Pertamanya saya mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang telah menunaikan janjinya dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang untuk mengkaji dan melaksanakan perlaksanaan undi pos dengan adil. Pengundian Pos mempunyai ruang manipulasi yang sangat nyata. Apabila kertas undi diserahkan kepada pihak kem tentera(unit semboyan), tiada agen calon bertanding yang mengawasinya termasuk SPR sendiri. Penyerahan boleh dilakukan 24 jam seluruh negara tampa kawalan. Bukti-bukti dan pengakuan-pengakuan yang PAS perolehi semasa pilihanraya Bagan Pinang membuktikan ruang manipulasi ini telah digunakan oleh pihak tertentu. Apakah rakyat boleh yakin kertas undi tidak hilang dalam kawalan tentera jika dua enjin F-5E Jet Pejuang pun boleh hilang dalam kawalan mereka ?
Walaubagaimanapun saya tetap menaruh harapan yang besar kepada SPR untuk membuat beberapa perubahan. Perubahan daripada undi pos kepada undi awal hendaklah dilakukan dengan penuh adil untuk parti-parti yang bertanding. Saya mencadangkan beberapa perkara kepada SPR iaitu :
1. Sistem penghantaran kertas undi secara pos hendaklah dihentikan. Setiap pengundi hendaklah menerima secara terus daripada SPR bukannya pihak ketiga seperti sebelum ini.
2. Pengundi awal boleh membuang undi ditempat yang ditetapkan dan hendaklah sepenuhnya di bawah kawalan SPR. SPR hendaklah memaklumkan tempat –tempat mengundi awal tersebut semasa hari penamaan calon. Ini bagi memudahkan agen-agen calon dapat membuat persediaan awal. Tempat pengundian di dalam Kem atau dipermis yang menyebabkan agen-agen calon bertugas menghadapai masalah hendaklah dielakkan.
3. Agen-agen calon untuk pengundian awal boleh berperanan sepenuhnya seperti agen-agen calon bagi pengundi awam. Bukannnya menjadi agen “patong” seperti di Pilihanraya Bagan Pinang.
4. Pengiraan kertas undi awal hendaklah dibuat di tempat mengundi pada hari mengundi bukannya ditempat penjumlahan. Hanya keputusan sahaja yang di bawa ditempat penjumlahan.
5. Borang 2 Undi Pos atau yang setara dengannya hendaklah dihapuskan. Borang 2 ini menyebabkan pengundi merasa curiga terhadap penyalahgunaanya oleh pihak tidak bertanggungjawab.
6. Calon-calon bertanding atau wakilnya adalah berhak untuk mengadakan pertemuan dengan pengundi-pengundi awal ini atas tujuan berkempen. Masa yang selayaknya mestilah diberikan kepada wakil-wakil calon bertanding. Oleh itu masa berkempen hendaklah lebih lama lagi diperlukan. Bagi memudahkan urusan, SPR seharusnya menyediakan ruang untuk kempen ini diadakan.
7. Tempoh bertenang selama dua hari yang dicadangkan oleh SPR hendaklah diiringi dengan halangan berkempen melalui semua saluran media terutamanya media elektronik dan media baru(internet). Jika kempen dilarang dikawasan mengundi tetapi TV masih lagi mengadakan kempen-kempen maka ketidakadilan akan berlaku. Tindakan tegas kepada pengendali media perlu dibuat jika kempen pilihanraya masih diteruskan semasa tempoh bertenang ini sedang berjalan.
8. Kelayakkan menjadi pengundi awal hendaklah melalui tapisan yang ketat. Ini bermakna hanya mereka yang benar-benar bertugas pada masa mengundi sahaja yang dibenarkan menjadi pengundi awal. Mereka yang mahu menjadi pengundi awal hendaklah memohon kepada SPR dengan bukti-bukti yang mengesahkan mereka bertugas pada masa mengundi. Ini bermakna setiap kali pilihanraya kecil mahupun besar, setiap mereka yang mahu menjadi pengundi awal hendaklah membuat permohonan. Jika tidak mereka akan dianggap sebagai pengundi awam sahaja. Peraturan ini tidak bercanggah dengan hak mengundi yang dijamin oleh perlembagaan. Sebab nama mereka adalah dalam daftar pemilih. Mereka layak mengundi. Cuma SPR memberi pilihan untuk memudahkan mereka mengundi dengan mewujudkan undi awal. Amalan lama dalam pengurusan undi pos sebelum ini dibuat secara “bundle” iaitu jika mereka anggota tentera maka mereka dan keluarga mereka layak menjadi pengundi pos. Amalan lama ini harus dielakkan. Semakin kurang pengundi awal semakin mudah pengurusan SPR maka semakin adillah Perjalanan Pilihanraya di Malaysia.
9. Pengundian awal ini mempunyai risiko yang besar untuk berlakunya pengundian dua kali bagi seseorang pengundi. Tempoh masa yang lama contohnya dua hari membolehkan manipulasi berlaku. Pertisen pilihanraya sebelum ini pernah membuktikan pengunaan kad pengenalan orang lain untuk tujuan pengundian boleh dilakukan. Oleh itu jalan selamat untuk mengatasi masalah ini adalah pengunaan dakwat hitam yang pernah dicadangkan oleh SPR pada pilihanraya 2008 tetapi dibatalkan saat akhir.
Persoalannya adakah BN akan bersetuju dengan peraturan baru yang dicadangkan SPR jika peraturan ini benar-benar adil? Bukankah selama ini BN berlindung disebalik manipulasi undi pos ? Jika tidak mengapa calon-calon BN mempersiapkan dirinya di kubu masing-masing dengan kem tentera termasuk Parlimen Pekan ? Bolehlah BN bersedia untuk menghadapi kekalahan ? Pilihanraya yang adil adalah jerangkap maut kepada BN ? Mustahil BN akan bersetuju.
Itu SPR , sendiri mahu ingattttt……
Jom Ke Blog Baru Saya!
13 years ago
0 comments:
Post a Comment