Monday, July 25, 2011

SPR Mengaku Ada Pengundi Hantu

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Pusat

25hb Julai 2011

SPR Mengaku Ada Pengundi Hantu

Setelah 16 hari selepas Himpunan Bersih 2 maka akhirnya Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Bin Wan Omar telah mengaku bahawa terdapatnya klon kepada kad pengenalan pengundi yang terdapat dalam daftar pemilih sah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR). Secara tidak langsung Datuk Wan Ahmad telah mengaku bahawa pengundi hantu benar-benar wujud dalam daftar pemilih SPR yang sah. Kenyataan beliau telah dikeluarkan oleh The Star bertarikh 24hb Julai 2011 di bawah tajuk EC: Help us purge ‘clones’ from electoral roll”. Datuk Wan Ahmad pula meminta parti politik dan Individu tertentu tampil memberi maklumat kepada SPR untuk membersihkan daftar pemilih. Ini merupakan kenyataan “U Turn” SPR mengenai pengundi hantu yang selama ini tidak pernah diakui malah menuduh Pakatan Rakyat(PR) mengada-adakan cerita untuk melunturkan kayakinan rakyat kepadanya. Pembersihan daftar pemilih adalah termasuk dalam tuntutan Bersih 2.0. Pengakuan SPR ini merupakan suatu kejayaan kepada Bersih 2.

PengakuanSPR ini adalah berdasarkan kepada data yang saya telah keluarkan pada khamis 21hb Julai 2011 bahawa Mariam Binti Su memiliki dua kad pengenalan berbeza iaitu 720616025472 dan 720610025738 tetapi mempunyai satu nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510. Beliau memiliki dua hak mengundi di Dun Kuala Ketil, Parlimen Baling. Murugan A/L Subramaniam pula dilahirkan pada 02hb Oktober 1973 dan memiliki nombor kad pengenalan lama A2909056. Dua identiti Murugan A/L Subramaniam memiliki tarikh lahir, nombor kad pengenalan lama, jantina, lokaliti, daerah mengundi, Dun, Parlimen dan Negeri yang sama. Hanya 4 digit terakhir kad pengenalan iaitu 5201 dan 5877 yang membezakan identiti Murugan A/L Subramaniam. No kad pengenalan pertama Murugan A/L Subramaniam adalah 731002025877 dan kad pengenalan kedua adalah 731002025201. Sesiapa sahaja boleh menyemak melalui laman web SPR http://daftarj.spr.gov.my/NEWDAFTARJ/DaftarjBM.aspx.

Kes Mariam Binti Su dan Murugan A/L Subramaniam telah membuktikan dua kesalahan besar yang dilakukan oleh JPN dan SPR iaitu pertamanya Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) telah mengeluarkan satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua identiti. Keduanya SPR telah membenarkan seorang pemilih memiliki hak mengundi lebih daripada sekali. Ini telah bertentangan dengan Perkara 119(1) Perlembagaan Malaysia yang menyatakan “tiada sesiapa pun boleh mengundi dalam pilihanraya yang itu juga, dalam lebih daripada satu bahagian pilihanraya”. Standard Operation Procedure(SOP) bagi kedua-dua jabatan Kerajaan ini perlu dikaji semula. Sistem komputer JPN dan SPR telah menggunakan SOP yang salah. Salah satu prinsip kepada konsep pengkalan data(database) sistem komputer adalah tidak dibenarkan pertindanan identifier kad pengenalan lama atau baru. Tetapi JPN telah membenarkan pertindanan kad pengenalan lama dan SPR pula menerima data yang salah tersebut untuk didaftarkan sebagai pemilih yang sah. Inilah bukti kesalahan SPR dan JPN. Mana-mana pihak berhak untuk membuat laporan polis berhubung kecuaian (negligent) yang dilakukan oleh JPN dan SPR.

Walaupun bukti-bukti telah menunjukkan bahawa terdapat data bertindan yang telah dimasukkan dalam daftar pemilih yang sah tetapi malangnya SPR tiada hak dengan mudah untuk membatalkannya. Ia terpaksa melalui proses yang rumit untuk membatalkannya. Ini kerana seksyen 14, Peraturan-peraturan Pilihan Raya(Perjalanan Pilihan Raya) 1981 telah manyatakan bahawa “ Daftar pemilih yang pada masa ini berkuat kuasa hendaklah menjadi keterangan prima facis bagi maksud menentukan sama ada seseorang berhak atau tidak berhak untuk mengundi dalam sesuatu pilihanraya dalam mana-mana bahagian pilihan raya”. Jika pilihanraya di adakan pada waktu terdekat maka pilihanraya umum ke-13 akan menggunakan daftar pemilih yang diragui. Mana-mana parti yang menang dalam pilihanraya ke-13 tetapi mempunyai data-data pemilih yang meragukan mungkin boleh dibatalkan kemenangannya. Ini merupakan sesuatu yang serius bakal akan berlaku. Oleh itu Pemuda PAS mendesak agar ditubuhkan suatu Suruhanjaya Diraja mengkaji sistem perjalanan pilihanraya dalam negara kita yang dilihat bermasalah.

SUHAIZAN BIN KAIAT

PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI DAN MOBILISASI, PEMUDA PAS PUSAT.

KETUA PEMUDA PAS NEGERI JOHOR.

Rujukkan :

EC: Help us purge ‘clones’ from electoral roll

By SIRA HABIBU
sira@thestar.com.my

PETALING JAYA: The Election Commission is calling on political parties and individuals to help purge the “clones” from the electoral roll.

EC deputy chairman Datuk Wan Ahmad Wan Omar said the commission appreciated feedback from all quarters in cleaning up the electoral roll.

“We have never denied the existence of clones,” he told The Staryesterday.

“That is why we have persistently asked voters to come forward and check their registration.

“The political parties should be aware of the irregularities as they are doing the checking on the ground at their respective localities.

“The EC, political parties and registered voters should work together to clean the electoral roll,” he added.

Wan Ahmad was commenting on questions raised by Johor PAS Youth chief Suhaizan Kaiat over the alleged discrepancies that had surfaced in the electoral roll.

Suhaizan wanted to know why there were double registrations for voters named Mariam Su and S. Murugan from Baling, Kedah, with different MyKad numbers.

He also questioned why a Malay voter and a Chinese voter in Kuala Nerang, also in Kedah, shared the same old seven-digit identity card number.

On purging the electoral roll of dead voters, Wan Ahmad said the EC could not remove the names without certification from the National Registration Department.

“The department would not make the necessary update in its system if the next-of-kin of the deceased did not notify them and provide the police burial permit,” he said.

“And the EC relies completely on the NRD for verification of death.”

Thursday, July 21, 2011

Data Daftar Pemilih Bertindan







Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Pusat

Khamis 21 Hb Julai 2011

ADAKAH SISTEM PENDAFTARAN SPR DAN JPN LEMAH ?

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah membuat penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan mengenai pilihanraya sebelum Himpunan Bersih 2.0. SPR telah menyatakan bahawa mereka telah memperkenalkan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-PPST) dimana identifier pemohon akan dihubungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sistem ALIS(Agency Link-Up System). Jika identifier tersebut sama dengan maklumat MyKad, barulah SPR mendaftarkan sebagai permohon tersebut. Jika tidak, SPR tidak akan sesekali mendaftarkan permohonan tersebut. SPR berjanji sistem yang dibina akan menolak sebarang cubaan untuk mendaftarkan permohonan yang tidak sah. SPR juga berkali-kali menolak isu “Pengundi Hantu” yang terdapat dalam daftar pemilih.

Dewan Pemuda PAS Pusat ingin mengemukakan beberapa bukti kepada rakyat Malaysia bahawa sistem E-PPST dan ALIS mempunyai beberapa kelemahan. Terdapat bukti data yang mana dua orang pemilih berkongsi satu nombor kad pengenalan lama yang sama. Bukti-buktinya adalah seperti berikut :

Bukti Pertama : Merujuk kepada data sah yang dikeluarkan oleh SPR, Low Kim Lian dan Tom Binti Din berkongsi nombor kad pengenalan lama 1790975. Kedua-dua mereka mengundi di Dun Kuala Nerang, Parlimen Padang Terap, Kedah. Persoalannya bagaimana JPN boleh membenarkan dua orang individu memiliki no kad pengenalan lama yang sama. Dalam konsep sebenar sistem komputer, no kad pengenalan lama adalah identifier kedua bagi seseorang individu. Ia samasekali tidak boleh bertindan. Jika bertindan maka ia membuktikan bahawa JPN mempunyai sistem pendaftaran yang lemah atau Standard Operation Procedure(SOP) JPN yang lemah atau lemah kedua-duanya sekali.

Bukti Kedua : Merujuk kepada data sah yang dikeluarkan oleh SPR,Mariam Bin Su memiliki dua kad pengenalan berbeza iaitu 720616025472 dan 720610025738 tetapi mempunyai satu nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510. Beliau memiliki dua hak mengundi di Dun Kuala Ketil, Parlimen Baling. Persoalannya yang mana satukah identiti sebenar Mariam Binti Su? Beliau seolah-olah memiliki dua identiti. Ini memberi maksud bahawa salah satu daripada identiti Mariam Bin Su adalah “Pengundi Hantu”. Inilah bukti “Pengundi Hantu” yang dicari-cari oleh SPR. Persoalannya bagaimana Sistem e-PPST, SPR boleh menerima Mariam Binti SU memiliki dua identiti sedangkan identifier kedua nombor kad pengenalan lama beliau adalah sama. Bagi sesuatu sistem komputer yang berkesan sepatutnya e-PPST tidak akan membenarkan seseorang yang memiliki identiti yang sama mendaftar sebanyak dua kali. Inilah bukti kelemahan sistem e-PPST.

Bukti Ketiga : Merujuk kepada data sah yang dikeluarkan oleh SPR, Murugan A/L Subramaniam dilahirkan pada 02hb Oktober 1973 dan memiliki nombor kad pengenalan lama A2909056. Dua identiti Murugan A/L Subramaniam memiliki tarikh lahir, nombor kad pengenalan lama, jantina, lokaliti, daerah mengundi, Dun, Parlimen dan Negeri yang sama. Hanya 4 digit terakhir kad pengenalan iaitu 5201 dan 5877 yang membezakan identiti Murugan A/L Subramaniam. Persoalannya mana identiti sebenar Murugan A/L Subramaniam? Bukankah salah satu daripada identiti Murugan A/L Subramaniam adalah “Pengundi Hantu” . Saya yakin dua identiti ini adalah orang yang sama. Persoalannya, bagaimana masalah ini boleh terjadi?

SPR dan JPN wajib memperbaiki sistem komputer yang dibangunkan. Selepas itu pemutihan data perlu dilakukan. Sistem e-PPST dan ALIS hendaklah mampu mengesan cubaan untuk mendaftar data-data yang tidak sah dan bertindan. Dewan Pemuda PAS memiliki banyak lagi data-data sah daripada SPR yang bertindan seperti yang dibuktikan di atas. Data-data ini akan kita gunakan untuk menguji keberkesanan sistem yang dimiliki oleh SPR dan JPN pada masa akan datang. SPR dan JPN jangan hanya membuang data yang meragukan tanpa memperbaiki sistem komputernya. Data tidak akan bersih sepenuhnya tanpa perubahan pada sistem komputer SPR dan JPN. Tuntutan pembersihan data pemilih merupakan salah satu tuntutan Bersih 2.0.

SUHAIZAN BIN KAIAT

PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI DAN MOBILISASI, PEMUDA PAS PUSAT

KETUA PEMUDA PAS NEGERI JOHOR

Saturday, July 16, 2011

Pemuda PAS Mohon Penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)


Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Pusat

Jumaat 15hb Julai 2010

Pemuda PAS Mohon Penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) telah berjanji kepada rakyat Malaysia untuk membuat beberapa perubahan dalam perlaksanaan pilihanraya akan datang. Antaranya adalah pengundian awal(Advance Voting) dan pengesahan secara biometrik bagi setiap pengundi. Dewan Pemuda PAS Pusat merasakan perlu SPR menjelaskan kepada rakyat Malaysia beberapa persoalan di bawah ini.

1. 1. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof pernah membuat kenyataan media pada 26 Mei 2010 bahawa SPR bersedia melaksanakan pengundian awal pada Julai 2011. Setakat ini rakyat belum nampak pindaan-pindaan dibuat di Parlimen berhubung dengan perlaksanaan pengundian awal. Persolannya, bilakah tarikh sebenar SPR bersedia melaksanakan proses pengundian awal dan pengesahan kad pengenalan secara biometrik?

2. 2. Apakah status sebenar mereka yang dibenarkan membuat pengundian awal? Apakah mereka berstatus pengundi awam atau pengundi pos ?

a. Jika status mereka adalah pengundi awam :-

Persoalannya, bilakah nama mereka yang sedang tersenarai sebagai pengundi pos akan dikeluarkan daripada pengundi pos?

b. Jika status mereka adalah pengundi pos :-

Persoalannya, pengerusi SPR pernah menyatakan bahawa pengundian awal adalah seperti pengundi awam di mana mereka tidak perlu mengisi borang 2. Sedangkan dalam Peraturan-peratuan Pilihanraya(Pengundi Pos) 2003 dinyatakan dengan jelas setiap pengundi pos perlu mengisi borang 2. Persoalannya, bilakah tarikh SPR akan membuat pindaan terhadap pengunaan borang 2 dalam seksyen 7(2), 8(b), 15(2), 15(3),15(5), 15(6), 15(7), 15(8), 15(9), 15(10) dan 16 dalam Peraturan-peratuan Pilihanraya(Pengundi Pos) 2003?

3. 3. SPR tidak akan menghapuskan undi pos sepenuhnya kerana terdapat mereka yang tidak dapat mengundi pada hari pengundian seperti anggota tentera di medan perang. Setelah perlaksanaan pengundian awal, selain daripada anggota tentera di medan perang, siapakah lagi mereka yang dibenarkan menjadi pengundi pos sebenar?

4. 4. Pelajar yang berada di luar negara contohnya Mesir mempunyai lebih 7,000 orang pelajar bukan dalam bidang yang kritikal dan mereka boleh mengundi di kedutaan masing-masing. Apa rasionalnya pelajar di luar negara mengundi sebagai pengundi pos? Kenapakah mereka tidak dibenarkan mengundi di kedutaan masing-masing sebagai pengundi awam ?

5. 5. Kakitangan SPR boleh memohon untuk menjadi pengundi pos selepas penamaan calon dibuat. Permohonan mereka sebagai pengundi pos akan diluluskan sedangkan nama mereka tidak sempat dibatalkan oleh SPR sebagai pengundi awam dalam daftar pemilih yang diserah kepada calon pada hari penamaan calon. Persoalannya, bukankah terdapat dua nama iaitu sebagai pengundi pos dan sebagai pengundi awam bertentangan dengan Perkara 119(1) Perlembagaan Malaysia yang menyatakan “tiada sesiapa pun boleh mengundi dalam pilihanraya yang itu juga, dalam lebih daripada satu bahagian pilihanraya” ?

6. 6. Kemungkinan besar terdapat masalah untuk mengesan kad pengenalan seseorang pemilih menggunakan biometrik, contohnya cip kad pengenalan pemilih rosak atau kad pengenalan hilang(hanya membawa kad pengenalan sementara) atau terdapat pemilih yang enggan melalui proses pengesahan biometrik. Dalam Perkara 119(1) Perlembagaan Malaysia menyatakan setiap warganegara berumur 21 tahun layak mengundi dan tidak dinyatakan mereka perlu melalui proses biometrik. Persolannya, di manakah hak SPR menghalang seseorang pemilih mengundi jika kad pengenalan seseorang pemilih tidak dapat disahkan oleh sistem biometrik ?

7. 7. SPR menjelaskan bahawa pengunaan dakwat kekal atau indelible ink bertentangan dengan Perkara 119(1) Perlembagaan Malaysia. Sedangkan pengunaan dakwat kekal bukannya untuk menghalang seseorang mengundi tetapi hanya mengesahkan seseorang itu telah mengundi. Persoalannya di manakah pengunaan dakwat kekal yang bertentangan dengan Perkara 119(1) Perlembagaan Malaysia ?

8. 8. SPR telah pernah membelanjakan lebih kurang RM3 juta untuk membeli dakwat kekal sebelum pilihanraya ke-12 malangnya telah dibatalkan di saat akhir. SPR telah terbukti membazirkan wang rakyat untuk membeli sesuatu yang tidak boleh digunakan dalam pilihanraya. Persoalannya, sudahkan SPR membuat kajian keberkesanan perlaksanaan sistem pengesahan menggunakan biometrik? Berapakah kos yang diperlukan oleh SPR untuk membeli segala peralatan, menyediakan kakitangan mahir dan lain-lain yang diperlukan untuk melaksanakan proses pengesahan melalui sistem biometrik? Sudahkah kerajaan meluluskan peruntukan perbelanjaan tersebut ? Apakah mekanisma SPR untuk mengelakkan kesesakan di pusat pengundian setelah perlaksanaan biometrik ?

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar telah menyatakan bahawa pihak SPR akan membuat penjelasan kepada rakyat berhubung isu-isu berbangkit. Dalam akhbar Sinar Harian pada hari ini 15hb Julai 2011, Datuk Wan Ahmad juga menuduh pembangkang memanipulasi dengan menyatakan “Selama ini, apabila SPR beri penjelasan isu berbangkit, sebagai contoh tuntutan Bersih, pembangkang akan manipulasi isu, diputarbelitkan dan dicampur aduk dengan andaian-andaian tanpa bukti “ . Dewan Pemuda PAS mencabar Datuk Wan Ahmad Bin Wan Omar untuk berdialog secara terbuka dengan pemuda PAS berhubung dengan isu-isu berbangkit.

SUHAIZAN BIN KAIAT

Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Rakyat, Dewan Pemuda PAS Pusat

Ketua Pemuda PAS Negeri Johor.

019-7285174

Wednesday, July 6, 2011

BERSIH Bukan Suatu Pertubuhan Tapi Sejenis Kempen



Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Pusat

Rabu 6hb Julai 2011

BERSIH bukan suatu pertubuhan

Saya sangat tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussin yang telah menuduh BERSIH adalah sebuah pertubuhan haram. Atas tuduhan ini maka pihak polis telah menangkap lebih daripada 100 orang, melarang ceramah-ceramah, mengeledah rumah suspek, membuat sekatan jalan raya, melarang memakai baju BERSIH dan lain-lain lagi.

Saya berpendapat BERSIH bukan sejenis pertubuhan tetapi adalah sejenis kempen. Dalam Akta Pertubuhan di bawah seksyen 2 akta ini menyatakan bahawa sesuatu pertubuhan ditakrif sebagai termasuk mana-mana kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan dengan tujuh (7) atau lebih orang tidak kira apa jua jenis atau tujuannya, sama ada sementara atau kekal. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka kempen pula bermaksud segala usaha (kegiatan dan tindakan) yang dirancangkan dan dilaksanakan dengan menggunakan penerangan(rayuan dll) untuk mempengaruhi pendapat umum atau mendapatkan sokongan umum terhadap sesuatu(matlamat dll)

BERSIH adalah sejenis kempen untuk menjayakan suatu pilihanraya yang adil dan bersih. Kempen ini disingkatkan sebagai BERSIH. Bagi menjayakan kempen ini maka ditubuhkan jawatankuasa yang dianggotai oleh 63 NGO yang diketuai oleh Datuk Ambiga . Jawatankuasa kempen ini bergerak keseluruh negara untuk mendapatkan sokongan bagi mengadakan Himpunan Bersih pada 9hb Julai 2011.

Kempen BERSIH adalah seperti Kempen Tak Nak Rokok dan Kempen Kami Benci Dadah. Kempen-kempen ini dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan dan NGO seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Penerangan, Kementerian Luar Bandar, Pemadam, Pengasih dan lain-lain lagi. Kempen ini tidak memerlukan pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang diwujudkan pada tahun 1966 untuk menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966. Kempen ini adalah sejenis aktiviti agensi kerajaan dan NGO sahaja. Oleh itu Kempen Bersih adalah aktiviti 63 NGO terbabit.

Saya berpendapat adalah wajar Menteri Dalam Negeri menarik balik tuduhan BERSIH sebagai pertubuhan haram. Menteri Dalam Negeri sebenarnya gagal membezakan antara pertubuhan dan kempen. Oleh itu tuduhan-tuduhan di bawah seksyen 47 dan 50(3), Akta Pertubuhan 1966 yang melibatkan kesalahan menyebarkan bahan-bahan berkaitan dengan pertubuhan haram hendaklah digugurkan dengan segera.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Pemuda PAS Negeri Johor.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi Dan Mobilisasi Rakyat, Pemuda PAS Pusat.

Friday, June 24, 2011

BANTAH PENCEROBOHAN RUANG UDARA NEGERI JOHOR





Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Khamis 23 Jun 2011

BANTAH PENCEROBOHAN RUANG UDARA NEGERI JOHOR

Kerajaan Malaysia telah mengesahkan bahawa terdapat 2,508 pencerobohan pesawat Tentera Udara Singapura sejak tahun 2008. Pihak Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia telah membuat cerapan terhadap pesawat negara jiran yang mencurigakan. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mendedahkan isu ini secara bertulis di Parlimen. Pada tahun 2008 terdapat 985 pencerobohan dikesan, 1,286 pencerobohan tahun 2009, 218 pencerobohan tahun 2010 dan sehingga Mei 2011 sudah 19 pencerobohan telah dikesan.

Pada bulan Mac 2006 pesawat tanpa pemandu (UAV) dipercayai milik tentera udara Singapura telah menceroboh ruang udara Johor di Gelang Patah. UAV Singapura telah menggunakan teknologi pengintipan Israil dan teknologi ini juga telah digunakan untuk memantau pergerakan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Rakyat Malaysia khususnya Johor sangat curiga terhadap pengunaan UAV ini.

Sebelum ini Malaysia dan Singapura pernah mempunyai perjanjian penggunaan ruang udara bagi membenarkan jet pejuang tentera udara Singapura yang berpengkalan di Paya Lebar menggunakan ruang udara Johor Selatan. Malangnya terdapat jet pejuang Singapura telah melepasi ruang yang dibenarkan. Akhirnya perjanjian ini dibatalkan pada 18 September 1998. Perjanjian semula hampir dimetrai pada tahun 2004 tetapi mendapat bantahan rakyat Malaysia. Sehingga kini tiada sebarang perjanjian yang membenarkan ruang udara Johor digunakan oleh pihak Singapura.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sangat kesal terhadap pencerobohan ruang udara Negeri Johor dan beranggapan bahawa Singapura seolah-olah tidak menghormati Malaysia sebagai negara berdaulat. Sebagai negara berjiran dan rakyat kedua-dua negara sering berulang-alik maka pihak Kerajaan Singapura wajib menjelaskan kepada rakyat Malaysia apakah justifikasi pencerobohan ini berlaku. Kerajaan Malaysia juga harus bertegas dan memberi tempoh waktu tertentu untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Kerajaan Negeri Johor pula hendaklah lebih proaktif mendesak kerajaan Singapura meghentikan pencerobohan dengan segera. Sidang Dewan Undangan Negeri Johor yang sedang bersidang sekarang seharusnya diambil kesempatan untuk mengemukakan usul tergempar mengutuk pencerobohan ruang udara Johor dan mendesak dihentikan pencerobohan serta merta. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mewakili rakyat Negeri Johor mahukan rantau ini bebas daripada sebarang persengketaan. Kita mahu hidup aman, makmur dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

Wednesday, June 22, 2011

ISU JOHOR KOTOR : TUBUH JAWATANKUASA KIRA-KIRA RAYA NEGERI JOHOR




Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Rabu 22 Jun 2011

ISU JOHOR KOTOR : TUBUH JAWATANKUASA KIRA-KIRA RAYA NEGERI JOHOR

Pemuda PAS Negeri Johor sangat berterima kasih atas keperihatinan Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang telah memberi respon terhadap kebersihan Negeri Johor. Baginda telah menegur ahli majlis PBT yang lemah dan kontraktor yang tidak menjalankan amanah seperti yang diharapkan. Sebenarnya isu kebersihan ini sudah lama menjadi masalah rakyat khususnya di bandar-bandar utama Negeri Johor. Malangnya kurang diberi perhatian oleh pihak berwajib sebelum ini. Teguran Baginda Sultan itu seharusnya memberi kesedaran kepada semua pihak bahawa kebersihan merupakan perkara yang penting untuk diberi perhatian.

Johor adalah laluan pelancong daripada Singapura menuju ke utara tanah air. Adalah sangat memalukan apabila pelancong membandingkan kebersihan Singapura dengan Negeri Johor. Rakyat Johor yang berulang alik Singapura dan Johor Baharu pun boleh membandingkan kebersihan keduanya. Bandar-bandar di Singapura jauh lebih bersih daripada bandar-bandar di Negeri Johor. Sudah sampai masanya Kerajaan Negeri Johor membuat semak dan imbang (check and balance) kepada masalah kebersihan di negeri ini.

Suatu kajian yang menyeluruh perlu dibuat bagi mengesan punca masalah yang berlaku. Adakah berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan atau kelemahan kepimpinan dan pengurusan atau sikap rakyat itu sendiri. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mencadangkan kepada pihak Kerajaan Negeri Johor agar menubuhkan Jawatankuasa Kira-kira Raya Negeri Johor yang dianggotai oleh ahli dewan undangan negeri daripada kerajaan dan pembangkang bagi menyiasat punca masalah yang berlaku. Saya yakin dan percaya jika pihak kerajaan negeri sudah mengenal pasti masalah yang berlaku maka tidakkan yang sewajarnya boleh diambil bagi mempastikan rakyat Negeri Johor dapat menikmati suasana kebersihan kelas pertama di Negeri Johor.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor.

Exco Pemuda PAS Pusat.

019-7285174

Tuesday, June 21, 2011

LEBIH BAIK SPR BERDIAM DIRI

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Selasa 21 Jun 2011

LEBIH BAIK SPR BERDIAM DIRI

Sesuatu yang jangal walaupun bukannya luar biasa telah berlaku kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) apabila kenyataan pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof telah cuba membuka pintu rundingan dengan Jawatankuasa Bersih 2 berkenaan isu Himpunan Bersih 2 pada 9 Julai 2011. Kenyataan ini telah disiarkan oleh media Malaysiakini pada 20-Jun-2011. Sedangkan pada 18-Jun-2011 Tan Sri Abdul Aziz telah menutup pintu rundingan seperti yang telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian. Perubahan mendadak pendirian SPR ini dipercayai akibat tekanan pihak kerajaan.

Tan Sri Abdul Aziz menekankan bahawa demonstrasi tidak menyelesaikan sebarang masalah. Mungkin Tan Sri Abdul Azizi terlupa bahawa Himpunan 100 Ribu Gerakan Rakyat Membantah PPSMI (GMP) tahun 2009 telah menyebabkan polisi PPSMI berubah. Sedangkan sebelum demontrasi pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran pada masa tersebut Dato Hishmuddin Tun Hussin bertegas akan mengekalkan PPSMI. Itulah bukti yang paling jelas bagaimana demontrasi boleh mengubah sesuatu polisi kerajaan.

Hujah yang mengatakan kemenangan pembangkang dalam pilihanraya 2008 telah membuktikan bahawa SPR telah berlaku adil dalam pilihanraya adalah hujah yang meleset. Sistem undi pos yang ternyata mempunyai ruang manipulasi yang sangat jelas sehingga SPR berjanji mahu membuat perubahan. Terdapat bekas-bekas pegawai tentera yang telah mengaku memangkah kertas undi bagi pihak anggota di bawahnya, insiden berkaitan undi Pos yang berlaku di pilihanraya kecil Bagan Pinang dan Sibu, kuasa SPR yang sangat terhad terhadap media massa dan lain-lain isu telah membuktikan bahawa sistem pilihanraya tidak berlaku dengan adil selama ini. Janji SPR untuk membuat reformasi terhadap undi pos masih lagi pada tahap janji sahaja. Belum sampai peringkat perlaksanaan lagi.

Sebagai badan perlaksana kepada pilihanraya, SPR tidak mempunyai cukup kuasa untuk membuat perubahan kepada lapan tuntutan yang dibuat oleh Bersih 2 iaitu membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas & adil, tempoh minima 21 hari berkempen, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Sebarang rundingan dengan pihak SPR tidak boleh menyelesaikan semua tuntutan. Ini kerana SPR hanya mempunyai kuasa yang sangat terhad terhadap media, kuasa terhad untuk mengukuhkan institusi awam, kuasa terhad untuk menghentikan rasuah dan politik kotor.

Sebenarnya SPR juga menjadi mangsa kepada sistem yang tidak adil dalam negara ini. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor berpendapat adalah lebih baik SPR berdiam diri terhadap Himpunan Bersih 2. Itu lebih baik bagi mempastikan SPR sebuah badan bebas yang bertugas untuk melaksanakan pilihanraya yang adil dan bersih.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.

019-7285174