Saturday, February 28, 2009

Kenyataan Media Hasni Abas- S/U GMP

KENYATAAN MEDIA
27hb Februari 2009


Bersama Menjayakan Himpunan Aman 100 Ribu Mansuhkan PPSMI


Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan Himpunan Aman 100 Ribu di Istana Negara pada 7hb Mac 2009 jam 2 petang. GMP telah menetapkan tiga lokasi tempat berhimpun sebelum berarak ke Istana Negara seperti berikut :
a. Pusat Perniagaan SOGO
b. Centrel Market
c. Masjid Negara

Bagi memudahkan perjalanan himpunan ini maka semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam untuk hadir dalam himpunan ini. Peserta dikehendaki berada dilokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang. Kawalan keselamatan akan dibantu oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara. Permit himpunan telah dipohon kepada Y.Bhg Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara. Peserta adalah dilarang samasekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan.

Pimpinan yang akan turut sama dalam himpunan ini adalah Dato’ A.Samad Said, Dato’ Dr Hassan Ahmad, Dr Shaharil Mohamad Zain, Prof Emeritus Abdullah Hasaan, Prof Emeritus Dato’ Nik Safiah Karim, Y.B Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Y.B Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Y.B Lim Kit Siang dan ramai lagi

Warna tema GMP adalah ’putih’. Peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI. GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia(SUARAM) bersama 53 persatuan lain telah turut sama menyokong GMP. Sehubungan itu pihak GMP telah selesai mengadakan siri jelajah seluruh negara dan mendapat sambutan yang begitu mengalakkan. GMP penuh berkeyakinan bahawa 100 ribu rakyat Malaysia akan berkumpul dihadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang.



SDR HASNI ABAS
Setiausaha
Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)

Thursday, February 26, 2009

PIBG seluruh negara bantah PPSMI - Malaysiakini

Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.

Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.

Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.

"Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.

"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia).

"Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.

Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”.

"Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI.

"(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.

Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan".

"Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.

Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dianggotai kumpulan NGO dan sayap-sayap Pemuda PKR dan PAS.

PPSMI: A. Samad Said sedia hilang gelaran - Utusan Malaysia

KOTA BHARU 25 Feb. - Datuk A. Samad Said sedia kehilangan gelaran dan penghormatan sebagai Sasterawan Negara dalam memperjuangkan pemansuhan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, gelaran tersebut tidak penting bagi dirinya kerana perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu lebih utama bagi kelangsungan anak bangsa pada masa depan.

"Kalau hendak ambil (gelaran), ambillah sekarang, perjuangan mesti diteruskan, ia langsung tidak menyentuh saya, kalau fikir itu besar sangat ambil dan simpan sajalah.

"Saya sudah umumkan dulu, saya bukan Sasterawan Negara, saya lebih senang dipanggil sasterawan rakyat," katanya pada sidang akhbar bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut diadakan sempena 'road show' anjuran GMP di negeri ini untuk menghimpunkan 100,000 rakyat bagi mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI di depan Istana Negara, Kuala Lumpur, 7 Mac ini.

A. Samad yang juga merupakan penasihat GMP berkata, beliau tidak akan berhenti menegur semua pihak terutama dalam isu bahasa walaupun mengetahui kebenaran itu perit.

"Memang dulu, saya seorang sasterawan yang 'berkira-kira' oleh kerana golongan elit yang berkuasa adalah rakan-rakan saya, semuanya saya kenal, kalau bercakap saya tidak mahu sentuh kecuali ada pemimpin yang inginkan fikiran saya secara jujur dan total.

"Sebelum saya pergi haji, sikap saya terlalu menjaga hati walaupun benda itu salah, saya tidak berani menegur tetapi semenjak saya pulang, saya sudah bersedia untuk berkata benar walaupun memeritkan, kalau betul saya sokong," katanya.

Katanya lagi, Kementerian Pelajaran yang masih mempertahankan PPSMI seolah-olah tidak yakin dan percaya dengan bahasa sendiri untuk menjadi medium bagi rakyat menimba ilmu.

Justeru itu, jelas beliau, perjuangan untuk meyakinkan kerajaan akan diteruskan dan semua pihak tidak perlu memandang serong tindakannya berada di atas pentas Pas bagi mempertahankan bahasa Melayu.

"Saya hanya mencari pentas, kalau ada orang yang sediakan pentas, apa salahnya saya berada di sana untuk memperjuangkannya supaya tidak nanti anak cucu kata kita tidak pertahankan bahasa ibunda, tidak nanti mereka kata nenek moyang kita buat.

"Perjuangan saya hanya mendaulatkan bahasa, saya bukan orang politik dan saya tidak fikir akan jadi orang politik, barangkali saya akan menyertai mana-mana parti secara bukan orang politik, tetapi ikut isu yang mesti diperjuangkan," katanya.

Sekiranya kerajaan masih berdegil, beliau meminta rakyat supaya menggunakan kuasa untuk menterjemahkan ketika pilihan raya dengan mengundi menolak pihak yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

Saturday, February 21, 2009

Road Show Negeri-negeri Seluruh Negara

Road Show Negeri Pahang

Tarikh : Sabtu 21.02.09 – 9.00 Malam
Tempat : Pekan, Pahang
Penceramah : YB. Saifuddin Nasation
Sdr. Faisal (AJK GMP)
Penganjur : Abdullah Karim (012-9526476)


Road Show Negeri Kedah

Tarikh : Sabtu 21.02.09 – 9.00 Malam
Tempat : Sg. Petani, Kedah
Penceramah : YB. Firdaus (MP Jerai)
Sdr. Hasni Abas (AJK GMP)
Penganjur : Firdaus (013-4880993)



Road Show Negeri Johor

Tarikh : Ahad 22.02.09 – 9.00 Malam
Tempat : Dataran Dahlia, Tmn Dahlia, Tampoi, Johor Baharu
Penceramah : Dato’ A.Samad Said (Penasihat GMP)
Tn Hj. Mohammad Bin Sabu (Naib Presiden PAS)
Prof Emeritus Abdullah Hassan(Naib Pengerusi GMP)
Sdr. Suhaizan Kaiat (AJK GMP
Penganjur : Hamid Jamah (013-7239477)


Himpunan Mansuh PPSMI – Pakatan Rakyat(PR)

Tarikh : Isnin 23.02.09 – 9.00 Malam
Tempat : Dewan Perhimpunan Cina, Selangor.
Penceramah : Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang (Presiden PAS)
Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR)
Dato’ Hassan Bin Ahmad (Pengerusi GMP)
Cikgu Azmi (Presiden TERAS)
Dinseman
Penganjur : Shamsul Kamar (019-6532973)


Road Show Negeri Selangor

Tarikh : Selasa 24.02.09 – 9.00 Malam
Tempat : Dewan Kompleks Sukan PKNS, di Kelana Jaya, Selangor
Penceramah : Tan Sri Khalid Ibrahim(Menteri Besar Selangor)
Professor Dr Ir Wan Abu Bakar (UM)
Y.B Tian Chua (MP Batu)
YB Nik Nazmi Nik Ahmad (S/U Politik MB Selangor)
Syed Shahir Syed Mohamed (MTUC)
Penganjur : Dinseman (013-6362408)

Road Show Negeri Perak

Tarikh : Ahad 24.02.09 – 9.00 Malam
Tempat : Bukit Gantang, Perak
Penceramah : Tn. Haji Mohammad Bin Sabu
Sdr. Kamaruzaman (GMP)
Penganjur : Azhar (019-5556619)

Bersambung....

Friday, February 20, 2009

JPN Kelantan Melampau ?

Jika benar kenyataan salah seorang Pengerusi PIBG di Negeri Kelantan seperti yang ditulis dalam Harakahdaily 19-02-09 iaitu pengerusi telah dipaksa menandatangani akuan bersetuju dengan PPSMI maka iatu merupakan suatu usaha yang tidak wajar dilakukan oleh JPN Kelantan.

Pengesahan sedang dilakukan oleh pihak Gerakan Memansuhkan PPSMI(GMP). Jika benar dakwaan ini maka GMP akan membuat laporan polis, kementerian pendidikan dan ahli-ahli parlimen Malaysia dalam waktu terdekat. Tindakan memaksa pengerusi PIBG bersetuju dengan PPSMI merupakan suatu tindakan malampau dan tidak memberi kebebasan bersuara yang telah dijamin oleh perlembagaan Malaysia.

Harakah : JPN paksa persatuan sokong dasar PPSMI - pengerusi PIBG

KOTA BHARU, 19 Feb (Hrkh) - Setelah menyedari pelbagai pihak bangkit menentang dasar pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kini Kementerian Pelajaran dikatakan mencari sokongan secara paksa melalui ibu bapa.

Terbaru pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini diminta menandatangani surat yang berupa teks ucapan mesyuarat PIBG yang disediakan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Mengikut sumber setiap pengerusi PIBG dipaksa menandatangani serta membaca teks ucapan yang telah siap ditulis oleh JPN ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat tersebut.

"Antara lain kandungan teks itu iaitu bersetuju menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains.

"Tindakan JPN amat tidak adil kerana tidak memberi kebebasan langsung terhadap pengerusi PIBG membuat pilihan sendiri.

"Perkara seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini di mana setiap pengerusi PIBG bebas berucap apa sahaja asalkan ia memberi kepentingan kepada pelajar dan sekolah," katanya yang juga pengerusi PIBG sebuah sekolah ketika ditemui di sini.

Menurutnya JPN cuba bermain sandiwara setelah menteri pelajaran diasak teruk di mana pelbagai pihak tampil menentang dasar PPSMI yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri.

Kata beliau seharusnya kerajaan mendengar keluhan rakyat dan bukannya memekat telinga meneruskan dasar PPMSI.

Beliau yang enggan mendedahkan identitinya turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan JPN Kelantan yang cuba memperalatkan PIBG untuk tujuan politik. - mj

Thursday, February 19, 2009

Jawapan Hishamuddin Di Parlimen 17hb Feb 09

Soalan MP Tumpat Kamaruddin Jaffar terhadap isu PPSMI boleh dirujuk blog dibawah :

http://mppas.wordpress.com/2009/02/18/mp-pas-tumpat-dasar-ppsmi-bercanggah-dengan-perlembagaan-persekutuan/