Sunday, February 1, 2009

GMP turun ke khalayak perjelas misi kempen

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Hrkh) - Kira-kira 200 hadir dalam majlis pelancaran kempen himpunan 100,000 rakyat membantah perlaksanaan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI di pusat membeli belah Sogo, dekat sini, petang semalam.

Dalam majlis tersebut, Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Dato' Dr Hasan Ahmad sempat berucap sempena pelancaran tersebut selama lima minit sebelum diarahkan bersurai oleh pegawai polis yang hadir di tempat kejadian.


"Kita akan mengadakan perhimpunan raksasa 100,000 pada 7 Mac jam 2.00 petang di hadapan Istana Negara bagi menyampaikan risalah dan hasrat rakyat yang membantah pelaksanaan PPSMI kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada wartawan pada sidang media.
Kehadiran Sasterawan Negara, A. Samad Said, memberikan sokongan kepada program pelancaran kempen bantahan PPSMI itu turut mengejutkan banyak pihak.
Walau bagaimanapun, beliau tidak memberikan apa-apa ucapan sekadar memegang sepanduk yang berbunyi, 'Jangan Bunuh Bahasa Ibunda'.


Di sebalik kata-kata sinis sesetengah pihak yang menyatakan kegagalan program tersebut, beberapa penulis yang ditemui Harakahdaily menyifatkan ia tetap berjaya dijalankan kerana orang ramai serta penulis yang hadir tetap tidak berganjak daripada lokasi program walaupun diarahkan bersurai.


Program tersebut adalah inisiatif Dewan Pemuda PAS Pusat, bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI atau GMP, gagal mendapatkan permit perlaksanaan program.
Sementara itu, pemilik galeri buku PTS dan penulis buku terkenal, Ainon Abdullah berkata sambutan dan sokongan terhadap bantahan PPSMI ini adalah implikasi daripada angin perubahan semasa pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini.
"Saya percaya sokongan ini bermula sejak pilihan raya umum ke-12 lalu yang membawa kepada pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu ditambah lagi dengan keberanian pegawai kerajaan memberikan undi mereka kepada pembangkang akibat maklumat yang diperolehi daripada internet," katanya.



Malah ujarnya, golongan muda juga telah bertindak memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat kerana tidak berpuas hati dengan corak pentadbiran kerajaan yang ada pada masa kini. Penyair popular Pyanhabib, Timbalan Pengarusi Tetap Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar dan aktivis popular teater, Khalid Salleh turut hadir.



Pemimpin Pakatan Rakyat yang kelihatan termasuklah Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, Ketua Pemudanya Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.





Selain itu, terdapat beberapa wakil daripada NGO seperti ABIM, JIM, PKPIM, Persatuan Dong Jiong Zong, Dekan Fakulti Bahasa Aswara, Dato' Dr Anuar Ridhwan dan ramai lagi.
Program tersebut dirancangkan pada jam 3.00 petang, terpaksa diawalkan 15 minit selepas pihak polis bertindak menghalang program tersebut diteruskan.
Justeru, pihak penganjur termasuk beberapa penulis yang hadir meneruskan dengan mengadakan sidang media ringkas.


Walau bagaimanapun, perubahan tersebut menyebabkan sebahagian daripada mereka yang hadir termasuk media tidak dapat mengikuti sidang media pelancaran seperti yang dirancangkan.Dalam keadaan hujan renyai-renyai yang turun sejak tengah hari itu, pihak penganjur tidak berputus asa dengan halangan tersebut, sebaliknya terus mengedarkan risalah kempen bantahan PPSMI kepada mereka yang lalu-lalang di perkarangan pasaraya tersebut.
Program tersebut berakhir kira-kira jam 5.00 petang setelah semua wartawan dan pihak penganjur bersurai. - mns_

ikhsan harakahdaily

























harakahdaily

0 comments: