Thursday, June 9, 2011

Cukai 6 % Telefon Prabayar : Mohon Penjelasan Syarikat Telekomunikasi



Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Khamis 09 Jun 2011

Cukai 6 % Telefon Prabayar : Mohon Penjelasan Syarikat Telekomunikasi

Terdapat 3 syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia iaitu Digi, Celcom dan Maxis. Pada tahun 2006 terdapat 17.8 juta mendaftar sebagai pengguna talian prabayar. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) mendapati rakyat Malaysia membelanjakan RM17 juta sehari untuk penggunaan SMS(Sistem Pesanan Ringkas). Pada tahun 2004 terdapat 9.5 bilion SMS telah dihantar oleh rakyat Malaysia. Secara puratanya pengguna telefon menghantar 4 SMS setiap hari.

Bermula Januari 2011 pihak kerajaan telah menaikkan cukai perkhidmatan daripada 5% kepada 6%. Cukai perkhidmatan pengguna telefon prabayar juga tidak terkecuali. Selama ini cukai 5% telah diserap oleh syarikat telekomunikasi. Memandangkan beban yang terlalu besar ditanggung oleh pihak syarikat telekomunikasi maka terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa syarikat terbabit tidak lagi menyerap cukai tersebut mulai Julai 2011. Ini bermaksud bahawa cukai ini akan ditanggung oleh pengguna sepenuhnya. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mewakili anak-anak muda Malaysia yang majoritinya pengguna telefon prabayar memohon penjelasan daripada pihak syarikat telekomunikasi mengenai kebenaran dakwaan tersebut. Penjelasan ini adalah penting untuk maklumat pengguna kerana merekalah yang menerima kesan terhadap polisi ini.

Jika benar dakwaan tersebut maka anak-anak muda Malaysia merasa terbeban. Jika mereka membeli kad prabayar sebanyak RM10 maka mereka hanya memperolehi RM9.40. Baki RM0.60 diserahkan kepada kerajaan. Sebahagian besar anak muda Malaysia adalah pelajar sekolah, pelajar universiti dan tiada pekerjaan yang tetap. Mereka adalah pengguna aktif telefon prabayar. Berikutan kenaikan harga barang keperluan harian maka anak-anak muda Malaysia cukup terbeban dengan bayaran cukai ini.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

019-7285174

Wednesday, June 8, 2011

Kaji Semula Cadangan Mekanisma Perlepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra Selangor



Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Rabu 08 Jun 2011

Kaji Semula Cadangan Mekanisma Perlepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra Selangor

Pemuda PAS Negeri Johor memandang serius bantahan yang telah di buat oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berhubung dengan cadangan pindaan yang akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap Mekanisma Pelepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra di negeri ini. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 2hb Mac 2011 berhubung cadangan mekanisma pelepasan unit-unit hartanah kouta Bumiputra. Walaubagaimana pun Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengarahkan agar kajian semula cadangan tersebut supaya ia bersifat ‘self regulatory’.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan meluluskan pindaan baru dalam masa yang terdekat. Kami berpendapat terdapat beberapa ruang yang merugikan bumiputra jika cadangan ini diluluskan. Ruang ini akan mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan. Berikut dinyatakan beberapa perkara yang seharusnya di ambil perhatian oleh pihak kerajaan negeri :

1. Tidak terdapatnya penandaan pelan untuk kouta bumiputra yang wajib dilaksanakan oleh pihak pemaju. Penandaan pelan ini berperanan untuk menentukan dimana lokasi yang telah dikhaskan kepada bumiputera. Ini memudahkan pihak kerajaan membuat pemantauan. Jika tiada sebarang penandaan pelan maka ruang ini sangat mudah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Contohnya menyediakan lokasi bumiputra ditempat tidak strategik, menyembunyikan kouta bumiputra daripada pembeli dan memindahkan sesukahati lokasi hartanah bumiputra. Menariknya, terdapat cadangan penandaan pelan semasa cadangan dibentang pada 2hb Mac 2011 tetapi sekarang telah digugurkan. Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi justifikasi yang jelas kepada rakyat kenapa digugurkan penandaan pelan kouta bumiputra jika mahu meluluskan cadangan ini.

2. Tiada terdapatnya peranan Jawatankuasa Penandaan Unit Kouta Bumiputra(JPUKB) dalam cadangan terbaharu kerajaan negeri. JPUKB beperanan untuk memastikan kouta Bumiputra yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri(PBN) dipenuhi dan menentukan unit-unit jualan bagi kouta Bumiputra berdasarkan kelulusan PBN. Dalam cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ , telah mengugurkan kuasa JPUKB dan telah diganti oleh badan audit bebas. Pemaju dapat meluluskan perlepasan kouta bumiputra secara automatik. Badan audit bebas akan dilantik untuk membuat audit bagi mengelakkan penipuan daripada pihak pemaju. Masalahnya cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ dilihat terlalu longgar dan tidak jelas bagaimana kouta bumiputra boleh dipertahankan. Bagaimana rakyat mahu mambuat bantahan jika kerajaan negeri sendiri pun tidak jelas apa yang perlu dipertahankan.

3. Dalam cadangan terbaharu ini tidak dijelaskan dengan nyata peranan badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membeli hartanah bumiputra yang tidak mampu di beli oleh pembeli bumiputra. Contohnya seperti PHSSB(Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd). Peranan PHSSB adalah sebagai pengurus kepada semua hartanah bumiputra. Ia mampu mencari keseimbangan dalam mengatasi masalah hartanah bumiputra yang tidak mampu dibeli. Kepincangan ini dikuatiri akan menyebabkan ketidakseimbangan penduduk dalam sesuatu taman perumahan. Masalah ini akan meningkatkan jurang perkuaman yang sangat merbahaya dalam negara kita.

Pemuda PAS Johor berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Selangor harus mengkaji semula cadangan mekanisma perlepasan unit-unit hartanah kouta bumiputra dengan cara mendapatkan pandangan banyak pihak sebelum meluluskan cadangan tersebut. Pemimpin masyarakat, NGO, tokoh-tokoh akademik, budayawan dan lain-lain harus dilibatkan dalam membuat keputusan mencari jalan tengah mengatasi masalah hartanah bumiputra di Negeri Selangor. Pemuda PAS Negeri Johor tidak mahu Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Selangor difitnah oleh pihak tertentu kononnya tidak memberi penekanan kepada kepentingan orang Melayu dan bumiputra seperti yang tercatat dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

019-7285174


Friday, May 20, 2011

Keputusan Saya

Assalamualaikum Wrb Wbt

Dengan nama Allah Tuhan yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad S.W.T, para sahabat dan para pejuang akhir zaman sekalian.

Setelah mempertimbang pelbagai jawatan yang ditawarkan oleh ahli-ahli PAS seluruh negara maka saya membuat keputusan untuk menawarkan diri bertanding secara harmoni dan penuh ukhuwah jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat dan AJK PAS Pusat.

Berdasarkan pengalaman memperjuangkan isu PPSMI, Judi Bola, Interlok, Undi Pos, Setinggan Kempas dan Pusat Aduan Rakyat di Negeri Johor maka saya ingin meneruskan agenda berikut :

1. Memperjuangkan Islam sebagai cara hidup yang harmoni dalam negara berbilang agama dan bangsa.

2. Mempersiapkan pemuda PAS menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

3. Menarik sokongan anak muda dan pengundi Melayu.

4. Memperjuangkan isu-isu besar negara.

5. Memesra dan meremajakan Pemuda PAS.


Saya berdoa kepada Allah S.W.T , jika amanah ini boleh meninggikan Islam maka saya sanggup memikulnya. Sebaliknya jika amanah ini tidak boleh meninggikan Islam maka amanahkanlah kepada pemimpin lain yang lebih layak lagi. Amin.


Suhaizan Bin Kayat

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat

Ketua Pemuda PAS Johor

Friday, April 29, 2011

Dr Chua Soi Lek Sedang Melelong Maruah UMNO


http://www.youtube.com/watch?v=qyhu_ItIt7Y&feature=player_embedded

Mungkin MCA sudah tiada idea lain yang lebih bernas untuk menarik sokongan masyarakat Cina ekoran kekalahan rakan sekutunya SUPP di Sarawak maka Presiden MCA Dato Sri Dr Chua Soi Lek memberi pengakuan akan mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Mengekalkan Hak istimewa orang Melayu yang terangkum dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia telah menjadi persetujuan bersama dalam Pakatan Rakyat(PR) semasa konvensyen di Shah Alam tahun 2009. Tidak mungkin disebabkan seorang tokoh konterversi Dr Chua Soi Lek maka PR akan berubah sikap.

Sebagai pemimpin senior dalam Barisan Nasional (BN) Dr Chua Soi Lek sewajarnya mendidik masyarakat memahami mengapa adanya hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Hak Istimewa orang Melayu bukan menjadi halangan orang bukan Melayu untuk hidup selesa di negara ini. Hak Istimewa orang Melayu di lihat tempang kerana penghianatan UMNO yang berlindung di balik dasar ini untuk mengumpul kekayaan kroni-kroni mereka. Bermaksud jika tiada penghianatan UMNO dan negara diurus dengan adil dan saksama maka hak istimewa orang Melayu tidak menjadi perkara yang dipertikai. Tanpa penghianatan UMNO, orang Melayu sudah lama maju di negara ini. Jika orang Melayu sudah maju dan kedudukan ekonominya sudah seimbang dengan kaum-kaum lain maka saya percaya orang Melayu sudah tidak perlukan lagi tongkat hak istimewa orang Melayu lagi . Buat waktu ini hak istimewa orang Melayu masih diperlukan. Saya sangat kuatir permainan politik Dr Chua Soi Lek mengenai hak Istimewa orang Melayu akan menambah parah lagi salah faham antara kaum dalam negara ini.

Ada banyak perkara lain yang boleh menarik perhatian masyarakat bukan Melayu untuk mengundi MCA selain sentimen perkauman. Tetapi Dr Chua Soi Lek sengaja mencari populariti membangkitkan isu yang sensitif bagi menarik perhatian masyarakat Cina khususnya untuk menyokong MCA. Betapa murahnya harga perjuangan politik Dr Chua Soi Lek sehingga sanggup menjolok sarang tabuan demi mendapat secupak keuntungan politik. Keceluparan Dr Chua Soi Lek ini juga melambangkan kegagalan UMNO mengawalnya. Dr Chua Soi Lek umpama harimau yang sudah terlepas dalam kandang Barisan Nasional(BN). Hak istimewa orang Melayu adalah maruah UMNO. Memberi perakuan untuk mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu adalah umpama melelong maruah UMNO di pasar Batu Pahat. Dimana Pemuda UMNO ? Dimana Pemuda BN? Dimana Khiary Jamaluddin ? Saya cabar UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Dato Seri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak, Pengerusi BN bertindak tegas terhadap keceluparan Chua Soi Lek.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat.

Thursday, April 28, 2011

PIBG Seluruh Negara Diseru Membantah Pendedahan Keterlaluan Isu Seks Dalam Media.

Pendedahan isu-isu seks seperti liwat, video lucah, bersekedudukan, rumah urut, ubat kuat dan lain-lain melalui media cetak, media elektronik dan media baru dilihat tidak terkawal dan boleh memberi kesan negatif kepada remaja khususnya pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Media arus perdana dilihat sangat gemar menayangkan sedutan VCD seks, gambar hubungan seks dan menceritakan isu-isu hubungan seks yang sangat memalukan. Sebelum ini pihak sekolah telah berperang dengan masalah gejala sosial yang semakin serius setiap tahun. Isu-isu seks yang disiarkan oleh media sejak akhir-akhir ini dijangka akan merangsang mereka untuk mencari, merasa dan mencuba. Remaja adalah mereka yang suka meneroka sesuatu yang baru. Kerajaan dan masyarakat seharusnya menyediakan persekitaran yang kondusif merangsang mida mereka menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan tanah air. Lebih menyedihkan lagi apabila pihak bertanggungjawab seperti tidak ambil peduli masalah moral dan hanya mendedahkan keburukkan seseorang dengan mengabaikan kesannya kepada remaja.

Semalam, episod pendedahan yang memualkan diteruskan melalui siri video seks kedua. Keadaan ini umpama mendapat lesen dan lampu hijau dari pihak berkuasa, tidak ada sebarang amaran atau larangan yang ditegaskan berhubung penyebaran video ini. Lebih serius lagi video tersebut mendedahkan bahagian-bahagian badan pelakon yang sulit. Dan tidak mustahil selepas ini, babak yang lebih memalukan akan didedah dan disebarkan sekiranya tidak ada penegasan dan amaran daripada kerajaan untuk melayari video ini dan tidak segera menyiasat dan menghukum penyebar video berkenaan.

Sekiranya isu yang meloyakan ini, dibiarkan dan dianggap remeh, DPPP(Dewan Pemuda PAS Pusat) percaya ini akan menjadi satu lagi episod buruk kepada masalah moral dalam masyarakat kita yang sememangnya sedang kritikal pada masa ini. Lebih menakutkan ia mungkin akan menjadi suatu kebiasaan dan budaya di dalam negara kita.

Anak-anak kita yang sekarang ini telah terdedah dengan dunia IT tanpa sempadan tidak mustahil akan terjebak dan melayari gambar-gambar dan video-video lucah selain fitnah-fitnah yang telah di sebarkan di dalam internet. Semua ini bertentangan dengan agama Islam dan budaya masyarakat timur.

Menyedari perkara ini bakal mendedahkan nilai negatif kepada masyarakat terutamanya pelajar-pelajar dan anak-anak sekolah, Maka Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyeru seluruh Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) seluruh negara, Persatuan Guru-guru, pertubuhan-pertubuhan pendidikan, NGO-NGO Islam dan semua NGO-NGo yang memperjuangkan nilai budaya timur bangkit membantah cara pendedahan isu-isu seks secara bebas dalam media. Mereka perlu bersatu untuk membantahnya. Semoga dengan bantahan ini boleh menyelamatkan remaja kita daripada terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat.


0197285174

Tuesday, April 26, 2011

Hentikan Membodohkan Minda Melayu




26hb April 2011

Hari ini selasa 26hb April 2011, tajuk utama media cetak berbahasa Inggeris, New Straits Times memaparkan berita “Nasi lemak twice a week”. Akhbar The Star pula memaparkan berita “Deadly illegal – Growing trade in illicit cigaretts costing Govt billion”. Akhbar bebahasa Manderin seperti China Press dan Sin Chew pula memaparkan berita risiko suntikan menguruskan badan. Akhbar berbahasa tamil pula menceritakan tokoh agama yang cukup berpengaruh meninggal dunia.

Malangnya tajuk berita utama media cetak berbahasa Melayu, Utusan Malaysia memaparkan tajuk utama “Anwar Lelaki Y”, Berita Harian “Lelaki Y Anwar” dan Sinar Harian “Anwar Lelaki Y”. Akhbar bahasa Melayu mejoritinya mengambil kes liwat 2 Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tajuk utama. Apakah yang menjadi keutamaan kepada berita ini? Bukankah ia menceritakan keaiban orang Islam yang cukup meloyakan? Bukankah cerita seumpama itu sangat tidak sesuai dengan anak-anak sekolah? Bukankah cerita tersebut belum lagi diputuskan oleh mahkamah tetapi hanya dakwaan pihak pendakwa sahaja? Soalnya mengapa ia menjadi tajuk utama? Apakah agenda disebalik isu tersebut ?

Tiada halangan jika berita aib dan meloyakan ini dimasukkan dalam berita kecil dalam akhbar seperti New Strait Time yang memuatkan dalam muka surat 6 dan The Star dalam muka surat 10. Tetapi apabila tajuk liwat diletakkan berkali-kali sebagai tajuk utama maka sebenarnya media berbahasa Melayu seolah-olah mendoktrinisasi minda orang-orang Melayu dengan isu seks. Sebahagian besar pembaca media Utusan Melayu, Berita Harian dan Sinar Harian adalah kelompok orang Melayu berpendidikan rendah dan tinggal di pinggir dan luar bandar. Sesetengah daripada mereka tidak berpeluang mendapat pendedahan terhadap media baru.

Saya fikir lebih wajar media arus perdana berbahasa melayu meletakan tajuk utama mengenai dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Orang Melayu sudah berdepan dengan masalah sosial khususnya anak muda yang terlibat dengan masalah seks bebas, dadah, arak, anak luar nikah, sumbang mahram, VCD lucah dan lain-lain lagi. Akhbar berbahasa Melayu seolah-olah kurang sensitif terhadap isu sosial yang sedang dihadapi oleh orang Melayu sekarang.

Secara umumnya media berbahasa Inggeris, Manderin dan Tamil yang pembacanya terdiri daripada kelompok Melayu kelas menengah ke atas, masyarakat Cina dan masyarakat India tidak dihidangkan dengan cerita aib dan meloyakan seperti media berbahasa Melayu. Secara perbandingannya seolah-olah mereka dihidangkan dengan isu-isu yang lebih bertamadun daripada kelompok masyarakat Melayu berpendidikan rendah. Saya memohon agar media arus perdana berbahasa Melayu menghentikan agenda membodohkan minda orang-orang Melayu ini. Sudah cukuplah penjajah membodohkan orang Melayu lebih 400 tahun. Hidangkanlah minda semua rakyat Malaysia dengan perkara yang segar dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat


Wednesday, April 6, 2011

Tangkapan Awam Terhadap Dato T


Data T yang terdiri daraipada Tan Sri Rahim Tamby Chik, Ali Perniagaan Datuk Shazrly Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim telah bertanggungjawab menayangkan video lucah di Hotel Carcosa Sri Negara pada 21 hb Mac 2011. Kesalahan ini boleh didakwa di bawah seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa kepada hukuman penjara 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Pelbagai pihak telah membuat laporan polis berhubung perkara ini. Pihak polis seharusnya menangkap dan mendakwa ketiga-tiga individu tersebut. Kebocoran maklumat mungkin telah berlaku di mana pihak tidak bertanggungjawab telah upload sebahagian video ini dalamyoutube. Rakyat Malaysia sangat kecewa atas masalah yang berlaku. Rakyat merasa kuatir terdapat bermacam-macam lagi masalah akan timbul jika sekiranya ketiga-tiga individu ini tidak ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Di negeri Johor terdapat berpengalaman membuat tangkapan awam keatas penyogok calon PAS Dun Pasir Raja, Johor dalam pilihanraya tahun 2004. Tangkapan ini telah berjaya membawa kes ini ke SPR pada waktu itu. Jika polis tidak bertindak segera kepada ketiga-tiga individu ini dan membiarkan beberapa laman blog menyiarkan video lucah ini maka mungkin rakyat akan membuat tangkapan awam dan menyerahkan kepada pihak polis.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat.

0197285174