Utusan Malaysia 4.2.09
Berdemonstrasi bukan budaya rakyaOleh AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD
PADA 31 Januari lalu ketenangan di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara terganggu dengan kemunculan kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Memansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) atau GMP yang rata-ratanya orang Melayu. Demonstrasi oleh GMP ini kemudiannya dengan cepat diulas dan sorot oleh pihak media cetak dan media elektronik.
Daripada satu segi berdemonstrasi boleh dianggap baik kerana dapat menarik massa untuk lebih mengetahui dengan lebih lanjut tentang sesuatu isu dan mendapat publisiti serta simpati. Walaupun begitu jikalau kita memperhalusinya, demonstrasi bukan budaya kita.
Apakah sudah muncul budaya baru di kalangan orang Malaysia yang bijak pandai bahawa jika pemerintah lambat akur dengan kehendak mereka, maka mereka akan buat riuh di jalanan?
Dahulu ketika Tanah Melayu mahu dilibatkan dengan Malayan Union, sudah wujud demonstrasi. Pejuang nasionalis Melayu ketika itu menentang usaha tersebut dengan demonstrasi termasuk yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar pada 10 Februari 1946. Ia menjadi titik tolak kepada beberapa siri demonstrasi rakyat yang lain.
Namun adakah sama demonstrasi menentang Malayan Union dengan yang membantah PPSMI? Pastinya matlamat adalah berbeza. Menentang Malayan Union berasaskan usaha membebaskan diri daripada penjajah. Matlamat demonstrasi ini begitu jelas kritikal dan penting untuk kelangsungan sebuah negara yang berdaulat.
Berlainan dengan demonstrasi menentang PPSMI, ia seperti kehilangan nilai. Apakah hasrat sebenar GMP melalui demonstrasi ini? Apakah sekadar ingin memberi tahu massa tentang kewujudan gerakan itu dan seterusnya mengheret massa kepada perarakan besar-besaran sehingga ingin melibatkan pihak Istana?
Jika ini adalah hasratnya maka ia jelas cuba menanam bibit-bibit amalan demonstrasi yang berisiko dan berbahaya. Pengalaman 1969 sudah cukup membuktikan demonstrasi tidak boleh dijadikan amalan dan budaya. Begitu juga demonstrasi jalanan pada 1998/99 memberikan pengalaman memeritkan semua orang.
Kementerian Pelajaran telah bersungguh-sungguh mencari pendekatan terbaik. Pelbagai perbincangan dan dialog dengan semua pihak diadakan.
Ia merupakan satu usaha yang dianggap baik untuk membuat keputusan kerana Kementerian Pelajaran akan dapat mengumpulkan banyak informasi berguna dan mantap.
Keterbukaan kementerian itu seharusnya disambut dengan positif oleh semua pihak dan bukannya berdemonstrasi. Jadi, tidak timbul isu ketiadaan ruang untuk perbincangan dan sebagainya.
Daripada fakta ini, terfikir semula oleh kita kenapa perlu diadakan juga GMP? Ia berbalik semula kepada persoalan asas, apa sebenarnya motif GMP? Apa agenda sebenarnya? Berselindung di sebalik isu bahasa adalah mudah tetapi apa signifikannya?
Sistem pendidikan kita sebenarnya tidak diinggeriskan. Itu adalah fakta. Maka kumpulan yang terajunya terdiri daripada Gapena/DBP ini tidak perlu takut secara sembarangan. Jika Gapena mahu memartabatkan bahasa Melayu, perhebatkanlah gerakan menggunakan bahasa Melayu.
Semarakkan dengan program yang lebih hebat. Buat karnival yang boleh mencelikkan masyarakat; berkempenlah di sektor-sektor swasta yang langsung tidak menggunakan bahasa Melayu.
Sesungguhnya itulah tugas sebenar Gapena dan DBP. Kita tidak boleh marah disebabkan hanya kerana melihat bahawa pelajar sudah mulai yakin sedikit belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris maka kita bertindak terus untuk mencantasnya, sedangkan kita tidak pernah pun melihat ke dalam diri kita.
Apakah sudah cukup tindakan dan aktiviti yang kita jalankan untuk menarik semua pihak menggunakan bahasa Melayu? Sekadar menampal sepanduk "Cintai Bahasa Kita" di pagar-pagar bangunan sahaja, ternyata tidak mencukupi. Gapena harus kembali kepada statusnya.
Kesimpulannya, GMP tidak harus diberi muka untuk menyemarakkan amalan demonstrasi. Amalan itu bukan budaya rakyat negara ini. Ia tidak wajar diserap sebagai satu bentuk budaya baru.
Biarlah negara lain mahu berbangga dengan menjadikan demonstrasi sebagai satu mekanisme untuk menuntut perubahan dasar daripada pemerintah. Kita tidak memerlukan itu semua. Kita ada saluran yang lebih harmoni.
Lebih jauh lagi ia juga bukan tradisi yang wajar diketengahkan kepada generasi baru. Tatkala semua negara di dunia berperang dengan kemelut ekonomi dan rakyat bergelut dengan masalah pengangguran, adalah elok untuk rakyat kita berfikir mengenai hal yang sama. Jangan leka dengan demonstrasi.
Keputusan dasar sesebuah negara berdaulat seperti Malaysia ini tidak harus diselesaikan di jalanan. Bangsa yang bermaruah adalah bangsa yang faham tentang erti membuat keputusan yang berpaksikan kepada musyawarah. Ini kerana, kelangsungan dasar akan menentukan kesinambungan daya juang bangsa.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pusat
Pembangunan Organisasi, Institut Latihan
Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan.
Utusan Malaysia 3-2-09
Banyak cara lain daulatkan Bahasa MelayuSAYA berasa pelik dan hairan dengan tingkah laku pejuang Bahasa Melayu yang sehingga sanggup untuk mengadakan demostrasi bagi mengugut Kementerian Pelajaran agar memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Saya sering tertanya-tertanya adakah perbuatan mereka ini kerana memperjuangkan kepentingan mereka atau pun kepentingan pelajar?
Adakah kerana mereka merasa terancam kerana tidak mampu mengajar dengan baik kepada para pelajar menggunakan Bahasa Inggeris sehingga menjejaskan prestasi mereka? Atau adakah kerana mereka malas untuk mengambil inisiatif bagi menambah penguasaan mereka di dalam Bahasa Inggeris?
Saya amat bersetuju dengan pandangan Mohd. Khairi dari Kulim dan juga Guru Pendalaman dari Sarawak. Saya sendiri melihat terdapat peningkatan dalam pencapaian para pelajar di dalam UPSR dari setahun ke setahun. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak menpunyai masalah untuk belajar dalam Bahasa Inggeris. Jika pun ada, ini menunjukkan para pelajar kita telah dapat menyesuaikan diri mereka dengan penggunaan Bahasa Inggeris.
Jangan jadikan para pelajar kita sebagai mangsa akibat ketaksuban kita dalam memperjuangkan Bahasa Melayu. Saya berpendapat adalah lebih baik ketaksuban ini disalurkan ke arah usaha- usaha yang lebih berkesan seperti:-
- Meminta pihak swasta menggunakan Bahasa Melayu didalam urusan peniaagan mereka.
- Menggandakan lagi usaha untuk menterjemah buku-buku ilmuan ke dalam Bahasa Melayu.
- Berkerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengenalpasti atau mewujudkan istilah-istilah yang digunakan di dalam bidang Ssains, Matematik dan Teknologi di dalam Bahasa Melayu, bukannya mencedok terus daripada bahasa asing dan dimelayukan.
Ke manakah perkataan-perkataan baru yang diwujudkan oleh DBP seperti PAWAGAM, KUGIRAN, ANGKASAWAN, PERAGAWAN? Kini perkatan cineplex, band dan model sebagai contoh, yang digunakan secara meluas.
Perkataan daripada Bahasa Inggeris pula dimelayukan dengan sewenang-wenangnya. Contohnya, automobile menjadi otomobil. Terima kasih kerajaan Malaysia kerana menggunakan angkasawan dan bukannya astronaut/astronut.
- Memantau pengunaan Bahasa Melayu oleh stesen - stesen penyiaraan dan akhbar harian.
Saya rasa banyak lagi perkara - perkara seperti di atas boleh difikirkan oleh golongan pejuang Bahasa Melayu untuk memertabakan Bahasa tercinta ini.
Tetapi jangan korbankan masa depan para pelajar kita.
Sebarang polisi memerlukan masa untuk berjaya. Enam tahun bukanlah satu jangka masa yang panjang untuk melihat keberkesanan sesuatu polisi. Bahasa Melayu tidak akan lenyap disebabkan oleh PPSMI. Saya lihat para pelajar yang belajar di SJK (Cina), SKA, SMKA ataupun di Maahad Taafiz masih lagi boleh bertutur dan membaca dalam Bahasa Melayu.
Tetapi jika para pejuang Bahasa Melayu gagal mengambil tindakan di atas perkara - perkara seperti yang saya nyatakan di atas, maka walau semua mata pelajaran diajar dalam Bahasa Melayu pun, bahasa tercinta ini pasti akan terhakis di bumi sendiri.
AJK PIBG
Kelantan
Utusan Malaysia 3-2-09
BI: Usah perlekeh anak MelayuIsu Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kini semakin hangat diperkatakan, dengan gesaan agar ia dimansuhkan makin lantang. Antaranya usaha yang bersungguh-sungguh diperjuangkan oleh Gerakan Mansuh Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (Mingguan Malaysia Ahad, 1 Februari 2009).
Senario ini jelas membuktikan pemikiran yang memperlekeh dan merendah-rendahkan keupayaan bangsa dan anak-anak sendiri; suka hidup dalam zon selesa; berfikiran cetek; budaya demonstrasi; kakitangan yang tidak menghayati dan suka menentang dasar majikan dan organisasi.
Majoriti orang Melayu hanya menguasai satu bahasa. Jika dilihat bangsa lain majoritinya menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa (bahasa ibunda dan Bahasa Melayu). Adakah orang Melayu kurang keupayaan berfikirnya dan kemahiran lingustiknya? Sepatutnya Bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua orang Melayu, tidak kira di desa atau di kota. Malangnya seperti biasa kita suka merendahkan keupayaan anak-anak kita yang mempunyai potensi yang cukup besar.
Isu terbesar dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah bukanlah isu anak-anak yang merasakan ia sukar. Tetapi ia lebih kepada kurang kesungguhan golongan yang terbabit dalam mewujudkan kesedaran yang tinggi terhadap anak-anak dan kesukaran mereka untuk keluar dari zon selesa (mengajar dalam Bahasa Melayu). Budaya sukar keluar dari zon selesa ini telah menyebabkan anak-anak menjadi mangsa dan mewarisi budaya yang sama.
Bahasa Inggeris adalah bahasa global, bahasa ilmu, bahasa perdagangan dan merupakan salah satu bahasa terpenting dunia. Fakta dan andaian dengan penggunaan Bahasa Melayu juga boleh melahirkan saintis, pakar perubatan dan cerdik pandai lain sememangnya benar. Tetapi pernahkah kita terfikir berapa ramai di kalangan golongan professional berasa rendah diri kerana tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik? Malah mereka sering terfikir alangkah baiknya mereka dilahirkan di dalam pendidikan beraliran Inggeris supaya mereka dapat menembusi pasaran luar negara dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia.
Secara asasnya saya berpandangan kebanyakan ahli Kelab Pemansuh PPSMI ini bukan saja tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik malahan menjadi penghalang masa depan Bangsa Malaysia baru.
Pemikiran yang cetek ini perlu diperdalamkan dalam memperjuangkan pendidikan anak-anak kita. Seperti kata Saidina Umar "Didiklah anak kamu kerana anak kamu akan dibesarkan dengan bukan zaman kamu".
Kebelakangan ini kita dapat melihat satu arus perubahan yang cukup dinamik dalam politik semasa. Masyarakat Malaysia sudah bersedia untuk berubah, malah semua orang telah begitu pandai berhujah sehingga kita sendiri tidak tahu siapakah yang pandai, siapakah yang tidak.
Pemandu seolah-olah pakar ekonomi membincangkan isu Petronas dan sudah bercita-cita tinggi untuk tinggal bersebelahan dengan rumah doktor pakar (analogi kerana semua orang cuba berlagak pandai).
Terdapat juga pegawai-pegawai kerajaan yang digaji untuk mendokong dasar-dasar kerajaan telah menjadi 'pembunuh' dan penghalang dasar. Mereka sudah mula menggunakan pemikiran yang ada sehabis boleh untuk menentang dasar kerajaan yang sedia ada untuk kepentingan peribadi, bukannya kepentingan generasi akan datang.
Pada masa dahulu tiada kemudahan media massa, infrastruktur cukup terhad, nisbah pelajar dan guru sangat tinggi jurangnya. Guru-guru tiada latihan yang begitu sistematik tetapi masih mampu melahirkan pelajar yang mampu berbahasa Inggeris. Kenapa sekarang tidak? Kalau dalam isu bahasa pun kita tidak mampu berubah, bagaimana kita mengimpikan satu bangsa dan satu negara maju?
Kita perlu berfikir untuk kebaikan semua, kebaikan masa depan anak-anak kita. Berfikir untuk menjayakan dasar kerajaan untuk anak-anak bangsa Malaysia.
Ibu-bapa harus memainkan peranan penting untuk berubah. Daripada asyik bergebang di kedai kopi dan berdemonstrasi di tepi jalan, baliklah mengajar anak-anak Bahasa Inggeris di samping meningkatkan Bahasa Inggeris sendiri.
Demonstrasi tidak sesuai dengan isu PPSMI ini. Kerana perkara yang ditakuti adalah kita beranggapan 'kita hero' dalam memperjuangkan nasib anak-anak kita tetapi sebenarnya kitalah penghancur masa depan anak-anak kita, seperti dalam filem Anakku Sazali.
Guru-guru anggaplah perubahan ini satu pengorbanan besar untuk perubahan diri sendiri dan 'survival' anak-anak kita. Kerajaan perlu melihat dengan telus apakah masalah utama PPSMI ini.
Jika kurang latihan, pertingkatkan latihan. Kalau kurang guru, tambah jumlah guru. Kalau kurang kemudahan, perbanyakkan kemudahan. Tetapi kalau sikap dan disiplin yang tidak dapat diubah, ambil tindakan sewajarnya demi masa depan anak-anak kita.
AL-JAHIZ
Kota Bharu, Kelantan