Persidangan seumpama ini tidak mampu mempengaruhi kerajaan mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia
Kekalutan yang berlaku terhadap pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris ini telah dimulakan oleh orang politik bernama Tun Dr. Mahathir Mohammad. Pada tahun 2002 sebagai Perdana Menteri beliau telah menggunakan orang yang bukan politik untuk mencapai cita-citanya. Menteri Pendidikan masa itu adalah Musa Mohammad, seorang bekas Naib Censelor Universiti Sains Malaysia yang tiada latarbelakang politik dilantik ke jawatan menteri atas tiket senator. Asas kepada perubahan besar ini sangat rapuh sekali. Tun Dr. Mahathir tidak berpuas hati dengan pegawai kerajaan yang tidak fasih berbahasa Inggeris di luar negara. Apabila beliau pulang ke tanah air peristiwa ini telah dijadikan asas untuk merombak suatu dasar yang cukup besar. Seolah-olahnya mencabar dan menghina pejuang-pejuang kemerdekaan yang bermandikan darah untuk mendapatkan persetujuan semua kumpulan di negara ini bagi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara di sekolah-sekolah. Perkara 152 Perlembaaan Malaysia merupakan hasil perjuangan mereka.
PPSMI ini telah dilaksanakan pada tahun 2003 hingga sekarang tahun 2008. Beratus-ratus bantahan melalui kenyataan media daripada pelbagai golongan seperti GAPENA, Kumpulan Perihatin, PKPIM, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, UMNO Johor dan lain-lain lagi. Ramai individu yang membantahnya dasar ini antaranya adalah Menteri Luar Dato’ Seri Dr. Rais Bin Yatim, Bekas Menteri Kewangan Tengku Razali Hamzah, Ahli Parlimen Batu Pahat YB. Dr. Fuad Zarkasi, Bekas Pengerusi MAS Tan Seri Abdul Aziz Abdul Rahman, Bekas Menteri Pendidikan Tun Abd Rahman Yaakob, Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Hassan Ahmad, Datuk Dr. Zainal Kling dan ramai lagi. Malangnya pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin tidak menunjukkan langkah yang positif kearah mengambalikan pengajaran dalam Bahasa Malaysia.
Saya beranggapan sudah sampai masanya Individu dan NGOs ini bergandingan dengan parti politik untuk melangkah ketahap kedua bantahan ini. Parti Islam Semalaysia (PAS) melalui sayap pemudanya telah menyaman pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan yang telah menghalang seorang pelajar di Perak untuk menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar subjek sains dan matematik di sekolahnya. Kes ini masih sedang berjalan di mahkamah. Itulah ketegasan PAS dalam memperjuangkan isu ini. Bagi mengajar orang-orang politik pendekatan sekadar bantahan-bantahan dalam persidangan-persidangan ini sudah tidak sesuai lagi. Orang politik ini faham bantahan ini tidak mengugat undi mereka dalam pilihanraya akan datang. Tapi orang politik ini cukup cemas jika individu dan NGOs ini berani meredah onak dan duri berjuang diluar medan persidangan. Individu dan NGOs ini perlu lebih agresif lagi melebarkan pemahaman ini di kawasan luar bandar di mana banyak kesan-kesan kerosakkan ini terkena kepada pelajar-pelajar disana.
Jika PAS, Pakatan Pembangkang dan NGOs berjaya dalam perhimpunan BANTAH tahun 2007 mengapa Individu dan NGOs pejuang Bahasa ini tidak menggunakan mekanisma ini? Saya telah menyebut perkara ini dalam menyuarat Dewan Pemuda PAS Pusat pada sabtu 20.12.2008 di Kuala Terengganu. Dewan Pemuda PAS tiada halangan untuk terlibat secara aktif dalam bantahan ini. Gerakkan bantahan ini boleh disusun melalui beberapa fasa. Fasa 1: Memantapkan organisasi & Sokongan Individu, Parti Politik & NGOs. Fasa 2 : Road Show dinegeri-negeri. Fasa 3: Himpunan 100 ribu dihadapan Istana Negara.
Walaubagaimana pun sesuatu yang perlu di ingat adalah bantahan ini adalah sesuatu yang boleh mengugat kerajaan. Pihak kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk melayan kehendak kita. Tidak mustahil ISA akan digunakan. Kalau pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu berani berhadapan dengan tekanan pihak penjajah yang jauh lebih kejam daripada pemerintah sekarang, mengapa pula kita yang kononya berjiwa merdeka takut terhadap tekanan ini ? Mengapa kita yang kononnya lebih bijak ini tiba-tiba menjadi dayus memperjuangkan isu-isu rakyat ini ? Kalau isteri dan anak-anak tahanan ISA sanggup menderita menunggu ayah dan suami mereka dalam tahanan, mengapa kita jadi pengecut memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air?
Ayuhhhh kita mulakan.
Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat
Blog : http://kentong-suhaizan.blogspot.com/
Nota : Suhaizan Kaiat adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Komputer & Sistem Maklumat, Universiti Teknologi Malaysia, yang dipecat daripada universiti kerana tekanan politik.
2 comments:
Salam semua,
Setuju..orang-orang politik ini perlu diajar.
Saya rasa isu ini telah sampai ke kemuncaknya. Bolehkah agaknya, adakan suatu perhimpunan besar-besaran, terutamanya sempena PRK Kuala Terengganu akan datang? Mungkinkah boleh digembeling usaha semua NGO yang menentang PPSMI ini?
tahniah sdr suhaizan. terus berjuang walaupun kena ludah. senyum sikit.
AJP
Post a Comment