Pilhanraya yang bersih dan adil merupakan antara teras penting kepada sistem demokrasi. Dalam konteks Malaysia, SPR sebagai sebuah badan pengendali Pilihanraya yang diwujudkan berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, bertanggungjawab untuk memastikan perjalanan sebarang pilihanraya yang diadakan benar-benar bersih, adil dan telus. Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada 11hb Oktober 2009 yang akan datang sekali lagi menjadi medan penting dalam melihat apakah parti-parti yang bertanding diberikan ‘A level playing field’ dalam persaingan untuk memikat hati pengundi.
Berdasarkan daftar pemilih terkini setakat 4hb September 2009, daripada sejumlah 13, 664 pemilih, 4,604 orang adalah pengundi pos. Berdasarkan jumlah ini, jelas menunjukkan bilangan pengundi pos yang cukup besar sudah tentu akan menjadi undi penentu di dalam pilihanraya kecil kali ini. Oleh yang demikian, Pemuda Pakatan Rakyat (PR) menuntut supaya SPR mengambil tindakan segera bagi memperbaiki beberapa aspek penting yang melibatkan pengundi pos dan juga mekanisme pengundian. Tuntutan-tuntutan kami adalah seperti berikut :
1) Memansuhkan Pengunaan Borang 2 Pengundi Pos
Pemuda PR berpendirian bahawa peraturan yang mewajibkan pengundi pos mengisi Borang 2 sebagaimana yang dikehendaki di dalam Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003 adalah satu pencabulan ke atas prinsip kerahsian undi (secrecy of voting) yang seharusnya menjadi amalan standard dalam sistem perjalanan pilihanraya di seluruh dunia. Ini adalah kerana Borang 2 tersebut, yang akan dikembalikan di dalam Sampul B kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya beserta dengan dengan kertas undi (yang telah diisi di dalam Sampul A), mewajibkan seseorang pengundi pos untuk mengisi nama penuh, nombor kad pengenalan dan juga nombor kertas undi. Apabila maklumat-maklumat tesebut diberikan, maka amatlah mudah untuk diketahui calon yang telah diundi oleh seorang pengundi pos.
Pemuda PR melihat tidak ada sebarang alasan yang munasabah kenapa Borang 2 ini diperlukan, apatah lagi dengan mewajibkan pengundi pos mendedahkan nombor kertas undi yang diberikan kepadanya. Jika alasannya adalah bagi memastikan identiti sebenar pengundi pos tersebut bagi mengelakkan ianya digunakan oleh pihak lain, kami berpendapat adalah memadai dengan hanya mewajibkan pengundi pos tersebut mengisi butir-butir peribadi beserta dengan tandatangan saksi tanpa perlu mendedahkan nombor kertas undi.
Mekanisme yang dilaksanakan semasa kertas undi dikeluarkan, yang mana agen-agen calon turut hadir, adalah memadai bagi memastikan nombor siri kertas undi yang dikembalikan di dalam Sampul A tersebut adalah sama dengan nombor siri kertas undi yang dikeluarkan. Kami melihat, secara halus peraturan ini sebenarnya boleh memberikan tekanan psikologi kepada pengundi-pengundi pos yang mana mereka akan merasa takut undi mengundi dengan bebas.
Selain dari itu, peraturan Borang 2 ini juga jelas bertentangan dengan Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang melarang mana-mana pegawai, kerani, jurubahasa atau agen untuk mendapatkan atau mendedahkan maklumat identiti pengundi dan juga nombor kertas undi yang diberikan kepada mana-mana pengundi. Tambahan pula, SPR sendiri pada tahun 2006 telah meminda Peraturan 19(3) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981 yang mana pindaan yang terbaru ini tidak lagi membenarkan nombor siri kertas undi dicatatkan pada kaunterfoil kertas undi bagi melindungi kerahsiaan undi.
Oleh yang demikian, Pemuda PR mendesak supaya keperluan Borang 2 tersebut dihapuskan dalam sebarang pilihanraya bermula dalam Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang. SPR tiada alasan untuk tidak membuat pindaan terhadap Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003 kerana ia berada dibawah bidang kuasanya.
2. Penetapan Tempat Mengundi Bagi Pengundi Pos
Terdapat dua kaedah pengundian pos yang dibuat oleh SPR iaitu pertamanya pengundi tidak hadir iaitu pengundi pos mengundi menggunakan kertas undi yang diposkan kepada mereka. Kemudian mereka kembalikan kertas undi tersebut melalui pos juga. Mereka tidak perlu ke kaunter yang ditetapkan. Keduanya pengundi pos yang hadir di tempat yang telah ditetapkan seperti kem-kem tentera atau balai polis untuk mengundi.
Bagi keadah pertama iaitu pengundi tidak hadir, terdapat ruang berlakunya penyelewengan semasa proses menghantar Sampul B. Ini kerana tiada kawalan dibuat oleh agen-agen calon berbanding keadah kedua yang lebih mantap dimana agen-agen calon boleh berada ditempat mengundi.
Pemuda PR mendesak SPR hendaklah menggunakan hanya satu sahaja mekanisma iaitu pengundi pos hendaklah menggundi ditempat yang berdekatan dengan mereka seperti pejabat kedutaan, pejabat daerah, kem tentera, balai polis dan lain-lain pejabat kerajaan. Pengundi-pengundi pos hendaklah dimaklumkan tempat mengundi mereka lebih awal.
3. Akses dan kempen kepada Pengundi Pos
Pemuda PR juga menuntut supaya parti-parti yang bertanding di dalam Pilihanraya diberikan ruang untuk berkempen dan menemui pengundi-pengundi pos terutamanya anggota tentera yang tinggal di kem-kem tentera. Apa yang menjadi masalahnya selama ini ialah parti-parti pembangkan langsung tidak diberikan ruang untuk berkempen kepada angota-anggota tentera, sedangkan Barisan Nasional menggunakan Kementerian Pertahanan untuk menemui dan menjalankan aktiviti di kalangan anggota tentera. Ini telah mengwujudkan suasana yang amat tidak adil kepada parti-parti pembangkang kerana tidak dapat menyampaikan maklumat kepada para pengundi tersebut.
Alasan yang selalu diberikan ialah soal kem tentera sebagai kawasan larangan atas sebab-sebab keselamatan. Jika inilah alasannya, maka Pemuda PR mencadangkan supaya SPR dengan kerjasama pihak berkuasa kem menyediakan ruang dan tempat kepada calon-calon yang bertanding untuk bertemu dengan para pengundi pada masa-masa yang ditetapkan dengan pengawasan yang minima. Adalah tidak munasabah apabila undang-undang pilihanraya memberikan tempoh berkempen kepada setiap calon, tetapi ianya tidak dibenarkan untuk dilaksanakan kepada para pengundi pos yang merupakan pengundi di dalam pilihanraya tersebut.
Jom Ke Blog Baru Saya!
13 years ago
0 comments:
Post a Comment