Friday, January 8, 2010

Persoalan-persoalan Berkenaan Menggunakan Nama Allah

Persoalan-persoalan Berkenaan Menggunakan Nama Allah oleh akhbar mingguan The Herald daripada Gereja Katholik.

Kompilasi daripada pandangan Tn Guru Hj Abd Hadi Awang, Ust Zaharuddin Abd Rahman, Perlembagaan Malaysia & pandangan saya sendiri.

1. Apakah hukumnya menurut Islam ?

Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :

Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).

Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.

Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujjah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada pengertian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

(Zaharuddin Abd Rahman)

2. Apakah boleh jatuh murtad ?

Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian. (Zaharuddin Abd Rahman)

3. Apakah wajar mengambil contoh Bible sebagai alasan Kritian tiada hak menggunakan nama Allah ?

Perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi menurut keyakinan Islam, bible yang wujud hari ini bukanlah sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as beribu tahun dahulu. (Zaharuddin Abd Rahman)

4. Apakah tindakkan KDN itu betul ?

Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.
Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.
Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.
Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal.
Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan. (Zaharuddin Abd Rahman)

5. Apakah orang kritian di luar negara menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka ?

Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah termasuk UK dan Vatican City di Itali TIDAK MENGGUNAKAN kalimah Allah untuk God, malah negera-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini. Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah diskrip menggunakan kalimah Allah bila menyeru tuhan, mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Ini kerana itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya.

Cuma kita sedar kumpulan ini hanya memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara arab dan kini Malaysia. Tahukah anda apa sebabnya berlaku demikian?. Fikirkan... diharap kita semua sedar strategi di sebaliknya. (Zaharuddin Abd Rahman)

6. Apakah Kesimpulan kepada isu ini ?

Kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah dikalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka , walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita .

Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah janama melariskan barangan dalam masyarakat Islam , tidak boleh dizinkan sekali-kali, kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci Kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, seterusnya di-kira menodai kesucian dan kemurnian Kalimah ALLAH dihadapan umat Islam . (Tn Guru Hj Abd Hadi Awang)

7. Apakah undang-undang yang boleh menyebarkan fahaman agama lain kepada penganut agama Islam ?

Perkara 11(4) Perlembagaan Malaysia menyatakan :
“ Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam” (Perlembagaan Malaysia)

8. Apakah yang perlu dibuat oleh kita ?

Saya mencadangkan agar semua umat Islam menitik beratkan persoalan aqidah diri, keluarga & masyarakat dan perkara-perkara berikut untuk dilaksanakan :

1. Kita perlu mendesak parlimen mengubal undang-undang mutad di negara ini.
2. Mendesak setiap negeri-negeri di Malaysia menguatkuasakan dengan segera perkara 11(4) Perlembagaan Malaysia
3. Mendesak Majlis Agama Islam negeri-negeri melantik seramai mungkin penguatkuasa-penguatkuasa yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan enakmen yang berkaitan dengan perkara 11(4) Perlembagaan Malaysia.
(Suhaizan)

2 comments:

Unknown said...

Memang dah ada LARANGAN penggunaan perkataan yang berkaitan dengan Agama Islam. Sila rujuk Enakmen berikut:

NEGERI JOHOR: ENAKMEN 12 TAHUN 1991, ENAKMEN KAWALAN DAN SEKATAN PENGEMBANGAN AGAMA-AGAMA BUKAN ISLAM 1991

NEGERI KEDAH: ENAKMEN 11 TAHUN 1988, ENAKMEN KAWALAN DAN SEKATAN PENGEMBANGAN AGAMA BUKAN ISLAM 1988

SELANGOR: ENAKMEN 11 TAHUN 1988 AGAMA BUKAN ISLAM (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam Selangor 1988)

PAHANG: ENAKMEN 5 TAHUN 1989, ENAKMEN KAWALAN DAN SEKATAN PENGEMBANGAN AGAMA-AGAMA BUKAN ISLAM 1989

PERAK: ENAKMEN 10 TAHUN 1988, ENAKMEN KAWALAN DAN SEKATAN PENGEMBANGAN AGAMA-AGAMA BUKAN ISLAM 1988

Anonymous said...

Ingatkah kita kpd padri yang memurtadkan Lina Joy? Adakah tindakan undang undang di jatuhkan kepadanya?
Kalau perkara yang tidak di benarkan pun berlaku, apakah akan terjadi kepada perkara yang samar samar dengan mengatakan boleh guna kalimah Allah tapi jangan salah guna.
Pas must be joking. Jika di
takdirkan dia memerentah satu Malaysia nanti barulah dia melolong melalak nak ceramah satu negara nak ubah pendirian.
Enakment2 berkaitan ugama telah pun ada. apakah pandangan Pas bahawa enakmet tersebut seperti barang pakai buang?