh pihak kerajaan negeri :

1. Tidak terdapatnya penandaan pelan untuk kouta bumiputra yang wajib dilaksanakan oleh pihak pemaju. Penandaan pelan ini berperanan untuk menentukan dimana lokasi yang telah dikhaskan kepada bumiputera. Ini memudahkan pihak kerajaan membuat pemantauan. Jika tiada sebarang penandaan pelan maka ruang ini sangat mudah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Contohnya menyediakan lokasi bumiputra ditempat tidak strategik, menyembunyikan kouta bumiputra daripada pembeli dan memindahkan sesukahati lokasi hartanah bumiputra. Menariknya, terdapat cadangan penandaan pelan semasa cadangan dibentang pada 2hb Mac 2011 tetapi sekarang telah digugurkan. Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi justifikasi yang jelas kepada rakyat kenapa digugurkan penandaan pelan kouta bumiputra jika mahu meluluskan cadangan ini.

2. Tiada terdapatnya peranan Jawatankuasa Penandaan Unit Kouta Bumiputra(JPUKB) dalam cadangan terbaharu kerajaan negeri. JPUKB beperanan untuk memastikan kouta Bumiputra yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri(PBN) dipenuhi dan menentukan unit-unit jualan bagi kouta Bumiputra berdasarkan kelulusan PBN. Dalam cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ , telah mengugurkan kuasa JPUKB dan telah diganti oleh badan audit bebas. Pemaju dapat meluluskan perlepasan kouta bumiputra secara automatik. Badan audit bebas akan dilantik untuk membuat audit bagi mengelakkan penipuan daripada pihak pemaju. Masalahnya cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ dilihat terlalu longgar dan tidak jelas bagaimana kouta bumiputra boleh dipertahankan. Bagaimana rakyat mahu mambuat bantahan jika kerajaan negeri sendiri pun tidak jelas apa yang perlu dipertahankan.

3. Dalam cadangan terbaharu ini tidak dijelaskan dengan nyata peranan badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membeli hartanah bumiputra yang tidak mampu di beli oleh pembeli bumiputra. Contohnya seperti PHSSB(Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd). Peranan PHSSB adalah sebagai pengurus kepada semua hartanah bumiputra. Ia mampu mencari keseimbangan dalam mengatasi masalah hartanah bumiputra yang tidak mampu dibeli. Kepincangan ini dikuatiri akan menyebabkan ketidakseimbangan penduduk dalam sesuatu taman perumahan. Masalah ini akan meningkatkan jurang perkuaman yang sangat merbahaya dalam negara kita.

Pemuda PAS Johor berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Selangor harus mengkaji semula cadangan mekanisma perlepasan unit-unit hartanah kouta bumiputra dengan cara mendapatkan pandangan banyak pihak sebelum meluluskan cadangan tersebut. Pemimpin masyarakat, NGO, tokoh-tokoh akademik, budayawan dan lain-lain harus dilibatkan dalam membuat keputusan mencari jalan tengah mengatasi masalah hartanah bumiputra di Negeri Selangor. Pemuda PAS Negeri Johor tidak mahu Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Selangor difitnah oleh pihak tertentu kononnya tidak memberi penekanan kepada kepentingan orang Melayu dan bumiputra seperti yang tercatat dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

019-7285174