Monday, February 16, 2009

Kenyataan Media : GMP Cabar Hishmuddin Debat Isu PPSMI

KENYATAAN MEDIA
GERAKAN MEMANSUH
PENGAJARAN & PEMBELAJARAN SAINS & MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (GMP)


TARIKH : 16.02.2009

GMP SOKONG TINDAKAN GAPENA DAN CABAR KEMENTERIAN PENDIDIKAN BERDEBAT ISU PPSMI

Gerakan Memansuh Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) atau ringkasnya GMP menyokong sepenuhnya tindakan pihak Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur pada tengahari semalam. Ini merupakan langkah pertama sebelum tindakkan undang-undang akan dibuat selepas ini. Gapena berpendapat PPSMI telah menyalahi Seksyen 17(1) Akta Pendidikan yang memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan. Ia juga bertentangan dengan Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan berkaitan penggunaan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu untuk urusan rasmi.


Langkah yang diambil oleh Gapena merupakan langkah yang tepat pada masanya kerana setelah enam tahun dasar ini dilaksanakan, kesan-kesan kerosakkan hasil daripada dasar ini telah jelas kelihatan. Dalam tempoh masa enam tahun semua pihak telah membantah dengan pelbagai mekanisma tetapi tidak diendahkan oleh pihak kementerian pelajaran. Menteri Pelajaran Dato’ Hishamuddin Tun Hussin tetap berdegil meneruskan dasar ini dengan mendabik dada bahawa dasar PPSMI telah meningkatkan pencapaian pelajar di dalam peperiksaan UPSR dan PMR. Saya mencabar Dato’ Hishmuddin Hussin agar mendedahkan pengredan matapelajaran sains dan matematik dalam UPSR dan PMR. Berapakah markah lulus PMR dan UPSR? Nyatakan markah bagi setiap gred bagi PMR dan UPSR. Rakyat Malaysia mahu tahu adakah terdapat manipulasi terhadap pengredan markah ini.


Dato’ Hishamuddin telah membidas tindakan Gapena membuat laporan polis dan telah juga memperlekeh tindakan GMP yang akan menganjurkan Himpunan 100 ribu di Istana Negara pada 7hb Mac 2009 jam 2 petang. Demi masa depan generasi akan datang saya mencabar Dato’ Hishamuddin Tun Hussin berdebat dengan pihak GMP berhubung dengan kesan pelaksanaan PPSMI terhadap generasi akan datang dan kesannya terhadap pemerkasaan Bahasa Melayu di Malaysia. Debat ini perlu disiarkan secara langsung melalui media massa arus perdana. Debat ini akan memberikan gambaran yang jelas kepada semua rakyat Malaysia berhubung dengan isu PPSMI.


Sehubungan dengan itu GMP akan menyerahkan memorandum kepada semua ahli-ahli parlimen pada jam 10 pagi di Parlimen pada hari esok selasa 17hb Mac 2009. Pejuang-pejuang bahasa dan mereka yang perihatin dengan masa depan generasi akan datang dijemput beramai-ramai ke Parlimen. Memorandum ini dihantar bagi tujuan mendesak ahli-ahli parlimen membahaskan isu PPSMI ini di Parlimen dalam waktu terdekat ini. Perbahasan ini sangat penting bagi mempastikan dasar PPSMI dimansuhkan dengan segera.



Yang Benar




Suhaizan Bin Kaiat
Timbalan Pengarah
Jawatankuasa Pelaksana
Gerakan Memansuh PPSMI (GMP)
019-7285174

Email : suhaizankayat@yahoo.com

Blog : http://kentong-suhaizan.blogspot.com

0 comments: