Wednesday, October 20, 2010

Ku Li Diuji atau Dibuli ?

Tidak ramai anak muda generasi Y yang mengenali Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li. Seorang pemimpin yang pernah disanjung mulia tetapi kemudiannya dihina oleh UMNO. Pernah menjadi Menteri Kewangan, Menteri Perdagangan Dan Perindustrian, Naib Presiden UMNO dan Presiden Parti Semangat 46, sebuah parti pembangkang yang digeruni oleh UMNO sebelum era reformasi. Sekarang namanya berada dibibir rakyat setelah kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Galas Kelantan kerana Galas berada dalam Parlimen Gua Musang yang Ku Li menjadi Ahli Parlimennya sejak tahun 1974. Saya dan Ku Li berkongsi tarikh lahir dan nombor tahun kelahiran. Beliau dilahirkan pada 13hb April 1937, sekarang berusia 73 tahun dan saya dilahirkan pada 13hb April 1973, berusia 37 tahun.

Ku Li adalah nama besar dalam UMNO semasa era Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Beliau pernah menjadi pengerusi pertama Petronas. Beliaulah yang sama-sama mengubal undang-undang petroleum bersama Tun Salleh Abas. Bukan mudah mengurus sebuah syarikat petroleum pada masa itu kerana kepakaran dan kewangan negara sangat terhad. Ku Li berjaya menjadi Pengerusi Petronas yang boleh dibanggakan sehingga hari ini. Pernah Ku Li ditawarkan USD 500 juta untuk mengkhianati Petronas tetapi beliau menolaknya pada usia yang semuda Khairy Jamaluddin. Atas ketegasannya itu Ku Li telah disabotaj oleh pemimpin tertentu di Amerika yang mahu beliau dipecat daripada Petronas. Nasib Ku Li baik kerana Tun Razak mempertahankannya. Ku Li adalah tokoh kesayangan Tun Razak bapa kepada Dato Seri Najib.

Atas kepercayaan Tun Razak, Ku Li pernah menjadi orang pertama yang membuat lawatan awal ke negara China sebelum Tun Razak mengadakan lawatan ke sana. Misi besar negara ini bagi tujuan perdagangan di samping mengendurkan tekanan komunis dalam negara. Akhirnya misi ini berjaya mewujudkan kerjasama antara Malaysia dengan kerajaan China sehingga sekarang. Lawatan Dato Seri Mohd Najib ke China baru-baru ini hanya menumpang tuah ayahnya sahaja. Ku Li juga bersamaTun Ismail Ali dan Tan Sri Raja Mohar telah berjaya membeli dua syarikat perladangan negara kita yang diperah hasilnya oleh penjajah iaitu Sime Darby dan Guthrie. Lebih manis lagi Guthrie dibeli bukan dengan duit perbendaharaan negara tetapi duit pinjaman bank pihak tertentu. Guthrie dibeli melalui strategi belian sahamnya di bursa saham Wall Street London. Setelah Guthrie berjaya dibeli barulah ianya diserahkan untuk menjadi milik negara. Jika Ku Li mahu khianat tentunya Guthrie boleh dimilikinya secara peribadi. Penghianatan ini tentunya tidak boleh dibawa ke mahkamah kerana tidak melibatkan duit negara. Cuma moral Ku Li sahaja yang mungkin boleh dipertikai oleh Tun Razak.

Dalam UMNO pula jasa Ku Li sangat besar. Tapak bangunan UMNO di Kuala Lumpur sekarang adalah asalnya milik Ku Li yang disedekahkah kepada UMNO. Semasa percaturan siapa yang sepatutnya menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah Tun Razak meninggal dunia, sikap Tun Hussein berbelah bahagi sama ada untuk melantik Tun Dr Mahathir, Tun Ghafar Baba, Ku Li atau Tan Sri Ghazali Shafie. Di saat-saat akhir sebelum pengumuman, Tun Hussein Onn merasa tidak selesa dengan Tun Dr Mahathir dan sebaliknya mahukan Ku Li sebagai Timbalannya pula. Tetapi Ku Li telah mempertahankan Tun Dr Mahathir menjadi Timbalan Perdana Menteri atas alasan beliau masih muda lagi. Kalau Ku Li mahu menjadi Perdana Menteri pada usia muda tentunya beliau boleh melebihkan sudu dari kuah untuk menonjolkan diri sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Hussein. Seperti amalan yang dibuat oleh pemimpin muda dalam UMNO sekarang. Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO juga adalah atas usaha yang dibuat oleh Ku Li. Tun Razak telah melihat kehebatan Anwar semasa di universiti lagi, lalu meminta Ku Li melamarnya masuk UMNO. Pada awalnya Tun Mahathir tidak setuju tetapi akhirnya beliau berubah fikiran menerima Anwar. Dato Seri Anwar kemudiannya menjadi anak emas Tun Mahathir. Namun panas tidak sampai ke petang, ia berakhir dengan tuduhan liwat hingga beliau terpenjara di tangan Tun Dr Mahathir. Dunia bagaikan terbalik sekelip mata.

Yang menariknya Ku Li tidak pernah didakwa atau disabitkan dengan kes rasuah, walaupun setelah menjadi pembangkang di Parlimen. Rekodnya adalah bersih semasa menjadi menter. Walaupun Tun Dr Mahathir mempunyai kuasa semasa berkrisis dengan Ku Li tetapi rekod bersih ini tidak membolehkan beliau menyabitkan Ku Li terhadap sebarang kes rasuah. Ini adalah kerana integriti yang terdapat dalam diri Ku Li. Walaupun lautan peluang untuk menjadi kaya boleh digapai olehnya sekelip mata tetapi didikan Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Tun Dr Ismail dan Tun Hussein menjadikan Ku Li mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Tetapi malangnya semua ini tidak mempunyai sebarang nilai kepada UMNO hari ini. UMNO Baru sekarang jauh berbeza dengan UMNO yang ditubuhkan semasa tahun 1946. Integriti UMNO dahulu cerminannya adalah Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Dr Ismail dan Ku Li. Tetapi UMNO sekarang cerminannya adalah Mohd Najib Tun Razak , Rafidah Aziz, Isa Samad, Rahim Tambi Cik, Muhammad Taib, Khir Toyo dan Dato Z. Perbezaannya umpama langit dan bumi. Sehingga Tun Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa UMNO sudah busuk sampai ke usus. Tun Musa Hitam pula berkata UMNO sudah dilanda sindrom sakit tua yang menunggu masa untuk mati sahaja. Kanser rasuah dalam UMNO sudah berada di tahap empat. Menanti masa untuk dikapan dan dikebumikan sahaja.

Individu yang mempunyai integriti seumpama Ku Li tidak sesuai duduk dalam UMNO. Ia tidak bernilai kepada UMNO. Sikap UMNO terhadap Ku Li umpama kera dapat bunga sahaja. Bertahun-tahun dihina oleh UMNO, apabila DUN Galas tiba-tiba kosong, UMNO bagaikan pungguk rindukan bulan menanti Ku Li pulang daripada bercuti di luar negara. Berpuluh-puluh orang berpura-pura menanti kepulangan Ku Li di KLIA. Kalaulah Dun Galas letak di Kota Bharu tentunya nama Ku Li sudah tenggelam bersama gua dan musang-musangnya. Buktinya semasa pilihanraya kecil Manik Urai dalam Parlimen Kuala Krai yang bersebelahan Gua Musang, nama Ku Li bagaikan tidak dihirau oleh UMNO. UMNO tersepit di Galas. Jika tidak mendapat kerjasama daripada Ku Li maka UMNO akan menerima padah. Pilihan UMNO hanya satu sahaja, melantik Ku Li sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas dan sekaligus menjadi calon. Saya menjangkakan bantuan Ku Li kepada UMNO di Galas kelak umpama menolong anjing tersepit sahaja. Jika UMNO dapat menawan Galas maka nama Najib lah yang akan disanjung. Sebaliknya jika UMNO kalah di Galas maka nama Ku Li lah yang akan dipersalahkan. Itulah hukum rimba yang ada dalam UMNO yang sudah busuk sampai ke usus.

Integriti yang ada pada Ku Li ini akan dihargai dalam PAS dan Pakatan Rakyat (PR). Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat pernah ditawarkan jutaan ringgit untuk meluluskan konsesi balak di Kelantan. Beliau menolaknya seperti Ku Li menolak USD500 juta semasa menjadi Pengerusi Petronas dahulu. Para perasuah dalam negara tidak tergamak mahu merasuah Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang semasa menjadi Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Azizan Razak, Dato Seri Nizar Jamaluddin, Dato Sri Khalid Ibrahim dan Saudara Lim Guan Eng. Kalaulah Ku Li boleh bersama Tun Musa Hitam rakan karib kelab malam semasa mudanya dalam “Team B”, mengapa tidak boleh Ku Li bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat rakan dalam memperjuangkan royalti minyak di Kelantan. Sudah sampai masanya Ku Li keluar daripada kepompong yang sedia ada. Membuat perubahan besar dengan penuh keberanian sebagaimana beraninya beliau mengepalai sebuah GLC sebesar Petronas semasa mudanya. Usia 73 adalah usia bonus sahaja. Ku Li sewajarnya menghabiskan sisa-sisa hidup bersama perjuangan Islam. Di sana adanya ketenangan , keberkatan dan ganjaran untuk dijadikan bekalan hidup di akhirat kelak. Inilah ujian sebenar Ku Li. Keluarlah daripada perjuangan sempit perkauman yang telah membulinya selama ini.


1 comments:

CUCU PEJUANG said...

Perjuangan Ku Li belum selesai.Beliau masih sayangkan UMNO walaupun di buli selama ini.Ditelan sayang dibuang sayang.Hanya masa menentukan...mungkin akan beralih arah.Siapa tahu? Kita tunggu dan lihat...