Wednesday, July 8, 2009

Perlaksanaan PPSMI 2003-2009. Apakah Yang Telah Terkorban ?

(Nota : Mungkin semasa tuan sedang membaca artikel ini Timbalan Perdana Menteri sedang atau telah mengumumkan keputusan kabinet berhubung dengan dasar PPSMI yang dijangka akan dibuat pada hari rabu 8.7.09)


Dasar perlaksanaan PPSMI telah dilaksanakan pada tahun 2003 atas kehendak peribadi Tun Dr. Mahathir Bin Muhammad, Perdana Menteri Malaysia pada masa tersebut. Tanpa kajian mendalam dan tanpa halatuju yang jelas menteri kabinet terpaksa anguk terhadap kemahuan PM yang mahukan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Walaupun mendapat tentangan yang hebat daripada pelbagai golongan khususnya mereka yang arif berkenaan pendidikan, dasar ini tetap dilaksanakan dalam tempoh masa yang cukup panjang bermula 2003 hingga 2009. Begitulah gambaran betapa lemahnya pemimpin negara ini dalam membuat keputusan yang besar terhadap rakyat jelata. Prof Diraja Ungku Aziz menyatakan bahawa dasar PPSMI adalah suatu dasar yang ’gila’. Dasar yang gila sudah tentu cadangkan oleh orang yang ’gila’ dan disokong oleh orang yang ’gila’. Boleh disimpulkan bahawa Perdana Menteri dan menteri kabinet yang membuat membuat keputusan pada masa itu adalah ’gila’.

Pada 7hb Mac 2009, mencatatkan suatu sejarah penting negara dimana Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang didokong oleh NGO, pejuang bahasa, parti politik pembangkang, pelajar universiti dan rakyat Malaysia telah turun beramai-ramai membantah perlaksanaan PPSMI bermula dari Masjid Negara ke Istana Negara. Gerakan ini dipimpin oleh Dato’ Dr. Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Himpunan ini dikenali sebagai Himpunan 100ribu Mansuhkan PPSMI. Himpunan ini merupakan kemuncak kepada bantahan-bantahan rakyat sebelum ini. Persoalannya apakah yang telah terkorban akibat daripada dasar yang ’gila’ ini.

Pertamanya tujuh genarasi pelajar sekolah telah menerima risiko dasar yang salah. Mengikut kajian Prof. Emeritus Dato’ Isahak Haron terhadap pelajar tingkatan dua yang mempelajari sains dan matematik dalam bahasa inggeris, terdapat 87% pelajar menghadapi kesukaran mempelajari sains dan 84% pelajar menghadapi kesukaran dalam subjek matematik. Kajian ini bolehlah disimpulkan bahawa terdapat lebih 50% pelajar gagal memahami konsep asas dalam sains dan matematik. Umur mereka semakn meningkat. Mereka tidak boleh kembali kedarjah satu untuk mempelajari asas sains dan matematik. Mereka bakal mengadapi kesukaran semasa di universiti. Golongan ini bakal tercicir.Kemanakah halatuju mereka. Siapakah yang harus dipersalahkan?

Keduanya, setakat ini tidak ada pihak yang berani mengemukakan bukti berapakah budget Kementerian Pelajaran yang telah digunakan untuk melaksanakan dasar PPSMI. Mengikut maklumat Dato’ A. Samad Said atau Pak Samad semasa perjumpaannya dengan Menteri Pelajaran Dato’ Hishamuddin Tun Hussin, budget untuk pelaksanaan dasar PPSMI berjumlah RM5.4 Bilion. Sehingga kini katanya budget ini telah digunakan sebanyak RM3.5 bilion. Berbaki RM1.9 bilion yang belum sempat dihabiskan. Dato’ Hishamuddin berkali-kali menyatakan kebimbangan terhadap pembaziran budget besar ini jika dasar PPSMI dimansuhkan. Beliau tidak risau berhubung dengan puluhan ribu generasi yang terkorban diluar pejabatnya akibat dasar yang ’gila’ itu. Mengikut sumber-sumber yang tidak rasmi pula menyatakan peruntukkan sebanyak RM12 bilion telah digunakan untuk dasar ini. Secara ringkasnya bukan sedikit duit rakyat telah dibazirkan untuk melaksanakan dasar yang ’gila’ ini.

Ketiganya, tumpuan guru-guru terhadap matepalajaran khususnya dalam sains dan matematik telah terganggu semenjak 7 tahun yang lalu. Masa yang berharga bersama pelajar dan keluarga telah digunakan untuk mengadiri kursus, seminar, bengkel dan lain-lain lagi. Terdapat juga guru-guru yang gagal mengajar dalam bahasa Inggeris telah menjadi cercaan pelajar, ibubapa dan rakan-rakan yang lebih memuliakan bahasa penjajah ini. Inilah suatu ganguan emosi ekoran pelaksanaan dasar ’gila’ ini.

Keempatnya, dasar ini telah menyebabkan kualiti pelajar merosot. Walaupun bekas Menteri Pelajaran menyatakan dasar PPSMI tidak menganggu prestasi pelajar tetapi apakah mustahil jika peratusan lulus subjek ini diturunkan. Contohnya markah lulus biasa adalah 40%. Bagi mempastikan ramai pelajar lulus maka markah lulus subjek tersebut diturunkan ke 15%. Kalau Dato’ Hishamuddin pernah terlibat dalam meluluskan dasar yang ’gila’ mengapa tidak dia menjadi ’gila’ menurunkan markah lulus ini. Secara tidak langsung dasar PPSMI ini sebenarnya telah menganggu sistem kualiti pemarkahan subjek dalam peperiksaan dinegara kita.

Kelimanya, ibubapa yang risau dengan perkembangan anak-anak mereka telah melakukan pelbagai inisiatif untuk memberi kefahaman terhadap asas sains dan matematik. Mereka terpaksa membeli banyak buku, menghantar anak ke tuisyen dan lain-lain lagi. Bukanah semua ini tidak penting. Tetapi budget ini mungkin bleh digunakan untuk keperluan yang lebih utama. Mereka terpaksa melakukan semua ini akibat dasar yang ’gila’ ini.

Keenamnya, penguasaan Bahasa Malaysia dikalangan palajar berbangsa Cina dan India merosot akibat kurangnya penggunaanya di sekolah. Maklumlah hanya subjek Bahasa Malaysia sahaja yang pasti menggunakan Bahasa Malaysia. Sekolah terpaksa mengagong-agongkan bahasa inggeris. Bayangkan bukan sahaja sekolah ada sebuah fakulti di sebuah universiti yang mahu mengajar sastera Melayu dalam Bahasa Inggeris. Ada juga cadangan juga dibuat agar perbahasan di Dewan Rakyat dibuat dalam inggeris. Itulah tahap ’gila’nya manusia terhadap bahasa inggeris. Akhirnya bahasa malaysia yang sepatutnya menjadi bahasa perpaduan telah tenggelam selama 7 tahun dalam arus deras kegilaan ini.

Kesimpulannya banyak telah terkorban akibat salah dasar yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN). Mereka yang terkorban patut menuntut bela atas kesalahan yang telah dilakukan oleh kerajaan. Cara yang paling mudah tanpa kos yang besar adalah tumbangkan kerajaan BN dalam pilihanraya akan datang. Itulah ubat yang paling mujarab bagai mengubat penyakit yang sedang dan telah dihadapi.


Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat

0 comments: