Tuesday, October 13, 2009

Undi pos: Pas tak tahu menari, salahkan lantai

SEREMBAN 12 Okt. - Pemimpin Pas yang terus memainkan isu undi pos dan tidak mengakui kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang diibaratkan seperti orang 'tak tahu menari, dikatakan lantai jongkang-jongket.'

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peribahasa Melayu itu bermaksud 'tidak mahu mengakui kebodohan atau kelemahan sendiri' itu sesuai dikaitkan dengan mereka yang masih menyalahkan undi pos sebagai punca kekalahan mereka.
Tegasnya, undi pos adalah hak anggota tentera dan polis serta ahli keluarga mereka, oleh itu para pemimpin parti pembangkang tidak patut mempertikaikan perkara tersebut.

Sambil menghargai sokongan padu pengundi pos, jelasnya, kemenangan BN di Bagan Pinang kali ini bukan semata-mata kerana undi pos seperti didakwa Pas sebaliknya BN juga menang di semua saluran mengundi melibatkan pengundi biasa.

''Janganlah (Pas) salah menuding jari. Pada pilihan raya kecil 2000, (Parlimen Teluk Kemang), calon BN, S. Sothinathan lawan Ruslan Kassim, ketika itu mereka (pembangkang) menang undi pos.

''Jadi, kalau (Pas) tidak pandai menari, jangan salahkan lantai tinggi rendah," katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menerima cek RM300,000 daripada Pengerusi Felda Tan Sri Dr. Yusof Noor hasil dari 110 lot tanah kerajaan negeri yang dimajukan agensi itu di sini hari ini.

Menteri Besar mengulas kenyataan para pemimpin Pas dan pembangkang menyalahkan sistem undi pos selepas BN menang besar dengan majoriti 5,435 undi dalam Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang semalam.

Bagi saluran undi pos, BN memperoleh 3,521 undi manakala Pas mendapat 601 undi. Tanpa undi pos, BN masih menang dengan majoriti besar 2,515 undi iaitu BN memperoleh 4,492 undi daripada pengundi biasa berbanding 1,977 undi diperoleh Pas.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sebelum ini BN telah kalah dalam beberapa pilihan raya kecil tetapi parti itu menerima kenyataan dan tidak menyalahkan sesiapa.
''Sekarang mereka (pembangkang) salahkan orang lain, SPR salah, polis salah. Dulu sebelum pilihan raya 2008, SPR tak betul, SPR rasuah, tapi bila menang lima negeri, SPR dengan orang yang sama, pegawai sama, sistem sama, mereka tidak pula salahkan SPR,'' katanya.
Mengenai undi besar diraih besar Mohd. Isa, beliau berkata, ia membuktikan rakyat yakin dengan parti dan gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Pada masa sama ia membuktikan Perdana Menteri dalam masa singkat berjaya menyakinkan rakyat dengan gagasan dan dasar-dasar barunya.
''Dasar 1Malaysia sudah menjadi buah mulut orang apatah lagi dengan slogannya, Pencapaian Diutamakan, Rakyat Didahulukan ini, rakyat sudah mula nampak kesannya lalu memberi sokongan," kata beliau.

Mohamad menambah, rakyat membuat pilihan tepat kerana memilih calon BN seterusnya mengekalkan kerusi parti di kawasan DUN itu.
''Alhamdulillah, terima kasih kepada pengundi Bagan Pinang. BN akan memastikan kerja-kerja membangunkan kawasan itu termasuk program mensejahterakan rakyat akan diteruskan sebaik mungkin.

''Ini sebagai membalas sokongan dan penghormatan rakyat kepada BN," katanya.

1 comments:

shay1803 said...

Salam, kalau SPR dan agensi kerajaan telus, PR bukan sahaja dapat menawan 5 buah negeri, malah sudahpun dapat menguasai Putrajaya sekarang ini. Jangan katakan PR diam bila dapat menawan 5 buah negeri, tetapi kita yakin masih ada penipuan dalam PRU. Cuma sekarang ini PR tidak senaif dan sedangkal dahulu