Friday, December 11, 2009

Biro Tatanegara... Gunalah wang UMNO-BN!

MerdekaRiew

Kerajaan UMNO-Barisan Nasional diselar kerana membiayai perbelanjaan Biro Tatanegara (BTN) yang beroperasi untuk menjaga kepentingan parti politiknya dengan menggunakan wang rakyat. Demikianlah kritikan yang dilontarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat dalam satu forum yang dianjurkan, kelmarin.

"BTN ini untuk kursus untuk rakyat Malaysia, bukan kursus untuk ahli UMNO. Kalau kursus ini untuk ahli UMNO, saya tak kisah pun. Kalau dia kursus untuk ahli UMNO, dia kata orang Cina beginilah, begitulah... macam perhimpunan dia, saya tak kisahlah, dia punya parti," kata Suhaizan bin Kaiat.

Wang rakyat untuk kepentingan parti

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS (gambar kanan) ini kemudian menyambung, "tapi masalahnya, dia gunakan peruntukan sebanyak RM550 juta dalam tempoh 10 tahun dari tahun 2000 hingga 2009, tetapi dia digunakan untuk mendoktrinisasi atas kepentingan parti politik tertentu, itu masalahnya."

Pendirian ini dikongsi bersama oleh dua orang ahli panel yang lain, iaitu Amirudin Shari selaku ADUN Batu Caves merangkap Pembantu EXCO kepada Menteri Besar Selangor, dan Johari bin Abdul selaku ahli parlimen Sungai Petani, Kedah.

Malah, Johari Abdul kemudiannya mendedahkan bahawa, daripada Bajet 2010 yang memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM183 bilion, RM62 juta diperuntukkan untuk BTN pada tahun 2010. Johari Abdul kemudiannya menghitung, seandainya pembinaan sebuah sekolah agama rakyat memerlukan RM2 juta, maka peruntukan BTN itu boleh digunakan untuk membina 30 buah sekolah agama, atau membantu sekolah Tamil dan Cina yang kekurangan peralatan.

Pandangan-pandangan ini dilontarkan dalam satu forum bertajuk "Adakah Biro Tatanegara Relevan Untuk Perpaduan Negara?", anjuran bersama Youth For Change (Y4C) dan Biro Penerangan Angkatan Muda Keadilan pada 8 Disember di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.

Pembangkang=Musuh Negara?

Suhaizan bin Kaiat berkongsi bagaimana kursus BTN digunakan untuk "memerangi" pembangkang, seolah-olah pembangkang itu musuh negara, "padahal pembangkang hanyalah musuh kepada UMNO-BN".

Sementara itu, Amirudin Shari (gambar kiri), yang merupakan salah seorang ADUN muda PR yang mempelopori usaha mendesak agar kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melarang mahasiswa untuk menghadiri program BTN, mengulas bagaimana kursus BTN menyemai "kemelayuan" ke dalam jiwa peserta program.

"Kononnya tanggungjawab untuk membela Melayu ini, berakhir kepada satu keputusan (di mana Melayu) terpaksa kompromi dengan perkara-perkara seperti rasuah, sebab dia (perasuah) Melayu... terpaksa kompromi dengan seorang yang zalim, kerana dia Melayu," kata Amirudin Shari.

Amirudin Shari sempat membidas bahawa kursus BTN yang digunakan untuk menyemai semangat perkauman, di samping menjadi alat untuk menyerang pembangkang secara habis-habisan, sebenarnya melambangkan kehancuran dan betapa rapuhnya slogan "1Malaysia" yang dilaungkan PM Najib Abdul Razak.

BTN: Anwar vs Pak Lah

Bagaimanapun, Johari Abdul menjadi tumpuan forum apabila bekas pengarah BTN ini tampil untuk "bertaubat", dan menceritakan asal-usul BTN yang memperlihatkan bagaimana modulnya direka dan diubahsuai mengikut zaman, menjelaskan penyemaian "semangat perkauman" dan "permusuhan terhadap pembangkang" sebagaimana yang diulas oleh kedua-dua orang ahli panel sebelum ini.

Menurut Johari Abdul, BTN ialah satu agensi kerajaan yang ditubuhkan seawal tahun 1974, oleh PM ketika itu, Abdul Razak, dan diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Pengarah pertama BTN (ketika itu tidak digelar BTN) adalah Abdullah Ahmad Badawi, yang menjadi PM kelima pada tahun 2003.

"Di antara tujuan asasnya ialah memerangi kebangkitan islamization di universiti. Pengaruh kumpulan Islam di universiti, khususnya Universiti Malaya amat kuat, yang dikepalai Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang Parlimen sekarang) pada ketika itu," katanya.

Sambil berseloroh beliau berkata pertembungan antara Anwar dengan Abdullah bukan perkara baru, tetapi bermula seawal tahun 1970-an. Johari Abdul menyambung, "unit belia ini ditukar menjadi BTN pada awal tahun 1980-an, dengan fungsi yang agak jelas pada waktu itu."

"Fungsinya ialah di samping menanamkan semangat ketuanan Melayu, kononnya negara ini, Melayunya tak cukup, the Malayness is not enough. So kena ada satu department yang cerita dekat Melayu, 'look here, you are Malay. Dan because you are Malay, you must be Tuan of this country, walaupun you malas ke, tak buat kerja. But it is ok, you are tuan-lah'. Tuan yang malas pun tak apa, tapi tuan." ujarnya.

Johari masuk ke pejabat BTN pada tahun 1986, walaupun mula terlibat dengan menghadiri kursus BTN pada tahun 1976 sebagai pemimpin pelajar UM. Beliau menerangkan bahawa fungsi kurikulum pada ketika itu adalah "menerangkan kepada Melayu bahawa kamu Melayu."

Naikkan Semangat Melayu

Pada tahun 1986, apabila Johari masuk ke BTN sebagai pegawai dan mengepalai satu jabatan, anjakan telah berlaku. Menurut Johari, analisis mereka menunjukkan hampir 80% hingga 90% Melayu mendapat biasiswa kerajaan, atau dermasiswa, tetapi prestasi mereka dalam bidang akademik tidak begitu baik.

Maka ketika itu, program BTN disesuaikan untuk menghimpunkan Melayu, dan menaikkan semangat mereka. Antaranya, menurut Johari "...kami ingatkan mereka bahawa sebagai Melayu, bukan sahaja perlu cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga mesti ingat, there is no two way for it. Kamu diamanahkan orang kampung..."

Johari kemudiannya menuding jari kepada PM ketika itu, iaitu Mahathir Mohamad. Johari berkata, Mahathir merasakan BTN mesti bergerak satu langkah ke depan untuk memberikan latihan kepada pemuda-pemuda UMNO, dan di situ masalanya bermula.

"Sebab itu, kursus yang dilakukan dari tahun 1980-an dan dibawa sampai sekarang, kursus yang mempertahankan kerajaan UNMO-BN at what cost, whatever cost, dengan mengatakan bahawa kalau hancurnya, runtuhnya, ranapnya UMNO dan BN, maka nasib orang Melayu will finish," jelas Johari Abdul.

Beliau mengakui bahawa dirinya juga percaya dengan apa yang cuba disemaikan ke dalam minda peserta program BTN ketika itu, "nyawa orang Melayu cuma ada pada UMNO. Matinya UMNO berkuburlah orang Melayu."

BTN mempertahankan UMNO-BN

Namun, perubahan berlaku dalam dirinya setelah melanjutkan pelajarannya di England, apabila beliau mula mengimbas dan menilai perbuatan diri yang lalu.

"Lebih daripada setengah juta yang telah lalui kursus saya. Dan saya telah beritahu mereka whatever cost UMNO dan BN kena dipertahankan. Tetapi yang kita cuba selindungi, we are not telling the truth to them. It is not the non-Malay yang akan menghancurkan orang Melayu. Orang Melayu sendiri yang akan menghancurkan orang Melayu. That's the fact," kata Johari Abdul (gambar kiri) yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau membuat pengakuan secara terbuka, "dosa saya yang pertama ialah saya tidak memberitahu kebenarannya," apabila menceritakan bagaimana beliau terpaksa berperanan sebagai burung kakak tua yang sentiasa mengagung-agungkan pemimpin, walaupun secara sedar pemimpin-pemimpin ini melakukan bermacam-macam maksiat

"...Mungkinlah dia (pemimpin) curi RM200 juta, ok lah kut...berbanding dengan jasanya. Beberapa tahun selepas tu, curi lagi RM800 juta, ok lah kut..." Johari menceritakan pengalamannya yang berkhidmat kepada Mahathir yang pada masa itu menggunakan BTN untuk tujuan personalnya.

1998: Fitnah dan serangan peribadi

Walau bagaimanapun, Johari Abdul menegaskan bahawa kaedah fitnah dan serangan peribadi tidak digunakan, sekurang-kurangnya ketika beliau menyandang jawatannya sehingga tahun 1990.

"Satu benda yang saya jelas, sekurang-kurangnya saya di situ hingga tahun 1990, kaedah untuk memfitnah tidak digunakan," katanya sambil menuduh bahawa BN mengerah seluruh kekuatan BTN untuk menyerang Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang yang lain, selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri itu pada tahun 1998.

Johari yang kini mendakwa dirinya sudah "bertaubat' itu berkata, antara mereka mengambil keputusan untuk melawan Mahathir (gambar kanan) lantaran pemecatan Anwar Ibrahim, telah berkata kepada diri bahawa "enough is enough" (cukup cukuplah).

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

0 comments: