Thursday, February 19, 2009

PPSMI: Satu lagi laporan polis terhadap kementerian

Satu lagi laporan polis dibuat terhadap Kementerian Pelajaran hari ini berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Kali ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula tampil membuat aduan tersebut di Balai Polis Gombak, Selangor kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Ahad lalu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) membuat aduan polis berhubung pelaksanaan PPSMI yang "tidak sah di sudut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan".

Menurut laporan berkenaan, Perkara 152(1) meperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi "maksud rasmi") atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori "maksud rasmi".

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, naib presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut.

Tambahnya, mereka juga mendakwa menggunakan hujah yang sama dengan badan penaung 24 badan penulis di seluruh Malaysia itu, dalam laporan berkenaan.

Menurut Muhammad Faisal, laporan polis itu dibuat bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan Gapena Ahad lalu.

"Kita juga mahu 'momentum 7 Mac' berterusan, terutamanya dilaporkan di media-media," katanya.

Pada tarikh berkenaan, Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) - PKPIM turut bergabung di bawahnya - merancang perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara bagi menyatakan bantahan terhadap PPSMI dan memohon campurtangan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu itu.

Muhammad Faisal berkata diiringi kira-kira 20 ahli dan pemimpin PKPIM hadir ketika membuat aduan tersebut..

Selain PKPIM, 24 persatuan penulis di seluruh negara yang bernaung di bawah Gapena dijadualkan membuat laporan yang sama dalam masa terdekat.

0 comments: