Tuesday, June 21, 2011

LEBIH BAIK SPR BERDIAM DIRI

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Selasa 21 Jun 2011

LEBIH BAIK SPR BERDIAM DIRI

Sesuatu yang jangal walaupun bukannya luar biasa telah berlaku kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) apabila kenyataan pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof telah cuba membuka pintu rundingan dengan Jawatankuasa Bersih 2 berkenaan isu Himpunan Bersih 2 pada 9 Julai 2011. Kenyataan ini telah disiarkan oleh media Malaysiakini pada 20-Jun-2011. Sedangkan pada 18-Jun-2011 Tan Sri Abdul Aziz telah menutup pintu rundingan seperti yang telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian. Perubahan mendadak pendirian SPR ini dipercayai akibat tekanan pihak kerajaan.

Tan Sri Abdul Aziz menekankan bahawa demonstrasi tidak menyelesaikan sebarang masalah. Mungkin Tan Sri Abdul Azizi terlupa bahawa Himpunan 100 Ribu Gerakan Rakyat Membantah PPSMI (GMP) tahun 2009 telah menyebabkan polisi PPSMI berubah. Sedangkan sebelum demontrasi pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran pada masa tersebut Dato Hishmuddin Tun Hussin bertegas akan mengekalkan PPSMI. Itulah bukti yang paling jelas bagaimana demontrasi boleh mengubah sesuatu polisi kerajaan.

Hujah yang mengatakan kemenangan pembangkang dalam pilihanraya 2008 telah membuktikan bahawa SPR telah berlaku adil dalam pilihanraya adalah hujah yang meleset. Sistem undi pos yang ternyata mempunyai ruang manipulasi yang sangat jelas sehingga SPR berjanji mahu membuat perubahan. Terdapat bekas-bekas pegawai tentera yang telah mengaku memangkah kertas undi bagi pihak anggota di bawahnya, insiden berkaitan undi Pos yang berlaku di pilihanraya kecil Bagan Pinang dan Sibu, kuasa SPR yang sangat terhad terhadap media massa dan lain-lain isu telah membuktikan bahawa sistem pilihanraya tidak berlaku dengan adil selama ini. Janji SPR untuk membuat reformasi terhadap undi pos masih lagi pada tahap janji sahaja. Belum sampai peringkat perlaksanaan lagi.

Sebagai badan perlaksana kepada pilihanraya, SPR tidak mempunyai cukup kuasa untuk membuat perubahan kepada lapan tuntutan yang dibuat oleh Bersih 2 iaitu membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas & adil, tempoh minima 21 hari berkempen, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Sebarang rundingan dengan pihak SPR tidak boleh menyelesaikan semua tuntutan. Ini kerana SPR hanya mempunyai kuasa yang sangat terhad terhadap media, kuasa terhad untuk mengukuhkan institusi awam, kuasa terhad untuk menghentikan rasuah dan politik kotor.

Sebenarnya SPR juga menjadi mangsa kepada sistem yang tidak adil dalam negara ini. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor berpendapat adalah lebih baik SPR berdiam diri terhadap Himpunan Bersih 2. Itu lebih baik bagi mempastikan SPR sebuah badan bebas yang bertugas untuk melaksanakan pilihanraya yang adil dan bersih.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.

019-7285174

1 comments:

berita sengsasi said...

jgn salahkan SPR tp salahkan pegawai yg memegang SPR..