Wednesday, December 31, 2008

HIMPUNAN 100 RIBU SELAMATKAN BAHASA MELAYU


Satu perbincangan antara NGOs, parti politik dan pencinta bahasa telah diadakan di Yayasan Penataran Ilmu bersebelahan Gapena pada 30hb. Disember 2008. Pertubuhan-pertubuhan yang telah hadir dalam perbincangan ini adalah Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa & Pustaka(DBP), Pemuda Parti Islam SeMalaysia(PAS), Persatuan Lingustik Malaysia(PLM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia(GAMIS), Teras Keupayaan Melayu(TERAS) dan Persatuan Pelajar Bahasa Melayu, Universiti Malaya.

Antara keputusan yang telah diambil adalah untuk mengadakan suatu Himpunan 100 Ribu pada tahun 2009 bagi menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong di Istana Negara. Salah satu isi kandungan memorandum ini adalah untuk membantah perlaksanaan Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Perhimpunan ini adalah menyerupai Himpunan Bersih yang telah diadakan pada tahun 2007.

Organisasi yang menghimpunkan NGOs, parti politik dan pencinta bahasa ini dikenali sebagai Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu. Ia mempunyai dua badan iaitu pertamanya badan induk dikenali sebagai Badan Induk Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang bakal dianggotai oleh tokoh-tokoh pejuang bahasa Melayu seperti Datuk Dr. Hassan Ahmad (bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka), Tan Seri Abdul Aziz Abdul Rahman (bekas Pengerusi MAS), Tun Abd Rahman Yaakob (bekas Menteri Pendidikan), Datuk Aziz Deraman (bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka), Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein, Prof. Dr Awang Sariyan dan ramai lagi. Badan ini berfungsi untuk menghimpunkan semua tokoh-tokoh pejuang bahasa Melayu. Di bawah badan induk ini terdapat jawatankuasa pelaksana yang menumpukan kepada mobilasi Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu.

Jawatankuasa Pelaksana ini diketuai oleh Pengarah Sdr. Hasni Abas, Tim Pengarah Sdr. Suhaizan Kaiat, Setiausaha Sdr. Saifullah, Pen S/U Sdr. Faisal, Bendahari Sdr. Kamaruzaman. AJK kecil terdiri daripada Sdr. Sani (Penerangan), Sdr. Akmal(Media), Sdr. Abd Razak Omar, Sdr. Wan Mohd Wasif, Sdr. Kamal dan Sdr. Firdaus. Tugas terdekat badan pelaksana ini adalah pertamanya mengadakan perjumpaan dengan Datuk Dr. Hassan Ahmad dan keduanya mengadakan perjumpaan dengan semua NGOs, parti politik dan individu pencinta bahasa pada sabtu 31hb Januari 2009 di Kuala Lumpur. Oleh itu saya mengajak semua NGOs dan individu yang ingin mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di negara ini menghubungi Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Sdr. Hasni Abas 012-2612316 atau Timbalan Pengarah Sdr. Suhaizan Kaiat 019-7285174 untuk mendapat keterangan lanjut.


Hasni Bin Abas
Pengarah
Jawatankuasa Pelaksana
Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu

Tuesday, December 30, 2008

Hishamuddin Kau Dimana ?




Riuh rendah seluruh negara mempertikaikan Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matemaik dalam bahasa Inggeris(PPSMI). Gapena yang dianggotai oleh mereka yang mahir dalam bidang bahasa dan penubuhannya untuk memartabatkan Bahasa Melayu telah mengugut kerajaan untuk mengambil tindakkan undang-undang jika PPSMI diteruskan. Tapi menteri bertanggungjawab membisu seribu bahasa. Wahai Ketua Pemuda UMNO 3 bulan lagi !!!! Mana kau pergi !!!!! Tetapi yang pasti, Hishamuddin sedang menconggak mana yang lebih membantu kemenangannya sebagai Naib Presiden UMNO. Adakah dengan memansuhkan PPSMI itu lebih baik untuk jawatan Naib Presiden atau sebaliknya. Pioriti untuk menjaga bahasa Melayu diletakkan ke belakang.

Friday, December 26, 2008

Kesan Perlaksanaan Hukum Hudud Kepada Masyarakat Bukan Islam.

Pada 20.12.2008 suatu forum mempertemukan Dato’ Husam Musa Naib Presiden PAS dan Khairy Jamaluddin Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah diadakan di Kelantan. Seperti dilapor TV3, Khairy Jamaluddin mencabar Husam Musa menjelaskan adakah PAS akan melaksanakan hukum hudud jika memerintah Malaysia. Husam Musa telah mempertegaskan bahawa PAS akan tetap melaksanakan hudud. Malah beliau menambah tanggungjawab melaksanakan hudud bukan sahaja terletak kepada PAS tetapi juga UMNO yang sedang memerintah. Maka berlakulah polimik diseluruh negara khususnya daripada pemimpin DAP, MCA dan lain-lain lagi. Sehingga Pemuda MCA Wilayah Persekutuan datang ke pejabat PAS di Jalan Raja Laut menghantar memorendum membantah kenyataan Husam Musa. Persoalanya mengapa sebahagian masyarakat Malaysia membantah perlaksanaan hukum hudud?. Adakah mereka faham apakah kesan kepada mereka apabila hudud dilaksanakan ? Suka untuk saya menghuraikan kesan-kesan perlaksanaan hudud kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia.



Sebenarnya dalam hukum islam terdapat tiga jenis hukuman sahaja. Pertama hudud, kedua qisas dan ketiga ta’zir. Yang jatuh hukum di bawah hudud itu hanyalah tujuh kesalahan sahaja iaitu berzina, menuduh orang berzina tampa bukti, minum arak, mencuri, keluar daripada agama Islam, merompak dan menderhaka kepada negara. Qisas adalah hukuman balas iaitu bunuh balas bunuh, mencedera balas cedera dan meluka balas meluka. Hukuman ta’zir adalah hukuman denda bagi kes-kes diluar kes hudud dan qisas seperti kesalahan jalan raya. Walaubagaimana pun orang-orang bukan Islam di beri pilihan samaada mahu dihukum dengan hukum Islam atau dengan hukum sivil yang sedang berjalan sekarang. Hanyalah orang Islam sahaja yang tiada pilihan kecuali dihukum di bawah hukum Islam.


Kebaikkan Pertamanya: Menjaga Keturunan dan Kehormatan

Sebab utama hukum ini diwujudkan adalah untuk mendidik masyarakat Islam atau bukan Islam agar hidup saling hormat menghormati bukannya untuk menghukum semata-mata. Islam tidak suka ada individu yang boleh mecabul kehormatan orang lain. Tentunya kita benci kalau ada orang merogol anak kita atau kakak kita atau emak kita. Kebaikkan hukuman hudud boleh dilihat daripada negara Arab Saudi yang melaksanakan hukum ini. Pada tahun 2002 bagi perbandingan 1 juta penduduk Arab Saudi hanya 2.39 kes rogol sahaja berlaku. Ini bermakna bagi setiap 1 juta penduduk Arab Saudi hanya 3 kes sahaja berlaku dalam tahun 2002. Cuba kita bandingkan dengan Malaysia yang tidak mengamalkan hukum hudud, bagi sejuta rakyat Malaysia terdapat sebanyak 51.60 kes berlaku pada tahun 2002. Jumlah tertinggi adalah Kanada yang langsung tidak mengamalkan hukum-hukum yang terdapat dalam Islam, bagi 1 juta penduduk di Kanada terdapat 727.62 kes setahun berlaku kes rogol di negara tersebut. Maklumat dalam rajah 1 diperolehi daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Maklumat lanjut boleh layari http://www.unodc.org/pdf/crime/eighthsurvey/8sv.pdf


Kebaikkan Keduanya: Menjaga nyawa dan hartabenda

Hukum hudud ini dilaksanakan untuk menjaga nyawa dan hartabenda manusia. Jenayah yang berlaku dalam atau luar negara akan menyebabkan kehilangan hartabenda dan nyawa manusia. Lihatlah betapa seriusnya masalah jenayah yang berlaku di United Kindom(UK) bagi 1 juta penduduk disana terdapat 106,621 kes jenayah berlaku. Cuba pula kita lihat kes jenayah di Arab Saudi yang melaksanakan hukum Islam. Bagi 1 juta penduduk disana hanya terdapat 3,420 kes jenayah yang berlaku pada tahun 2002. Maklumat rajah 2 diperolehi daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Maklumat lanjut boleh layari http://www.unodc.org/pdf/crime/eighthsurvey/8sv.pdf

Kebaikkan Ketiga : Perniagaan akan lebih maju

Apabila jenayah dapat dikurangkan, perompak takut ingin merompak dan pencuri takut ingin mencuri maka peniaga-peniaga tidak perlu takut untuk berniaga. Keuntungan berniaga akan diperolehi sepenuhnya oleh peniaga tersebut bukannya terpaksa dikongsi bersama perompak dan pencuri. Modal perniagaan tidak hilang dan duit pusingan perniagaan dapat diperolehi semula setelah barang habis dijual. Pusat-pusat pernigaan tidak perlu membazirkan wang untuk membeli alarm, mengupah pengawal keselamatan dan membeli gril besi pagar. Para ushawan tidak sakit jantung dan pening kepala memikirkan keselamatan kedai atau gedung-gedung mereka. Semua urusan pernigaan dapat berjalan dengan baik dan teratur.

Kebaikkan seterusnya akan bersambung .......

KESIMPULANNYA MENGAPA KITA PERLU TAKUT DENGAN HUDUD ?

Thursday, December 25, 2008

Pemimpin Zalim Memang Layaknya Kasut Sampai Kemuka



Memang benar kata Pak Lah ketua kerajaan perlu dihormati. Mana-mana ketua kerajaan negara luar yang datang perlulah dihormati. Tetapi macamana nak hormat kalau sesorang pemimpin itu tak tahu nak hormat rakyat sesebuah negara. Disebabkan Amerika diserang pengganas yang tak pasti siapakah identiti penyerangnya, Bush terus menyalahkan Iraq, Iran dan lain-lain negara Islam sebagai negara yang melindungi pengganas. Tak cukup askar negaranya, PBB diheret kekancah perperangan di Iraq. Maka ramailah rakyat negara Islam terbunuh, cacat, kematian orang tersayang, kebuluran dan macam-macam lagi. Bush melayan rakyat Iraq macam binatang. Maka layaklah orang arab benci dengan Bush. Sebab itulah anak muda bernama Muntadar membaling kasut kemuka Bush. Kalau saya ada dalam sidang media tu bersama Muntadar mungkin apa sahaja yang ada ditangan akan dibaling kemuka Bush. Kalau ada pemimpin Malaysia yang berlagak macam Bush maka tunggulah kasut sampai kemuka.

Wednesday, December 24, 2008

Kenyataan Media Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat

24-12-2008

Tajuk : Tingkatkan Tahap Bantahan Terhadap Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris


Pihak Dewan Pemuda PAS Pusat ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Gabungan Penulis Nasional (Gapena) khususnya Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein selaku Ketua 1 Gapena yang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik. Sebelum ini Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, seorang peguam kanan (bekas Pengerusi MAS) telah menyatakan bahawa perlaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) bercanggah dengan undang- undang negara. Tafsiran Tan Sri Aziz Abdul Rahman bahawa “maksud bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi” dalam Perkara 152 Perlembagaan negara turut merangkum bidang pendidikan sebagai bidang urusan rasmi negara. Undang-undang negara yang secara khusus dan secara terang- terangan dilanggar ialah Akta Pendidikan 1996 (Perkara 17(1)) yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan di negara ini.

Kementerian Pelajaran pula telah menganjurkan persidangan meja bulat kononnya untuk mendapatkan maklumbalas daripada semua pihak. Malangnya tujuh pilihan yang dirumuskan dalam pertemuan meja bulat pada 16 Disember 2008 itu kabur dan mengelirukan sehingga boleh menyusahkan ibubapa dan pelajar-pelajar selepas ini. PPSMI ini telah dilaksanakan bermula pada tahun 2003 hinggalah sekarang. Beratus-ratus bantahan telah dibuat melalui persidangan dan kenyataan media daripada pelbagai golongan seperti GAPENA, Kumpulan Perihatin, PKPIM, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, UMNO Johor, Pemuda PAS dan lain-lain lagi. Ramai individu telah memberi pandangannya termasuk Menteri Luar Dato’ Seri Dr. Rais Bin Yatim, Bekas Menteri Besar Negeri Selangor Dato’ Muhammad Khair Toyo, Ahli Parlimen Batu Pahat YB. Dr. Fuad Zarkasi, bekas Pengerusi MAS Tan Seri Abdul Aziz Abdul Rahman, Bekas Menteri Pendidikan Tun Abd Rahman Yaakob, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Hassan Ahmad, Datuk Dr. Zainal Kling, Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein, Prof. Dr Awang Sariyan dan ramai lagi. Malangnya pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak langsung menunjukkan langkah yang positif ke arah mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

Saya beranggapan sudah sampai masanya individu dan NGOs ini memperkukuhkan hubungan, merangka pelan tindakan bersama dan melangkah ke tahap kedua bantahan ini. Pemuda PAS Pusat telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. Kes ini masih sedang berjalan di mahkamah. Itulah ketegasan PAS dalam memperjuangkan isu ini. Bagi mengajar orang-orang politik pendekatan sekadar bantahan dalam persidangan yang kemudiannya dikeluarkan dalam media ini sudah tidak sesuai lagi. Orang politik sangat faham bahawa selagi bantahan ini tidak menggugat undi mereka dalam pilihanraya umum atau pemilihan dalam perhimpunan agong parti mereka maka selagi itulah mereka tidak akan berganjak. Tapi orang politik ini cukup cemas jika individu dan NGOs ini berani meredah onak dan duri berjuang di luar medan persidangan. Individu dan NGOs ini perlu lebih agresif lagi termasuk melebarkan pemahaman ini di kawasan luar bandar di mana impak negatif PPSMI ini lebih terkesan kepada pelajar-pelajar di sana.

Walaubagaimana pun sesuatu yang perlu diingat adalah bantahan ini adalah sesuatu yang boleh menggugat kerajaan. Pihak kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk menekan para pejuang ini. Tidak mustahil ISA akan digunakan. Kalau pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu berani berhadapan dengan tekanan pihak penjajah yang jauh lebih kejam daripada pemerintah sekarang, mengapa pula kita yang kononya berjiwa merdeka takut terhadap tekanan ini ? Mengapa kita yang kononnya lebih bijak ini tiba-tiba menjadi dayus dalam memperjuangkan isu-isu rakyat ini ? Jangan pula apabila dipujuk dan digertak oleh pihak tertentu maka individu dan NGOs yang terbabit membuat pusingan ’u-turn’ berpaling balik ke belakang. Akhirnya bahasa Melayu akan terus dipinggir dalam negara ini. Ingatlah, bahawasanya bahasa itu jiwa bangsa!


Yang Benar,



Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat

Tuesday, December 23, 2008

ISU NEGARA ISLAM LWN MALAYSIAN MALAYSIA, BILA AKAN BERAKHIR ?

Pada 20.12.2008 suatu forum mempertemukan Dato’ Husam Musa Naib Presiden PAS dan Khairy Jamaluddin Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah diadakan di Kelantan. Seperti dilapor TV3, Khairy Jamaluddin yang sedang mempromosikan dirinya sebagai calon Ketua Pemuda UMNO mencabar Dato’ Husam Musa menjelaskan adakah PAS akan melaksanakan hukum hudud jika memerintah Malaysia. Dengan tegas Husam menjawab ” Ya”. Malah beliau menambah tanggungjawab melaksanakan hudud bukan sahaja terletak kepada PAS tetapi juga UMNO yang sedang memerintah.

Isu hudud yang merupakan salah satu intipati sebuah negara Islam bukan baru ditimbulkan oleh UMNO. Setiap kali UMNO tertekan berhadapan dengan PAS maka senjata hududlah yang akan digunakan untuk menakutkan pengundi khususnya orang-orang Cina dan India yang tidak beragama Islam. Jika senjata liwat digunakan untuk Keadilan di Permatang Pauh, begitu juga senjata hudud akan digunakan oleh UMNO di pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Mengikut bacaan atas kertas daripada pilihanraya ke-12 di Parlimen Kuala Terengganu dicampurkan dengan situasi tegang dan tenat UMNO maka PAS Insya-Allah akan melalui laluan mudah di Kuala Terengganu. Atas tekanan inilah maka senjata hudud digunakan oleh UMNO untuk menakutkan orang Cina di Kuala Terengganu.

Senjata Hudud ini sememangnya utuh kepada UMNO. Ini terbukti dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng yang membantah terhadap keyataan Husam tersebut. Ini bermakna bukan sahaja MCA dan MIC yang menentang hudud malah DAP yang mempunyai pemimpin yang menjadikan Omar Abdul Aziz sebagai idolanya pun menentang. Negara Islam digambarkan oleh UMNO sebagai kolot, ketinggalan zaman, babarian, zalim, keras dan kejam terutamanya kepada bukan Islam. Islam akan membunuh orang bukan Islam sewenang-wenangnya. Pemuda PAS Pulau Pinang pula dilihat bermasalah dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Program I-Dance yang dianjurkan oleh kerajaan negeri telah dijadikan modal oleh UMNO betapa PAS dan DAP tidak boleh bekerjasama. Negara Islam adalah senjata UMNO untuk melemahkan PAS. Malaysian Malaysia pula adalah senjata UMNO untuk melemahkan DAP. Dalam Malaysian Malaysia digambarkan sudah tiada lagi kouta bumiputra, orang melayu akan mejadi mangsa, orang cina akan jadi tuan, pergaduhan yang lebih hebat daripada peristiwa 13 Mei 1969 akan berlaku, DAP itu komunis dan macam-macam lagi.

Soalnya bila polimik ini akan berakhir ? Kadang-kadang kita menjadi muak mendengar polimik ini. UMNO melanyak PAS dan DAP tampa keduanya mencari jalan keluar daripada masalah yang membelangunya. Sebelum pilihanraya ke-12 isu polimik ini tidak bergitu terdesak untuk diselesaikan. Sebabnya DAP belum diberi peluang untuk memerintah. Begitu juga PAS belum lagi diberi kepercayan memerintah dinegeri-negeri yang jika tiada DAP dan Keadilan, maka PAS pun tidak boleh memerintah. Selepas pilihanraya 2008 Tuhan sebenarnya telah memberi kefahaman kepada pemimpin PAS dan DAP bagaimana untuk memerintah dan mendapat sokongan dalam sebuah negara seperti Malaysia. Tiada suatu parti pun dalam Malaysia yang dapat memerintah negara ini tanpa kerjasama daripada parti-parti lain.

Bagi menyelesaikan polimik ini mengapa tidak diwujudkan suatu Jawatankuasa bersama bagi mengkaji dasar Negara Islam dan Malaysian Malaysia ? Jawatankuasa ini mungkin terdiri daripada pakar-pakar dalam hal ehwal Negara Islam dan Malaysian Malaysia. Tenaga-tanaga cerdik pandai PAS dan DAP daripada universiti dalam dan luar negara di letakkan dalam jawatankuasa ini. Mereka akan mengkaji titik-titik persamaan dan titik pertentangan antara kedua-dua konsep negara ini. Kemudian rumusan kajian ini akan dibawa keperingkat pimpinan PAS dan DAP. PAS sebagai sebuah parti Islam ada mekanisma ilmu fiqah syiasahnya untuk meyesuaikan dengan hukum-hukum yang terdapat dalam Al-Quran. Sementara DAP pula boleh merujuk kepada kepada perlembagaan dan sejarah tanah melayu untuk mencari penyesuaiannya dengan kepentingan masyarakat Malaysia. Yang penting Jawatankuasa ini boleh merumus bagaimana PAS dan DAP boleh bekerjasama dalam sebuah negara seperti Malaysia. Soalnya bilakah Jawatankuasa Pengkaji Dasar Negara Islam dan Malaysian Malaysia akan menjadi kenyataan ?


Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat
Blog : http://kentong-suhaizan.blogspot.com

Monday, December 22, 2008

ISU PPSMI : ORANG POLITIK PERLU DIAJAR DENGAN KUASA POLITIK

Persidangan seumpama ini tidak mampu mempengaruhi kerajaan mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia


Kekalutan yang berlaku terhadap pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris ini telah dimulakan oleh orang politik bernama Tun Dr. Mahathir Mohammad. Pada tahun 2002 sebagai Perdana Menteri beliau telah menggunakan orang yang bukan politik untuk mencapai cita-citanya. Menteri Pendidikan masa itu adalah Musa Mohammad, seorang bekas Naib Censelor Universiti Sains Malaysia yang tiada latarbelakang politik dilantik ke jawatan menteri atas tiket senator. Asas kepada perubahan besar ini sangat rapuh sekali. Tun Dr. Mahathir tidak berpuas hati dengan pegawai kerajaan yang tidak fasih berbahasa Inggeris di luar negara. Apabila beliau pulang ke tanah air peristiwa ini telah dijadikan asas untuk merombak suatu dasar yang cukup besar. Seolah-olahnya mencabar dan menghina pejuang-pejuang kemerdekaan yang bermandikan darah untuk mendapatkan persetujuan semua kumpulan di negara ini bagi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara di sekolah-sekolah. Perkara 152 Perlembaaan Malaysia merupakan hasil perjuangan mereka.

PPSMI ini telah dilaksanakan pada tahun 2003 hingga sekarang tahun 2008. Beratus-ratus bantahan melalui kenyataan media daripada pelbagai golongan seperti GAPENA, Kumpulan Perihatin, PKPIM, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, UMNO Johor dan lain-lain lagi. Ramai individu yang membantahnya dasar ini antaranya adalah Menteri Luar Dato’ Seri Dr. Rais Bin Yatim, Bekas Menteri Kewangan Tengku Razali Hamzah, Ahli Parlimen Batu Pahat YB. Dr. Fuad Zarkasi, Bekas Pengerusi MAS Tan Seri Abdul Aziz Abdul Rahman, Bekas Menteri Pendidikan Tun Abd Rahman Yaakob, Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Hassan Ahmad, Datuk Dr. Zainal Kling dan ramai lagi. Malangnya pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin tidak menunjukkan langkah yang positif kearah mengambalikan pengajaran dalam Bahasa Malaysia.

Saya beranggapan sudah sampai masanya Individu dan NGOs ini bergandingan dengan parti politik untuk melangkah ketahap kedua bantahan ini. Parti Islam Semalaysia (PAS) melalui sayap pemudanya telah menyaman pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan yang telah menghalang seorang pelajar di Perak untuk menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar subjek sains dan matematik di sekolahnya. Kes ini masih sedang berjalan di mahkamah. Itulah ketegasan PAS dalam memperjuangkan isu ini. Bagi mengajar orang-orang politik pendekatan sekadar bantahan-bantahan dalam persidangan-persidangan ini sudah tidak sesuai lagi. Orang politik ini faham bantahan ini tidak mengugat undi mereka dalam pilihanraya akan datang. Tapi orang politik ini cukup cemas jika individu dan NGOs ini berani meredah onak dan duri berjuang diluar medan persidangan. Individu dan NGOs ini perlu lebih agresif lagi melebarkan pemahaman ini di kawasan luar bandar di mana banyak kesan-kesan kerosakkan ini terkena kepada pelajar-pelajar disana.

Jika PAS, Pakatan Pembangkang dan NGOs berjaya dalam perhimpunan BANTAH tahun 2007 mengapa Individu dan NGOs pejuang Bahasa ini tidak menggunakan mekanisma ini? Saya telah menyebut perkara ini dalam menyuarat Dewan Pemuda PAS Pusat pada sabtu 20.12.2008 di Kuala Terengganu. Dewan Pemuda PAS tiada halangan untuk terlibat secara aktif dalam bantahan ini. Gerakkan bantahan ini boleh disusun melalui beberapa fasa. Fasa 1: Memantapkan organisasi & Sokongan Individu, Parti Politik & NGOs. Fasa 2 : Road Show dinegeri-negeri. Fasa 3: Himpunan 100 ribu dihadapan Istana Negara.

Walaubagaimana pun sesuatu yang perlu di ingat adalah bantahan ini adalah sesuatu yang boleh mengugat kerajaan. Pihak kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk melayan kehendak kita. Tidak mustahil ISA akan digunakan. Kalau pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu berani berhadapan dengan tekanan pihak penjajah yang jauh lebih kejam daripada pemerintah sekarang, mengapa pula kita yang kononya berjiwa merdeka takut terhadap tekanan ini ? Mengapa kita yang kononnya lebih bijak ini tiba-tiba menjadi dayus memperjuangkan isu-isu rakyat ini ? Kalau isteri dan anak-anak tahanan ISA sanggup menderita menunggu ayah dan suami mereka dalam tahanan, mengapa kita jadi pengecut memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air?


Ayuhhhh kita mulakan.



Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat
Blog : http://kentong-suhaizan.blogspot.com/



Nota : Suhaizan Kaiat adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Komputer & Sistem Maklumat, Universiti Teknologi Malaysia, yang dipecat daripada universiti kerana tekanan politik.

Sunday, December 14, 2008

Sumbangan Baju Sekolah Kepada Anak Yatim



Seramai 37 orang anak yatim daripada Kempas dan Pulai Sebatang telah diraikan oleh Pusat Aduan Rakyat Kempas dan Persatuan Kebajikan Islam Pulai Sebatang di Pasaraya Mydin Tampoi. Sumbangan orang ramai kepada kedua-dua NGO ini telah memberi peluang keduanya untuk menyumbang kepada anak-anak yatim yang memerlukan keperluan baju sekolah seperti baju, seluar, kain, tudung, kasut, stoken dan lain-lain lagi. Pihak Mydin pula telah menyumbang berupa peralatan tulis kepada anak-anak yatim yang datang. Jika pihak tuan-puan mempunyai hajat untuk menyumbang kepada anak-anak yatim bolehkan berhubung dengan PAR Kempas.