MEMORANDUM BANTAH LESEN JUDI SUKAN
Kepada PM & Ahli-ahli Parlimen
Selasa 15hb Jun 2010
Memorandum ini dipanjangkan kepada semua Perdana Menteri , Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan , Menteri di JPM dan semua Ahli Parlimen Malaysia sebagai suatu pernyataan pendirian dan gesaan supaya lesen judi sukan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan dibatalkan .
Kami dari Gerakan Rakyat Membantah Judi yang mewakili lebih dari 50 buah badan masyarakat (NGO), parti politik dan individu mengesa agar suatu persepakatan dicapai untuk menyatakan sokongan kepada penolakan kepada lesen judi sukan dan mengesa supaya lesen judi sukan ditarik balik dan tidak dikeluarkan kepada mana-mana pihak.
Berikut adalah asas hujah kami :
LATARBELAKANG
1. Pada tahun 1991, kerajaan Malaysia telah menutup operasi Lembaga Loteri. Penjualan tiket Loteri Kebajikan Masyarakat (LKM) ini sebenarnya sudah sekian lama bergerak. Ketika itu ramai umat Islam keliru sama ada tiket Loteri Kebajikan Masyarakat ini ditakrifkan sebagai judi atau tidak kerana ia berlabelkan ‘kebajikan untuk masyarakat’. Kerajaan tidak mahu terlibat secara lansung dengan judi. Alasan sebenar tidak diketahui tapi rakyat menyambut baik kerana LKM bersifat judi.
2. Bagaimanapun, apabila tamat tempoh operasi LKM, tidak pula memberi kesan positif kepada rakyat. Rupa-rupanya kaki judi mempunyai banyak pilihan kerana jenis-jenis judi yang tersenarai begitu banyak. Pemberhentian LKM nampaknya tidak begitu banyak hilang hasilnya kerana syarikat judi lain terus membayar cukai lantaran budaya judi semakin meningkat.
3. Kini industri dosa ini tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Yang jelas, judi tidak pernah memberi kemewahan kepada pemain sebaliknya memberi keuntungan kepada syarikat. Selama mana judi beroperasi, pihak kerajaan tidak pernah mengeluarkan amaran berbahaya seperti mana kerajaan mengeluarkan amaran tentang bahanya rokok. Nampaknya seperti wujud satu konspirasi perjudian yang memiliki kepentingan tertentu daripada orang tertentu dan menyumbang pula dengan cara tertentu kepada kelompok masyarakat tertentu.
4. Penjudian Piala Dunia FIFA 2010 di negara Malaysia secara sah diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Datuk Dr Awang Adek Hussin pada 6 Mei 2010. Pertandingan bola sepak antarabangsa Piala Dunia akan diadakan di Afrika Selatan. Bola sepak Piala Dunia bermula 11 Jun 2010.
5. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung mengesahkan lesen judi telah dilulus dan dikeluarkan kepada Berjaya group . Kerajaan menetapkan syarat pekerja beragama Islam tidak terlibat dan dilarang menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan Islam. Lesen tersebut bukan lesen baru tetapi pembaharuan lesen lama yang diberikan semula kepada Berjaya.
6. Tujuan utama kelulusan lesen judi kepada syarikat Berjaya Group / Sport Toto ialah bagi mengekang perjudian dan pertaruhan haram yang tetap akan berlaku dan tanpa kawalan. Hasil judi itu dapat digunakan untuk pembangunan sukan. Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.
BENTUK , AMALAN DAN AKTIVITI JUDI DI MALAYSIA – SUATU GAMBARAN
Di Malaysia ada pelbagai jenis judi untuk pelbagai peringkat umur dan pelbagai kelompok. Dari judi untuk seorang kanak-kanak kepada judi untuk seorang tua , dari judi untuk orang kaya sehinggajudi untuk golongan papa kedana..
a) Selain pelbagai jenis judi, kita juga biasa dengan istilah nombor ekor samada berlesen atau haram. Terdapat beberapa syarikat yang menawarkan nombor-nombor permainan ini. Antaranya Magnum Corporation Berhad yang diberi lesen oleh kerajaan untuk mempromosi, mengendalikan dan menguruskan pertaruhan nombor ramalan 4 digit (4D). Pan Malaysia pula menawarkan pertaruhan tiga digit (3D), manakala Sports Toto Malaysia Sdn Bhd menawarkan pelbagai permainan daripada permainan jenis digit seperti 4D, 5D dan 6D dan permainan jenis loteri seperti Toto 4/49, Toto 6/42 Jackpot dan Super Toto 6/49.
b) Nombor-nombor permainan atau angka loteri adalah amat popular dikalangan kelas pekerja Malaysia. Pemain mendakwa mereka bukan sahaja membeli nombor, tapi juga membeli harapan (htt://www.lotteryinsider.com/lottery/magnum.htm).Apa yang jelas, harapan itu tidak semestinya menjadi kenyataan. Yang pasti, duit yang dikumpul melayang begitu sahaja.
c) Kita juga sering didedahkan dengan laporan akhbar yang memaprkan kejayaan pihak berkuasa membanteras sindeket judi haram yang membabitkan lumba kuda dan perlawanan bola sepak dengan nilai pertaruhan yang tinggi (Berita Harian, 18 dan 13 Mac 2002). Pengendali judi haram tidak serik-serik dengan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa. Yang penting bagi mereka adalah keuntungan yang tinggi hasil kegiatan itu hingga undang-undang dipandang remeh.
d) Kini dengan perkembangan teknologi maklumat, kita dapat melayari laman web perjudian seperti Casino on Netyang telah wujud sejak 1996. laman web ini misalnya menawarkan permainan seperti blackjack, Roulette, Craps dan Pai Grow Poker.
e) Keadaan ini adalah sangat membimbangkan kerana orang ramai termasuk kanak-kanak dan remaja dengan mudah boleh terdedah dan terpengaruh kepada gejala judi yang bertentangan dengan agama. Dalam hal ini, disamping menguatkan daya ketahanan diri sendiri, ibu bapa harus sangat memantau pergerakan anak masing-masing agar tidak melayari lama web ini dan seterusnya mencuba permainan ini.
f) Daripada apa yang dipaparkan diatas, dapat dilihat begitu banyaknya jenis judi yang dapat dimainkan di Malaysia secara sah atau tidak. Yang jelas kaki judi sanggup menghabiskan wang tanpa mengambil kira risiko.
g) Bagi yang kurang berada , pilihannya adalah membeli nombor ekor. Manakala mereka yang kaya tentulah akan mengujungi pusat perjudian samada didalam atau luar negara.. Yang penting bagi mereka hasrat untuk mencuba nasib cepat kaya dan melampiaskan keinginan yang membuak-buak tercapai.
h) Jika dilihat nama perjudian banyak menggunakan nama Cina, selaian nama Melayu seperti Minta Daun dan Belangkas. Selain itu, Ann Lee Wang dalam Some Gambling Games in Malaysia, menyatakan walaupun banyak pemainan adalah permainan orang Cina, tetapi ia dimainkan oleh semua kaum di Malaysia. Minta Daun misalnya, seperti dinyatakan oleh C.T. Dobree lebih digemari oleh orang Melayu dan India Selatan.
i) Gunnar Myrdal, An American Dilemma menegaskan bahawa orang Negro di Amerika mendapati perjudian satu reaksi kegemaran kerana ia menawarkan kemungkinan pulangan kewangan segera bagi mereka yang tertekan dari segi ekonomi. Selain itu perjudian adalah satu bentuk hiburan yang memerlukan sedikit peralatan dan sesuai terutama mereka yang melakukan rutin kerja yang sama dan membosankan.
j) Walau apapun alasan dan hujah yang diberikan, adalah jelas judi adalah haram hukumnya disisi Islam. Namun begitu, amatlah hairan apabila terdapat segelintir orang Islam mengamalkannya. Paling malang sekali terdapat orang Islam yang menjadi ahli lembaga syarikat perjudian. Dimana iman mereka sehingga sanggup menyara anak dan isteri dengan duit yang tidak halal. Mereka seolah-olah lupa atau buat-buat lupa ketika menerima jawatan yang berpendapatan lumayan itu. Yang penting bagi mereka apa yang akan diperoleh adalah duit yang banyak, soal halal atau haram ditolak ke tepi!
k) Realitinya, perkembangan perjudian sangat sukar itu dibanteras kerana ia diterima oleh masyarakat. Secara purata, penjudi di Malaysia menghabiskan diantara RM1000 sehingga RM 100,000 sebulan untuk berjudi.
l) Pada 4 Disember 2001, kerajaan telah mengharamkan satu jenis perjudian iaitu mesin slot dengan pengharaman pusat video, namun selepas tarikh tersebut, masih banyak lagi serbuan dan rampasan masin slot itu didada-dada akhbar. Setiap tahun kerajaan memperuntukan RM 1000 juta untuk mengawal premis perjudian yang berlesen dan RM 5000 juta untuk premis tanpa lesen.
m) Sama ada sedar atau tidak. Anak-anak Malaysia dipupuk budaya berjudi dengan permainan tikam-tikam, seterusnya permainan komputer dan video apabila mencecah remaja sebelum berkecimpung secara lansung didalam aktiviti perjudian seperti nombor ekor dan mengunjungi kasino pada peringkat umur dewasa. Perkembangan teknologi maklumat juga menyumbang kepada perkembangan industri perjudian ini. Kafe siber yang tiada pengkelasan khusus telah menyukarkan pihak berkuasa mengawalnya daripada terlibat dalam aktiviti perjudian.
ISLAM MENGHARAMKAN JUDI
Islam mengingatkan kaum Muslimin terhadap adat istiadat jahiliah. Antaranya larangan meminum khamar, berjudi, berkorban untuk berhala dan mengundi nasib. Allah swt telah berfirman :
“..Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.
“..Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan amalan itu)(al-Maidah : 90-91)
Jika ditinjau lagi dari sudut hukum Islam, keterlibatan dalam industri haram adalah haram hukumnya. Yang menyedihkan lagi, kaki judi tidak pernah menang dalam jangka masa panjang kerana kemenangan itu digunakan untuk membiayai tabiat judinya. Apa yang menjadikan kaki judi itu ketagih adalah kemenangannya yang tidak berpanjangan itu. Kaki judi melipatgandakan lagi wang pertaruhannya dengan harapan mendapat kembali wang yang hilang tetapi akhirnya terperangkap dengan hutang.
INDUSTRI JUDI : ANTARA MITOS DAN REALITI
Mitos 1 :
Perjudian adalah hak peribadi individu. Penjudi tahu apa yang mereka lakukan dan mereka bebas membuat pilihan samada hendak berjudi atau tidak. Tidak ada sesiapa yang memaksa dan berhak untuk menghalang kehendak dan hak peribadi tersebut.
Realiti 1 :
Aktiviti perjudian bukan merupakan hak individu setiap orang. Ini kerana aktiviti perjudian melibatkan pelbagai pihak. Sebagai contoh yang mudah, jika seorang suami berjudi maka ia turut melibatkan isteri dan anak-anaknya. Malahan dalam konteks yang lebih luas ia melibatkan sistem sosial masyarakat secara keseluruhan, kerana aktiviti berjudi akan membawa kepada pelbagai rangkaian gejala sosial dalam sistem masyarakat.
Mitos 2 :
Judi di Malaysia adalah bertujuan memenuhi tuntutan orang bukan muslim di Malaysia. Malahan lebih khusus jika dinyatakan demi memenuhi tuntutan bangsa Cina di Malaysia, kerana tabiat berjudi merupakan budaya masyrakat Cina. Maka orang Islam di Malaysia perlu akur dan menghormati keperluan masyarakat bukan Muslim di Malaysia.
Realiti 2:
Judi bukanlah lahir daripada budaya ataupun tradisi mana-mana bangsa. Judi bukanlah tradisi masyrakat Cina seperti yang didakwa, sebaliknya judi lahir daripada sikap tamak seseorang yang inginkan kekayaan dan bergantung besar kepada tilik nasib mereka. Aktiviti perjudian di Malaysia bukanlah memenuhi tuntutan masyarakat bukan Muslim, kerana yang berjudi juga termasuk sebilangan masyarakat Muslim. Malahan terdapat juga taukeh judi yang terdiri dari orang Muslim. Setiap agama dan setiap bangsa tidak senang dan mencegah aktiviti berjudi.
Mitos 3:
Industri judi wujud di Malaysia kerana timbulnya permintaan yang tinggi terhadap kegiatan judi daripada masyarakat Malaysia. Maka permintaan yang tinggi memerlukan kita melakukan penawaran, bagi tujuan memenuhi permintaan tersebut.
Realiti 3:
Sebenarnya didalam industri judi, para peniaga judi ini yang mencipta permainan. Mereka membuka kasino dan cuba menarik orang berjudi disana. Malahan mereka membuka kedai loteri disetiap kawasan, malahan dikawasan pekan kecil dan kampung supaya masyarakat disana mempunyai peluang untuk berjudi. Sekiranya kedai-kedai judi ini tidak wujud, maka ia tidak memberi kesan buruk kepada masyarakat. Malahan kalaupun wujud permintaan daripada masyarakat sekalipun, maka tuntutan itu tidak perlu dipenuhi oleh kerajaan atau sesisapapun. Tambahan industri judi tidak wujud kerana permintaan masyarakat, sebaliknya terhasil daripada sikap tamak peniaga judi dan kebodohan penjudi tersebut.
Mitos 4 :
Penubuhan judi berlesen sekaligus akan memusnahkan perjudian haram tidak bertanggungjawab. Dengan cara lansung kerajaan mampu mengawal kegiatan perjudian di Malaysia.
Realiti 4:
Persoalannya, adakah judi berlesen merupakan judi yang bertanggungjawab. Sebenarnya samada judi tersebut berlesen atauppun tidak, kedua-duanya tidak bertanggungjawab, serta membawa implikasi yang negative didalam sistem sosial masyarakat. Dengan kata lain, kita menyediakan judi alternative (judi berlesen) dengan membawa maksud menyediakan barangan dan perkhidmatan yang sama dengan kesan negatif yang sama. Lagipun dengan adanya judi berlesen, tidak berkurang juga judi tidak berlesen dari masa ke semasa. Kerajaan sewajarnya bertindak mencegah dan mendidik masyarakat untuk tidak terlibat dengan gejala judi. Walau apapun jenisnya, bagaimanapun caranya, sebesar manapun lesennya, ia tetap dipanggil judi.
Mitos 5 :
Sekiranya industri judi diharamkan, maka ini akan mengurangkan hasil kerajaan.
Realiti 5:
Dengan meninggalkan pelaburan dalam insudtri judi, kerajaan sebenarnya sebenarnya boleh melabur dalam pelbagai industri lain seperti industri pertanian.
Dengan mengharamkan industri judi, maka sebenarnya akan berlaku perkembangan dalam pelbagai industri yang lain, kerana wang yang digunakan untuk berjudi akan digunakan untuk permintaan barangan pengguna. Maka perkembangan pelbagai industri lain akan menyebabkan berlakunya peningkatan pembayaran cukai kepada kerajaan.
Mitos 6:
Memenuhi tuntutan pelancong untuk bagi menjadikan judi sebagai satu daya tarikan pelancong.
Realiti 6 :
Majoriti mereka yang berjudi di Malaysia adalah orang Malaysia sendiri. Pelancong hanya tertumpu kepada judi yang besar seperti casino, jadi mengapakah wujudnya judi yang kecil seperti sport toto. Malahan perlukah kita memenuhi tuntutan haram tetamu kita hingga terpaksa melibatkan dengan nilai, maruah dan harga diri.
Mitos 7:
Jika sekiranya industri perjudian ditutup, maka negara akan mengalami masalah pengangguran, dan ini akan menyebabkan berlaku masalah lain dalam negara terutama masalah ekonomi.
Realiti 7:
Di Malaysia, industri judi hanya membuka sedikit sahaja peluang kerja, tidak akan wujud masalah pengangguran sekiranya berlaku penutupan industri judi di Malaysia. Ini kerana sekiranya berlaku penutupan industri judi dan pengguna tidak berjudi, maka wang mereka akan digunakan untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang lain. Ini bermakna peningkatan dalam permintaan gunatenaga kerja dalam sektor lain akan lebih meningkatkan . Malahan peningkatannya lebih tinggi kerana industri sektor lain melibatkan pengeluaran barangan berantai (contoh pengeluaran sarung tilam melibatkan bidang membuat kain, akan melibatkan bidang membuat benang, melibatkan bahagian percetakan dan lain-lain berbanding industri judi yang tidak melibatkan sektor lain.
Mitos 8 :
Membiarkan industri perjudian sebenarnya satu strategi politik bagi bangsa Melayu untuk terus berkuasa kerana memenuhi tuntutan masyarakat bukan Muslim.
Realiti 8:
Persoalan yang timbul, adakah selama ini kita memiliki kuasa di Malaysia atas dasar kompromi dengan bangsa lain untuk membenarkan mereka melakukan aktiviti berjudi. Dalam masa yang sama timbul juga persoalan adakah masyarakat bukan Muslim meminta supaya mereka dibenarkan untuk meneruskan aktiviti berjudi secara besar-besaran, dan dengan itu mereka akan memberikan kuasa pemerintahan kepada masyarakat Muslim di Malaysia. Adakah industri judi di Malaysia merupakan tuntutan masyarakat bukan Muslim? Atau ia hanya alasan yang digunakan oleh kita untuk meneruskan dan menghalalkan Malaysia untuk tersu menerus mendokong industri dosa ini.
IMPLIKASI LESEN JUDI SUKAN.
1. Sukan sebagai suatu aktiviti yang sihat akan bertukar menjadi medan pertaruhan untuk mendapat keuntungan berlipat kali ganda oleh penganjur judi.
2. Imej sukan akan tercemar dan akan berlaku kecenderungan untuk berlaku rasuah dan salahguna kuasa bagi mengaut keuntungan pantas dikalangan pelbagai kelompok.
3. Budaya dan tabiat berjudi akan menjadi berleluasa termasuk dikalangan anak muda , bila ada lagi saluran judi tambahan dibenarkan oleh kerajaan disamping pelbagai jenis judi berlesen yang sedia ada.
4. Kesan judi yang menjejaskan institusi keluarga akan semakin bertambah akibat anggota keluarga terpancing untuk mencari jalan singkat mendapatkan wang , namun terpaksa berdepan dengan hutang yang akan mengikat disebabkan terjerat dengan hutang yang diambil sebagai modal untuk berjudi. Selanjutnya institusi keluarga akan tergugat dan seluruh kualiti hidup berkeluarga akan tergugat.
5. Akibat budaya berhutang yang akan semakin subur , disebabkan peluang untuk berjudi akan terbuka luas , lesen judi sukan benar-benar akan menyebabkan Malaysia menjadi Negara syurga untuk berjudi bagi semua jenis kelompok.
6. Berbilion ringgit disalurkan dalam industri judi dikalangan rakyat. Dilaporkan tidak kurang dari RM10 bilion dibelanja dalam berjudi setahun. Dilanggarkan juga dalam setiap daerah terdapat anggaran RM3-RM4 juta sebulan dibelanjakan oleh masyarakat untuk berjudi . Hasil cukai judi yang diperolehi oleh kerajaan dari wang ini tidak akan dapat mengatasi
7. Pengaruh tabiat berjudi akan merentas kepada semua kaum dan penganut agama , oleh itu kesan sosialnya akan juga berleluasa tidak kira etnik dan kepercayaan. Kecenderungan untuk berlaku jenayah sosial akan semakin subur dan tidak dapat dibendung kerana berjudi sering berkesudahan dengan permusuhan dan tekanan untuk mencari jalan keluar yang pantas dikalangan penagih judi.
8. Dikalangan orang Islam , hukum berjudi yang jelas haram tidak akan dihormati akibat ketidakupayaan pihak penguatkuasa untuk memantau orang Islam yang terlibat dengan industri judi.
TUNTUTAN GERAKAN RAKYAT MEMBANTAH LESEN JUDI SUKAN
Berdasarkan fakta-fakta di atas kami dengan ini menuntut agar perkara berikut dipertimbangkan oleh Majlis Raja-raja Melayu ,Perdana Menteri , semua anggota Jamaah Kabinet , semua Ahli Parlimen dan Ahli Undangan Negeri supaya :
1. Membatalkan kelulusan lesen judi sukan yang telah diumumkan pada 6 hb Mei 2010. Adalah suatu yang bertentangan dengan segala tuntutan akhlaq serta prinsip nilai-nilai murni jika acara sukan dijadikan medan judi untuk memancing rakyat supaya mengamalkan budaya hidup berjudi.
2. Menarikbalik lesen judi bagi mana-mana premis judi yang telah menyalahguna lesen yang diberi untuk menerima pertaruhan secara langsung atau tidak langsung dalam mana-mana acara sukan didalam dan diluar negara.
3. Menyebarkan kesedaran kepada rakyat mengenai bahaya dan akibat judi sebagaimana kerajaan mengadakan kempen mengenai penyalahgunaan dadah dan kesan merokok.
4. Memastikan agar semua premis judi yang sedia ada termasuk judi yang dilakukan melalui internet dan melalui mesej dalam telefon bimbit dipantau dengan rapid an ketat untuk memastikan judi sukan dibendung .
---------------------------
MOHD AZMI BIN ABDUL HAMID
PENGERUSI
GERAKAN RAKYAT MEMBANTAH JUDI (GMJ)
1 comments:
Teruskan perjuangan.
Rakyat bersama kalian.
Post a Comment