Tuesday, August 5, 2008

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh : UMNO tak perlu letak calon.

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh akan diputuskan tarikhnya oleh SPR pada 6hb Ogos 2008. Calon Pakatan Rakyat telah diketahui umum iaitu Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, sementara UMNO masih tercari-cari calon yang sesuai. Ramai pemimpin UMNO tak yakin boleh menang di sana kerana pengaruh Anwar telah bertapak disana sejak mula beliau memasuki UMNO. Pada pandangan saya UMNO sepatutnya tidak meletakkan calon di Permatang Pauh seterusnya tidak bertanding dalam pilihanraya kecil ini. Alasannya adalah :

Pertamanya : UMNO sedang dalam proses pemilihan diperingkat cawangan bermula 17 Julai hingga 24 Ogos 2008. Kemudian pemilihan diperingkat bahagian pada 9 Oktober – 9 November, di peringkat nasional 16 – 20 Disember 2008. Semua ahli UMNO sudah tentu sibuk berkempen, siang dan malam untuk mempastikan kroni masing-masing menang. Bagi merebut ketua cawangan UMNO mungkin memerlukan perbelanjaan RM20 – RM50K. Bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian memerlukan RM 150K – RM200K. Ahli UMNO sudah tentu tidak cukup masa nak agaih-agihkan duit yang banyak itu. Lagi pun jika ahli UMNO diperingkat cawangan di gerakkan ke Permatang Pauh sudah tentulah mereka akan terlepas untuk mengutip duit-duit rasuah politik daripada pemimpin-pemimpin mereka. Duit rasuah politik ni penting untuk mempastikan servival melayu. Duit inilah yang akan digunakan untuk mempertahankan tanah-tanah orang Melayu yang telah tergadai dan juga untuk mempertahankan hak-hak orang melayu. Jika mereka pergi ke Permatang Pauh untuk berkempen maka terlepaslah peluang mereka untuk membaham duit-duit rasuah yang bertaburan di cawangan-cawangan

Keduanya : Selepas pilihanraya ke 12 yang lepas, UMNO belum pulih ataupun tak de daya nak memulihkan UMNO. Nak mengharap dahan PAS, seluruh akar umbi PAS menentangnya. Nak harapkan MCA, MCA pun berkecamuk. Nak harapkan MIC, orang India marahkan Sammy. Nak harapkan Gerakkan, Gerakkan terlingkup di Pulau Pinang. Tinggalah UMNO berkelana bersama bahtera yang nak karam itu. Peluang UMNO kalah di Permatang Pauh sangat cerah, secerah matahari disiang hari. Jika UMNO masuk bertanding kemudian kalah, sudah tentu imej UMNO jatuh menjunam seperti nangka busuk. Bagi mengelakkan UMNO dimalukan Pakatan Rakyat eloklah UMNO tidak bertanding di Permatang Pauh

Ketiganya : Orang Permatang Pauh selama ini pun bukannya mereka pilih Wan Azizah tapi sebenarnya mereka pilih Anwar Ibrahim. Logiknya jika Wan Azizah tu bukan isteri Anwar kemudian beliau bertanding di Permatang Pauh tahun 1999, adakah Wan Azizah boleh menang? Jawapannya mudah Wan Azizah bukan isteri Anwar akan kalah. Oleh itu apa pentingnya UMNO bertanding kalau pengundi Permatang Pauh mati hidup balik pun akan sokong Anwar. Orang Negeri Sembilan kata ”Ngabih Boreh jo”. Perletakkan jawatan Wan Azizah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh itu hanyalah proses menukar penama ahli parlimen aja. Kalaulah proses ini boleh dibuat tampa pilihanraya tentulah SPR akan menukar penama ahli Parlimen Permatang Pauh daripada Wan Azizah Wan Ismail kepada Anwar Ibrahim. Tak perlulah susah-susah pilihanraya kecil pulak.

Keempatnya : Pemimpin UMNO kata pilihanraya kecil Permatang Pauh membazir dan mempersia-siakan mandat rakyat. Jika UMNO tak masuk bertanding maka jimatlah sikit duit rakyat. Lagipun UMNO tengah sesak duit untuk merasuah ahli cawangan-cawangan sekarang ini. Keputusan pilihanraya 2008 telah memberi mandat kepada PKR di Permatang Pauh. Pada pilihanraya 2008 Wan Azizah pun dah berjanji, jika menang di Permatang Pauh beliau akan letak jawatan untuk memberi laluan kepada suaminya yang disekat bertanding pada masa ini. Kesimpulannya rakyat Permatang Pauh telah beri mandat kepada PKR, bukanya UMNO dalam pilihanraya 2008. Apa pulak UMNO nak sibuk-sibuk kacau mandat rakyat di Permatang Pauh

Sunday, August 3, 2008

Khair Toyo, Tajul Rosli, Adnan Yakob dah tawaran jawatan Menteri Besar, Abdul Ghani bila lagi?

Bekas Menteri Besar Negeri Selangor, Perak dan Menteri Besar Pahang telah mengemukakan tawaran kepada PAS untuk jawatan menteri besar di negeri masing-masing. Mungkin kedudukan kerusi di Perak dan Selangor tidak sama dengan negeri Johor. Walaubagaimanapun kedudukan kerusi PAS di negeri Pahang dan Johor adalah sama iaitu 2 kerusi sahaja. Maksudnya Pahang dan Johor mempunyai kapasiti yang sama dari segi kekuatan PAS di Dewan Undangan Negeri. Kalau Adnan Yakob telah menawarkan jawatan Menteri Besar Pahang kepada PAS, mengapa Dato’ Abdul Ghani Othman tidak boleh bertindak sedemikian. Bilakah lagi MB Johor mahu menawarkan Jawatan MB kepada PAS Johor ?

Kenyataan Mukhriz Mahathir : BPR dan Polis perlu bertindak

Kenyataan yang telah dikeluarkan pada 2hb Ogos 2008 di Jitra seperti dilaporkan oleh akhbar-akhbar utama negara perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak berkuasa. Mukriz telah menyatakan kebimbangan peluangnya untuk bertanding dalam merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada bulan disember ini. Beliau menyatakan bahawa gejala politik wang dan peyelewangan yang berlaku di peringkat cawangan-cawangan telah sedikit sebanyak mengakis peluangnya untuk mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi bertanding. Hanya keajipan sahaja yang boleh melayakkan beliau bertanding di bulan disember ini.

Kenyataan ini cukup jelas bahawa gejala politik wang ataupun rasuah politik sedang berjalan dalam pemilihan cawangan-cawangan UMNO. Apa yang dibuat oleh BPR ? Apa yang dibuat oleh pihak polis? Apabila Tuang Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat buka mulut ada pihak menyogok untuk memastikan pimpinan PAS Kelantan lompat parti. Secepat lipas kudung BPR membuat siasatan terhadap Tuan Guru. Berdasarkan kenyataan Mukhriz di akhbar, pihak BPR dan Polis sila buat siasatan terhadap Mukhriz. Sudah tentu Mukriz ada bukti-bukti yang kukuh sebelum beliau membuat kenyataan ini. Beliau calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, bukan calon Ketua Pemuda UMNO Cawangan, sudah tentu itu kenyataan yang sangat bertanggungjawab daripada seorang pemimpin. Ayuh BPR dan Polis, BERTINDAKLAH!!!!!

Saturday, August 2, 2008

Penstrukturan Semula Harga Minyak. Mengapa tidak 1 Ogos ?



Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan pada 1 hb Ogos 2008, bahawa harga minyak akan distrukturkan semula pada 1hb September 2008. Persoalannya mengapa terpaksa menunggu satu bulan lagi sedangkan kenaikkan terburuk harga minyak dalam negara berlaku pada 5 Jun 2008. Langkah menaikkan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter merupakan peningkatan sebanyak 40 peratus dan 63 peratus berbanding harga sebelumnya. Pada waktu itu harga minyak dunia sekitar AS$125 setong. Ini bermakna 5hb Julai genap satu bulan kenaikkan harga minyak dalam negara.

Harga minyak dunia menurun pada 29hb Julai dibawah AS$122 setong. Sepertimana yang telah disebut oleh Menteri Perdagangan dan Hal-Ehwal Pengguna Dato’ Shahril Abdul Samat semasa diwawancara oleh TV3 bahawa harga minyak akan distrukturkan semula pada setiap awal bulan. Kenyataannya dibuat pada awal Julai 2008. Maka sepatutnya penstrukturan semula berlaku pada 1hb Ogos 2008 bukannya 1hb September 2008. Jika penstrukturan pada 1hb September 2008 maka kesan penurunannya jika adapun pada awal oktober 2008 iaitu 2 bulan daripada sekarang. Perbezaan dua bulan ini kepada pak menteri terlalu kecil tetapi bagi peniaga-peniaga dan golongan berpendapatan kecil tempoh ini amat memeritkan sekali.

Bayangkan bagaimana lamanya tempoh 2 bulan ini dirasai oleh keluarga yang nak bayar bil elektrik pun tak mampu sehingga rumahnya terbakar sepertimana yang berlaku di Kluang pada Ogos 2007 yang lalu. Apakah pula akan terjadi jika pada 29hb Ogos 2008 minyak naik melebihi AS$130 setong ? Sudah tentulah tiada penstrukturan semula pada 1hb september sepertimana yang telah disebut oleh Pak Lah. Maka melepaslah lagi rakyat Malaysia.

Friday, August 1, 2008

Kau Demam Ke Pak Lah ?

Dalam buletin TV3 jam 8 malam tadi Pak Lah mempertikaikan bagaimana Datin Seri Wan Azizah bekas ahli Parlimen Permatang Pauh meletakkan Jawatan. Beliau berkata tindakan itu salah kerana pengundi di sana mengundi Wan Azizah dalam pilihanraya bukan mengundi Anwar. Seolah-olah Wan Azizah menghianati mandat pengundi Permatang Pauh. Pak Lah ni mungkin demam hari ini sebab masa Wan Azizah bertanding dulu pun dia dah kata bahawa beliau bersedia melepaskan jawatan sebagai ahli parlimen jika Anwar mahu bertanding selepas tempoh sekatan tamat. Wan Azizah dah kata macam tu pun pengundi masih sokong beliau. Maknanya Pak Lah ....... pengundi Permatang Pauh bukan mengundi Wan Azizah tetapi mengundi Anwar Ibrahim masa pilihanraya 2004 dan 2008. Faham Pak Lah?????

Warga Setinggan Kempas Ditimpa Kemalangan



Sdr. Alias Abdullah (terbaring) telah ditimpa kemalangan semasa memanjat pokok rambutan dihadapan rumahnya di Kg Denai Pinggiran, Kempas. Beliau mengalami kecederaan dibahagian paru-paru apabila dua batang tulang rusuknya patah dan mengenai paru-parunya. Beliau telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah JB dan mendapat rawatan selama 3 hari. Semasa laporan ini ditulis beliau sedang dalam perjalanan pulang ke Kelantan untuk mendapatkan rawatan secara tradisional di sana. Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas Sdr. Suhaizan Kaiat bersama Pengerusi J/K Bertindak Setinggan Kempas Sdr. Ramli Ibrahim (duduk sebelah kiri) dan S/U J/K Bertindak Sdr. Abd Rahman Daud (duduk tengah) telah meluangkan masa 30 minit menziarahi beliau. Semoga beliau dan keluarga diberi kekuatan oleh Allah S.W.T mengadapi musibah ini dan semoga beliau cepat sembuh. Amin

RM 1.3 Juta Peruntukkan Untuk Taman Cempaka, Tampoi





Jawatankuasa Bertindak Rumah Pangsa Taman Cempaka mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Majlis Bandaraya Johor Baharu yang telah memperuntukkan RM1.3 Juta untuk mengecat bangunan 27 blok rumah pangsa Taman Cempaka. Awal bulan Julai lepas Jawatankuasa Bertindak Rumah Pangsa Taman Cempaka yang ditubuhkan di bawah Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas telah mendesak kepada pihak kerajaan memperuntukkan kewangan bagi mengecat semua blok Taman Cempaka yang dianggarkan kosnya bernilai RM0.9 Juta. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak En.Misbari Bin Simun dan Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas En. Suhaizan Kaiat akan membuat kenyataan akhbar esok sabtu 2hb Ogos 2008 di Tampoi, Johor.