Saturday, July 17, 2010

CADANGAN KEPADA PROTES




Barang Naik, siapa yang menjadi mangsa ?


Pada hari jumaat 15-Julai-2010, Kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga petrol ron 95 sebanyak 5 sen, ron 97 mengikut harga pasaran(tiada subsidi diberikan),diesel sebanyak 5 sen, gula dinaikkan sebanyak 25 sen dan gas LPG dinaikkan sebanyak 10 sen bagi setiap sekilogram. Kenaikkan barang 5 dalam 1 ini dijangka akan menyebabkan kenaikan harga keperluan harian rakyat walaupun kerajaan beria-ria menafikannya. Kalau enjin jet pejuang dalam kawalan Kementerian Pertahanan pun pun boleh hilang, apalah yang boleh diharapkan dengan kawalan kerajaan terhadap kenaikan harga barangan keperluan harian yang bakal naik. Enjin jet itu besar, terkawal, kuantiti tidak banyak pun hilang. Barangan keperluan harian ini banyak, kecil saiznya dan tidak ada tentera yang mengawalnya, bagaimana kerajaan boleh yakin ia boleh di kawal. Saya penuh yakin kerajaan tidak mampu mengawalnya .

Kalau ada pun kawalan yang lemah ini, mungkin kerajaan hanya boleh kawal harga barang kawalan seperti minyak, beras, tepung dan lain-lain tetapi kerajaan tiada pun mekanisma untuk mengawal barang-barang bukan terkawal seperti ikan, sayur, sabun dan lain-lain. Kerajaan dan pihak yang bersekutu dengannya sering menyerahkan kepada pengguna sendiri untuk mengawalnya. Mereka berkempen agar tidak memberi keperluan harian yang mahal ini. Persoalannya mereka yang berpendapatan tinggi tidak terasa dengan kenaikan ini. Mereka yang terasa dengan kenaikkan ini adalah golongan berpendapatan rendah seperti buruh, pekebun kecil, peniaga kecil dan lain-lain lagi. Golongan berpendapatan tinggi tidak kisah pun kenaikkan harga barang, mereka tetap akan membeli apa sahaja barang tetapi golongan berpendapatan rendah terus terhimpit dengan kenaikkan ini. Maka kempen memboikot barang-barang yang naik ini tidak akan berjaya sebab mereka semua tidak boleh disatukan. Mengikut sejarahnya, tiada usaha pemboikotan kenaikkan harga barang selama ini yang berjaya pun. Maka mangsa kenaikkan harga barang yang diumumkan oleh kerajaan ini adalah anak-anak dan keluarga yang berpendapatan rendah.

Selama ini golongan keluarga berpendapatan rendah dibandar-bandar khususnya telah pun mengikat perut untuk menghadapi zaman-zaman sukar ini. Gaji mereka tetap tidak naik. Keluarga mereka tetap bertambah. Mereka telah habis berusaha mengubah cara hidup cadangan Dato Seri Najib Tun Razak. Walaupun Najib tidak mampu mengawal isterinya berbelanja tetapi rakyat terbanyak sudah tiada pilihan kecuali mengikat perut keluarga mereka. Jika sebelum ini perbelanjaan mereka telah depesit, maka setelah kenaikkan harga barang ini tentulah hutang mereka akan bertambah. Apakah jalan penyelesaikan kepada masalah mereka? Bank tidak layan, jiran-jiran pun senasib dan keluarga pun tidak dapat membantu. Yang ada hanyalah “Along” yang boleh membantu 36 jam sehari. Maka “Along” lah pilihan mereka. Oleh itu golongan yang paling gembira dan bertambah kaya dengan kenaikkan harga barang adalah “Along”. Maknanya kerajaan secara tidak langsung telah meningkatkan pendapatan “Along”. Kalau rakyat sudah terjebak dengan “Along” maka menderitalah seumur hidup selagi UMNO-Barisan Nasional dan “Along” masih berkuasa. Cara mudah menghadapi masalah “Along” adalah dengan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional(BN).

Bagi mengatasi masalah ini saya mencadangkan kepada Jawatankuasa Memprotes Kenaikkan Harga Minyak( PROTES) yang akan bermesyuarat esok agar memberi fokus bantahan isu kenaikkan harga barangan keperluan ini kepada menjaga hal ehwal golongan yang menjadi mangsa. PROTES tidak perlu memfokuskan kepada batahan kenaikkan harga minyak sahaja kerana mana-mana kerajaan yang memerintah negara kita , tiada jaminan minyak tidak akan dinaikkan. Mungkin PROTES itu sendiri perlu di “rebranding” dengan nama baru iaitu Kumpulan Rakyat Mangsa Barang Naik (Mangsa BN). Antara contoh tuntutannya adalah pertamanya mendesak pihak kerajaan memberi subsidi RM500 sebulan terus kepada golongan keluarga berpendapatan rendah. Formula menentukan mereka yang layak dan mekanisma pemberian perlu dirangka oleh pihak kerajaan. Keduanya menghentikan subsidi kepada Penjanakuasa Elektrik Persendirian (IPP). Ketiganya sebagai simbol penjimatan maka gaji semua menteri dipotong 20%. Keempatnya menambah perutukan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menbiyayai fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim dan kelimanya hapuskan rasuah sepenuhnya. Semoga altenatif ini boleh membantu mereka yang memerlukan dan bantahan ini mendapat sokongan semua pihak dalam negara kita.

Wednesday, July 7, 2010

Surat Terbuka Kepada Tan Sri Aziz Pengerusi SPR





Surat Terbuka Kepada
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia
7hb julai 2010


Assalamualaikum Wrh Wbt
Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof, Pengerusi SPR

Tan Sri,
Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada Tan Sri, ahli Suruhanjaya dan semua pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) atas kepekaan pihak Tan Sri terhadap teguran-teguran yang telah dibuat khususnya daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR)berhubung dengan ketelusan undi pos. Kenyataan media Tan Sri telah disiarkan oleh media arus perdana pada 26hb & 27hb Mei 2010, iaitu selepas sepuluh hari pilihanaraya kecil (PRK) Sibu , Sarawak. Yang terbaharu dikeluarkan oleh Malaysiakini 6hb Julai 2010.
Berdasarkan kepada laporan media arus perdana bolehlah saya simpulkan seperti berikut :

a. Pihak SPR mengakui bahawa sistem undi pos yang sedang berjalan sekarang kurang telus, terlalu teknikal dan menyusahkan pengundi pos sendiri.

b. Sistem pengundian awal akan menggantikan sistem undi pos di mana pengundi akan dikumpul di suatu dewan untuk mengundi. Masanya adalah 2-3 hari sebelum pengundian awam bermula. Bentuk pengundian adalah seperti pengundi awam iaitu hanya perlu memasukan kertas undi dalam tong undi tanpa perlu mengisi Borang 2 dan memulangkannya semula secara pos.

c. SPR berkemungkinan besar akan mula menggunakan sistem pengundian awal bermula Julai 2011.

d. Sistem pengundian awal ini tidak terpakai untuk pelajar di luar negara dan mereka yang bertugas di luar negara.


Tan Sri,

Seramai 179 daripada 290 atau 62% petugas Petugas SPR di Sibu tidak mengembalikan kertas undi mereka. Daripada jumlah ini terdapat lebih 200 orang petugas SPR telah membawa pulang kertas undi mereka. Walaupun dari segi peraturan undi pos tidak salah tetapi insiden ini mendedahkan kepada penjualan kertas undi kepada sindiket. Persoalannya mengapa petugas SPR yang sepatutnya mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap pilihanraya tidak mengembalikan kertas undi mereka?

Saya pernah menyebut kepada Tan Sri dalam suatu pertemuan antara pimpinan PAS Pusat dengan SPR di Putrajaya pada Oktober 2009 bahawa peraturan undi pos yang sedia ada boleh menyebabkan kertas undi dijual kepada sindiket di luar. Pada masa itu Tan Sri meragui pandangan saya. Tan Sri ada menyebut “Saya tak fikir ada orang sanggup menjual kertas undinya”. Akhirnya telah terbukti dalam PRK Sibu terdapat ramai petugas SPR tidak memulangkan sampul B yang terkandung di dalamnya kertas undi. Dengan lain perkataan kertas undi petugas SPR majoritinya tidak dipulangkan. Mengikut pandangan ejen undi pos PR, kertas undi ini berkemungkinan telah dijual kepada sindiket . Malang kepada sindiket ini kerana mereka gagal memulangkan semula kertas undi tersebut secara berkelompok sebelum jam 5.00 petang pada 16hb Mei 2010 di Wisma Sanyan, Sibu kerana ejen undi pos PR mengawalnya 24 jam. Ejen undi pos PR telah dapat mengesan beberapa kejadian sindiket ini cuba untuk membuang undi di Wisma Sanyan. Al-hamdulillah ejen undi pos PR dapat mengawal pengundian proksi sindiket daripada berlaku secara berleluasa. Inilah punca utama mengapa proksi petugas SPR tidak memulangkan semula kertas undi pos sebelum masa yang ditetapkan. Saya rasa inilah juga punca mengapa 62% petugas SPR gagal mengembalikan kertas undi mereka.

Cadangan pihak Tan Sri untuk membuat perubahan besar terhadap undi pos dengan mengganti sistem lama kepada Sistem Pengundian Awal menjelang Julai 2011 sangat-sangat saya alukan. Pastinya sebagaimana kebiasaan, dalam hal ini pihak Tan Sri perlu mendapat persetujuan daripada pihak Jemaah Menteri terlebih dahulu. Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan undi pos di Sibu sebanyak 33 kali ganda daripada yang diperolehi oleh DAP-PR sedangkan BN kalah pada undi awam. Selama ini undi pos merupakan fixed-deposit kepada undi BN. Ruang manipulasi terlalu besar dalam sistem undi pos. Saya tidak fikir BN dengan mudah akan bersetuju dengan cadangan Tan Sri. Pernah berlaku sebelum ini dalam pilihanraya umum 2004, SPR telah mengeluarkan peraturan yang tidak membenarkan parti yang bertanding membuat pondok panas di sekitar tempat mengundi . Parti pembangkang mematuhi peraturan ini tetapi malangnya semua ejen BN tidak mematuhi. Akhirnya SPR mengikut keputusan BN dan pondok panas terpacak juga di sekitar tempat mengundi semasa Pilihanraya Umum 2004. Keduanya pada pilihanraya umum 2008, SPR telah membelanjakan wang rakyat dengan jumlah yang besar untuk membeli dakwat hitam bagi menanda jari untuk tujuan pengesahan pengundi. Namun apabila ada pihak yang berkepentingan tidak bersetuju, akhirnya SPR telah akur kepada pihak tersebut seterusnya membatalkan penggunaan dakwat hitam seperti yang dirancang. Ketiga, dalam pilihanraya umum 2008, SPR menetapkan setiap calon yang bertanding perlu mendapat pengesahan Pesuruhjaya Sumpah terlebih dahulu sebelum penamaan calon. Tetapi ramai calon UMNO/ BN tidak sempat untuk membuat pengesahan Pesuruhjaya sumpah tersebut , lantas peraturan ini dibatalkan pada saat akhir. Saya sendiri telah membuat bantahan terhadap calon BN bagi DUN Kempas, Johor yang tidak membuat pengesahan tersebut, malangnya saya pula dimarahi pegawai SPR di Putrajaya dan meminta saya membawa kes ini ke mahkamah. Saya yakin cadangan Tan Sri terhadap Sistem Pengundian Awal akan menerima nasib yang sama. Masakan Dato Seri Najib Tun Razak boleh setuju dengan cadangan Tan Sri sedangkan beliau sendiri telah menyiapkan dirinya dengan undi pos yang banyak di Pekan. Kalau Tan Sri berkeras juga , saya bimbang bukannya sistem undi pos yang dimansuh tetapi nama Tan Sri yang akan dimansuhkan daripada SPR. Inilah demokrasi ala Malaysia, Tan Sri.

Sistem Pengundian Awal ini sebenarnya masih tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah ketidaktelusan dalam undi pos. Ruang-ruang ketidakadilan dan manipulasi masih terdapat dalam beberapa perkara. Antaranya, kita melihat bagaimana hanya pihak Kerajaan BN sahaja dibenarkan masuk ke kem untuk berkempen. Contohnya semasa Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang yang lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri dibenarkan masuk berkempen dalam kem. Saya masih lagi menyimpan ucapan menteri-menteri tersebut yang membuktikan bahawa mereka telah berkempen dalam kem tentera. Bagaimanapun jentera pilihanraya PAS tidak pula dibenarkan berkempen. Begitu juga di Sibu, sebanyak dua kali pertemuan telah diadakan di antara Perdana Menteri dengan anggota tentera tetapi pihak DAP tidak pula mendapat sebarang peluang untuk berkempen terhadap mereka. Bentuk demokrasi apakah ini, Tan Sri? Bila kita ajukan kepada SPR, seperti biasa SPR akan menjawab bahawa mereka tiada kuasa menghalang atau membenarkan calon berkempen dalam kem. Itu namanya padang permainan yang tidak sama rata, Tan Sri.

Sistem Pengundian Awal ini akan menyebabkan semua anggota tentera, polis dan SPR berkumpul di satu tempat untuk mengundi. Bagaimana SPR mahu mengarahkan pihak tentera untuk tidak membuat sebarang aktiviti di luar kem pada masa mereka mengundi ?. Kes di Bagan Pinang dan Sibu, pada hari mengundi terdapat beratus-ratus anggota tentera membuat latihan menembak di luar kem. Sama ada dirancang atau kebetulan saya tidak pasti. Tetapi yang pasti anggota tentera ini tidak berada dalam kem. Kalau media arus perdana pun SPR tidak ada kuasa menyekatnya berkempen selepas jam 12 malam sebelum mengundi, apakah SPR mampu memberi arahan untuk tidak membenarkan pihak tentera membuat aktiviti luar kem pada hari mengundi. Saya minta SPR ukur kail (joran) sendiri. Jika kail panjang sejengkal bagaimana SPR mahu menduga laut yang dalam, Tan Sri.

Setelah 12 kali pilihanraya umum dan 11 kali pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008 baru sekarang SPR menyedari bahawa sistem undi pos tidak telus. Himpunan Bersih 2007 telah mendesak dihapuskan undi pos namun SPR mendiamkan diri sahaja. Sebenarnya Pemuda PAS telah mewujudkan kumpulan pemantau undi pos ini sejak PRK Bagan Pinang seterusnya dilebarkan kepada rakan-rakan PR di Hulu Selangor dan Sibu. Pemuda PAS berjaya memberi gambaran kepada rakyat Malaysia bahawa terdapat ruang manipulasi yang terlalu besar dalam sistem undi pos. Kemuncaknya adalah di Sibu, Sarawak. Sama ada menang atau kalah,ruang manipulasi undi pos tetap terdedah kepada sesiapa yang mahu menggunakannya. Di Sibu ejen PR telah berjaya menggunakan senjata BN untuk menghunus balik ke perut BN. Itulah saya katakan “Senjata sudah makan tuan di Sibu”. Apakah apabila senjata undi pos sudah tidak dapat digunakan oleh BN, baru SPR menyedari undi pos sudah tidak telus? Ke mana perginya ketelusan undi pos selama 12 kali pilihanraya sebelum ini? Tan Sri, itulah hakikat demokrasi negara kita yang kononnya menjadi kebanggaan dunia. Jika tidak, masakan pula SPR boleh menolak pemerhati bebas dari luar negara .

Tan Sri,

Secara kesimpulannya saya penuh yakin selagi ruang manipulasi berpihak kepada BN, SPR tidak berupaya merubahnya. Bukan salah Tan Sri, bukan salah Suruhanjaya tetapi yang bersalah adalah kumpulan yang mahu terus berkuasa walaupun ditolak oleh rakyat. Oleh itu Pemuda PAS sedang berusaha untuk mengadakan Himpunan Bersih 2 sebelum pilihanraya ke-13. Pemuda PAS mendesak jika kerajaan Malaysia tidak mempastikan pilihanraya ke-13 berjalan dengan telus maka suatu himpunan besar-besaran akan diadakan. Saya mencadangkan himpunan ini di adakan sejurus selepas Perdana Menteri membubarkan Parlimen. Jika Perdana Menteri tidak mahu rakyat berhimpun di Istana Negara selepas Parlimen dibubarkan maka pastikan Reformasi terhadap SPR perlu dibuat segera. Kerajaan hendaklah mempastikan :

1. Penggunaan dakwat hitam bagi setiap pengundi yang telah mengundi.
2. Undi pos sedia ada hendaklah dimansuhkan dan ditukar dengan sistem yang lebih adil.
3. Bebaskan media membuat laporan yang adil.
4. Daftar pemilih hendaklah dibersihkan.
5. Membenarkan pemerhati antarabangsa mengawasi perjalanan pilihanraya umum.
6. Terdapatnya mekanisma mengesahkan pemilik sebenar kad pengenalan pengundi.

Yang paling penting adalah rakyat Malaysia berhak untuk melihat pilihanraya yang adil dan saksama. Jika Barisan Nasional (BN) menang atau kalau mereka akan berpuas hati. Begitu juga jika Pakatan Rakyat (PR) menang atau kalah mereka akan berpuashati. Jika ada pihak tidak berpuashati terhadap pilihanraya ke-13 dikuatiri keadaan politik negara tidak akan stabil dan ianya akan merugikan rakyat dan negara Malaysia tercinta ini.


Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat

Tuesday, July 6, 2010

Isu Judi Sukan Menyebabkan UMNO - MCA Bermasalah


Kenyataan Media

Selasa 6 - Julai - 2010

Isu Judi Sukan Menyebabkan UMNO - MCA Bermasalah

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak berpuas hati dengan Presiden UMNO yang juga sebagai Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib Tun Abdul Razak dalam isu pembatalan kebenaran lesen judi sukan. Beliau sangat kuatir keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno akan menjadi satu 'precedent' kes yang merbahaya. Sepatutnya keputusan tersebut dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri bukannya Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Menteri-menteri yang telah dilantik tidak boleh menyuarakan pandangan masing-masing sedangkan sebelum ini MCA, MIC, PPP dan LDP bersama-sama mempertahankan Perdana Menteri dalam isu ini. Keputusan ini boleh menimbulkan tanggapan bahawa parti komponen BN yang lain adalah di bawah telunjuk Umno.


“Kami berasa kecewa...Ia sepatutnya diputuskan pada peringkat kabinet, supaya semua pihak komponen dapat memberikan pandangan mereka,” kata Chua pada sesi wawancara khas dengan beberapa media terpilih di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur. Presiden UMNO pada pada 25 Jun lalu, telah mengumumkan bahawa majlis tertinggi Umno sebulat suara menolak cadangan memberi lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd yang dimiliki oleh jutawan Tan Sri Vincent Tan.

Apa yang berlaku ini membuktikan sudah wujudnya perselisihan faham antara Presiden UMNO dengan Presiden MCA dan mungkin juga MIC, PPP dan LDP. Walaupun mereka dalam kumpulan yang sama iaitu Barisan Nasional (BN) tetapi mereka berbalah sesama sendiri. Maka benarlah Allah menyatakan dalam Al-Quran bahawa judi akan membawa manusia kepada pergaduhan. Peringkat pergaduhan sekarang adalah peringkat tertinggi dalam negara. Jika menteri pun boleh bergaduh atas isu judi, cuba kita bayangkan bagaimana penagih judi, keluarga dan masyarakat mereka. Pergaduhan ini sangat merugikan negara. Malangnya kerajaan berbangga menggunakan cukai hasil judi untuk pembangunan negara walaupun di sana ada rakyat yang tertindas akibat daripada judi. Allah berfirman dalam surah Al- Maaidah Ayat 91

“ Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Nevada adalah sebuah negeri di Amerika Syarikat yang paling giat melaksanakan kegiatan perjudian. Mempunyai lebih daripada 266 kasino. Salah satu bandarayanya yang terkenal adalah Las Vegas. Dalam satu pendedahan yang dilakukan oleh SPG Foundation mendapati Nevada adalah negeri yang paling tidak selamat di Amerika Syarikat. Negeri ini jugak mempunyai kadar bunuh diri, penceraian, pelacuran, pembunuhan dan ketagihan judi yang cukup tinggi.Pada Mei 2010 laporan yang dikeluarkan oleh United States Department of Labor menyebut bahawa Nevada mempunyai kadar pengangguran yang paling tinggi di Amerika Syarikat iaitu sebanyak 14%. Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.

Peristiwa, kajian dan kenyataan Al-Quran telah membuktikan bahawa judi menjadi punca kepada kerutuhan masyarakat dan negara. Apalah guna kita mencari harta siang dan malam dengan penuh gigih setiap hari tetapi akhirnya keuntungan usaha kita itu diserahkan kepada bookie atau syarikat judi. Yang cerdik adalah syarikat judi. Yang tertindas dan yang malang adalah penagih judi. Judi tidak memberi kesenangan kepada penagih judi sebaliknya judi hanya akan mengkayakan syarikat judi sahaja. Masa belum terlambat lagi, marilah kita mulakan hidup baru tanpa judi. Marilah kita katakan tak nak kepada judi.”Kami Tak Nak Judi

Suhaizan Bin Kayat

Setiausaha,

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).



Monday, July 5, 2010

HIMPUNAN BERSIH DUA SEJURUS SELEPAS PARLIMEN DIBUBAR





Setelah kekalahan teruk Barisan Altenatif(BA) pada tahun 2004, semangat petugas BA khususnya PAS jatuh menjunam bagaikan jet pejuang menyembah bumi. Apatah lagi himpunan dihadapan Suhakam yang disusun sejurus pilihanraya 2004 tidak dapat di jayakan kerana masalah-masalah teknikel. Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat selepas pilihanraya itu meminta PAS berbuat sesuatu atas kekalahan itu, terutamanya kejatuhan Terengganu yang cukup mengaibkan. Antaranya adalah himpunan besar-besaran untuk mendesak kerajaan memulihkan demokrasi. Ucapan wakil Pemuda PAS Pusat sebagai menyokong usul memulihkan demokrasi pada masa itu menjurus kepada himpunan dan kebertanggunjawapan PAS Pusat terhadap kekalahan pilihanraya. Tetapi malangnya media hanya minat terhadap isu kebertangjawapan sahaja kerana ia lebih sensasi. Masih tergiang-giang ditelinga, apabila Presiden memberi nasihat kepada pemuda agar jangan menjadi beruang yang sayangkan tuannya. Kerana sayangnya beruang kepada tuannya maka dipukul muka tuannya sampai pensan. Itulah nasihat tidak ternilai yang menjadi bekalan untuk pemuda khususnya pembahas pemuda.

Isu himpunan pemulihan demokrasi hilang beberapa ketika kerana serangan wabak kelesuan PAS sudah merebak keseluruh negara. Pakar-pakar tarbiyyah PAS diturunkan keseluruh negara memulihkan kemurungan ini. Alhamdulillah berjaya dan akhirnya jawatankuasa dibentuk di bawah Tuan Haji Mohammad Bin Sabu bagi mengadakan himpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Himpunan Bersih bagi menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Tuntutan Bersih ada empat iaitu pengunaan dakwat hitam, media yang adil, penghapusan undi POS dan pembersihan daftar pemilih. Himpunan itu berjaya diadakan dengan penuh gemilang sehingga memulihkan semangat petugas seluruh negara setelah lesu lebih dua tahun. Selepas Himpunan Bersih wujud himpunan kedua dinamakan Himpunan Hindraf yang mendesak kerajaan memberi perhatian kepada masyarakat India di negara ini. Kedua-dua himpunan ini secara senyap-senyap telah menjadi faktor yang penting atas kejayaan pembangkang khususnya PAS, DAP & PKR dalam pilihanaya ke-12 pada tahun 2008. Malangnya isu pemulihan demokrasi menjadi senyap dalam negara sedangkan empat tuntutan Bersih langsung tidak ditunaikan oleh kerajaan. Bukan kerana sudah berpuas hati tetapi tumpuan banyak diberikan kepada isu pentadbiran negeri yang telah dimenangi dalam pilihanraya ke-12. Perlu diingat kemenangan pilihanraya ke-12 sangat mudah dipatahahkan dengan penipuan dalam demokarasi di Malaysia. Kalau fakta Dato’ Sri Anwar Ibrahim kena tumbuk pun boleh ditipu, pemberian lesen judi kepada Ascot Spot pun boleh ditipu apatah lagi undi pilihanraya. Orang jawa kata “PENAK WA’YEER AREK NGAPUSI”.

Selepas pilihanraya ke-12, suatu gerakan rakyat telah ditubuhkan dinamakan Gerakan Mansuhkan PPSMI. Gerakan ini mendesak pihak kerajaan membatalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Dasar ini diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir tetapi telah menjadi beban kepada pelajar-pelajar terutamanya diluar bandar. Tokoh-tokoh besar disebalik gerakan ini adalah Dato A. Samad Said, Dato’ HassanAhmad, Prof Abdullah Hassan, Dr Shahril Mohd Zain dan ramai lagi. Enjin utama gerakan ini adalah pemuda PAS. Mobilisasi seluruh negara dibuat bersama dengan tokoh-tokoh PPSMI akhirnya himpunan rakyat telah di adakan daripada Pusat Perniagaan Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara ke Istana Negara pada 7 Mac 2009. Menariknya tokoh-tokoh PPSMI ini semuanya merasa pedih gas pemedih mata. Atas tekanan-tekanan yang telah dibuat akhirnya pihak kerajaan telah mengumumkan pembatalan dasar PPSMI bermula 2011. Satu kejayaan luar biasa yang dikecapi. Rakyat rasa berbaloi dengan pengorbanan turun ke jalan raya dengan hidangan gas pemedih mata. Selepas GMP, Gerakan Mansuhkan ISA(GMI) mengambil tempat apabila himpunan besar-besaran telah dibuat seumpama Bersih dan PPSMI. Kerajaan juga telah menerima desakan-desakan yang kuat dari dalam dan luar negara. Walaupun kerajaan belum mengumumkan pemansuhan ISA tetapi himpunan ini telah memberi kesan di mana sebahagian besar tahanan ISA telah dilepaskan.

Pada bulan Mei 2010 berlakunya kemelut lesen judi sukan bermula apabila Timbalan Menteri Kewangan Dato Awang Adek Hussin membuat kenyataan bahawa ianya akan diluluskan oleh pihak kerajaan bagi membendung judi sukan tidak berlesen berleluasa dalam negara kita. Kenyataan ini mulanya disokong pula oleh Ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, kemudian Tun Dr Mahathir Mohammad, Dato Nazri Aziz dan ramai lagi. Parti-parti pembangkang telah memulakan rentaknya membantah lesen judi sukan ini. Akhirnya suatu gerakkan rakyat telah ditubuhkan dinamakan Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) dimana kempen pertamanya adalah untuk memansuhkan lesen judi sukan yang telah diberikan kepada Syarikat Ascot Sport Sdn. Bhd milik Tan Sri Vincent Tan. Kerajaan berdolak dalik samaada telah mengeluarkan lesen judi sukan atau sebaliknya. GMJ telah mengumumkan seluruh negara untuk mengadakan himpunan seumpama Bersih, GMP dan GMI pada sabtu 3hb Julai 2010. Memorandum dihantar ke Parlimen dan Pejabat Perdana Menteri. Belum pun sampai tarikh 3hb Julai 2010 Kerajaan telah mengumumkan pembatalan lesen judi sukan. Kerajaan takut rakyat berhimpun di Istana Negara dalam keadaan kerajaan dilihat sebagai mempertahankan judi sukan. Kerajaan bakal menerima petaka bila himpunan ini diadakan. Suatu kerjayaan kepada perjuangan rakyat. Belum turun jalan raya dah berjaya merubah keputusan kerajaan. Tahniah Rakyat Malaysia.

Berdasarkan sorotan peritiwa di atas, GMP dan GMJ telah berjaya merubah dua keputusan kerajaan secara total iaitu Dasar PPSMI dan lesen judi sukan. Walaupun banyak faktor lain tetapi gerakan rakyat ini adalah salah satu faktor kuat keputusan tersebut berubah. GMI juga tidak kurang hebatnya di mana telah mengoyangkan keputusan kerajaan untuk memenjarakan orang-orang politik di negara ini. Tetapi malangnya Bersih belum lagi mencapai matlamatnya dimana pihak kerajaan mendiamkan diri berhubung tuntutannya. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan pilihanraya ke-13 yang luar biasa. Ucapan-ucapan terakhir ini telah memberi isyarat bahawa pilihanraya akan diadakan terlebih awal daripada waktu yang sepatutnya. Memandangkan bahawa pilihanraya di negara kita masih terlalu terdedah kepada manipulasi maka saya mencadangkan bahawa Jawatankuasa Bersih perlu mengadakan Himpunan Bersih 2. Tarikh himpunan ini dicadangkan pada hari sabtu terdekat selepas Perdana Menteri membubarkan parlimen. Jika pihak kerajaan tidak dapat memberi jaminan ketelusan dalam pilihanraya maka rakyat akan berhimpun di Istana Negara pada tarikh yang ditetapkan. Jika kerajaan tidak mahu melihat rakyat berhimpun di Istana Negara maka kerajaan hendaklah membuang segala ruang manipulasi dalam undi pos, daftar pemilih dan pemalsuan pengundian. Media mestilah memberi jaminan membuat liputan yang adil kepada semua pihak. Pemerhati antarabangsa perlu dipanggil untuk menjadi pemerhati pilihanraya di negara kita.

Alasan tarikh cadangan himpunan Bersih 2 selepas pembubaran parlimen adalah kerana pertamanya bagi mempastikan pilihanraya ke-13 akan berlaku dalam keadaan demokrasi pilihanraya telah dipulihkan sepenuhnya. Apa guna pilihanraya diadakan jika pilihanraya terdedah kepada manipulasi. Keduanya, Perdana Menteri perlu membetulkan sistem pilihanraya terlebih dahulu sebelum membubarkan parlimen.Itulah yang dinamakan Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Ketiga, Jika ada pihak yang mengatakan masa tersebut adalah masa yang terlalu sibuk maka suka saya nyatakan rakyat dinegara ini boleh berhimpun di Istana Negara dengan notis 48 jam. Ini kerana rakyat telah 3 kali berhimpun secara besar-besaran. Lagi pun himpunan ini hanya memakan masa 3 jam sahaja dan ia boleh membangkitkan kesedaran seluruh negara untuk turun mengundi. Memberi rangsangan terus untuk bekerja dengan lebih kuat lagi. Tarikh penamaan calon pun berkemungkinan besar belum lagi diumumkan oleh SPR pada masa tersebut. Jika rakyat telah menerima arahan awal untuk berhimpun selepas pembubaran parlimen maka persiapan dari segi mantel dan fizikel telah dibuat awal. Oleh itu himpunan ini tidak menganggu proses kempen. Yang paling penting adalah rakyat Malaysia berhak untuk melihat pilihanraya yang adil dan saksama. Jika Barisan Nasional (BN) menang atau kalau mereka akan berpuas hati. Begitu juga jika Pakatan Rakyat (PR) menang atau kalah mereka akan berpuashati. Jika ada pihak tidak berpuashati terhadap pilihanraya ke-13 dikuatiri keadaan politik negara tidak akan stabil dan ianya akan merugikan rakyat dan negara Malaysia tercinta ini.

Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Saturday, July 3, 2010

PENANGGUHAN MASA HIMPUNAN RAKYAT TAK NAK JUDI

Kenyataan Media

Sabtu 3 - Julai - 2010

PENANGGUHAN MASA HIMPUNAN RAKYAT TAK NAK JUDI

Bagi menghormati majlis pengkebumian jenazah Allahyarham Toh Puan Norashikin Bin Dato’ Mohd Seth balu Allahyarham Tun Dr. Ismail Bin Abd Rahman bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, maka Himpunan Rakyat Tak Nak Judi ditangguhkan ke jam 5 petang Sabtu 3-Julai-2010 di Masjid Negara.

Pihak Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Dr. Ismail Abd Rahman atas pemergian Allahyarham Toh Puan Norashikin Bin Dato’ Mohd Seth mengadap ilahi. Moga rohnya tergolong ke dalam golongan orang-orang yang soleh dan solehah. Pihak GMJ juga memohon maaf kepada semua peserta himpunan yang telah datang awal bagi menjayakan Himpunan Tak Nak Judi.


Mohd Azmi Bin Abdul Hamid
Pengerusi
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).