Thursday, February 19, 2009

PPSMI: Pemuda PAS sedia debat dengan Pemuda Umno

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menegaskan pihaknya pada bila-bila masa bersetuju untuk berdebat dengan Pemuda Umno dalam isu Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata terpulang kepada Pemuda Umno untuk memilih berdebat secara terbuka atau tertutup.

"Dalam masa terdekat saya akan menghantar surat kepada Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Hishamuddin Hussien yang juga Menteri Pelejaran untuk menyatakan kesediaan kita untuk berdebat atau berdialog dengan mereka dalam soal PPSMI.

"Terpulang kepada Pemuda Umno sama ada mahu berdebat atau berdialog tetapi yang jelas kita cukup bersedia demi mempertahankan bahasa Melayu" tegas beliau.

Dewan Pemuda PAS, kata Salahuddin tetap komited untuk bersama pejuang-pejuang bahasa Melayu menolak PPSMI.

Beliau menegaskan DPPP tidak menentang bahasa Inggeris tetapi yakin bahasa Melayu mampu bertindak sebagai bahasa ilmu. - wann/mks. _

0 comments: