Wednesday, November 25, 2009

Fikiran saya kusut - Nik Aziz

KOTA BHARU 24 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui fikirannya kusut berikutan kemelut yang melibatkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Menurut Menteri Besar itu, keadaan tersebut menyebabkan beliau berdiam diri dan enggan mengulas perkara itu kepada pihak media sebelum ini kerana ingin mencari ketenangan.

Jelasnya, situasi yang sama pernah berlaku kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak berhubung dengan orang ramai lebih sebulan apabila isteri baginda, Siti Aisyah difitnah.

"Kita sebagai manusia ada masa terganggu. Nabi Muhammad SAW lebih dari sebulan tak berjumpa dengan orang ramai bila timbul fitnah terhadap isterinya, Siti Aisyah. Peristiwa Al-Ifki itu begitu sekali mendukacitakan, mengecewakan sampai sebulan Nabi tak berhubung dengan orang ramai.

''Teruk saya ini sebenarnya, tapi begitulah. Kita bergantung dengan Allah, minta doa, sebelum subuh kita bangun, kalau boleh menangis sebagai saksi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Harian Badan Perhubungan Pas Kelantan di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Nik Abdul Aziz, beliau berasa lega sekarang kerana isu itu dianggapnya sudah selesai berikutan arahannya kepada Abdul Ariffahmi supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK semalam.

Beliau menafikan keputusan yang dibuatnya itu kerana tekanan kepimpinan Pas Pusat.

"Ini yang dipanggil berpakat, tegur menegur, itu asas Islam. Saya tekan Pusat, Pusat tekan saya. Masa saya cadangkan EGM (mesyuarat agung luar biasa) baru-baru ini, ada orang setuju, sebab itu saya tekan dia (Pusat).

"(Saya) lega yang ini selesai. Ini satu, yang depan lagi Wallahu A'lam. Biasalah kita serang musuh, musuh serang kita. Kita jangan emosi," ujarnya.

Semalam, rombongan Pas Pusat terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli menemui Menteri Besar.

Mereka menasihatkan Nik Abdul Aziz agar mengarahkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan demi menjaga nama baik kepimpinan kerajaan negeri.

Ia berikutan pelbagai polemik dalam parti dan rakyat negeri ini yang mempertikai kewajaran menantu Menteri Besar itu dilantik ke jawatan tersebut yang boleh menjejaskan imej Pas dan kepimpinan negeri.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Mohd. Zaki Ibrahim berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Nik Abdul Aziz untuk menentukan tarikh sebenar peletakan jawatan Abdul Ariffahmi.

Katanya, ia adalah atas budi bicara Menteri Besar sebagai Pengerusi PMBK untuk menentukan perkara tersebut.

Dalam masa yang sama, Mohd. Zaki menolak dakwaan bahawa Pas Kelantan sudah tidak dapat memberi teguran kepada Nik Abdul Aziz sehingga memerlukan campur tangan Pas Pusat.

"Ini proses biasa dalam parti. Kita kena faham parti yang menguasai kerajaan, maknanya apa sahaja yang berlaku dalam negeri yang diperintah oleh Pas, kepimpinan Pusat berhak beri pandangan.

"Sebagaimana Tok Guru kata tadi, Pas Pusat berhak beri pandangan dan ada ketikanya Tok Guru sebagai Mursyidul Am berhak beri pandangan kepada presiden dan jawatankuasa Pas Pusat seperti isu EGM baru-baru ini,'' katanya.

Tambahnya, segala yang diputuskan dalam Pas berlaku secara kolektif dan semua pandangan dari setiap peringkat sama ada Pusat, negeri atau bawahan diambil kira.

0 comments: