Sunday, January 4, 2009

Mari Kita Jayakan Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu

The New Straits Time pada sabtu 3hb Januari 2009 telah menyiarkan berita bertajuk ”100,000 to take part in protest”. Berita ini telah memetik kenyataan Pengarah Jawatankuasa Perlaksana Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu Sdr. Hasni Abas yang akan mengadakan suatu Himpunan 100 ribu di Istana Negara bagi menghantar memorandum kepada Yang DiPertuan Agong berhubung dengan bantahan pegajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Pihak Dewan Pemuda PAS Pusat ingin mengucapkan tahniah kepada Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang dianggotai oleh badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), parti-parti politik dan individu pejuang Bahasa Melayu yang telah melangkah tahap kedua membantah PPSMI. Keputusan untuk mengadakan Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu (Himpunan SELAMAT) merupakan suatu langkah yang berani bagi mempastikan bahasa Melayu tidak dipinggirkan di negaranya sendiri.

Saya yakin dan percaya bahawa himpunan ini akan berjaya dilaksanakan berdasarkan bantahan-bantahan yang telah yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh pencinta bahasa, NGOs dan parti politik seperti Datuk Dr. Hassan Ahmad (bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka), Tan Seri Abdul Aziz Abdul Rahman (bekas Pengerusi MAS), Tun Abd Rahman Yaakob (bekas Menteri Pendidikan), Datuk Aziz Deraman (bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka), Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein, Prof. Dr Awang Sariyan dan ramai lagi. NGOs dan parti politik yang ke hadapan memperjuangkan isu ini adalah seperti GAPENA, Kumpulan Perihatin, PKPIM, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, UMNO Johor, Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan lain-lain lagi. Jika dibandingkan dengan Himpunan BERSIH yang kebanyakan dirasai oleh orang politik tetapi PPSMI dirasai oleh kebanyakan orang Melayu khususnya di luar bandar. Himpunan BERSIH juga dianggap sebagai pendorong kepada Himpunan SELAMAT. Ia merupakan suatu himpunan yang telah memecahkan tembok pemikiran orang Melayu yang sebelum ini sangat takut untuk berhimpun mempertahankan hak mereka. Oleh itu dijangka Himpunan SELAMAT ini akan lebih hebat daripada Himpunan BERSIH. Insya-Allah.

Himpunan SELAMAT ini bakal mencorakkan pemilihan dan perbahasan dalam Perhimpunan Agong UMNO pada bulan Mac ini. Saki baki ahli UMNO yang cintakan bahasa Melayu tetapi takut untuk membantahnya semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir suatu masa dahulu bakal ke hadapan untuk memperjuangkan isu ini khususnya UMNO Johor. Calon-calon Naib Presiden UMNO bakal menggunakan isu ini untuk menekan calon utama Naib Presiden UMNO iaitu Dato’ Hishamuddin Tun Hussin yang bertanggungjawab terhadap PPSMI. Menteri Pendidikan ini bakal mencari jalan selamat untuk keluar daripada beban legasi Tun Dr. Mahathir ini.

Semua penggerak Himpunan SELAMAT ini harus berhati-hati dengan perangkap isu perkauman yang biasanya datang sebelum Perhimpunan Agong UMNO. Oleh kerana Himpunan SELAMAT ini merupakan himpunan besar-besaran orang Melayu maka isu perkauman adalah senjata yang paling ampuh akan digunakan untuk memerangkap Jawatankuasa. Jangan pula apabila dipujuk dan digertak oleh pihak tertentu maka individu dan NGOs yang terbabit membuat pusingan ’u-turn’ berpaling balik ke belakang. Akhirnya bahasa Melayu akan terus dipinggir dalam negara ini. SELAMAT BERJUANG.



Yang Benar,



Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat

0 comments: