Saturday, September 19, 2009

Ziarah Warga Tua Kempas

Inilah mak cik yang keluar dalam Metro dimana anak beliau menipunya untuk terus tinggal di rumah orang-orang tua, Kempas. Menurut pegawai yang bertugas biasanya setiap ramadhan anak beliau akan mengambilnya pulang. Tetapi atas desakan menantunya maka anaknya bertindak meninggalkan mak cik ini di rumah orang tua Kempas.

Apabila mak cik ini mahu pulang maka anaknya telah menyuruhnya mengemas semua pakaian. Tiba-tiba anaknya cabut lari dengan kereta. Mak Cik ini telah mengejar kenderaan anaknya menuruni bukit sampai meraung untuk bersama anaknya.


Pemuda PR Mahu Proses Undi Pos Dirombak

Pemuda Pakatan Rakyat menghantar memorandum ke Suruhanjaya Pilihan Raya Malayasia (SPR) membantah penggunaan Borang 2, tempat mengundi dan kaedah berkempen untuk pengundi pos.Memorandum berkenaan mendesak SPR mengambil tindakan segera bagi memperbaiki beberapa aspek penting yang melibatkan pengundi pos dan juga mekanisme pengundian.Ketua Penerangan Pas Suhaizan Kaiat berkata peraturan mewajibkan pengundi pos mengisi Borang 2 merupakan satu pencabulan ke atas prinsip kerahsian undi.

“Pemuda PR melihat tiada sebarang alasan yang munasabah kenapa Borang 2 ini diperlukan, apatah lagi dengan mewajibkan pengundi pos mendedahkan nombor kertas undi yang diberikan kepadanya.“Peraturan Borang 2 ini juga jelas bertentangan dengan Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang melarang mana-mana pegawai, kerani, jurubahasa atau agen untuk mendapatkan atau mendedahkan maklumat identiti pengundi dan juga nombor kertas undi yang diberikan kepada mana-mana pengundi,” katanya.Menurutnya Pemuda PR juga mendesak SPR menetapkan tempat mengundi bagi pengundi Pos.

Suhaizan berkata kaedah pengundi pos mengundi menggunakan kertas undi yang diposkan kepada mereka membuka ruang berlakunya penyelewengan semasa proses menghantar Sampul B.“Pemuda PR mendesak SPR hendaklah menggunakan hanya satu sahaja mekanisme iaitu pengundi pos hendaklah mengundi di tempat yang berdekatan dengan mereka seperti pejabat kedutaan, pejabat daerah, kem tentera, balai polis dan lain-lain pejabat kerajaan,” katanya.Memorandum bantahan berkenaan juga menuntut SPR memberi ruang kepada semua parti bertanding pada Pilihanraya untuk berkempen dan menemui pengundi pos terutamanya di kem-kem tentera.

“Apa yang menjadi masalahnya selama ini ialah parti-parti pembangkang langsung tidak diberikan ruang untuk berkempen kepada anggota-anggota tentera, sedangkan Barisan Nasional menggunakan Kementeri Pertahanan untuk menemui dan menjalankan aktiviti di kalangan anggota tentera.“Ini telah mewujudkan suasana yang amat tidak adil kepada parti-parti pembangkang kerana tidak dapat menyampaikan maklumat kepada para pengundi tersebut,” katanya.Sekiranya isu keselamatan menjadi alasan untuk tidak membenarkan akses tersebut, Pemuda PR mencadangkan supaya SPR dan pihak berkuasa kem membantu menyediakan ruang kepada calon-calon untuk bertemu mereka.

“Adalah tidak munasabah apabila undang-undang pilihanraya memberikan tempoh berkempen kepada setiap calon, tetapi ianya tidak dibenarkan untuk dilaksanakan kepada para pengundi pos yang merupakan pengundi dalam pilihanraya tersebut,” katanya.Sementara itu, semalam Pemuda PR telah mengadakan mesyuarat dan sebulat suara memutuskan menyerah memorandum bantahan berkenaan sebagai desakan kepada SPR.Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Pemuda turut mengemukakan beberapa cadangan kepada SPR dalam usaha memastikan pilihanraya berjalan dengan telus.“Di mana kita tegaskan keprihatinan dan masalah yang terpaksa kita hadadapi adalah tentang pengundi pos.

Di mana esok (hari ini) sebagai susulan daripada desakan Pemuda PR supaya terdapat satu ketelusan dalam mengendalikan undi pos ini kita akan kemukakan cadangan secara terperinci kepada SPR,” katanya.Mengulas mengenai Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Shamsul berkata Pemuda PR turut tidak menolak kemungkinan berlakunya budaya gengsterisme di kalangan penyokong Umno Barisan Nasional.“Ya kita bincang tentang Yang Berhormah Anthony bangkitkan dalam perbincangan tadi. Budaya gengsterisme di kalangan penyokong Umno dan BN. Ini perkara serius yang mereka bangkitkan apatah lagi di kawasan panas seperti Bagan Pinang ini. “Walaupun majoriti di kawasan itu 2,300 memihak kepada BN tetapi undi yang perlu kita dapat untuk memenangi kawasan itu tidaklah begitu tinggi. Sebab itu ini membuka ruang untuk menang kawasan ini,” katanya.

Wednesday, September 16, 2009

MEMORANDUM MEMBANTAH PENGUNAAN BORANG 2, TEMPAT MENGUNDI DAN KEADAH BERKEMPEN UNTUK PENGUNDI POS

Pilhanraya yang bersih dan adil merupakan antara teras penting kepada sistem demokrasi. Dalam konteks Malaysia, SPR sebagai sebuah badan pengendali Pilihanraya yang diwujudkan berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, bertanggungjawab untuk memastikan perjalanan sebarang pilihanraya yang diadakan benar-benar bersih, adil dan telus. Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada 11hb Oktober 2009 yang akan datang sekali lagi menjadi medan penting dalam melihat apakah parti-parti yang bertanding diberikan ‘A level playing field’ dalam persaingan untuk memikat hati pengundi.

Berdasarkan daftar pemilih terkini setakat 4hb September 2009, daripada sejumlah 13, 664 pemilih, 4,604 orang adalah pengundi pos. Berdasarkan jumlah ini, jelas menunjukkan bilangan pengundi pos yang cukup besar sudah tentu akan menjadi undi penentu di dalam pilihanraya kecil kali ini. Oleh yang demikian, Pemuda Pakatan Rakyat (PR) menuntut supaya SPR mengambil tindakan segera bagi memperbaiki beberapa aspek penting yang melibatkan pengundi pos dan juga mekanisme pengundian. Tuntutan-tuntutan kami adalah seperti berikut :


1) Memansuhkan Pengunaan Borang 2 Pengundi Pos

Pemuda PR berpendirian bahawa peraturan yang mewajibkan pengundi pos mengisi Borang 2 sebagaimana yang dikehendaki di dalam Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003 adalah satu pencabulan ke atas prinsip kerahsian undi (secrecy of voting) yang seharusnya menjadi amalan standard dalam sistem perjalanan pilihanraya di seluruh dunia. Ini adalah kerana Borang 2 tersebut, yang akan dikembalikan di dalam Sampul B kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya beserta dengan dengan kertas undi (yang telah diisi di dalam Sampul A), mewajibkan seseorang pengundi pos untuk mengisi nama penuh, nombor kad pengenalan dan juga nombor kertas undi. Apabila maklumat-maklumat tesebut diberikan, maka amatlah mudah untuk diketahui calon yang telah diundi oleh seorang pengundi pos.

Pemuda PR melihat tidak ada sebarang alasan yang munasabah kenapa Borang 2 ini diperlukan, apatah lagi dengan mewajibkan pengundi pos mendedahkan nombor kertas undi yang diberikan kepadanya. Jika alasannya adalah bagi memastikan identiti sebenar pengundi pos tersebut bagi mengelakkan ianya digunakan oleh pihak lain, kami berpendapat adalah memadai dengan hanya mewajibkan pengundi pos tersebut mengisi butir-butir peribadi beserta dengan tandatangan saksi tanpa perlu mendedahkan nombor kertas undi.

Mekanisme yang dilaksanakan semasa kertas undi dikeluarkan, yang mana agen-agen calon turut hadir, adalah memadai bagi memastikan nombor siri kertas undi yang dikembalikan di dalam Sampul A tersebut adalah sama dengan nombor siri kertas undi yang dikeluarkan. Kami melihat, secara halus peraturan ini sebenarnya boleh memberikan tekanan psikologi kepada pengundi-pengundi pos yang mana mereka akan merasa takut undi mengundi dengan bebas.

Selain dari itu, peraturan Borang 2 ini juga jelas bertentangan dengan Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang melarang mana-mana pegawai, kerani, jurubahasa atau agen untuk mendapatkan atau mendedahkan maklumat identiti pengundi dan juga nombor kertas undi yang diberikan kepada mana-mana pengundi. Tambahan pula, SPR sendiri pada tahun 2006 telah meminda Peraturan 19(3) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981 yang mana pindaan yang terbaru ini tidak lagi membenarkan nombor siri kertas undi dicatatkan pada kaunterfoil kertas undi bagi melindungi kerahsiaan undi.

Oleh yang demikian, Pemuda PR mendesak supaya keperluan Borang 2 tersebut dihapuskan dalam sebarang pilihanraya bermula dalam Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang. SPR tiada alasan untuk tidak membuat pindaan terhadap Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003 kerana ia berada dibawah bidang kuasanya.


2. Penetapan Tempat Mengundi Bagi Pengundi Pos

Terdapat dua kaedah pengundian pos yang dibuat oleh SPR iaitu pertamanya pengundi tidak hadir iaitu pengundi pos mengundi menggunakan kertas undi yang diposkan kepada mereka. Kemudian mereka kembalikan kertas undi tersebut melalui pos juga. Mereka tidak perlu ke kaunter yang ditetapkan. Keduanya pengundi pos yang hadir di tempat yang telah ditetapkan seperti kem-kem tentera atau balai polis untuk mengundi.

Bagi keadah pertama iaitu pengundi tidak hadir, terdapat ruang berlakunya penyelewengan semasa proses menghantar Sampul B. Ini kerana tiada kawalan dibuat oleh agen-agen calon berbanding keadah kedua yang lebih mantap dimana agen-agen calon boleh berada ditempat mengundi.

Pemuda PR mendesak SPR hendaklah menggunakan hanya satu sahaja mekanisma iaitu pengundi pos hendaklah menggundi ditempat yang berdekatan dengan mereka seperti pejabat kedutaan, pejabat daerah, kem tentera, balai polis dan lain-lain pejabat kerajaan. Pengundi-pengundi pos hendaklah dimaklumkan tempat mengundi mereka lebih awal.

3. Akses dan kempen kepada Pengundi Pos

Pemuda PR juga menuntut supaya parti-parti yang bertanding di dalam Pilihanraya diberikan ruang untuk berkempen dan menemui pengundi-pengundi pos terutamanya anggota tentera yang tinggal di kem-kem tentera. Apa yang menjadi masalahnya selama ini ialah parti-parti pembangkan langsung tidak diberikan ruang untuk berkempen kepada angota-anggota tentera, sedangkan Barisan Nasional menggunakan Kementerian Pertahanan untuk menemui dan menjalankan aktiviti di kalangan anggota tentera. Ini telah mengwujudkan suasana yang amat tidak adil kepada parti-parti pembangkang kerana tidak dapat menyampaikan maklumat kepada para pengundi tersebut.

Alasan yang selalu diberikan ialah soal kem tentera sebagai kawasan larangan atas sebab-sebab keselamatan. Jika inilah alasannya, maka Pemuda PR mencadangkan supaya SPR dengan kerjasama pihak berkuasa kem menyediakan ruang dan tempat kepada calon-calon yang bertanding untuk bertemu dengan para pengundi pada masa-masa yang ditetapkan dengan pengawasan yang minima. Adalah tidak munasabah apabila undang-undang pilihanraya memberikan tempoh berkempen kepada setiap calon, tetapi ianya tidak dibenarkan untuk dilaksanakan kepada para pengundi pos yang merupakan pengundi di dalam pilihanraya tersebut.

Monday, September 7, 2009

Laporan Hutan Simpanan Johor Ke SPRM

PEMUDA PAKATAN RAKYAT
NEGERI JOHOR

Tarikh : Isnin 7 September 2009

Terdapat dua isu yang mahu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Cawangan Negeri Johor iaitu :

A. Isu Pertama :

37,000 hektar Hutan Simpanan Kekal Terosot Negeri Johor telah diluluskan untuk tujuan Program Ladang Hutan Getah atau Latex Timber Clone (LTC) pada September 2007. Jangkaan nilai Kayu balak ini adalah RM 3 hingga 5 billion. Projek ini telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 10,010.25 hektar Hutan Simpanan Kekal Terosot, diperuntukkan kepada 6 buah syarikat swasta seperti dibawah :

1. Serece Track Sdn. Bhd. - 1,296.09 hektar
2. Makmurplus Industry Sdb Bhd - 1,304.00 hektar
3. Groplus Industries Sdn. Bhd - 1,738.16 hektar
4. Jasa Wibawa Sdn. Bhd - 1,624.00 hektar
5. Setindan Sdn. Bhd - 2,024.00 hektar
6. Hamid Sawmill Sdn. Bhd - 2,024.00 hektar


Baki 27,871.31 hektar diperuntukkan kepada 3 buah Badan Berkanun seperti dibawah :

1. Perbadanan Islam Johor. - 12,340.75 hektar
2. Yayasan Pelajaran Johor - 6,316.87 hektar
3. Perbadanan Johor Bioteknologi & Biodiversiti - 9,213.68 hektar


Kawasan Hutan Simpanan Kekal Terosot terbabit adalah merupakan Hutan Sambungan atau “Central Forest Spine” (CFS) , di mana binatang-binatang liar merentasi kawasan ini dalam perjalanan berimigrasi ke Utara waktu musim monsun. CFS diklasifikasikan sebagai Hutan Simpanan Kekal yang mesti dikekalkan dalam Rancangan Fizikal Nasional (2005). Program LTC adalah melibatkan Hutan Simpanan Kekal Endau-Kahang dan Sungai Mas di Hutan Simpanan Endau-Kota Tinggi.
Hutan Simpanan Labis diwartakan pada tahun 1929. Hutan Perlindungan Hidupan Liar Segamat, Hutan Perlindungan Hidupan Liar Endau-Kluang dan Hutan Perlindungan Hidupan Liar Endau-Kota Tinggi diwartakan pada tahun 1933 untuk tujuan memperlindungi habitat hidupan liar di bawah Seksyen 6(i)(b) Enakmen Perlindungan Mergastua dan Burung 1923.

Walaupun Enakmen-enakmen negeri tentang Hutan Perlindungan Hidupan Liar telah digantikan dengan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76), sebarang Hutan Simpanan Perlindungan Hidupan Liar diwartakan sebelum wujudnya Akta tersebut adalah masih berkuat kuasa di bawah peruntukan Seksyen 2(2) kecuali enakmen terbabit dimansuhkan secara sahih.

Seksyen 10 (3) Akta Perhutanan Negara menghendaki Pengarah Jabatan Perhutanan, dengan kelulusan Kerajaan Negeri, melalui pemberitahuan dalam Warta, menukar pengelasan hutan simpanan kekal dan hutan perlindungan hidupan liar kepada tujuan lain. Selain itu, Seksyen 12 Akta tersebut juga menghendaki Kerajaan Negeri mengambil kira keperluan pemuliharaan tanah dan air, kepelbagaian hayat, kesan kepada alam sekitar serta dapat menggantikan suatu kawasan tanah yang lebih kurang sama luasnya sebagai suatu hutan simpanan kekal.
Ekoran pembalakan besar-besaran sedemikian banjir besar-besaran musim tengkujuh akan mendatangkan pemusnahan 50 perkampungan Orang Asli dan Kampung Tradisi Melayu di sepanjang Sungai Mas di Hutan Simpanan Endau-Kluang dan Endau-Kota Tinggi. Di samping itu, kekurangan bekalan air seperti berlaku pada pertengahan tahun 2005 akan berlaku semula sebab hutan simpanan terbabit adalah juga kawasan tadahan air dan asal sungai-sungai di seluruh Nageri Johor.

Masalah alam sekitar termasuk banjir lumpur dan permasalahan binatang-binatang liar termasuk gajah-gajah akan kehilangan habitat semulajadi mereka dan terpaksa merayau-rayau di ladang-ladang serta memusnahkan tanaman tani di persekitaran Sungai Mas di Hutan Simpanan Kekal tersosot di sepanjang persempadanan Hutan Simpanan Mersing, Labis, Kluang dan Kota Tinggi.

Pemuda Pakatan Rakyat beranggapan baawa terdapatnya kecuaian dalam pelaksanaan Projek LTC Negeri Johor seperti berikut :

1. Tiadanya laporan DEIA (Detailed Environmental Impact Assessment). Sedangkan sebarang penebangan hutan lebih daripada 500 hektar perlu mendapat laporan berkenaan. Oleh itu pembalakan melibatkan beribu-ribu hektar di bawah Perjek LTC telah dilakukan tanpa DEIA. Ia juga telah melanggar piawaian yang ditentukan oleh Majlis Pensijilan Kayu Malaysia.

2.Tiadanya perbincangan dengan jabatan dan badan berkaitan untuk melaksanakan projek LTC. Jabatan dan badan berkiatan adalah seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Perhilitan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, UPEN(Unit Perancangan Ekonomi Negeri), Penasihat Undang-undang Negeri dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan seperti Malaysian Nature Society dan Majlis Peguam.

3. Terdapat kawasan projek LTC yang ditanam dengan kelapa sawit bukannya pokok getah. Amalan ini adalah bercanggah projek yang sebenar.


B. Isu Kedua:

Dalam soalan bertulis bernombor B 26 semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada bulan November 2009, Y.B Dr. Boo Cheng Hau ADUN Skudai telah mengutarakan soalan berkaitan Penanaman Pokok Getah dan Akasia. Berikut adalah jawapan yang telah diberikan:

d. .... Kelulusan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri ke atas Projek Ladang Hutan Getah ini adalah seperti berikut :


1. Serece Track Sdn. Bhd. - 1,296.09 hektar
2. Makmurplus Industry Sdb Bhd - 1,304.00 hektar
3. Groplus Industries Sdn. Bhd - 1,738.16 hektar
4. Jasa Wibawa Sdn. Bhd - 1,624.00 hektar
5. Setindan Sdn. Bhd - 2,024.00 hektar
6. Hamid Sawmill Sdn. Bhd - 2,024.00 hektar

Dalam soalan bertulis bernombor B 163 semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada bulan November 2009, Y.B Dr. Boo Cheng Hau ADUN Skudai telah mengutarakan soalan berkaitan Konsesi Pembalakan. Dalam jawapan yang telah diberikan telah dinyatakan seperti berikut :

Konsesi pembalakan yang telah dikurniakan di antara tahun 2000 hingga 2008 di Seluruh Negeri Johor ialah sebanyak 8 syarikat iaitu :
i. Syarikat kilang papan Hamid Sawmill Sdn. Bhd
........

Berdasarkan kepada dua jawapan sidang Dewan Undangan Negeri Johor ini maka telah didapati Syarikat kilang papan Hamid Sawmill Sdn Bhd telah dikurniakan konsesi balak di antara tahun 2000 hingga 2008. Pemilik syarikat ini adalah seperti berikut :

1. Suhailah Binti Abd Malek, Datin (540915-01-5794)
2. Abdul Hamid Bin Abdul Rahman, Datuk (530720-02-5731)


Y.B Abdul Hamid Bin Abdul Rahman adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap telah dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Johor sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Raya Negeri Johor, pada tahun 2008. Malangnya semasa perlantikan itu ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Johor tidak dimaklumkan berkaitan penglibatannya secara terus dalam projek LTC.

Salah satu tugas yang telah diberikan kepada Jawatankuasa Kira-kira Raya Negeri Johor adalah untuk menyiasat kecuaian Kerajaan Negeri Johor berhubung dengan projek LTC.


C. Tindakan SPRM :

Oleh itu, Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia(SPRM) seharusnya menyiasat perkara-perkara berikut :

1. Adakah kawasan pemusnahan hutan-hutan simpanan terbabit dalam projek LTC telah dikeluarkan daripada pewartaan Hutan Simpanan Johor?
2. Adakah projek LTC dilaksanakan secara halal menurut Undang-undang Persekutuan dan Enakmen Negeri?
3. Adakah telah disediakan Hutan Simpanan gantian kepada projak LTC?
4. Apakah sistem ekologi tidak terjejas selepas penebangan hutan simpanan?
5. Adakah kecuaian berlaku dipihak Kerajaan Negeri Johor semasa perlaksanaan projek LTC?
6. Adalah perlantikan Y.B Abdul Hamid Bin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Raya Negeri Johor tidak bertentangan dengan tugas Jawatankuasa ini yang bertujuan sebagai check & balance Kerajaan Negeri Johor.


Yang Benar;




__________________________________

Nama : SDR KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL.
Jawatan : Ketua Pemuda PAS Johor.
No K/P : 730111-01-6625



__________________________________

Nama : SDR ZABIDIE BIN ABAS.
Jawatan : Ketua Angkatan Muda PKR Johor
No K/P : 680220-01-6293
__________________________________

Nama : SDR TAN HONG PIN
Jawatan : Setiausaha Pemuda DAP, Johor
No K/P : 810320-01-5645