Tuesday, July 29, 2008

Pusat Aduan Rakyat Kempas Membantu Pekedai Cina Tampoi Serah Memorandum





Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas Sdr. Suhaizan Bin Kaiat bersama-sama pekedai-pekedai cina Tampoi telah menyerahkan memorandum mereka kepada En. Lokman Bin Abu Bakar, Setiausaha Sulit Menteri Besar Johor, Dato' Hj Abd Ghani Othman di Johor Baharu. Berikut adalah isikandungan memorandum tersebut.

MEMORANDUM
PENIAGA TANAH LOT PTD 90667 HS(D) 420178
MUKIM TEBRAU
JALAN DATO’ TOH AH BOON, TAMPOI




Kami peniaga-peniaga kedai di atas tanah Lot PTD 90667 HS(D) 420178 Mukim Tebrau iaitu di Jalan Dato’ Toh Ah Boon, Tampoi telah tinggal dan berniaga secara turun temurun di kawasan ini sejak tahun 1954. Atas faktor-faktor keselamatan daripada ancaman komunis, kerajaan telah memindahkan kami daripada kawasan sekitar ke perkampungan ini yang dikenali sebagai Kampung Baru Tampoi. Pada tahun 1972 kami telah dianugerahkan Lesen Menduduki Sementara(TOL) oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan telah memberi kemudahan yang bersesuaian kepada pekedai di sini. Pada 14hb September 1985 melalui MCA Cawangan dan Gerakan Pemuda Dan Kaum Wanita, Tampoi, Johor telah menghantar surat kepada pejabat Menteri Besar Johor bagi mengadu masalah yang berkaitan dengan pembangunan di kawasan ini. Pada 16hb Mei 1989 pihak kami telah memohon perubahan daripada tanah TOL kepada tanah bergeran kepada pihak Kerajaan Johor. Kami menunggu dengan penuh harapan tetapi malangnya pada 3hb Mei 2006, pihak Kerajaan Negeri Johor telah menganugerahkan tanah tersebut kepada pihak Johor Corporation, sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Johor.

Akhirnya pada 24hb September 2007 kami telah mendapat notis mengosongkan bangunan daripada pihak Johor Corporation sebelum atau pada 25hb Oktober 2007. Rayuan telah dibuat kepada pihak Johor Corporation melalui YB Low Teh Hian, Adun Kawasan Pengkalan Rinting merangkap Ketua Biro Aduan MCA Johor pada 5hb Oktober 2007. Permohonan pajakan telah dibuat sepertimana yang diucapkan oleh Y.B Dato’ Haji Osman bin Sapian, Adun Kempas dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 25 Jun 2008. Dialog dengan pihak Johor Corporation juga telah dipohon melalui Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas pada 10hb Julai 2008. Malangnya pihak Johor Corporation tidak mahu melayan sebarang cadangan daripada pihak kami. Malah mereka mahu peniaga di sini mengosongkan kedai kami seberapa segera seperti yang terkandung dalam surat jawapan kepada Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas bertarikh 17hb Julai 2008. Pihak kami juga telah mendapati bahawa sebahagian tanah ini telah disewa kepada pihak tertentu untuk diusahakan dalam tempoh masa 3 tahun.

Kami merayu kepada pihak Y.A.B Menteri Besar Johor Dato’ Haji Abdul Ghani Othman agar dapat mengarahkan anak syarikat Kerajaan Negeri Johor, Johor Corporation mengizinkan kami menyewa, membangunkan dan berniaga di kawasan ini pada kadar yang bersesuaian. Jika pihak tertentu berhak mendapat sewaan tanah di sini mengapa pula kami yang membangunakan kawasan ini sejak tahun 1954 tidak dilayan oleh pihak Johor Corporation. Perbincangan lanjut mengenai perkara ini perlulah diadakan di antara pihak pekedai dengan pihak Johor Corporation. Kami berharap pihak Y.A.B dapat mempertimbangkan seterusnya menyokong permohonan yang tersebut di atas.


Bersama ini disertakan bersama tandatangan pekedai yang terbabit dan dokumen-dokumen yang berkaitan.

0 comments: