Monday, March 21, 2011

Pertemuan Peminjam-peminjam PTPTN

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Pusat

21 hb Mac 2011

Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan Program Pertemuan Peminjam-Peminjam PTPTN pada hari Ahad 27hb Mac 2011 jam 3 petang di Auditorium Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS), Bandar Sri Putra, Kajang, Selangor. Pimpinan PAS dan ahli parlimen Pakatan Rakyat(PR) akan turut sama mendengar rintihan mereka. Pandangan mereka akan dirumuskan selepas perjumpaan tersebut.

Matlamat program ini adalah bagi mendengar sendiri rintihan daripada peminjam-peminjam PTPTN(Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional) yang sedang menghadapi tekanan bayaran balik. Tardapat rungutan yang sangat ketara terhadap sistem pengurusan PTPTN yang tidak sistematik. Ada kalangan peminjam yang telah membuat bayaran tetapi tidak dinyatakan dalam penyata. Seolah-olah mereka tidak membuat sebarang bayaran. Terdapat peminjam yang membuat bayaran tetapi nama mereka masih disenarai hitamkan. Menariknya mereka yang tidak langsung membuat bayaran tidak pula disenarai hitamkan. Terdapat tawaran Ujrah iaitu penurunan caj perkhidmatan daripada 4% kepada 1 %. Malangnya peminjam memberi komen tawaran Ujrah hanyalah helah PTPTN untuk mendapatkan maklumat terkini mereka sahaja. Peminjam yang telah disenarai hitamkan oleh PTPTN tidak layak mendapat tawaran Ujrah. Komen-komen daripada peminjam ini membuktikan bahawa PTPTN sedang menghadapi masalah pengurusannya. Pertemuan yang akan diadakan ini juga bertujuan bagi membentuk satu jawatankuasa bertindak mengatasi masalah yang mereka sedang hadapi.

PTPTN telah membelanjakan sebanyak RM 37 bilion sejak 13 tahun yang lalu. PTPTN telah mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 4% dan sedang berusaha untuk membuat pindaan terhadap akta PTPTN yang bertujuan untuk mengetatkan lagi kawalan pembayaran balik pinjaman. Tindakan ini sudah semestinya akan memberikan lebih tekanan kepada peminjam. Jumlah peminjam adalah seramai 1.7 juta orang. Terdapat 191,262 orang peminjam yang tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman. Mereka dalam keadaan tertekan kerana mereka tidak mampu membuat bayaran. Faktor utama adalah kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan kos hidup yang meningkat setiap tahun khususnya di bandar. Diharap peminjam-peminjam PTPTN dapat hadir dalam pertemuan ini, seterusnya jawatankuasa yang bakal dibentuk dapat menyediakan plan cadangan kepada pihak kerajaan bagi mengatasi masalah yang sedang mereka hadapi. Semua peminjam PTPTN seluruh negara di jemput hadir.

SUHAIZAN BIN KAYAT

KETUA PENERANGAN

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Friday, February 25, 2011

Kenyataan Media : Cadangan Penubuhan Gerakan Peminjam-Peminjam PTPTN-MARA (GPP)

Pemuda PAS Pusat akan mengadakan pertemuan dengan peminjam-peminjam PTPTN dan MARA pada hari esok sabtu 26hb Februari 2011 jam 2 petang di Dewan Semantan Perdana, Hotel Sri Malaysia, Temerloh, Pahang. Berdasarkan kepada maklumbalas yang sangat positif setakat ini daripada peminjam, keluarga dan mereka yang bersimpati dengan peminjam PTPTN dan MARA maka Dewan Pemuda PAS Pusat mahu mencadangkan dalam pertemuan esok , penubuhan suatu gerakan rakyat yang dinamakan Gerakan Peminjam-Peminjam PTPTN –MARA (GPP). Gerakan ini akan dianggotai oleh para peminjam PTPTN, peminjam pendidikan MARA, peminjam pelajaran lain-lain agensi, NGO, parti-parti politik dan Individu yang bersimpati.

Matlamat penubuhan GPP adalah :

1. 1. Mengumpul maklumbalas seluruh negara daripada peminjam terhadap kesulitan yang mereka hadapi.

2. 2. Mengumpulkan tenaga pakar dalam bidang pinjaman pendidikan di Malaysia.

3. 3. Mengadakan persidangan meja bulat bagi merumuskan keadah penyelesaian yang bersesuaian.

4. 4. Mendesak kerajaan memberi perhatian kepada rumusan yang telah dibuat dalam Persidangan Meja Bulat

5. 5. Membuat tindakan susulan dengan pihak kerajaan.

Dewan Pemuda PAS Pusat mempunyai sedikit pengalaman menguruskan desakan rakyat sebelum ini dalam Gerakan Pemansuhan PPSMI(GMP) dan Gerakan Pemansuhan Judi Bola(GMJ). Kedua-dua gerakan rakyat ini telah membuahkan hasil yang manis kepada rakyat. Pihak kerajaan telah mendengar rintihan rakyat dan akhirnya PPSMI dan judi bola telah dimansuhkan. Dewan Pemuda PAS Pusat sangat optimis bahawa GPP akan dapat merumuskan jalan keluar terbaik yang sedang dihadapi oleh para peminjam pelajaran sekarang.

Antara keadah penyelesaian yang akan dicadangkan dalam pertemuan esok adalah mewujudkan sistem galakan kepada peminjam yang cemerlang dalam pelajaran. Contohnya pinjaman PTPTN atau MARA akan di tukar kepada biasiswa bagi mereka yang cemerlang. Cadangan kedua adalah kerajaan tidak seharusnya membebankan peminjam dengan caj perkhdimatan. Caj perkhidmatan harus di hapuskan. Ketiganya adalah memberi subsidi kepada peminjam daripada keluarga yang miskin. Cadangan-cadangan lain akan dikumpulan dan dirumuskan oleh mereka yang pakar dalam bidang ini. Peminjam-peminjam PTPTN dan MARA serta keluarga harus memberi sokongan terhadap gerakan ini dengan hadir dalam pertemuan esok. Jumpa di sana.

SUHAIZAN BIN KAYAT

KETUA PENERANGAN

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Wednesday, February 23, 2011

Pertemuan Peminjam PTPTN & MARA




Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Pusat

23 hb Februari 2011

Pemuda PAS Pusat amat perihatin dengan nasib 1.7 juta peminjam PTPTN(Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional) yang mengalamai masalah pembayaran balik pinjaman mereka akibat daripada masalah kemelesetan ekonomi negara. Terdapat 191,262 orang peminjam yang tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman. Mereka dalam keadaan tertekan kerana mereka tidak mampu membuat bayaran. Faktor utama adalah kerana tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan kos hidup yang meningkat setiap tahun khususnya di bandar.

PTPTN telah membelanjakan sebanyak RM 37 bilion sejak 13 tahun yang lalu. PTPTN telah mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 4% . Ini amat membebankan peminjam. Jumlah pinjaman mereka meningkat setiap tahun jika mereka tidak membuat pembayaran. Mereka juga tidak dibenarkan pergi ke luar negara jika tidak membuat pembayaran yang ditetapkan oleh PTPTN. Sebahagian mereka menghadapi kesukaran untuk mendapat pinjaman lain khususnya pinjaman perniagaan.

Pihak PTPTN pula sedang berusaha untuk membuat pindaan terhadap akta PTPTN yang berkemungkinan pada sidang parlimen akan datang bagi mengetatkan lagi kawalan pembayaran balik pinjaman. Tindakan ini sudah semestinya akan memberikan lebih tekanan kepada mereka.

Dalam masa yang sama peminjam-peminjam MARA juga menghadapi masalah untuk membuat bayaran balik jumlah pinjaman yang terlalu besar sehingga RM80 ribu. Dalam usia mereka yang masih muda mereka telah dibebankan dengan hutang yang banyak. Hidup mereka menjadi tidak tenteram dengan hutang tersebut.

Pemuda PAS Pusat merasa bertanggungjawab untuk mendengar rintihan daripada mereka. Sehubungan itu Dewan Pemuda PAS Pusat menyediakan ruang untuk mereka meluahkan perasaan dalam Program Pertemuan Peminjam PTPTN dan MARA pada hari sabtu 26hb Februari 2011 jam 2 petang di Dewan Semantan Perdana, Hotel Sri Malaysia, Temerloh , Pahang. Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat(PR) akan turut sama mendengar rintihan mereka. Semua pandang mereka akan dirumuskan dalam persidangan meja bulat dan akan diserahkan kepada pihak kerajaan dalam sidang parlimen akan datang. Semua peminjam PTPTN dan MARA di jemput hadir.

SUHAIZAN BIN KAYAT

KETUA PENERANGAN

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT


Wednesday, January 26, 2011

Minta Penjelasan Daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO


Tanah En. Mansor Bin Mohamad HS(M) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Daerah Segamat telah di lelong pada 1/12/2003. Beliau mempunyai tunggakan bayaran hutang dengan pihak bank sekitar RM20,000. Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat En. Mohd Azahar Bin Ibrahim yang juga calon Barisan Nasional (BN) pilihanraya kecil Tenang telah gagal menyerahkan notis pendengaran kes lelong ini kepada beliau. Secara rasminya En. Mansor tidak dimaklumkan tanahnya akan dilelong. Pada 19/9/2003 perintah jualan hartanah telah di keluarkan.

Menurut En. Mansor, sehari sebelum lelongan beliau telah membuat bayaran kepada pihak bank sebanyak RM10,000 bagi bayaran tunggakan bayaran hutang. Beliau merayu kepada En Mohd Azahar agar tanahnya tidak di lelong. Pada hari tanahnya di lelong beliau membawa tunai sebanyak RM12,000 untuk menyelesaikan tunggakan hutangnya. Semua rayuan En Mansor tidak di layan.

Tanah seluas 8 ekar telah dilelong dengan harga RM70,000 sedangkan nilai tanah tersebut pada tahun 1996 bernilai RM116,000. Nilai semasa tanah tersebut dijangka RM120,000. Ini bermakna tanah En Mansor telah dijual dengan harga dibawah harga pasaran. Hanya seorang sahaja pembina yang hadir pada masa lelongan tersebut. Akhirnya tanah tersebut telah di beli oleh pembida tersebut.

En Mansor telah membuat saman pemula No 24(L) -674-2004 berkaitan tanah tersebut ke Mahkamah Tinggi Muar. Beliau telah dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa tiada sebarang notis pendengaran kes lelongan hartanah diberikan kepada beliau. Pada 29/1/2008 Yang Arif Hakim Dato’ Asmadi Bin Haji Asnawi, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar telah memutuskan membenarkan tuntutan En Mansor ke atas Pentadbir Tanah Daerah Segamat dengan kos akibat dari kecuaian pegawainya En. Mohd Azahar mengendalikan kes tersebut. Tanah tersebut telah dikembalikan kepadanya. Akhirnya En Mohd Azahar telah dipindahkan ke Pejabat Daerah Kecil Renggit.

Saya mohon penjelasan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO mengenai perkara-perkara di bawah :

  • 1.. Mengapa calon BN bagi pilihanraya kecil Tenang En. Mohd Azahar Bin Ibrahim sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah gagal memberi notis pendengaran kes lelongan tanah En. Mansor?
  • 2.. Mengapa nilai tanah En. Mansor di lelong dengan harga RM70,000 dibawah harga pasaran?
  • 3.. Mengapa rayuan En Mansor untuk mengelakkan lelongan tanah dengan membuat bayaran RM10,000 kepada bank tidak di layan oleh En Mohd Azahar?
  • 4. Mengapa hanya seorang pembina tanah sahaja yang hadir pada masa lelongan tersebut berlaku?
  • 5. Apakah benar En Mohd Azahar diturunkan pangkat daripada Pejabat Daerah Segamat kepada Pejabat Daerah Kecil Renggit?
  • 6. Apakah terdapat perundingan jahat antara En. Mohd Azahar, jurulelong, jurunilai dan pembina semasa mahu melelong tanah En Mansor?
  • 7. Berapa kerugian yang ditanggung oleh Pejabat Tanah Daerah Segamat akibat kecuaian pegawainya menguruskan urusan tanah En Mansor?
  • 8. Mengapa UMNO sanggup menghampakan ahli-ahlinya dengan meletakkan calon yang telah terbukti bersalah di mahkamah dalam pilihanraya kecil Tenang?

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat


Monday, January 24, 2011

Isu bersalam Lelaki Dan Wanita : Terima Kasih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek

Isu bersalam antara lelaki dan wanita dalam ajaran agama Islam menjadi isu dalam pilihanraya kecil Dun Tenang. Isu ini telah dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Isu ini adalah terlalu kecil dibandingkan dengan isu rasuah, salahguna kuasa dan pembaziran duit rakyat. Justru isu ini tidak menarik perhatian ramai sebelum ini. Kesannya adalah sangat sukar untuk menjelaskan isu ini kepada masyarakat bukan Islam kerana keterbatasan ruang dan masa. Dalam ajaran Islam lelaki tidak boleh bersentuhan dengan wanita yang bukan muhrim walaupun bersalam kecuali menggunakan alas seperti kain.

Bukan muhrim adalah mereka yang bukan saudara mara terdekat. Mereka yang boleh berkahwin di anggap bukan muhrim. Contoh muhrim adalah anak perempuan dengan bapa, abang dengan kakak, atuk dengan cucu perempuan dan lain-lain lagi. Mereka boleh bersentuhan secara yang munasabah. Sementara bukan mukrim adalah mereka yang tidak ada hubungan keluarga terdekat. Contohnya Cikgu Mala dengan Tok Ai di Tenang, Cikgu Mala dengan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Dato’ Sri Mohd Najib dengan Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil atau Tan Sri Mahyuddin Yassin dengan Datin Sri Romah Mansur.

Islam membatasi perhubungan ini adalah bertujuan untuk menghormati mereka dan untuk mengelakkan fitnah. Tidak benar pandangan yang mengatakan bahawa Islam melarang bersalam kerana tangan orang bukan Islam kotor. Walaupun tidak dibenarkan bersentuhan antara lelaki dan wanita bukan muhrim tetapi mereka tidak dilarang mengadakan perbincangan dan dialog secara berkumpulan. Bagi perhubungan antara sesama wanita tiada larangan bersentuhan langsung. Bagi masyarakat bukan Islam yang memahami ajaran Islam sebenar, perkara ini tiada masalah. Tetapi bagi mereka yang belum lagi berkesempatan memahaminya menyebabkan kami rasa bersalah. Takut mereka berkecil hati. Bayangkan bagaimana perasaan seseorang rakan bukan Islam jika mereka menghulurkan tangan ditengah khayak ramai tiba-tiba kami menolak pelawaan mereka. Itulah delima yang kami hadapi selama ini.

Dalam pilihanraya kecil Tenang Presiden MCA telah membangkitkan isu kecil ini menjadi besar. Jawapan balas daripada PAS dan PR telah menyebabkan masyarakat bukan islam dapat memahaminya dengan baik. Kesannya adalah masyarakat bukan Islam semakin memahami ajaran agama Islam sebenar. Ini terbukti apabila Cikgu Mala dalam kempennya tidak menghadapi masalah dengan masyarakat lelaki bukan Islam semasa beliau berkempen di pasar Labis. Jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak membangkitkan isu ini saya yakin ramai masyarakat bukan islam tidak berpeluang memahami isu ini terutamanya di Labis. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana membangkitkan isu ini.

Walaubagaimana pun terdapat satu persoalan yang perlu dijawab oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Mengapakah beliau membangkitkan isu ini? Apakah kerana keuntungan politik atau kerana ketidak fahamannya terhadap ajaran Islam. Jika kerana keuntungan politik maka Datuk Seri Dr Chua Soi Lek adalah seorang pemimpin yang sanggup merendahkan agama Islam untuk kepentingan politik. Pemimpin seumpama ini boleh membawa malapetaka kepada kepada negara. Pemimpin seumpama ini wajib di tolak oleh semua masyarakat dalam negara. Sebaliknya jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melakukannya kerana ketidakfahamannya maka perlu di persalahkan kepada Dato Abdul Ghani Othman dan Tan Sri Mahyuddin Yassin. Mereka sudah lama berkawan di Johor tetapi tidak menyampaikan larangan-larangan dalam ajaran agama Islam ini. Mungkin mereka sukar memberi kefahaman kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana mereka berdua juga bersalam dengan bukan muhrim. Saya perhatikan YB Lim Kit Siang dan YB Boo Cheng How sudah memahami isu ini dengan baik, mungkin sejak DAP bersama dalam PR.

Jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih kurang memahami isu ini, Pemuda PAS Pusat sanggup memberi khidmat nasihat kepada beliau berkenaan ajaran agama Islam sebenar. Ini bagi membantu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjadi pemimpin yang hebat, boleh diterima oleh semua kelompok masyarakat dalam negara ini.

Suhaizan Kaiat

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat.

Friday, January 21, 2011

Kenyataan Media : Peraturan Kempen Pilihan Raya SPR Pelik

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Omar telah memberi taklimat kepada kakitangan dan wakil parti-parti bertanding di Pejabat Majlis Daerah Labis bagi persiapan menghadapi pilihanraya kecil Tenang. Dalam taklimat ini, SPR tidak membenarkan sebarang lambang parti dan gambar pemimpin parti yang tidak bertanding di pasang semasa tempoh berkempen. Ini memberi maksud bahawa jika PAS sah menjadi wakil Pakatan Rakyat(PR) dalam pilihan raya kecil Tenang selepas penaman calon pada 22hb Januari 2011 ini, maka lambang parti DAP dan PKR serta gambar YB Dato Seri Anwar Ibrahim dan YB Lim Kit Sing tidak dibenarkan dipasang semasa tempoh berkempen tersebut. Yang dibenarkan hanya lambang parti PAS dan gambar pemimpin PAS seperti gambar Tuan Guru Nik Abdul Azizi Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sahaja yang dibenarkan dipasang semasa tempoh berkempen tersebut.

Alasan yang diberikan oleh SPR adalah parti-parti pembangkang PAS, DAP dan PKAR masih tidak lagi mendaftar sebagai parti gabungan seperti Barisan Nasional(BN). Hanya parti yang bertanding sahaja dibenarkan memasang lambang parti dan gambar pemimpin mereka kerana parti tersebut sahaja yang membayar deposit pilihan raya dan deposit kempen pilihan raya. Persoalannya bagaimana pemimpin parti pembangkang seperti YB Dato Seri Anwar Ibrahim da YB Lim Kit Siang boleh berkempen tetapi gambarnya tidak boleh dipasang dan lambang partinya tidak boleh dipasang? Jika SPR mempunyai tafsiran bahawa hanya parti yang membayar deposit pilihan raya dan deposit kempen sahaja yang boleh meletakkan lambangnya maka sepatutnya YB Dato Seri Anwar Ibrahim dan YB Lim Kit Siang tidak dibenarkan berkempen di sana. Kedua-dua pemimpin ini perlu diharamkan berkempen di Tenang.

SPR berpendapat memasang lambang dan gambar pemimpin parti yang tidak bertanding adalah menyalahi Akta Kesalahan Pilihanraya (Akta 5). Perkara 24B(4) Akta Kesalahan Pilihanraya menyatakan bahawa “ Seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh berkempen, mempamerkan, memberikan atau mengedarkan bahan kempen pilihan raya kepada orang ramai di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu bertanding tetapi hanya jika dia –

a). memegang suatu permit untuk berbuat demikian yang dikeluarkan kepadanya oleh Pegawai Pilihanraya Negeri, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Pegawai Pilihanraya Negeri itu; dan

b). telah membayar kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri itu deposit sebanyak lima ribu ringgit dalam hal suatu pemilihan ke Dewan Rakyat dan tiga ribu ringgit dalam hal suatu pemilihan ke Dewan Undangan Negeri.

Perkara 24B(4) tidak meletakkan syarat hanya parti bertanding sahaja boleh meletakkan lambang dan gambar pemimpin mereka. Sepatutnya calon atau wakil calon diberi hak menentukan bahan kempen pilihan mereka. Jika calon atau wakil calon beranggapan bahawa lambang dan gambar pemimpin PAS,DAP, PAR sebagai bahan kempen mereka. SPR sepatutnya menghormatii hak kebebasan ini. Mengapa SPR terlalu sempit cara berfikirnya? SPR seharusnya terbuka dan berjiwa besar melayani pelanggan mereka. Kita bukan mahu melantik pengawas sekolah. Kita mahu melantik ahli dewan undangan Negeri(ADUN). Janganlah mentafsirkan undang-undang yang boleh ditertawakan oleh kanak-kanak sekolah.

SPR membuat tafsiran bahawa lambang dan gambar pemimpin UMNO, MCA dan MIC boleh dipasang dalam pilihanraya kerana mereka sudah bergabung dalam BN sedangkan PAS, DAP dan PKR belum lagi di sahkan oleh ROS sebagai satu parti gabungan PR. Semua telah memaklumi bahawa PAS, DAP dan PKR sedang dalam proses mendaftarkan sebagai parti gabungan PR. Ini memberi maksud bahawa PAS, DAP dan PKR merupakan ahli-ahli gabungan PR yang sedang menanti pihak kerajaan meluluskan sebagai badan gabungan.Oleh itu sudah sewajarnya SPR melayan sama rata antara BN dan PR.

Masalah yang saya bangkitkan ini adalah terlalu kecil dan telah bermula sejak pilihan raya kecil Bagan Pinang lagi. Bantahan-bantahan telah dibuat kepada SPR semasa pilihanraya kecil tersebut. Maka SPR seharusnya lebih pro aktif mengatasi masalah ini. SPR seharusnya memikirkan isu-isu yang lebih besar lagi seperti penghapusan undi pos, penggunaan dakwat hitam, pendaftaran secara automatik, pembersihan daftar pemilih dan pengawalan keadah berkempen media arus perdana. SPR tidak perlulah membuat tafsiran-tafsiran undang-undang yang pelik sehingga rakyat bosan dan beranggapan SPR memihak kepada parti-parti tertentu dalam negara ini.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.