Sunday, January 18, 2009

Kekalahan Paling Mengaibkan, UMNO di penghujung usia

Tanda-tanda kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil Kuala Terenganu sudah dapat dijangka bermula sehari sebelum pilihanraya diadakan. Tanda-tanda ini bermula dengan penarikan diri Datuk Mat Razali Kassim sebagai Pengurus Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu disebabkan tuduhan berkempen dan mengugut kakitangan di bawahnya untuk mengundi BN. Debat yang sepatutnya diadakan sebelum pilihanraya antara kedua-dua calon UMNO dan PAS dibatalkan saat akhir kerana calon UMNO Dato’ Wan Farid tidak hadir dalam perdebatan Isu Royalti. Penyokong-penyokong UMNO terutamanya anak muda tidak segairah penyokong anak muda dalam PAS. Kenderaan anak-anak muda PAS megah mengebarkan bendera hijau putihnya ke sana sini. Malangnya tidak banyak kenderaan penyokong UMNO berbuat demikian. Pada masa pengundian hampir kesemua pusat-pusat pengundian dipenuhi oleh perayu-perayu undi yang penuh bersemangat tidak kira panas terik yang mengenai tubuh mereka. Penyokong Melayu, Cina dan India daripada Pakatan Rakyat semacam tidak tahu penat menarik sokongan pengundi-pengundi Kuala Terengganu. Pengumuman keputusan malam pengundian itu cukup untuk kita mengingatkan kebesaran Allah. Usaha-usaha secara fizikal telah disepadukan dengan doa dan munajat kepadaNya memohon kemenangan. Akhirnya PAS menang dengan majoriti 2631. Dalam pilihanraya umum ke-12 PAS kalah dengan majoriti 628. Satu peningkatan majoriti lima kali ganda. Kemenangan PAS ini telah memberi aib luar biasa kepada UMNO.

Aib yang pertama adalah kekalahan UMNO di Kuala Terengganu merupakan kekalahan tiga kali berturut-turut dalam tempoh 11 bulan. Kekalahan pertama pada pilihanraya umum pada 8 Mac 2008 dimana UMNO dan Barisan Nasional kalah di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan. Kekalahan kedua adalah pada 26 Ogos 2008 di Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja menang tetapi beliau mendapat majoriti lebih banyak lagi dibandingkan dengan kejayaan Datin Seri Dr.Wan Azizah pada pilihanraya umum 2008. Kekalahan ketiga adalah pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu di mana UMNO gagal mempertahankan kemenangannya dalam pilihanraya umum 2008. Kekalahan tiga kali berturut-turut ini bagaikan sudahlah jatuh ditimpa tangga pula, sudah ditimpa tangga dipatuk ayam pula. Begitulah hinanya UMNO.

Aib yang kedua adalah Dato’ Wan Farid calon BN di Kuala Terengganu adalah calon Pak Lah, Presiden UMNO calon yang dikemukakan oleh Najib dan Mohamad Said tertolak dengan sendirinya.Calon PAS di Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut adalah calon Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang, Presiden PAS. Semua senarai yang diberi oleh AJK PAS Pusat dan Pemuda PAS Negeri Terengganu tertolak dengan sendirinya. Calon kedua-dua parti adalah calon presiden masing-masing. Bolehlah juga dianggap bahawa pertandingan di Kuala Terengganu sebagai pertandingan antara Presiden UMNO dan PAS. Oleh kerana PAS yang menang maka bolehlah disimpulkan bahawa pandangan Presiden PAS lebih tajam daripada pandangan Presiden UMNO. Apabila pandangan Presiden UMNO dilihat lemah maka mungkin benar kata-kata sebahagian ahli UMNO bahawa Presiden UMNO terlalu lemah untuk memimpin parti orang Melayu. UMNO menjadi begitu aib disebabkan mempunyai Presiden selemah Pak Lah.

Aib yang ketiga adalah Dato’ Wan Farid adalah Ketua Bahagian UMNO. Y.B Mohd Abdul Wahid Endut adalah YDP PAS Kawasan atau dalam UMNO dipanggil Ketua Bahagian. Ini bermaksud bahawa pertembungan UMNO dan PAS di Kuala Terengganu adalah pertembungan antara dua ketua di peringkat akar umbi. Oleh kerana PAS yang menang maka PASlah yang sebenarnya pemimpin akar umbi. Calon UMNO adalah calon yang kurang diterima oleh akar umbi. Begitulah aibnya kekalahan ini kerana pemimpin UMNO di peringkat bahagian tidak diterima oleh akar umbi masyarakat.

Aib yang keempat adalah Ketua Perang UMNO di Kuala Terengganu adalah Dato’ Seri Najib Tun Razak, bakal Perdana Menteri Malaysia selepas bulan Mac 2009(Itupun kalau tak de aral melintang). Kekalahan di Kuala Terengganu akan menyebabkan rakyat berfikir apakah Najib layak untuk menjadi Presiden UMNO. Adakah Najib layak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Bagaimana mungkin Najib yang tidak mampu membantu kemenangan UMNO di Kuala Terengganu boleh menjadi Presiden UMNO. Begitulah aibnya bakal Presiden UMNO.

Aib yang kelima adalah UMNO hanya menang dengan undi pos sahaja. UMNO mendapat undi pos sebanyak 1039, PAS memperolehi 86 undi dan bebas 1 undi. Senario ini berlainan dengan akar umbi yang menyokong PAS. Maksudnya sokongan undi pos adalah tidak betul. Ada unsur tekanan, ugutan dan kongkongan. Anggota keselamatan yang mengundi secara pos tidak bebas, tidak sebagaimana maksud pilihanraya itu di adakan bagi memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih pemerintah. Oleh itu segala kemenangan UMNO di mana di situ ada undi pos yang banyak adalah tidak sah dan tidak tepat. Tidak juga menggambarkan sokongan rakyat yang sebenar. Barangkali itulah sebabnya mengapa UMNO bermati-matian menyokong perlaksanaan undi pos sebagaimana bermati-matian UMNO menyokong ISA. Bayangkan jika Kuala Terengganu ada kem tentera yang bilangannya 4000 orang. Besar kemungkinan UMNO akan dapat 3,500 undi PAS dapat 450 undi, bebas 50. Undi 3, 500 di tolak 2631 berjumlah 869. Jika keadaan ini berlaku maka UMNO menang dengan majoriti 869. Oleh itu temberang UMNO terhadap undi pos telah terdedah. Aibnya UMNO mempertahan undi pos.

Aib yang keenam adalah kekalahan UMNO adalah disebabkan masalah dalaman akibat percaturan antara golongan Mohamad Said Menteri Besar sekarang dengan Idris Jusoh bekas Menteri Besar, percaturan antara calon-calon Timbalan Presiden, naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ahli Majlis tertinggi. Tidak dapat dibayangkan macamana berceramuknya UMNO akibat perpecahan ini. UMNO tidak mampu bersatu melaksanakan keputusan yang telah dibuat. Masing-masing menaruh prasangka anatara satu sama lain.Bagaimana mungkin UMNO selemah ini mampu mentadbir negara yang kita sayangi ini.

Aib yang ketujuh adalah merosotnya sokongan masyarakat cina kepada UMNO dan Barisan Nasional. Selama ini mereka mendabik dada bahawa masyarakat cina dan india bersama mereka. Isu-isu seperti negara Islam dan hudud mampu menakutkan masyarakat ini. Rupa-rupanya senajata ini sudah menjadi tumpul setumpulnya senjata liwat terhadap Anwar Ibrahim. Semakin banyak isu liwat disiarkan semakin banyak sokongan diperolehi. Semakin banyak isu hudud di kemukakan, semakin banyak sokongan diperolehi. Oleh itu peralihan sokongan masyarakat bukan melayu ini telah banyak menaibkan UMNO dan BN.

Kekalahan ini merupakan suatu aib yang paling besar kepada UMNO sejak ia ditubuhkan. Terdapat banyak aib yang dapat diseraikan dan aib-aib ini akan membawa kepada UMNO seperti yang disebut oleh Musa Hitam bekas Timbalan Presiden UMNO bahwa UMNO sedang dilanda sindrom sakit tua yang tiada ubat kecuali mati sahaja. Maka bersedialah pimpinan PAS akan kecenderungan ahli dan pemimpin UMNO yang akan berpindah ke dalam PAS pada bila-bila masa. Bersedialah pemimpin PAS di negeri-negeri untuk membuat apa yang perlu bagi persiapan pilihanraya ke-13. Masanya sudah semakin hampir.

2 comments:

Anonymous said...

tuan,
saya tak nak berdebat dgn tuan tentang hal-hal lain. Saya tumpu pasa ISA sahaja dengan ringkas.

tuan tak perlu takut dengan ISA sebagaimana saya tidak pernah takut dengan ISA. Sebabnya saya tak pernah buat salah yang perlu saya diISAkan.

tuan perlu takut dengan ISA kalau tuan berbuat sesuatu yang salah atau berhajat berbuat demikian.
tuan tak perlu takut dengan hukum hudud kalau tuan tak berhajat untuk mencuri atau berzina(orang pas pun pandai berbuat demikian tuan)

pesalah ISA tidak ditangkap tanpa asas. Melainkan dengan bukti lengkap baru (tuan) akan diISAkan. Soal tuan mengaku atau tidak berbuat salah itu soal lain tuan, tunggu hingga kucing bertanduk pun tuan tak akan mengaku tuan berbuat salah

Anonymous said...

Bagaimana ISA boleh tentutan orang salah.... sedangkan pemerintah yang jadi polis, pendakwaraya dan hakim sekaligus. Firaun yang zalim pun bawa nabi Musa ke muka pengadilan. Kenapa UMNO yang tidak sezalim Firaun takut mahu bawa tahanan ISA ke Mahkamah? Akta-akta yang ada sudah cukup untuk menjaga pesalah-pesalah.

Kalau bantuan di kampung-kampung pun pihak tertentu guna untuk kepentingan diri. Inikan pula ISA. ISA mudah dimanipulasi oleh orang politik berkepetingan. Apakata kalau tuan dengan ikhlas pertahankan negara tapi Syed Hamid tak berapa senang dengan tuan. Lepas tu dia buat hal tangkap tuan bawah ISA. Apa yang bakal tuan rasakan? Kalau org UMNO yang tentang Syed Hamid di Kota Tinggi boleh kena tindakan displin, inikan pula tuan yang tak berapa UMNO. Lagi senang Syed Hamid nak NGAPPPPP.... tuan.