Sunday, August 8, 2010

Polemik Diskaun Hartanah Negeri Selangor



Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara YB Tony Pua telah mencadangkan kepada kerajaan Negeri Selangor agar tidak lagi memberi diskaun hartanah komersial dan kediaman mewah kepada Bumiputera. Matlamatnya adalah bagi meningkatkan daya saing dan menarik minat pelabur asing datang ke negeri Selangor. Hujahnya adalah kerajaan negeri seharusnya memberikan diskaun hanya kepada mereka yang memerlukan seperti golongan berpendapatan rendah yang sudah tentu membeli rumah kos rendah bukannya memberi diskaun untuk golongan berpendapatan tinggi yang sudah mampu membeli rumah mewah. Golongan berpendapatan tinggi Bumiputera seharusnya sudah bersifat memberi bukan lagi bersifat menerima. Penghapusan diskaun adalah bantuan secara tidak langsung oleh golongan ini kepada kerajaan negeri kerana telah memberi kekuatan daya saing seterusnya boleh menarik lebih banyak pelaburan asing. Rakyat seluruh negeri Selangor akan mendapat manfaatnya melalui peluang pekerjaan ekoran pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

Pada sudut yang berbeza pula penghapusan diskaun ini akan menyebabkan pengurangan bilangan Bumiputera yang mampu membeli rumah mewah tersebut. Bumiputera yang mungkin selama ini sekadar mempunyai keupayaan yang terlalu minima untuk membeli rumah tersebut menyebabkan mereka tergolong dalam kelompok yang tidak mampu membeli rumah tersebut jika perturan ini dikuatkuasakan kelak. Berdasarkan kepada kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-9 (RM-9), 2006-2010 yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi, pada 2007, pemilikan Bumiputera terhadap bangunan dan kompleks perniagaan adalah 15.7 % dan 29.2 %. Manakala pemilikan kaum Cina mencapai 72.6 % dan 69.4 %. Jika dilihat terhadap pemilikan premis perindustrian lebih mendukacitakan lagi di mana Bumiputera hanya memiliki 3.5% berbanding kaum Cina sebanyak 87.2%. Keadaan ini adalah sangat tidak seimbang.

Pendapatan isirumah pada tahun 2007 dan 2008 membuktikan bahawa nisbah perbezaan antara Bumiputera dan kaum Cina adalah 1 : 1.53 dan 1 : 1.41 masing-masing. Nisbah pendapatan isi rumah luar bandar dan bandar adalah 1 : 1.91 dan 1 : 1.85. Perbezaan nisbah ini hampir sekaliganda. Ini bermaksud bahawa pada tahun 2008 jika pendapatan Bumiputera RM1 maka kaum Cina mendapat RM1.41. Jika pendapatan penduduk luar bandar yang terdiri daripada penduduk bumiputera RM1 maka masyarakat di bandar yang didominasi bukan bumiputera adalah RM1.85. Kelembapan ekonomi yang melanda mungkin menyebabkan jurang ini semakin melebar pada tahun 2009 dan 2010. Jurang inilah yang menjadi punca kenapa kaum Cina lebih berupaya membeli hartanah di lokasi strategik berbanding Bumiputera. Walaupun pelbagai dasar digubal dan aktiviti ekonomi dilancarkan untuk mengurangkan jurang ini, malangnya pegangan ekuiti Bumiputera masih tidak melepasi 20%. Sekiranya pihak kerajaan berjaya mencapai sasaran DEB, sudah tentu perbezaan jurang yang wujud tidak seserius sekarang.

Apabila pemilikan hartanah dikuasai oleh kaum tertentu dalam negara ini maka ia bakal mewujudkan suasana yang tidak harmonis. Taman-taman rumah mewah, kompleks-kompleks perniagaan atau kawasan perindustrian akan dikuasai oleh sesuatu bangsa tertentu sahaja. Ini boleh mewujudkan rasa tidak puashati, curiga, benci dan segala macam yang berkaitan dengannya. Salah satu punca kepada peristiwa 13 Mei 1969 adalah akibat agihan kekayaan negara yang tidak seimbang di antara kaum-kaum utama dalam negara. Kesan daripada penjajahan menyebabkan struktur masyarakat tidak seimbang di mana orang kaya daripada bangsa tertentu akan tinggal di bandar sementara golongan yang miskin terpinggir di kampung dan ladang-ladang getah. Penstrukturan semula masyarakat dengan mensasarkan pemilikan ekuiti 30% kepada Bumiputera telah dibuat melalui Dasar Ekonomi Baru(DEB). Namun ia gagal mencapai sasarannya. Kelemahan sistem kerajaan Barisan Nasional (BN), rasuah , kronisme dan ketidakupayaan mengubah minda Bumiputera adalah antara faktor utama kegagalan DEB.

UMNO tidak melihat punca utama jurang perbezaan pemilikan kek ekonomi negara antara Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah hasil daripada kelemahannya. Sebaliknya cuba mengkambinghitamkan kenyataan YB Tony Pua. Terdapat Pemuda UMNO yang telah membuat laporan polis kononnya YB Tony Pua telah membangkitkan kemarahan orang Melayu dan perlu diambil tindakan terhadapnya. Seolah-olah sudah tidak ada ruang mengemukakan pandangan berbeza dalam negara demokrasi ala Malaysia ini sedangkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberi kebebasan tersebut. Orang Melayu harus malu dengan gelagat Pemuda UMNO ini. Adalah sesuatu yang sangat dangkal, hanya disebabkan berbeza pandangan maka laporan polis perlu dibuat. Pandangan berbeza harus dijawab dengan hujah, dialog dan debat bukannya laporan polis. Mungkin Pemuda UMNO sedang belajar menjadi pembangkang di negara ini.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan hak istimewa kepada orang Melayu dalam hal tanah rezap, kouta, biasiswa, permit, lesen dan kemudahan-kemudahan khas di bawah persetujuan Yang DiPertuan Agong. Oleh itu kedudukan orang Melayu sememangnya memiliki kelebihan disisi perlembagaan dan harus dihormati samaada BN atau PR. Walaubagaimana pun orang Melayu juga harus memahami bahawa bukan selama-lamanya mereka harus bergantung kepada subsidi seperti diskaun hartanah ini. Golongan hartawan Bumiputra jangan pula mengambil kesempatan atas hak istimewa yang diberikan. Mereka harus lebih proaktif membantu kerajaan. Apabila sampai suatu peringkat di mana kemampuan mereka sudah setara atau hampir sama dengan kaum-kaum yang lain mungkin subisidi seumpama ini sudah tidak diperlukan. Pakatan Rakyat (PR) harus merangka bagaimana jurang perbezaan pendapatan rakyat dan pemilikan ekuiti pelbagai kaum dalam negara boleh menjadi seimbang. Jaminan kerajaan PR yang telus dan adil tanpa pelan perancangan ekonomi jangka panjang boleh menyebabkan rakyat menerima risiko sebagaimana kegagalan Barisan Nasional(BN) sebelum ini. Dalam hal yang melibatkan kepentingan kaum yang sangat sensitif seperti ini, pendekatan PR secara kolektif diperlukan untuk merumuskan penyelesaian yang bersifat holistik dan jangka panjang. Dengan itu, nikmat pembangunan ekonomi akan dirasa secara bersama dan tidak ada kaum yang rasa dipinggirkan di negara ini.


Suhaizan Bin Kayat

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat


0 comments: