Wednesday, January 14, 2009

Keputusan pelaksanaan PPSMI tahun depan : Hishamuddin Tun Hussin

Walaupun pelbagai pihak menentang (Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) termasuk pejuang-pejuang bahasa tetapi Hishamuddin tetap dengan melambat-lambatkan keputusan pemansuhan PPSMI.

Berita Harian 8.1.09

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada peringkat sekolah hanya boleh dilaksanakan tahun depan. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya masih ada masa untuk menentukan keputusan berkenaan dengan membuat kajian teliti serta pertimbangan mendalam terhadap perkara itu.

"Kita ada masa kerana apa juga keputusan hanya boleh dilaksanakan tahun depan. Saya berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan dengan pelbagai pihak berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kajian pihaknya terhadap pandangan pelbagai pihak mengenai isu pelaksanaan dasar berkenaan, terutama rumusan daripada hasil lima sesi Persidangan Meja Bulat PPSMI yang diadakan. Persidangan Meja Bulat PPSMI terkini yang berlangsung pertengahan bulan lalu merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.

Pilihan itu ialah meneruskan PPSMI seperti sedia ada; menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah, tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah; memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah; menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah; dan penggunaan bahasa pengantar Sains serta Matematik ditentukan sekolah. Seterusnya, penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah; serta pilihan memansuhkan subjek Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

Bagaimanapun, kemelut PPSMI semakin meruncing apabila akhbar baru-baru ini melaporkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) menetapkan 15 Februari depan sebagai tempoh muktamad untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya kerajaan masih meneruskan pelaksanaan PPSMI, di samping berhasrat mengadakan 'perarakan keranda' bulan depan. Mengulas mengenainya, Hishammuddin menegaskan, tekanan dan ugutan tidak akan mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat mengenai masa depan PPSMI.

0 comments: