Tuesday, November 2, 2010

18,493 Pengundi “Hilang Layak Undi Awam” Mencurigakan

Kenyataan Media

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat

2hb November 2010

18,493 Pengundi Hilang Layak Undi Awam Mencurigakan

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia(SPR) dalam proses meluluskan Rang Daftar Pemilih Suku ke-3, 2010 dan sebarang bantahan adalah berakhir hari ini 2hb November 2010. Terdapat 18,493 undi yang termasuk dalam kumpulan pengundi Hilang Layak Undi Awam”. Kumpulan ini baru diwujudkan dalam rang suku ke-3, tahun ini. Mengikut kebiasaannya apabila seseorang pengundi menjadi pengundi pos maka secara automatik mereka akan hilang kelayakan sebagai pengundi awam. Terdapat beberapa kecurigaan terhadap isu ini.

Pertama : Bilangan yang luar biasa mencurigakan.

Bilangan 18,493 undi “Hilang Layak Undi Awam” adalah cukup besar. Mereka berkemungkinan besar adalah terdiri daripada isteri atau keluarga anggota tentera atau polis. Bilangan anggota tentera dan polis yang memohon sebagai pengundi pos adalah 76 orang sahaja berbanding dengan keluarga mereka yang memohon berjumlah 18,493 orang. Secara tidak langsung membawa maksud bahawa secara puratanya satu keluarga polis atau tentera mempunyai 243 orang ahli. Ini angka yang tidak munasabah. Tidak dinafikan keluarga anggota polis dan tentera boleh memohon sebagai pengundi pos secara berasingan dengan suami atau isteri mereka yang menjadi anggota terbabit. Tetapi pendaftaran secara beramai-ramai di suku ke-3 dan hampir dengan pilihanraya umum ke-13 adalah sungguh mencurigakan. Seolah-olah ada usaha saat-saat akhir untuk memberi kemenangan kepada pihak tertentu. Terdapat maklumat juga yang menyatakan bahawa terdapat isteri anggota keselamatan yang tidak mengetahui nama mereka telah dipindah daripada pengundi awam kepada pengundi pos. Mereka telah menjadi mangsa kepada golongan yang tidak bertanggungjawab.

Kedua : Kumpulan yang baru diwujudkan

Kumpulan pengundi “Hilang Layak Undi Awam” baru sahaja diwujudkan pada rang suku ke-3, 2010. Persoalanya apakah selama 12 kali pilihanraya sebelum ini tidak pernah timbul kumpulan pengundi yang hilang layak undi awam? Ke manakah mereka yang hilang layak undi awam selama ini dikumpulkan? Apa yang paling mencurigakan adalah walaupun kali pertama kumpulan ini diwujudkan tetapi mempunyai bilangan yang cukup ramai iaitu 18,493.

Ketiga : Negeri Kelantan, Kedah dan Perak Tertinggi

Jumlah tiga negeri yang paling ramai “Hilang Layak Undi Awam” adalah Kelantan (3,187 orang), Kedah(2,876 orang) dan Perak(2,007). Ironinya negeri terbabit adalah 2 buah negeri diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dan sebuah negeri lagi telah dijatuhkan secara tidak demokratik oleh Barisan Nasional (BN). Kemenangan PR dengan majoriti kecil di peringkat DUN adalah sangat membimbangkan. Contohnya di negeri Kedah bagi DUN N24 Jeneri, YB. Yahya Abdullah(PR) menang dengan majoriti 67 undi sedangkan undi Hilang Layak Undi Awam” yang telah dimasukkan berjumlah 117 orang. Kemungkinan PR akan kalah sebanyak 50 undi dalam pilihanraya akan datang. Bagi DUN N26 Tanjung Dawai, YB. Dr Hamdan Mohd Khalib(PR) menang dengan majoriti 79. Undi daripada pengundi “Hilang Layak Undi Awam” yang dimasukkan ke DUN ini adalah seramai 105. Maka PR kemungkinan kalah dengan majoriti sebanyak 26 undi.

Keempat: Janji Pembaikan Sistem Undi POS masih kabur.

Selepas kekecohan pengurusan undi pos dalam pilihanraya Kecil Sibu lepas, Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof, Pengerusi SPR menyedari bahawa proses undi pos menyusahkan dan menggunakan terlalu banyak borang. Beliau berjanji mahu membuat perubahan terhadap sistem pengundian pos. Sehingga hari ini tidak diketahui apakah status cadangan beliau ini. Kewujudan pengundi “Hilang Layak Undi Awam” ini akan menambahkan bilangan pengundi pos. Bagaimana SPR mahu menghadapi pertambahan pengundi pos yang besar ini sedangkan janjinya untuk memperbaiki sistem undi pos belum menampakkan hasilnya? Selagi ruang manipulasi dalam undi pos masih ada maka pilihanraya di negara ini akan dipertikai oleh rakyat.

Bbagi memastikan sistem pilihanraya berjalan dengan adil dan telus maka SPR didesak menjelaskan kepada rakyat Malaysia persoalan-persoalan yang berbangkit berhubung dengan kumpulan pengundi “Hilang Layak Undi Awam”.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat.

0 comments: