Saturday, July 19, 2008

Muzakarah UMNO-PAS. Sangupkah UMNO berkorban?

Pada tahun 1969 kekalahan parti perikatan dalam pilihanraya telah menjadi salah satu punca tercetusnya peristiwa 13 Mei. Parti pembangkang telah banyak mendapat sokongan dalam pilihanraya tersebut. Kebetulan sebahagian yang menang adalah mereka adalah bukan melayu. Ditambah dengan tempoh yang agak lama Tungku Abd Rahman menjadi Perdana Menteri. Maka kegawatan politik tercetus sehingga membawa kepada ketegangan antara kaum khususnya di Kuala Lumpur. PAS melihat jika kedudukannya berada didalam Perikatan sekurang-kurangnya dapat memperkuatkan Perikatan dalam usaha membawa agenda Islam dalam kerajaan. Maka pelawaan Tun Razak, tokoh yang disegani oleh kawan dan lawan telah membuka pintu hati pimpinan PAS untuk bersama dalam Perikatan. Niat PAS suci iaitu untuk mempastikan agenda Islam dipertegukan dalam kerajaan.

Malangnya sekali air bah, sekali pasir berubah. Kedudukan PAS dalam Perikatan telah mengugat UMNO khususnya dalam kementerian-kementerian yang dipegang oleh PAS. Dasar Islam dalam PAS telah merimaskan UMNO. Maka kegiatan PAS sering dicurigai. Kedudukan Perikatan pula sudah semakin baik. Mereka telah menjadi kuat atas sokongan PAS dalam Perikatan. Bila Tun Razak Hussin meninggal diganti dengan Tun Hussin Onn maka sentuhan-sentuhan Tun Razak terhadap PAS yang dilakukannya dahulu hilang bersama hilangnya jasadnya. Akhirnya Tun Hussin yang tidak begitu merasa perit jerih PAS bersama Perikatan telah menendang PAS daripada Perikatan atau Barisan Nasional pada tahun 1978. Maka bekelanalah PAS seorang diri membawa bahtera Islam diluar Barisan Nasional.

Pemilihan UMNO tahun 1987 telah membawa UMNO kepada perpecahan Team A yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir dan Team B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Perpecahan ini sehingga membawa UMNO diharamkan dan Team B termasuk Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi , tidak diterima oleh UMNO Baru yang ditubuhkan semula oleh Tun Dr. Mahathir. Maka Tengku Razaleigh terkapai-kapai diluar UMNO Baru. PAS mengambil tali, menarik Tengku dalam Bahtera Angkatan Perpaduan Ummah. Atas nama Islam bersatulah antara PAS dan Semangat 46.

Apabila Semangat 46 bertarung dua kali kalah dalam piliharaya umum maka nafas mereka semakin pendek. Maka pelawaan Tun Dr Mahathir atas nama perpaduan Melayu telah menyumbat Tengku bersama Dato Rais Yatim dan Dato Sabri Cik dalam lubang UMNO yang telah dihinanya sekian lama. Maka berkelanalah PAS seorang diri membawa Bahtera Islam bersendirian.

Kegawatan ekonomi tahun 1996 dan pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim tahun 1997 daripada UMNO atas tuduhan yang telah diketahui umum telah menyebabkan PAS menubuhkan GERAK. Dalam pertubuhan inilah keadilan khususnya yang menyangkut individu bekas orang kuat UMNO Anwar Ibrahim diperjuangkan. Akhirnya Parti Keadilan Nasioal (PKN) atau PKR ditubuhkan di bawah Datin Seri Dr. Wan Azizah. Atas nama menegakkan keadilan yang dianjurkan oleh Islam maka PAS bersama Barisan Altenatif(BA). Nafas PKR semakin panjang selepas pilihanraya 2008 apabila bersama PAS dan DAP dapat menawan 6 negeri termasuk Wilayah Persekutuan. Sebaliknya nafas UMNO semakain pendek disebabkan kekalahannya dalam pilihanraya 2008 dan kemelut dalamannya dah nak sampai perang dunia kedua. Keterbukaan Presiden PAS dalam harakah disambut dengan agresifnya oleh UMNO. Macam haruan yang dah 100 hari tak makan. Dalam suasana ini UMNO dan PAS semacam mahu mengadakan Muzakarah yang telah 2 kali tertangguh pada tahun1986 dan 2000.

Apabila bermuzakarah dan mungkin berakhir dengan sesuatu keputusan. Persoalannya,siapakah yang harus berkorban UMNO atau PAS? UMNO harus berkorban untuk meminta maaf terhadap ketelanjurannya terhadap Islam dan PAS. Segala tohmahanya terhadap Islam dan PAS harus ditebus. Mana mungkin muzakarah ini mahu dilaksanakan jika UMNO dengan perangai lamanya yang pragmatif terhadap Islam, menekan ahli PAS disetiap peringkat, menghina ahli PAS melalui saluran media yang dikuasainya, menjarakan ahli PAS daripada keluarganya melalui pelbagai akta serta peraturan, memecat ahli PAS yang bekerja disektor kerajaan, membunuh ahli PAS di Memali dan menghina perintah Allah. PAS telah banyak kali berkorban untuk agenda Islam dilaksanakan dalam negara ini. Bolehkah UMNO berkorban untuk Islam untuk kali ini ? Jika UMNO tidak ikhlas untuk berkorban sebagai syarat muzakarah maka sebenarnya melepaskan UMNO daripada kemelut politik dan ekonomi ini umpama melepaskan anjing yang tersepit. Bila anjing telah lepas daripada sekatan maka orang yang membantu melepaskannyalah yang akan digigit. Setelah UMNO lepas daripada kemelut, Presidennya pula bertukar, habis PAS dan pengikutnya digigit. Dalam hal ini ada eloknya anjing itu dibiarkan tersepit sampai bila-bila. Sanggupkah UMNO berkorban ?

0 comments: