Thursday, July 2, 2009

Kenyataan Media Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat

Liberalisasi Ekonomi Negara

Tarikh 30hb Jun 2009 mencatatkan sejarah besar terhadap liberalisasi ekonomi negara di mana Perdana Menteri (PM) Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengisytiharkan lima perubahan baru dalam ekonomi negara iaitu :

a. Pemansuhan pegangan ekuiti bumiputera 30 % .
b. Sasaran baru pegangan ekuiti bumiputera sebanyak 12.5% dan pegangan bukan bumiputera sebanyak 12.5%.
c. Pegangan ekuiti asing ditingkat daripada 49% kepada 70%
d. Pemansuhan FIC (Jawatankuasa Pelaburan Asing)
e. Penubuhan EKUINAS ( Ekuiti Nasional Berhad)

Dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerajaan mensasarkan 30% ekuiti bumiputera yang dikawal oleh FIC, malangnya pada tahun 2006 ekuiti bumiputera hanya mencapai 19.3 %. dan 19.4 % pada tahun 2009. Setelah kegagalan mencapai sasaran ini kerajaan telah mengurangkan pegangan rakyat Malaysia dalam ekuiti negara. PM telah mengumumkan sasaran pegangan ekonomi baru bagi bumiputera hanya 12.5% dan bukan bumiputera sebanyak 12.5%. Hakikatnya kerajaan yang kononeya menjaga kepentingan Melayu ini telah mengurangkan sasaran pegangan ekuiti bumiputera sebanyak 17.5 % (30% - 12.5% ) dan bukan bumiputera sebanyak 12.5 % (25% - 12.5% ).

Dengan pengurangan ekuiti bumiputera dan bukan bumiputera kerajaan telah menyerahkan kuasa modal ekonomi ini kepada pemodal asing sebanyak 70%. Serentak dengan itu FIC yang menjadi benteng terhadap ekuiti bumiputera telah dimansuhkan. Sebagai ganti kerajaan melancarkan badan baru kononnya untuk mengawal ekuiti bumiputera yang semakin mengecil ini dengan nama EKUINAS dengan diberi modal asas sebanyak RM500 juta.

Persoalan-persoalan yang bermain di minda rakyat adalah :
a. Apakah jaminan bumiputera tidak tercicir dengan liberalisasi ekonomi ini ?
b. Apakah pegangan ekuiti asing sebanyak 70% tidak menyebabkan kebergantungan modal ekonomi negara kepada orang asing ?
c. Apakah jaminan negara tidak tergadai akibat kebergantungan modal asing?
d. Apakah jaminan EKUINAS tidak menemui kegagalan sepertimana FIC ?
e. Apakah ketirisan dalam DEB telah diperbaiki sebelum mewujudkan EKUINAS ?

Melihat kepada kegagalan DEB, rasuah dan salahguna kuasa adalah masalah utama yang menjadi penghalang kepada usaha pihak kerajaan. Rakyat masih belum dapat melihat usaha kerajaan untuk menghalangnya. Perhimpunan Agong UMNO masih lagi dibayangi oleh politik wang atau rasuah. Pemimpin politik dan pegawai kerajaan masih lagi dibayangi oleh masalah yang sama. Selagi kerajaan tidak mampu mengekang masalah ini maka apa juga dasar yang dilaksanakan akan membawa kegagalan.

Dewan Pemuda PAS Pusat ingin mencadangkan beberapa perkara ekoran daripada liberalisasi ekonomi yang dicadangkan oleh kerajaan :

1. Hapuskan rasuah dan salahguna kuasa dalam perlaksanaan dasar-dasar kerajaan.
2. Tingkatkan pegangan ekuiti bumiputera dan bukan bumiputera dalam pegangan modal ekonomi negara.
3. Mengurangkan jurang perbezaan ekonomi di antara yang kaya dan miskin.
4. Menyediakan pelan perancangan ekonomi yang berdaya saing dan mampu menghalang penguasaan pihak asing dalam ekonomi negara.
5. Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah ternyata gagal dalam DEB disebabkan rasuah dan salahguna kuasa maka parti pemerintah perlu ditukar daripada BN kepada Pakatan Rakyat(PR).



Yang Benar,



Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat
H/P : 019-7285174
Blog : http://kentong-suhaizan.blogspot.comemail : suhaizankayat@yahoo.com

0 comments: