Friday, January 23, 2009

Penduduk PPR Kempas Permai Minta Bantuan Perpindahan


Kenyataan Media Jumaat 23hb Januari 2009
Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas

Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas telah menerima aduan daripada penduduk blok Seroja, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, Johor Baharu berkenaan kesulitan mereka terhadap arahan berpindah ke blok A/B/C selaras dengan tawaran penyewaan rumah tersebut daripada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor(Bahagian Perumahan).

Penduduk yang telah tinggal di sini seramai 100 keluarga telah ditawarkan tempat tinggal di blok Seroja sejak tahun 2006. Pada masa tersebut penduduk di sini asalnya tinggal di perkampungan setinggan di bawah tapak PPR yang ada sekarang. Rumah-rumah perkampungan setinggan ini telah dirobohkan tanpa sebarang pampasan daripada mana-mana pihak. Semasa proses perpindahan tahun 2006 mereka telah mengalami kerugian peralatan rumah seperti almari, meja, kerusi, peralatan elektrik dan lain-lain. Sebahagian penduduk terpaksa mengeluarkan kewangan sendiri untuk memindahkan barang-barang mereka. Bantuan daripada pihak kerajaan begitu terhad pada masa tersebut.

Setelah mereka berpindah ke PPR, atas faktor-faktor keselamatan dan keselesaan sebahagian penduduk telah memasang secara persendirian gril pintu & tingkap, tikar getah, lampu, kipas dan lain-lain. Penduduk di sini rata-ratanya berpendapatan kecil. Sebahagian daripada mereka adalah warga tua, berpenyakit dan cacat. Oleh itu arahan perpindahan daripada pihak berkuasa akan menyulitkan mereka.

Berikut adalah dinyatakan kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat proses perpindahan .

a. Kerugian akibat kerosakkan barang : RM 500
b. Pasang gril pintu & tingkap : RM 1,000
c. Tikar getah : RM 200
d. Tambahan pendawaian elektrik : RM 200
e. Upah pindah(pekerja & lori) : RM 300
f. Deposit rumah baru : RM 840
g. Lain-lain : RM 200

Jumlah RM 3, 240

Anggaran kos keseluruhan yang bakal ditanggung akibat perpindahan baru ini adalah RM 3,240.

Saya bagi pihak penduduk-penduduk blok Seroja PPR Kempas Permai merasa simpati terhadap kesulitan yang mereka hadapi. Oleh itu saya merayu kepada pihak-pihak berkenaan agar dapat melaksanakan tindakan-tindakan seperti di bawah :

Membuat perbincangan dengan Jawatankuasa Penduduk yang telah dibentuk untuk mendapatkan maklumbalas sebenar terhadap masalah perpindahan ini.
Memberi Bantuan Perpindahan berbentuk wang bagi setiap keluarga yang terlibat.
Memberi perlepasan sewa kepada penduduk yang benar-benar tidak berkemampuan.
Menyediakan kemudaan perpindahan kepada penduduk


Sekian Terima Kasih



Yang Benar,




SUHAIZAN BIN KAIAT
Penyelia
Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas
019-7285174

0 comments: