Thursday, February 26, 2009

PPSMI: A. Samad Said sedia hilang gelaran - Utusan Malaysia

KOTA BHARU 25 Feb. - Datuk A. Samad Said sedia kehilangan gelaran dan penghormatan sebagai Sasterawan Negara dalam memperjuangkan pemansuhan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, gelaran tersebut tidak penting bagi dirinya kerana perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu lebih utama bagi kelangsungan anak bangsa pada masa depan.

"Kalau hendak ambil (gelaran), ambillah sekarang, perjuangan mesti diteruskan, ia langsung tidak menyentuh saya, kalau fikir itu besar sangat ambil dan simpan sajalah.

"Saya sudah umumkan dulu, saya bukan Sasterawan Negara, saya lebih senang dipanggil sasterawan rakyat," katanya pada sidang akhbar bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut diadakan sempena 'road show' anjuran GMP di negeri ini untuk menghimpunkan 100,000 rakyat bagi mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI di depan Istana Negara, Kuala Lumpur, 7 Mac ini.

A. Samad yang juga merupakan penasihat GMP berkata, beliau tidak akan berhenti menegur semua pihak terutama dalam isu bahasa walaupun mengetahui kebenaran itu perit.

"Memang dulu, saya seorang sasterawan yang 'berkira-kira' oleh kerana golongan elit yang berkuasa adalah rakan-rakan saya, semuanya saya kenal, kalau bercakap saya tidak mahu sentuh kecuali ada pemimpin yang inginkan fikiran saya secara jujur dan total.

"Sebelum saya pergi haji, sikap saya terlalu menjaga hati walaupun benda itu salah, saya tidak berani menegur tetapi semenjak saya pulang, saya sudah bersedia untuk berkata benar walaupun memeritkan, kalau betul saya sokong," katanya.

Katanya lagi, Kementerian Pelajaran yang masih mempertahankan PPSMI seolah-olah tidak yakin dan percaya dengan bahasa sendiri untuk menjadi medium bagi rakyat menimba ilmu.

Justeru itu, jelas beliau, perjuangan untuk meyakinkan kerajaan akan diteruskan dan semua pihak tidak perlu memandang serong tindakannya berada di atas pentas Pas bagi mempertahankan bahasa Melayu.

"Saya hanya mencari pentas, kalau ada orang yang sediakan pentas, apa salahnya saya berada di sana untuk memperjuangkannya supaya tidak nanti anak cucu kata kita tidak pertahankan bahasa ibunda, tidak nanti mereka kata nenek moyang kita buat.

"Perjuangan saya hanya mendaulatkan bahasa, saya bukan orang politik dan saya tidak fikir akan jadi orang politik, barangkali saya akan menyertai mana-mana parti secara bukan orang politik, tetapi ikut isu yang mesti diperjuangkan," katanya.

Sekiranya kerajaan masih berdegil, beliau meminta rakyat supaya menggunakan kuasa untuk menterjemahkan ketika pilihan raya dengan mengundi menolak pihak yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

0 comments: