Monday, November 30, 2009

UMNO mahu orang lain sama busuk

Tun Dr Mahathir telah menulis dalam blognya yang UMNO busuk sampai ke ususnya. Oleh itu demi kepentingan kuasa, UMNO mesti membusukkan persekitarannya dengan :

1. Membusukkan PAS
2. Membusukkan PKR
3. Membusukkan DAP
4. Membusukkan PR
5. Membusukkan MCA
6. Membusukkan MIC
7. Membusukkan Gerakan
8. Membusukkan PPP

Matlamatnya mudah bila semua parti busuk maka tak berapa nampaklah kebusukkan UMNO.

Bagi menyedapkan hati UMNO maka UMNO menggunakan pemahaman Pak Pandir

"Bukan anak aku aja yang mati, anak orang lain pun mati jugak"

"Bukan UMNO aja yang busuk, orang lain pun busuk jugak"

Demikiahlah cerita kebusukkan UMNO.

UMNO Kini Busuk Hingga Ke Ususnya

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).

2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka speendapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.


Mahathir Bin Muhammad

Thursday, November 26, 2009

Ziarah YB Osman Sapian Sakit Jantung


Ziarah YB Osman Sapian Adun Kempas di Hospital Pakar Damansara. Beliau sedang sakit jantung dan akan membuat pembedahan membersihkan injap jantung pada hari ahad depan. Keadaannya stabil. Moga YB sihat seperti sediakala.

Wednesday, November 25, 2009

YB Osman Sapian Adun Kempas Sakit

YB Osman Sapian Adun Kempas sedang dirawat di Hospital Pakar Damansara. Pada mulanya beliau kena stroke dan telah dihantar ke Hospital Ampang Puteri pada hari sabtu lepas. Kemudian telah dihantar ke Hospital Pakar Damansara kerana masalah jantung. Pembedahan akan dibuat pada hari jumaat.

Insaya Allah saya dan rakan-rakan akan ziarah beliau pada hari esok.

Saya bagi pihak Pusat Aduan Rakyat Kempas, Johor mendoakan YB sihat dan dapat menjalankan tugas seperti biasa.


Suhaizan Bin Kaiat
Bekas Calon PAS DUN Kempas.

Isu PMBK Menyatukan Hati Pemimpin PAS

Mari kita perhalusi kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) semalam dalam Utusan Malaysia :

"Ini yang dipanggil berpakat, tegur menegur, itu asas Islam. Saya tekan Pusat, Pusat tekan saya. Masa saya cadangkan EGM (mesyuarat agung luar biasa) baru-baru ini, ada orang setuju, sebab itu saya tekan dia (Pusat)."

Ini bermakna semasa isu UG dan EGM, TGNA menegur pimpinan PAS Pusat. Dalam isu PMBK Tuan Guru Hj Hadi Awang(TGHD) tegur TGNA. Itulah tegur menegur amalan yang baik dalam PAS. Sebuah Jemaah Islam yang sedang diperhatikan oleh rakyat Malaysia. Budaya ini tidak boleh dilaksanakan dengan jayanya oleh kedua-dua Tok Guru jika mereka mementingkan diri masing-masing.

Saya cukup berbangga dengan keputusan yang di buat oleh TGNA meminta menantunya Sdr Ariffahmi Abd Rahman yang juga rakan karib saya di universiti melepaskan jawatan sebagai CEO PMBK. Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada TGHD yang telah datang ke Kota Baharu menegur TGNA. Tak lupa juga kepada Ariffahmi yang sanggup melepaskan jawatan yang besar ini. Itulah yang saya sebut "SELESAIKAN MASALAH, TINGKATKAN UKHWAH & HENTIKAN PERBALAHAN" dalam Seminar Memperkasakan Parti lepas. Walaupun sebahagian pemimpin PAS tak setuju dengan kenyataan saya bahawa pemimpin PAS sebelum ini berbalah tetapi itulah persepsi kebanyakkan rakyat Malaysia.

Alhamdulillah segalanya telah selesai.

Tindakan kedua-dua Tok Guru ini dapat menghilangkan kesedihan hati rakyat Malaysia dan ahli-ahli PAS di bawah sana. Harapan mereka tidak tinggi hanya mahu melihat kedua-dua Tok Guru berganding bahu menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.

Tahniah TGNA !
Tahniah TGHD !
Tahniah Ariffahmi !
Tahniah Rakyat Kelantan !
Tahniah pimpinan PAS Pusat !
Tahniah rakyat Malaysia !
Tahniah untuk semua.


Suhaizan Kayat
Ketua Penerangan DPPP

Fikiran saya kusut - Nik Aziz

KOTA BHARU 24 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui fikirannya kusut berikutan kemelut yang melibatkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Menurut Menteri Besar itu, keadaan tersebut menyebabkan beliau berdiam diri dan enggan mengulas perkara itu kepada pihak media sebelum ini kerana ingin mencari ketenangan.

Jelasnya, situasi yang sama pernah berlaku kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak berhubung dengan orang ramai lebih sebulan apabila isteri baginda, Siti Aisyah difitnah.

"Kita sebagai manusia ada masa terganggu. Nabi Muhammad SAW lebih dari sebulan tak berjumpa dengan orang ramai bila timbul fitnah terhadap isterinya, Siti Aisyah. Peristiwa Al-Ifki itu begitu sekali mendukacitakan, mengecewakan sampai sebulan Nabi tak berhubung dengan orang ramai.

''Teruk saya ini sebenarnya, tapi begitulah. Kita bergantung dengan Allah, minta doa, sebelum subuh kita bangun, kalau boleh menangis sebagai saksi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Harian Badan Perhubungan Pas Kelantan di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Nik Abdul Aziz, beliau berasa lega sekarang kerana isu itu dianggapnya sudah selesai berikutan arahannya kepada Abdul Ariffahmi supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK semalam.

Beliau menafikan keputusan yang dibuatnya itu kerana tekanan kepimpinan Pas Pusat.

"Ini yang dipanggil berpakat, tegur menegur, itu asas Islam. Saya tekan Pusat, Pusat tekan saya. Masa saya cadangkan EGM (mesyuarat agung luar biasa) baru-baru ini, ada orang setuju, sebab itu saya tekan dia (Pusat).

"(Saya) lega yang ini selesai. Ini satu, yang depan lagi Wallahu A'lam. Biasalah kita serang musuh, musuh serang kita. Kita jangan emosi," ujarnya.

Semalam, rombongan Pas Pusat terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli menemui Menteri Besar.

Mereka menasihatkan Nik Abdul Aziz agar mengarahkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan demi menjaga nama baik kepimpinan kerajaan negeri.

Ia berikutan pelbagai polemik dalam parti dan rakyat negeri ini yang mempertikai kewajaran menantu Menteri Besar itu dilantik ke jawatan tersebut yang boleh menjejaskan imej Pas dan kepimpinan negeri.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Mohd. Zaki Ibrahim berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Nik Abdul Aziz untuk menentukan tarikh sebenar peletakan jawatan Abdul Ariffahmi.

Katanya, ia adalah atas budi bicara Menteri Besar sebagai Pengerusi PMBK untuk menentukan perkara tersebut.

Dalam masa yang sama, Mohd. Zaki menolak dakwaan bahawa Pas Kelantan sudah tidak dapat memberi teguran kepada Nik Abdul Aziz sehingga memerlukan campur tangan Pas Pusat.

"Ini proses biasa dalam parti. Kita kena faham parti yang menguasai kerajaan, maknanya apa sahaja yang berlaku dalam negeri yang diperintah oleh Pas, kepimpinan Pusat berhak beri pandangan.

"Sebagaimana Tok Guru kata tadi, Pas Pusat berhak beri pandangan dan ada ketikanya Tok Guru sebagai Mursyidul Am berhak beri pandangan kepada presiden dan jawatankuasa Pas Pusat seperti isu EGM baru-baru ini,'' katanya.

Tambahnya, segala yang diputuskan dalam Pas berlaku secara kolektif dan semua pandangan dari setiap peringkat sama ada Pusat, negeri atau bawahan diambil kira.