Thursday, January 14, 2010

Keterbukaan Pemuda PAS Pulai




Ketua Pemuda PAS Pulai Sdr. Zaba (Berjubah Hitam) bersama Ketua Bahagian UMNO Pulai Dato Nurjazlan Mohammad(Memegang Yassin) dalam Majlis Tahlil Allahyarham Tan Sri Mohammad Bin Rahmat di Masjid Al-Mizan, Kempas.

Itulah bukti keterbukaan PAS untuk hadir dalam program rakyat merentasi fahaman politik. Suatu ciri yang penting kepada Politik Baru Malaysia sekarang.

Dato Osman Sapian Adun Kempas yang juga anak didik Tok Mat tidak kelihatan. Kenapa beliau tidak hadir ? Kau fikirlah sendiri.....

Soal Jawab Mengenai Sikap PAS Terhadap Isu Nama Allah

1. Apakah PAS menerima permohonan orang Kristian menggunakan nama Allah ?

Penganut Agama Kritian yang memohon menggunakan nama Allah khusus untuk penganut agama mereka(Kristian) adalah hak mereka. Mengikut Al-Quran, As-Sunnah dan pandangan ulama muktabar Islam seperti Sheikh Yusuf Qardhawi dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili tidak pernah dengan jelas Islam melarang pengunaan nama Allah dikalangan agama samawi Islam, Kristian dan Yahudi. Asasnya adalah Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud:
“Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah”.

Tetapi perlu di ingat PAS menentang penyalahgunaan nama Allah kepada orang Islam. Maksudnya segala tafsiran Allah seperti Allah Tuhan “trinity”, Allah merujuk kepada berhala dan lain-lain konsep ketuhanan selain Islam tidak boleh disampaikan kepada orang Islam.

2. Apabila PAS tidak menghalang penggunaan nama Allah oleh Kritian maka apakah PAS menerima pandangan orang Kritian terhadap tuhan "Trinity" yang mana terdapat Allah ada bapa, anak dan isteri(God the Father, God the Son and the Holy Ghost) ?

PAS menolak konsep tuhan “trinity”(Tuhan 3 dalam satu) sebab asas Islam adalah Allah yang Maha Esa. Malah jika orang Islam beraqidahkan Allah “trinity” maka mereka terkeluar daripada Islam. PAS juga menolak aqidah tuhan selain Allah S.W.T. Tapi PAS tidak menghalang orang Kristian berfahaman tuhan “trinity” sebab itulah kebebasan beragama yang dianjurkan oleh orang Islam. Islam tidak boleh memaksakan aqidah Islam kepada mereka yang bukan Islam. Islam menegaskankan : “Tidak ada paksaan dalam agama”


3. Apakah PAS menyokong keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat rayuan untuk menghalang pengunaan nama Allah dalam akhbar rasmi Gereja Katolik Malaysia, Herald The Catholic Weekly?

Itu adalah hak KDN sebab gereja Katolitk Malaysia telah memohan mahkamah membuat semakkan penghakiman terhadap keputusan kabinet. Tentulah kabinet ada asas dan pertimbangan mereka semasa meluluskan undang-undang melarang pengunaan nama Allah. Oleh kerana mahkamah telah membuat keputusan yang bercanggah maka hak merekalah untuk mempertahankannya.

PAS menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. PAS tiada berniat untuk mencampuri urusan mahkamah. Kita bersikap terbuka terhadap apa juga keputusan yang akan di keluarkan.

4. Apakah PAS tidak kuatir nama Allah ini akan mengelirukan orang Islam di Malaysia khususnya anak muda ?

PAS sangat kuatir dengan kehidupan bebas tanpa peganggan agama khususnya anak muda beragama Islam di Malaysia kerana aqidah mereka yang lemah. Faktor utama kelemahan aqidah bukanlah disebabkan oleh dakwah agama lain tetapi disebabkan pendidikan, persekitaran, keluarga, masyarakat dan negara yang tidak menekankan persoalan aqidah.
Orang Islam yang murtad adalah mereka yang lemah aqidah islamnya bukan orang yang kuat pegangangan agama mereka. Tidak ada orang islam yang kuat pegangan agama dan kefahaman agamanya yang jatuh murtad. Tak pernah kita dengar ulama besar yang murtad. Tetapi adalah biasa kita dengar paderi Kristian yang masuk Islam.

Selain itu Perkara 11(4) Perlembagaan Malaysia menyatakan :
“Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganut ugama Islam”
Perkara 11(4) ini menghalang mana-mana agama menyampaikan aqidah mereka kepada umat Islam di Malaysia. Ini merupakan perlindungan Perlembagaan Malaysia terhadap Islam dan umat Islam.

5. Mengapa PAS tidak bersama dalam demontrasi yang dilaksanakan oleh NGO ? Mengapa PAS tidak mengambil pendekatan demontrasi seperti BERSIH, PPSMI dan ISA ?

Persoalan nama Allah adalah persoalan yang komplek dan mudah membangkitkan sentimen antara agama. Persoalan nama Allah ini bukan seperti isu pilihanraya BERSIH, PPSMI atau ISA. Persoalan nama Allah perlu diurus dengan cara yang cukup tertib. Jika PAS menggunakan konsep yang sama seperti BERSIH, PPSMI dan ISA maka PAS sangat kuatir pergaduhan agama akan tercetus. Bayangkan apa yang akan terjadi jika 100 ribu orang berkumpul di Istana Negara dengan penuh sentimen membenci orang Kristian. Kemungkinan pergaduhan akan berlaku. Maka ramailah pemimpin PAS yang akan dimasukkan dalam ISA. Mahkamah sedang mendengar rayuan. Biarkan mereka membuat keputusan. PAS berpendapat dalam isu yang sensitif seperti nama Allah ini maka keadah dialoglah yang lebih sesuai.


6. Apakah sikap PAS terhadap NGO yang mengambil sikap berbeza dengan PAS ?

PAS menyokong Perkara 10 Perlembagaan Malaysia yang selaras dengan Islam iaitu memberi kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Mereka ada hujah dan pendekatan mereka. Kita hormati pandangan mereka. Dalam negara majmuk seperti Malaysia kecerdikan menguruskan perbezaan pendapat adalah menjadi ciri utama sebagai pemimpin negara ini. Kita boleh sama bersetuju pada apa yang kita setujui bersama. Kita juga mesti boleh bersetuju dalam apa juga perkara yang kita tidak setujui bersama. Inilah konsep Islam. Asasnya adalah ilmu bukannya emosi dan sentiment.

7. Apakah PAS mengambil pendekatan yang sederhana semata-mata untuk tujuan mendapat kuasa memerintah Malaysia dalam pilihanraya akan datang dengan memperjudikan Islam?

PAS yang dipimpin oleh para ulama tidak boleh menyembunyikan keterbukaan Islam terhadap penggunaan nama Allah. Apa yang Islam kata itulah yang kita tampilkan sesuai dengan suasana negara kita. Dalam hal sokongan rakyat kita hanya berserah kepada Allah setelah kita menjelaskan kedudukan agama Allah ditempat yang benar. Jika Allah izinkan PAS menang maka memerintahlah kita. Jika Allah tidak izinkan lagi memerintah Malaysia maka bersabarlah kita.

8. Apa sikap PAS terhadap pembakaran gereja ?

PAS tidak pernah sama sekali bersetuju dengan pembakaran gereja. Bukti jelas semasa berperang pun Islam melarang membunuh wanita dan kanak-kanak yang berlindung dalam rumah ibadah apatah lagi di waktu aman seperti dalam negara kita sekarang. PAS menghormati orang bukan Islam dan rumah-rumah ibadah mereka. Ini dibuktikan dengan kehadiran pimpinan PAS ke gereja yang telah dibakar tempohari.

9. Pada pandangan PAS apakah ada udang disebalik batu apabila media arus perdana membangkitkan isu nama Allah ?

Pada pandangan PAS, Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Dato Seri Najib Tun Abdul Razak bersama para pemikirnya sedang mencipta krisis nama Allah di dalam negara setelah mereka dilanda pelbagai krisis yang tidak menguntungkan mereka. Bermula dengan kekalahan teruk dalam pilihanraya 2008, kritikan Tun Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, kekalahan dalam banyak pilihanraya kecil, krisis dalaman BN, kes kematian Al-Tantuya, Isu PKFZ, rampasan kuasa di Perak, Isu GST, kenaikan harga barang, PPSMI, ISA, kemerosotan rizeb negara, kematian Teo Beng Hock dan isu paling sensasi adalah kehilangan 2 buah enjin jet F-5E kapal pejuang TUDM.

Krisis yang dicetuskan mampu mengalih perhatian rakyat kepada isu sebenar yang melanda kerajaan BN. Apakah munasabah UMNO berteriak dengan isu nama Allah sedangkan mereka yang mahu menggugurkan nama Islam daripada pertubuhan pada tahun 1994 dahulu. Apakah munasabahnya UMNO mempertahankan aqidah umat Islam jika undang-undang murtad seperti digariskan oleh Al-Quran tidak dilaksanakan.

Krisis nama Allah yang dicipta ini bukannya ada udang disebalik batu tetapi ada enjen jet F-5E dan Altantuya disebalik Dato Seri Najib Tun Razak.Oleh itu janganlah kita terperangkap.

Sunday, January 10, 2010

Aktiviti PAR Kempas Merentasi Fahaman Politik





J/K Setinggan Kempas yang ditubuhkan di bawah Pusat Aduan Rakyat (PAR)Kempas telah menganjurkan Majlis Gotong Royong Membuat Bubur Assyura sempena Maal Hijrah 1431 Hijrah. Terdapat 13 kawah bubur assyura telah berjaya diusahakan secara gotong royong. Aktiviti ini telah dilaksanakan di perkarangan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Kempas Permai. Semua lapisan masyarakat datang membantu. Datuk Nurjazlan Mohammad ahli Parlimen UMNO Pulai dan Sdr. Suhaizan Kaiat, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Kempas yg juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat turut sama dalam majlis ini

Aktiviti sampingan juga telah dilaksanakan iaitu aktiviti mewarna dikalangan kanak-kanak . Terdapat lebih 100 orang kanak-kanak telah turut serta. Sdr. Ramli Ibrahim selaku pengarah program cukup berpuashati dengan kehadiran lebih daripada 1000 orang sepanjang majlis dijayakan. Aktiviti PAR Kempas ini telah dianggap merentasi fahaman politik kepartian dengan kehadiran Datuk Nurjazlan yg juga Ketua UMNO Bahagian Pulai. Ia juga suatu pengiktirafan Datuk Nurjazlan kepada PAR yang sentiasa menjadi juara rakyat khususnya di Kempas.

Friday, January 8, 2010

Jangan Bermain Api Isu Agama





Jangan cuba bermain api dengan isu agama di negara ini. Malaysia ada undang-undang. Gunakannya untuk mempertahankan Islam. Perkara 11(4) dan 121(1A) telah meletakkan Islam lebih tinggi di sisi Perlembagaan Malaysia.Walaupun di sana Perlembagaan Malaysia belum sepenuhnya boleh menyelamatkan agama Islam.

Jangan masuk dalam provokasi pihak yang kononnya cintakan agama. Pada hal merekalah yang khianat terhadap agama.

Gambar-gambar di atas adalah gereja yang telah dibakar oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Memalukan. Ini bukan cara Islam.

Persoalan-persoalan Berkenaan Menggunakan Nama Allah

Persoalan-persoalan Berkenaan Menggunakan Nama Allah oleh akhbar mingguan The Herald daripada Gereja Katholik.

Kompilasi daripada pandangan Tn Guru Hj Abd Hadi Awang, Ust Zaharuddin Abd Rahman, Perlembagaan Malaysia & pandangan saya sendiri.

1. Apakah hukumnya menurut Islam ?

Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :

Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).

Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.

Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujjah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada pengertian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

(Zaharuddin Abd Rahman)

2. Apakah boleh jatuh murtad ?

Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian. (Zaharuddin Abd Rahman)

3. Apakah wajar mengambil contoh Bible sebagai alasan Kritian tiada hak menggunakan nama Allah ?

Perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi menurut keyakinan Islam, bible yang wujud hari ini bukanlah sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as beribu tahun dahulu. (Zaharuddin Abd Rahman)

4. Apakah tindakkan KDN itu betul ?

Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.
Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.
Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.
Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal.
Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan. (Zaharuddin Abd Rahman)

5. Apakah orang kritian di luar negara menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka ?

Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah termasuk UK dan Vatican City di Itali TIDAK MENGGUNAKAN kalimah Allah untuk God, malah negera-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini. Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah diskrip menggunakan kalimah Allah bila menyeru tuhan, mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Ini kerana itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya.

Cuma kita sedar kumpulan ini hanya memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara arab dan kini Malaysia. Tahukah anda apa sebabnya berlaku demikian?. Fikirkan... diharap kita semua sedar strategi di sebaliknya. (Zaharuddin Abd Rahman)

6. Apakah Kesimpulan kepada isu ini ?

Kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah dikalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka , walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita .

Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah janama melariskan barangan dalam masyarakat Islam , tidak boleh dizinkan sekali-kali, kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci Kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, seterusnya di-kira menodai kesucian dan kemurnian Kalimah ALLAH dihadapan umat Islam . (Tn Guru Hj Abd Hadi Awang)

7. Apakah undang-undang yang boleh menyebarkan fahaman agama lain kepada penganut agama Islam ?

Perkara 11(4) Perlembagaan Malaysia menyatakan :
“ Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam” (Perlembagaan Malaysia)

8. Apakah yang perlu dibuat oleh kita ?

Saya mencadangkan agar semua umat Islam menitik beratkan persoalan aqidah diri, keluarga & masyarakat dan perkara-perkara berikut untuk dilaksanakan :

1. Kita perlu mendesak parlimen mengubal undang-undang mutad di negara ini.
2. Mendesak setiap negeri-negeri di Malaysia menguatkuasakan dengan segera perkara 11(4) Perlembagaan Malaysia
3. Mendesak Majlis Agama Islam negeri-negeri melantik seramai mungkin penguatkuasa-penguatkuasa yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan enakmen yang berkaitan dengan perkara 11(4) Perlembagaan Malaysia.
(Suhaizan)

Monday, January 4, 2010

Semasa Berada di UK




Semasa mula bertolak dan berada di UK