Tuesday, July 15, 2008

Masalah Rumah Pangsa Tmn Cempaka, Tampoi, Johor


Jawatankuasa Bertindak Rumah Pangsa Taman Cempaka telah ditubuhkan pada ahad 8hb Jun 2008 oleh Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas. Tujuan penubuhannya adalah untuk membela kepentingan penduduk yang tinggal di rumah pangsa khususnya di Taman Cempaka. Rumah pangsa ini telah dibina lebih kurang 23 tahun yang lalu. Ia mempunyai 27 Blok dengan kapasiti lebihkurang 1800 unit rumah. Setiap blok diketuai oleh seorang Ketua Blok dan ahli jawatankuasanya yang bertanggungjawab terhadap segala permasalahan penduduk. Jawatankuasa ini dikenali sebagai Management Committee (MC) atau Perbadanan Pengurusan. Penduduk telah diberi hak milik serata oleh pihak kerajaan. Mengikut Akta Hakmilik Strata 1985 Seksyen 39 segala hal pengurusan diberi tanggungjawab kepada MC. Kebanyakkan penduduk di rumah pangsa Taman Cempaka adalah mereka yang berpendapatan rendah dan kenaikkan harga minyak telah menyebabkan mereka lebih tertekan untuk menyara keluarga. Akhirnya mereka tidak mampu memperuntukkan wang yang lebih untuk operasi penguruan rumah pangsa mereka.

Masalah-masalah khusus yang berkaitan dengan rumah pangsa Taman Cempaka adalah seperti berikut :

1. Penduduk rumah pangsa Taman Cempaka hanya mampu membayar lebihkurang RM15 sebulan untuk yuran perkhidmatan sedangkan kadar yang sesuai untuk pengurusan sesebuah blok seperti rumah pangsa ini adalah RM65 sebulan. Ini bermakna kami kekurangan RM50 sebulan bagi sebuah unit rumah. Kesannya adalah MC tidak mampu menguruskan blok dengan sempurna dan terpaksa berdepan dengan masalah-masalah berikut :
a. Ketidakmampuan untuk mengecat blok yang menyebabkan persekitaran kami kurang ceria dan tidak menarik.
b. Ketidakmampuan untuk menampal kebocoran dinding blok menyebabkan blok kami sentiasa bocor ketika hujan.
c. Ketidakmampuan untuk menyelengara sistem paip dan tangki air menyebabkan blok kami sering menghadapi masalah kebocoran paip.
d. Ketidakmampuan untuk menyelengara atap blok menyebabkan kami berhadapan dengan kebocoran setiapkali hujan. Kebocoran serius adalah ditingkat paling atas.

2. Pihak MC sering berhadapan dengan masalah penduduk yang bersatus penyewa dan pekerja asing yang tinggal diblok kami. Biasanya mereka enggan bekerjasama membayar yuran perkhidmatan dan melibatkan diri dalam aktiviti blok. Mereka tidak menunjukkan rasa tanggungjawab terhadap bangunan yang menjadi tempat tinggal mereka. Setiap tahun kami menghadapi masalah untuk membayar cukai tanah sebab mereka tidak mahu membayar kepada pihak MC. Kami tidak berkemampuan mengambil tindakkan undang-undang terhadap mereka kerana faktor kewangan.

3. Kawasan blok kami kekurangan tempat meletakkan kenderaan. Kami terpaksa berebut-rebut setiap kali kami ingin meletakkan kenderaan. Kami gagal menghalang kereta luar diletakkan dalam kawasan kami. Kami tidak boleh menggunakan sistem ’sticker’ pada kenderaan kerana kawasan kami tidak berpagar.

4. Kawasan rumah pangsa Taman Cempaka kekurangan tempat beridah seperti padang permainan, taman bunga, pusat rekerasi dan pusat sukan. Oleh sebab itu anak-anak muda mudah terdedah kepada anasir negatif. Anak kecil terpaksa bemain di ruang yang sempit dan kurang selesa. Bangunan pentadbiran dalam kawasan blok sangat daif kerana kami kekurangan sumber untuk menyelengaranya.

5. Kemudahan infrastruktur di sekeliling rumah pangsa juga sangat mendukacitakan Sebahagian longkang-longkang yang telah dibina pecah. Pokok-pokok sekitar taman kurang diurus. Jalan-jalan dalam kawasan rumah pangsa banyak yang berlubang.

Berdasarkan kepada masalah-masalah yang diutarakan diatas maka Pihak Jawatankuasa Bertindak Rumah Pangsa Taman Cempaka mencadangkan beberapa perkara untuk tindakkan pihak kerajaan seperti berikut :

1. Memohon pihak Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sumber kewangan tahunan kepada rumah pangsa.
2. Diwujudkan Jawatankuasa Rumah Pangsa diperingkat Kerajaan Tempatan untuk menyelaras hal ehwal berkaitan rumah pangsa seluruh negeri Johor.
3. Memohon pihak Kerajaan Tempatan menyediakan khidmat guaman percuma kepada MC untuk mengambil tindakkan undang-undang kepada penduduk yang engkar.
4. Mempertingkatkan mutu kemudahan infrastruktur di persekitaran rumah-rumah pangsa.
5. Memperuntukkan pagar setiap blok untuk kemudahan keselamatan dan penguatkuasaan.

0 comments: