Tuesday, March 23, 2010

Sokongan Kepada Perjuangan Setinggan Kempas









" Marilah kita sama menyokong perjuangan setinggan Kempas dengan sama-sama turun ke Kg Denai Pinggiran, Kempas pada jam 7 am rabu 24.3.2010. Jumpa disana"



Perjuangan setinggan Kempas bersama Pusat Aduan Rakyat(PAR)Kempas bermula pada 18hb April 2008 dengan penubuhan sebuah Jawatankuasa Bertindak Setinggan Kempas yang dipengerusikan oleh Sdr. Ramli Bin Ibrahim. Jawatankuasa ini dibentuk dibawah PAR Kempas. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk membela nasib penduduk setinggan Kempas yang berjumlah lebihkurang 9,624 orang daripada 2,000 keluarga. Penduduk setinggan ini bakal diusir dpd kampung halaman yang mereka telah tinggal lebih 20 tahun yang lalu. Jawatankuasa ini bertanggungjawab menjaga kepentingan 18 penduduk setinggan iaitu Denai Pinggiran, Denai Utama, Denai Selatan, Denai Aman, Denai Damai, Lorong Denai 15, Sawa, Lurah, Seri Rahmat 1, Seri Rahmat 2, Kg Gudang Beras, Seri Kempas 1, Seri Kempas 2, Kg Lembah Murni, Permatang, Sinaran, Banjaran dan Rumah Pangsa PPR.
Jawatankuasa ini telah berjaya menganjurkan satu Himpunan Warga Setinggan Kempas pada 1hb Mei 2008 di Jln Denai 2, Pesimpangan Denai 7. Kehadiran penduduk setinggan adalah diluar jangka dimana pihak penganjur hanya mensasarkan 300 orang sahaja tetapi kehadiran pada masa tersebut melebihi 600 orang. Ramai peserta telah meluahkan perasaan mereka sepanjang menduduki penempatan setinggan di Kempas. Program ini membuktikan sokongan padu daripada warga setinggan Kempas.

Pada 15hb Jun 2008 suatu himpunan setinggan Kempas kali kedua telah diadakan di Kempas bersama YB. Salahuddin Ayub Ayub Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. Tujuannya untuk mengumpul tandatangan merayu pihak kerajaan mempertimbangkan rayuan mereka sekurang-kurangnya mengadakan perbincangan dengan mereka. Tandatangan ini dikumpul untuk diserahkan kepada Y.A.B Menteri Besar Johor Dato Abdul Ghani Bin Othman.

Pada jumaat 20hb. Jun 2008 tepat jam 12 tengahari Jawatankuasa Bertindak Penduduk Setinggan Kempas yang diketuai Pengerusinya Sdr. Ramli Hj Ibrahim telah berjaya menyerahkan memorandum setinggan Kempas bersama 1,200 tandatangan penduduk. Dalam memorandum ini mereka menuntut dikurniakan tanah oleh pihak kerajaan dalam kawasan Kempas seperti pengurniaan kepada penduduk setinggan Kg. Sri Serdang Baru(Perling), Kg Sri Jaya Baru(Perling) dan Kg. Pasir(Tampoi). Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman telah menerima memorandum tersebut selepas sidang Dewan Undangan Negeri dan berjanji akan memperhalusi isi kandungan memorandum tersebut. Beliau menolak cadangan untuk mengadakan pertemuan ringkas pada hari tersebut atas alasan kesuntukkan masa. Beliau juga menolak apabila diajak bergambar bersama delegasi. ”Dah terima dah, tak perlu ambil gambar lagi” kata Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor.

Pihak kerajaan Negeri Johor tidak langsung mempertimbangkan permohonan penduduk setinggan Kempas. Akhirnya sebahagian penduduk setinggan telah berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai pada awal tahun 2009. Mereka terpaksa membayar deposit sebanyak RM840 dan menyewa di bangunan tersebut sebanyak RM124 sebulan. Secara puratanya mereka terpaksa berbelanja sebanyak RM1500 untuk memulakan hidup baru di rumah pangsa ini. Pihak kerajaan negeri Johor tidak langsung membantu mengurangkan bebanan mereka. Sebahagian penduduk telah mendesak agar diberi peluang kepada penduduk PPR diberi pilihan untuk memiliki rumah ini secara kaedah jual-beli seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 10hb Oktober 2009 di Kuala Lumpur. Sehingga kini tiada respon daripada pihak Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

Akhirnya Kampung Denai Pinggiran yang merupakan salah sebuah kampung setinggan Kempas telah menerima notis pindah. Mereka telah menerima notis keluar daripada kampung mereka pada 15hb Oktober 2009. Setelah Menteri Besar Johor tidak langsung mempertimbangkan permintaan mereka malah mengusir mereka daripada kampung maka pada 27hb Oktober 2009 penduduk setinggan Kg Denai Pinggiran, Kempas telah menghantar suatu memorandum kepada Y.A.B Dato’ Sri Najib Bin Tun Abd Razak di Putrajaya dan kepada ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur. Pegawai Khas Perdana Menteri masa itu Dato Nasir Safar telah berjanji akan membawa memorandum tersebut ke pengetahuan Perdana Menteri. Beliau sendiri berjanji dalam tempoh 2 minggu beliau akan turun ke Kg Denai Pinggiran. Malangnya sehingga beliau meletakkan jawatan pun masih tidak ada bayang Dato Nasir turun ke Kempas.

Maklumat terbaharu yang penduduk kampng terima pada hari rabu 24.3.2010 jam 8 pagi Pejabat Tanah Daerah Johor Baharu (PTDJB) bersama pihak polis akan mengepung kawasan Kg Denai Pinggiran untuk tujuan merobohkan penempatan mereka. Penduduk kampung bersama mereka yang bersimpati akan mempertahankan kampung mereka sehingga pihak kerajaan melunaskan tuntutan mereka. Dibawah ini saya sertakan kenyataan media penduduk Kampung Denai Pinggiran pada 23 Oktober 2009.


Kenyataan Media
23hb Oktober 2009
PERMOHONAN
BANTUAN KEWANGAN(SAGUHATI)
DARIPADA PIHAK KERAJAAN

Kami penduduk Kg Denai Pinggiran, Tampoi Johor telah menerima notis daripada Pentadbir Tanah Johor Bahru untuk mengosongkan tanah kampung kami dalam masa 2 minggu daripada tarikh notis dikeluarkan pada 15hb Oktober 2009. Sehubungan itu pihak kami memohon jasa baik pihak Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dan Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman untuk memberi bantuan kewangan atau saguhati kepada penduduk kampung sebagai timbalbalas kepada pengorbanan penduduk kampung yang telah tinggal lebih 20 tahun. Asas-asas permohonan kami adalah seperti berikut :

1. Kampung kami telah diteroka sejak 20 tahun yang lalu. Sebelum ini tanah ini adalah kawasan hutan yang menakutkan penduduk setempat. Kami telah membersihkan kawasan ini. Selama ini kami tidak mendapat bekalan air dan elektrik. Dengan penuh kesabaran, kami sesama penduduk saling bermuafakat membangunkan kampung ini dengan segala kekurangannya. Anak-anak dan cucu-cucu kami dibesarkan di sini. Kampung ini mempunyai sentimental value kepada kami semua. Kami sangat sayangkan kampung ini. Walaubagaimana pun kami memahami pihak kerajaan mempunyai keutamaan lain untuk membangunkan kawasan ini.

2. Penduduk kampung bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan bagi membantu membangunkan negara ini termasuk perindustrian, pendidikan, perniagaan, pentadbiran dan lain-lain lagi. Secara tidak langsung penduduk kampung membekalkan tenaga buruh yang murah kepada pengembangan ekonomi negara. Penduduk kampung sangat komited dengan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan.

3. Penduduk kampung adalah golongan yang sangat setia kepada parti pemerintah khususnya UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Kami telah banyak kali menyokong parti ini dalam pilihanraya sebelum ini. Kami telah berkempen dengan sepenuh hati bagi menarik sokongan pengundi menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN). Atas sokongan padu ini BN telah menang mudah diperingkat DUN Kempas dan Parlimen Pulai.

4. Penduduk kampung kami adalah mejoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sebahagian kami berpendapatan di bawah paras kemiskinan. Kelembapan ekonomi global masakini telah menyebabkan sebahagian kami kehilangan pekerjaan. Kehidupan di bandar besar seperti Johor Baharu memerlukan komitmen kewangan yang besar. Kami juga perlu menyara keluarga yang serba-serbinya memerlukan kewangan. Tawaran menyewa di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas juga memerlukan bayaran deposit dan sewa bulanan yang cukup membebankan kami.

5. Kami juga sangat tertarik dengan pendekatan pihak Kerajaan Negeri Johor dalam menangani isu setinggan di Kg. Seri Serdang Baru, Kg Seri Jaya Baru, Perling dan Kg Pasir, Tampoi. Penyusunan semula kampung mereka telah memberi peluang kepada penduduk memiliki tanah yang cukup strategik. Sebahagian penduduk di Kampung Gudang Beras, Kempas yang telah dipindahkan, menerima bantuan kewangan sebanyak RM10,000 ribu bagi sebuah rumah. Mereka amat bersyukur kerana kewangan tersebut dapat membantu mereka membina kehidupan baru.

6. Dalam jawapan kepada Dewan Undangan Negeri Johor pada November 2008, telah dinyatakan bahawa pada mesyuarat kerajaan negeri Johor bertarikh 14hb Ogos 2007 kerajaan negeri telah membuat keputusan bahawa kerajaan persekutuan perlu menjelaskan ¼ bayaran premium tanah kawasan tanah Hospital Permai sebanyak RM108,492,450 kepada kerajaan negeri Johor. Sebagai kerajaan yang perihatin kepada rakyat, tentulah pihak kerajaan boleh memperuntukan sebahagian kecil daripada nilai premium ini kepada rakyat untuk mengurangkan bebanan kami.

7. Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah mengariskan keutamaan membela rakyat sebagai agenda utama melalui slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kami merasakan agenda ini adalah sangat bersesuaian dengan kehendak masakini. Rakyat pelbagai lapisan memerlukan sentuhan secara terus pada mereka. Bantuan kewangan merupakan sentuhan yang sangat bermakna kepada penduduk kampung yang rata-ratanya adalah golongan yang memerlukan bantuan kewangan pihak kerajaan.

Berdasarkan kepada keutamaan pihak kerajaan untuk membangunkan kawasan ini maka kami sedia berkorban untuk pindah daripada kampung halaman kami. Sebagai timbalbalasnya pihak kami memohon pihak kerajaan memberi sumbangan kewangan bernilai RM30,000 setiap keluarga bagi membina kehidupan baru selepas berpindah.

Sehubungan itu pihak kami memohon agar kami diberi masa untuk tinggal di kampung ini sehingga sumbangan daripada pihak kerajaan diterima.

Permohonan ini kami akan serahkan Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dalam pada selasa 27hb Oktober 2009 di Kuala Lumpur/Putrajaya.


Sekian, Terima Kasih. Wassalam


Yang Benar




_______________________

ABDUL TALIB BIN ITHNIN
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak,
Kg Denai Pinggiran, Tampoi.

9 comments:

Anonymous said...

Saudara/i yang dihormati, Terimalah hakikat bahawa perpindah tersebut adalah untuk kebaikan anda semua. Percayalah, suatu hari nanti tuan/puan akan menghargainya. Pembangkang hanya menangguk diair yang keruh sahaja. Dia datang bagaikan Malaikat tapi dia sebenarnya Musang berbulu Ayam.

Ikhlas, Ketua Penerangan UMNO Pulai.

Anonymous said...

Saya selalu dengar ceramah UMNO kata PAS ni suka mengata org. Tapi mcamana pulak Ketua Penerangan UMNO Pulai boleh tuduh PAS Musang berbulu Ayam.

Berpolitiklah secara matang.

Ikhlas, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat

Anonymous said...

Sahabat yang dihormati,

Tepuk lah dada tanya la selera. 'Tak tumbuh tak melata tak sungguh orang tak kata'.

Janganlah peralatkan orang miskin dan susah. Berpolitiklah dengan bijaksana dan profesional.

Ikhlas, Ketua Penerangan UMNO Pulai

edy said...

yang paling tak profesional berpolitik kan UMNO/BN, pengundi tegar sendiri dia tak bela, janji ade peluang kaut untung, sanggup bunuh rakyat, utamakan kroni dan tembolok sendiri

ikhlas rakyat batu pahat

Anonymous said...

Saudara Batu Pahat,

Harap saudara boleh bezakan antara sikap individu, polisi, dasar dan rangkuman perjuangan parti. Berhubunglah dengan pihak kami di talian 07-2376496 jika saudara keliru atau dikelirukan. Kami sedia berkongsi wadah ilmu kepada semua.

Ikhlas, Ketua Penerangan UMNO Pulai.

-dara si jebat- said...

http://www.agendabangsa.com/news.php?readmore=36

Anonymous said...

to ketua penerangan UMNO pulai..
Pelik nape berita pasal setinggan di negeri2 lain sebok di perkatakan dalam media mainstream..hari2 keluar TV..tapi bila setinggan johor..Orang johor sendiri tak taw masalah nie..nampak macam kerajaan BN baik sentiasa.sudahlah..aku tak sokong PAS..tapi aku cukup menyampah cara UMNO dan BN..Hati aku nie sakit bila tengok gambar2 rumah kena roboh..kawan-kawan aku yang duduk kawasan situ..mak bapak susah..ade yang sakit..cerita kat aku sambil nangis-nangis..ape cer kerajaan UMNO..cammon lah..tak bley ke korang bantu diorang skit..bukan bangsa lain pun..orang malaysia dan melayu jugak..setakat tolong setinggan denai..tak abes pun duit kerajaan JOHOR..

putra_kenchana said...

Benda dah settle baik....cuma yang mengaruk tak tentu pasal tu yang kena racun pemikiran dengan Pembangkang. Yang kemaruk tu buka tak dapat pampasan...tapi semua mat duitan....perangai manusia biasalah.

putra_kenchana said...

Perangai pembangkang memang macam tu..lagi kusut situasi lagi dia suka...sebab boleh buat modal politik murahan.