Friday, December 4, 2009

Hak akar umbi pilih calon pilihanraya - MP Pulai

Datuk Nurjazlan dua dari kanan.



Oleh : Dato Nur Jazlan Mohammad (Ahli Parlimen Pulai - DUN Kempas berada dalam parlimen ini)

DEC 4 — Umno yang dilahirkan sebagai parti akar umbi sebenarnya sudah menunjukkan perubahan. Ini terbukti apabila Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebulat suara menyokong pindaan perlembagaan parti baru-baru ini.

Melalui pindaan perlembagaan baru ini, Umno memberi kuasa memilih Ahli Majlis Tertinggi (MT) termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden kepada ahli di peringkat Bahagian. Dianggarkan lebih 146,000 ahli Umno di peringkat Bahagian akan membuat keputusan.

Ini adalah langkah permulaan ke arah pendemokrasian Umno yang sememangnya menjadi hak ahli dan bukannya mana-mana pemimpin atau kumpulan tertentu.

Jika Umno boleh membuat perubahan ini bagi memilih pucuk pimpinannya, mengapa tidak pimpinan Umno dan Barisan Nasional mengorak langkah ke depan dengan menggunakan kaedah sama untuk memilih calon pilihan raya.

Kaedah sekarang yang mana calon dipilih pucuk pimpinan tidak lagi sesuai kerana ia tidak menggambarkan kehendak pengundi dan masyarakat setempat.

Umno dan BN seharusnya dan perlu menyedari dengan segera kekalahan dalam beberapa pilihan raya kecil sepanjang tahun lalu dan tahun ini adalah disebabkan faktor calon yang tidak diterima masyarakat tempatan.

(Dalam pada pilihan raya kecil Bagan Pinang pada Oktober lalu BN menang disebabkan pengundi kawasan berkenaan mengenali dan berkeras mahukan Tan Sri Isa Abdul Samad walaupun pucuk pimpinan pada mulanya tidak setuju dengan pencalonan beliau.)

Atas sebab itu, saya berpendapat adalah penting bahawa hak untuk memilih calon pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil dikembalikan kepada ahli BN di peringkat akar umbi, dan pucuk pimpinan harus menerimanya.

Mungkin ada orang yang menganggap jika kaedah ini digunakan, akan berlaku perebutan kerusi di kalangan parti komponen BN. Bagi saya, hakikat sebenarnya ialah ia tidak akan terjadi kerana status quo pembahagian kerusi setiap parti komponen tetap terpelihara. Jika kerusi itu milik Umno, maka calon yang hendak dipilih ahli BN kawasan itu haruslah daripada Umno; begitu juga sebaliknya. Namun kedudukan status quo ini boleh dikaji semula pada bila-bila masa mengikut keperluan dan persetujuan bersama di kalangan semua komponen BN.

Melalui kaedah pungutan suara atau “pilihan raya olok-olok” di kalangan ahli akar umbi, ia sebenarnya satu cara paling ampuh bagi memastikan calon yang dipilih tidak ditolak pengundi.

Selama ini rakyat mempunyai tanggapan bahawa Umno dan BN adalah parti golongan bangsawan, dimiliki satu-satu puak atau golongan. Malah, ada yang menyamakannya seperti parti Golkar di Indonesia dan sudah tentu, sebagai ahli Umno, saya tidak mahu nasib parti keramat Melayu ini berakhir seperti parti Golkar yang kini hanya menguasai tidak sampai 20 peratus kerusi Dewan Perwakilan Rakyat di republik itu.

Melalui kaedah pemilihan akar umbi ini, pimpinan BN dan Umno akan dapat mengetahui siapa calon pilihan raya yang dikehendaki masyarakat di kawasan itu, sekali gus memastikan kemenangan parti dalam setiap kali pilihan raya.

Kaedah yang digunakan sekarang sudah tidak lagi sesuai kerana hanya pucuk pimpinan mempunyai kata putus dalam pemilihan calon walaupun peringkat Cawangan dan Bahagian dibenarkan untuk mencalonkan orang pilihan mereka. Apa yang berlaku ialah calon pilihan akar umbi tidak dipilih oleh pucuk pimpinan atas sebab-sebab yang siapa pun tidak mengetahuinya.

Selepas itu timbul tanggapan di kalangan ahli akar umbi bahawa calon pilihan raya yang dipilih pucuk pimpinan adalah semata-mata untuk kepentingan politik peribadi mereka. Yang menyakitkan hati lagi ialah para pemimpin peringkat negeri dan pusat yang membuat kesalahan tersebut tidak pula insaf dan terus mengulangi perbuatan yang menimbulkan kemarahan akar umbi.

Jadi, timbullah keadaan di mana ahli akar umbi terpaksa menyokong calon pilihan pucuk pimpinan yang tidak popular dan kadang-kala entah dari mana datangnya calon berkenaan pun tidak diketahui oleh Cawangan atau Bahagian.

Saya menyatakan semua ini berdasarkan apa yang sudah terjadi. Tidak payah lihat jauh, cukup sahaja di Johor yang menjadi kubu kuat Umno, negeri di mana saya menjadi Ketua Umno Bahagian dan Ahli Parlimen.

Dalam pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004, beberapa Bahagian Umno di Johor “terpaksa” menerima calon luar atau lebih senang disebut “calon payung terjun”. Walaupun semua calon ini menang, ia telah menimbulkan pergolakan besar dalam bahagian-bahagian terbabit. Hingga hari ini kesan pemilihan yang tidak demokratik itu masih menjadi duri dalam daging di banyak Bahagian Umno.

Situasi sama terus terjadi dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu kerana pucuk pimpinan terus angkuh dengan kuasa apabila enggan menerima calon pilihan raya yang dicadangkan ahli akar umbi.

Lebih teruk lagi, ahli Umno dan BN di kawasan pilihan raya berkenaan telah bertindak memboikot calon pilihan pucuk pimpinan. Tidak mustahil mereka akan mengulangi bantahan sedemikian jika masalah ini gagal diselesaikan dengan baik. Ramai ahli akar umbi parti telah menyatakan kepada saya, jika ini terus berlaku, tidak mustahil BN dan Umno akan kalah dalan pilihan raya umum akan datang.

Idea untuk pemilihan calon di peringkat akar umbi bukan sesuatu yang baru kepada saya. Telah lama saya memikirkannya. Saya telah menulis mengenai perkara ini secara umum di sebuah akhbar arus perdana pada 26 November lalu, sejurus pulang bersama rombongan Ahli Parlimen Komanwel melawat Parlimen United Kingdom and Eropah baru-baru ini.

Masih ada ahli Umno yang sangsi dengan cadangan saya ini. Maklumlah saya pernah dihamburkan berbagai kecaman apabila saya membuat tawaran untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno dalam pemilihan parti tahun lalu.

Itu tidak mengapa. Saya maafkan mereka yang marah dengan saya kerana saya sedar ramai yang tidak faham atau tahu niat saya yang ikhlas untuk memastikan Umno diterima semula oleh rakyat negara ini, terutama sekali generasi muda.

Justeru, saya terus berpegang kepada prinsip bahawa adalah amat perlu peremajaan semula Umno dilakukan dengan segera bermula dari peringkat pucuk pimpinan hinggalah ke akar umbi.

Ia bukan menidakkan sumbangan generasi lama tetapi Umno memerlukan nafas baru selaras dengan perkembangan terkini rakyat negara ini, di kalangan generasi muda khususnya.

Sebenarnya, mahu tak mahu, ahli Umno dan BN perlu mengakui bahawa kekecohan dan huru-hara ketika memilih calon pilihan raya berlaku disebabkan ramai sangat yang melobi dengan mendakwa mempunyai kabel dengan orang atasan.

Jika dibiarkan begitu sahaja, masalah yang sama akan melanda tidak lama lagi. Masing-masing calon merasakan diri layak semata-mata kononnya dia ada kabel dengan pucuk pimpinan pusat atau negeri.

Saya bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kuala Lumpur yang berkata baru-baru ini bahawa dua tahun akan datang, sehingga 2011, adalah tempoh paling kritikal untuk BN dan Umno.

Justeru, saya berkeyakinan bahawa jika BN mahu menyapu bersih semua semua negeri dan kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-13, kuasa memilih calon pilihan raya perlu diserahkan kepada ahli akar umbi parti kerana mereka lebih mengetahui siapa sebenarnya yang terbaik untuk menjadi wakil rakyat mereka.

Jika dilakukan pungutan suara sedemikian, ahli akar umbi perlu bertanggungjawab dan bekerja dengan lebih gigih bagi memastikan calon yang mereka pilih tidak kalah — jika kalah sekali pun, mereka tidak boleh lagi menyalahkan pucuk pimpinan parti.

Sebenarnya, kaedah pungutan suara ini benar-benar memartabatkan kuasa akar umbi kerana mereka tidak lagi sekadar menjalankan aktiviti gotong-royong dan bersukan berikutan keputusan penting biasanya dibolot oleh pimpinan negeri dan pusat.

Pada masa yang sama, apabila Umno mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, parti-parti komponen BN khususnya di Semenanjung dilihat lemah. Mereka perlu membuktikan kekuatan sokongan masyarakat akar umbi terhadap calon mereka sebelum menuntut agihan kerusi.

Tidak ada guna memberi kerusi berdasarkan agihan yang sedia ada kepada calon parti komponen jika ia mengundang kekalahan dan masyarakat akar umbi tidak menyokongnya. Saya bukan berhasrat ingin mengubah status quo agihan kerusi tetapi mahu memastikan kemenangan BN dicapai dengan sokongan majoriti rakyat.

Umno kini dilihat berada pada tahap paling kuat hasil pelbagai perubahan yang dilakukan dan saya yakin bahawa masyarakat akar umbi berbilang kaum akan menyokong calon Umno sebagai wakil rakyat kerana mereka menerima dengan baik konsep 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.


Komen Suhaizan :

Pada pemilihan UMNO yang lepas. Dato NurJazlan(Anak Dato Mohammad Rahmat) telah mengalahkan Dato Osman Sapian ADUN Kempas dalam pemilihan Ketua Bahagian UMNO Pulai

Semasa Pilihanraya 2008 nama Dato Osman Sapian tidak disenarai sebagai calon BN DUN Kempas tetapi Dato Sri Najib telah membantu Dato Osman meletakan namanya sebagai calon Kempas. Ini mungkin menyebabkan Dato Nurjazlan tidak berpuas hati sebab pucuk pimpinan di atas tidak mengikut pandangan diperingkat bahagian dan cawangan UMNO di Pulai.

Saya berpandangan ini merupakan salah satu sebab Dato Nurjazlan berpendapat bahawa pemilihan calon Pilihanraya hendaklah dipilih oleh akar umbi.

Walaubagaimana pun marilah kita sama-sama lihat setakat mana cadangan Dato Nurjazlan ini diterima oleh UMNO.




0 comments: