MANSUHKAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)
Kami dari Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) memohon pertimbangan pihak kerajaan dan sokongan Wakil Rakyat dalam Parlimen supaya keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dimansuhkan untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh beratus ribu pelajar kita, terutama di sekolah kebangsaan di luar bandar, dan untuk mengelak kemungkinan bahasa Melayu dan bahasa Ibunda termusnah sebagai bahasa ilmu, khususnya sebagai bahasa sains, akibat keputusan yang tidak munasabah itu.
Latar Belakang
1. Sebagaimana kita semua maklum, dasar pengajaran sains dan matematik dan semua mata pelajaran lain dalam bahasa kebangsaan di Sekolah Kebangsaan telah dilaksanakan secara tegas sejak tahun 1970. Setelah dasar itu berjalan selama 37 tahun hingga tahun 2003 tiada apa-apa masalah serius yang berlaku pada keupayaan pelajar kita dari semua kaum untuk menguasai ilmu sains dan matematik dan segala cabangnya dalam bahasa kebangsaan. Buku-buku teks dalam mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan dari darjah Satu hingga ke Tingkatan VI semuanya cukup, tidak timbul apa-apa masalah kekurangan buku teks. Hasil kegigihan Dewan Bahasa Dan Pustaka membina peristilahan sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan, yang melibatkan ratusan ahli bahasa dan pakar dalam pelbagai bidang ilmu, masalah peristilahan sains tidak timbul lagi dalam tempoh itu.
2. Hasilnya, ratusan ribu pelajar dari semua kaum berjaya mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan negara ini, dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat menengah, bahkan hingga ke peringkat pengajian tinggi. Dasar itu telah berjaya melahirkan puluhan ribu sarjana, profesor, pensyarah, ahli sains, pakar-pakar perubatan dan pakar dalam pelbagai bidang ilmu yang lain yang terdidik dalam bahasa Melayu melalui system pelajaran kebangsaan itu. Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan dalam tahun 1970 menjadi bukti nyata tentang kejayaan dasar pelajaran kebangsaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua kursus.
3. Ilmu yang diajarkan itu, sains dan matematik yang diajarkan itu dalam bahasa kebangsaan negara ini, adalah ilmu yang secara asasnya sama di mana-mana sahaja ilmu itu diajarkan dalam bahasa apapun di sekolah dan di universiti di negara-negara lain. Kalau kita hitung-hitung, kita akan menyedari bahawa di seluruh dunia ilmu itu lebih banyak diajarkan dalam bahasa-bahasa lain daripada dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, lihat Lampiran A yang menunjukkan bahasa yang digunakan di sekolah dan di universiti di 5 buah negara di Asia, iaitu Jepun, Korea, China/Taiwan, Indonesia, Vietnam, dan Thailand. Semua negara Eropah dan negara-negara Skandinavia menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing, tidak bahasa Inggeris, untuk mengajar semua bidang ilmu dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi, dan negara-negara itu semuanya maju sains dan teknologi.
4. Maka hairanlah kami mengapa kerajaan atau pemimpin kerajaan (berbangsa Melayu) tiba-tiba, tanpa rundingan, tanpa kajian, tanpa sebab yang munasabah mengubah dasar pengajaran sains dan matematik itu dari bahasa kebangsaan kita balik semula ke bahasa Inggeris (seperti dalam zaman penjajahan British dahulu) setelah dasar menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar sains dan matamatik sejak tahun 1970, tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius, seperti yang disebutkan di atas. Keputusan yang mengejut itu telah menimbulkan banyak masalah, meleret-leret sampai enam tahun lamanya!
MASALAH YANG DITIMBULKAN OLEH PPSMI
5. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebnaykannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris.
6. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI.
7. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 5 dan 6 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris.[Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai ‘otak’ atau minat untuk belajar atau mengetahui sains atau matematik; puncanya ialah, mata pelajaran ini diajarkan dalam bahasa yang pelajar itu tidak faham, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].
HASIL KAJIAN
8. Hasil kajian sebenar yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar. Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang menundum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.
9. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.
APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?
10. Penggunaan bahasa Inggeris tidak boleh dikaitkan dengan peningkatan atau penurunan keputusan yang dicapai untuk mata pelajaran sains dan matematik. Menggunakan keputusan UPSR sebagai kriteria penanda aras penentuan sama ada PPSMI boleh dikekalkan atau dimansuhkan adalah ukuran yang tidak tepat dan tidak wajar. Ini kerana kaedah yang digunakan ialah Kaedah Rujukan Norma. Mengikut Kaedah Rujukan Kriteria, sesuatu gred itu ditetapkan dahulu, manakala Kaedah Rujukan Norma menjurus kepada pencapaian keseluruhan murid yang mengambil peperiksaan dalam satu-satu subjek. Sehubungan ini, min atau purata markah dan sisihan piawai (standard deviation) diambil kira bagi menentukan markah lulus dan gagal. Misalnya, dalam tahun 2007, dari 500,596 pelajar yang mengambil subjek Matematik, purata markah yang dicapai oleh calon ialah 43 dan sisihan piawai ialah 8, maka markah lulusnya ialah 43-8 = 35. Dalam tahun 2008-an, andainya purata markah ialah 38 dan sisihan piawai 8, maka markah lulusnya ialah 38-8=30. Malah, sebagai perbandingan, berdasrakan markah lulus 35 dalam tahun 2007, peratusan lulus UPSR Matematik (A, B, C) ialah 82% dan pada tahun 2008 markah lulus 30, peratus calon yang lulus mungkin 82% juga. Pada pandangan orang awam, itu tidak menunjukkan ada perbezaan prestasi, padahal kalau mengikut markah sebenar, jelas murid-murid tahun 2008 lebih rendah prestasinya daripada prestasi murid-murid tahun 2007. Dengan kata lain, markah lulus direndahkan, tujuannya ialah untuk menunjukkan bahawa jumlah pelajar yang lulus sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ‘makin meningkat’. Tetapi ini cara mengelat. Kita menurunkan markah lulus. Akibatnya, mutu pengetahuan sains dan matematik p[elajar kita tidak tinggi, tetapi rendah.
Jangan Gunakan Pandangan ‘Tangkap Muat’ Untuk Mempertahankan PPSMI
11. Kalau orang yang membuat dasar ini dan para pegawai di Kementerian Pelajaran hendak mengetahui keadaan sebenarnya pergi ke semua sekolah kebangsaan di kampung-kampung di Semenanjung Malaysia dan di Sarawak dan di Sabah, di ulu-ulu, duduk dalam kelas-kelas memerhatikan apakah semua pelajar di situ faham atau tidak faham sains dan matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris yang tidak difahami oleh ratusan ribu pelajar itu.
12. Ini bukan masalah beberapa orang atau beberapa kelompok orang yang berkepentingan sahaja; ini masalah negara, masalah masa depan anak cucu kita dalam bidang pendidikan dalam bahasa ibunda sendiri.
13. Beberapa banyak kajian telah dilakukan oleh pakar-pakar di seluruh, mengatakan secara pasti bahawa manusia mulai peringkat kanak-kanak lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri. Cuba bayangkan masalah kanak-kanak Melayu atau kanak-kanak kaum lain, yang sudah mengetahui bahasa Melayu atau bahasa sendiri, tiba-tiba apabila masuk sekolah Darjah Satu diajarkan sains atau matematik atau ilmu kira-kira dalam bahasa yang mereka tidak faham sepatah pun.
GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS
14. GMP tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau didorong oleh perasaan anti bahasa Inggeris. GMP juga bukan ‘gila bahasa Melayu’. Kami cuma mahu mempertahankan kebenaran. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.
15. Mengatakan bahawa orang Melayu tidak akan maju dalam bidang sains dan matematik kalau ilmu ini tidak diajarkan dalam bahasa Inggeris, ini adalah kenyataan atau pandangan orang yang jahil. Apakah bangsa-bangsa lain, seperti bangsa Cina, bangsa Jepun, bangsa Korea, bangsa Perancis dan bangsa Jerman dan bangsa Thai, misalnya, tidak maju dalam bidang sains dan matematik kerana ilmu ini diajarkan dalam bahasa masing-masing, tidak dalam bahasa Inggeris? Apakah profesor matematik atau profesor sains yang mengajar ilmu ini dalam bahasa Melayu tidak maju, atau lebih bodoh daripada profesor sains dan matematik yang mengajar dalam Inggeris? Orang yang membuat dasar itu perlu menjawab soalan seperti ini – jawapan yang benar, yang saintifik, tidak emotional.
16. Hal yang sangat menghairankan ialah, ‘pendapat’ atau ‘teori’ yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.
17. Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik.
18. oleh sebab itu, kita menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk memperbaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita menguasai bahasa ini dengan cukup baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.
19. GMP tidak menentang kerajaan atau berhajat untuk ‘bergaduh’ dengan kerajaan atau mana-mana pihak tetapi hanya berasa terpanggil untuk sama-sama memberikan kerjasama menyelesaikan masalah yang menyentuh kepentingan negara dan rakyat tidak kira kaum dan orientasi politik atau parti politik masing-masing.
20. GMP akan menjalankan kegiatannya ‘dengan waras’, rasional, berdasarkan hujah dan fakta yang dapat kami pertanggungjawabkan. Kami tidak akan menggunakan cara yang boleh menyalahi undang-undang negara atau tatasusila sosial dan moral bangsa kita. Kami tidak akan mengadakan tunjuk perasaan atau demonstrasi jalanan.
Dato’ Dr. Hassan Ahmad
Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)
Mewakili seluruh anggota dan penyokong Gerakan ini
Tarikh 17 Februari 2009
Jom Ke Blog Baru Saya!
13 years ago
0 comments:
Post a Comment